PENGAJARAN DARI PEPERANGAN BADAR

Wahai hamba-hamba Allah saya berpesan kepada anda dan juga diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah SWT, maka berjayalah orang-orang yang bertqwa. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa.

Muslimin sekalian,
Marilah kita menjadi tetamu Allah Taala di dalam bulan Ramdhan al-Mubarak ini ini, satu bulan yang terkandung di dalamnya banyak hadiah daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman. Pada bulan ini bukan sahaja kita diperintahkan melakukan ibadat puasa yang menjadi salah satu rukun Islam malah kita digalakkan melakukan amalan-amalan sunat. Kita digalakkan memperbanyakkan doa kerana di dalam bulan ini diperkenankan doa oleh Allah Taala. Kita juga digalakkan memperbanyakkan sedekah kerana bulan Ramadhan mengajar kita bersimpati kepada golongan miskin.

Apatah lagi kini kita telah berada di penghujung bulan Ramadhan. Sama ada sedar atau tidak kita sekarang berada di sepuluh malam terakhir yang mana telah diingatkan oleh Rasulullah saw supaya kita mencari malam al-Qadar. Malam yang mana lebih baik daripada seribu bulan. Hadis Rasulullah saw diriwayatkan oleh Aisyah r.a.ha
عن عائشة رضي الله عنها ، أن رسول الله عنه ، قال : (( تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان)) رواه البخاري.
Daripada Aisyah r.a Katanya, Rasulullah saw telah bersabda : (( barangsiapa mencari-cari lailatul Qadar maka hendaklah mencarinya pada malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.))

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita menghidupkan malam al-Qadar dengan penuh kesungguhan, keikhlasan dan keimanan kerana Allah Taala telah menjanjikan keampunan atas dosa-dosa yang telah lalu sekiranya kita berbuat demikian. Bahkan Rasulullah saw meningkatkan amal ibadah pada 10 hari terakhir di bulan Ramadan. Baginda beriktikaf sehingga ………
عن عائشة رضي الله عنها ، قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم : (إذا دخل العشر الأواخر من رمضان، أحيا الليل ، وأيقظ أهله، وجد وشد المئزر))
Maksudnya : Daripada Aisyah r.a katanya , sesungguhnya Rasulullah saw apabila telah masuk 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda akan menghidupkan malamnya, mengejutkan ahli keluarganya , bersungguh-sungguh beribadat……..

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mimbar Jumaat pada hari ini ingin mengajak kaum Muslimin sekalian supaya memperingati salah satu peristiwa penting di dalam Islam yang telah dipilih oleh Allah Swt berlaku di bulan Ramadan al-Mubarak iaitu peristiwa peperangan Badar yang disebut oleh al-Quran sebagai Yaumul Furqan – hari yang memisahkan di antara iman dan kufur, berlaku pada pagi Jumaat 17 Ramadan tahun kedua hijrah.

Peperangan ini berlaku apabila dua golongan daripada satu bangsa, satu keturunan, satu bahasa dan satu tanah air bertembung. Satu golongan menerima al-Quran dan berjuang meninggikannya dan satu golongan yang berkeras dan menentang al-Quran. Di atas dasar keyakinan itulah mereka sanggup berjuang menghadapi musuh-musuh Islam dari kalangan keluarga dan sebangsa dengan mereka. Maka berlakulah peperangan Badar yang diizinkan oleh Allah kepada orang-orang Islam kerana mereka diperangi dan untuk meninggikan syariat Islam dan menentang golongan kuffar.
Firman Allah :
Surah al-Haj ayat 39-40

Muslimin sekalian,
Rasulullah saw terpaksa berhijrah ke Madinah bersama-sama sahabat Muhajirin dan kemudian bergabung dengan golongan Islam di Madinah yang menerima Islam dan bersedia memberi pertolongan kepada golongan Muhajirin Makkah. Rasulullah mempersaudarakan kedua-dua golongan ini yang dari tanah air berlainan atas dasar keimanan kepada Allah dan keyakinan kepada Islam. Mereka telah bergabung sehingga berjaya menegakkan Negara Islam pertama di bawah pimpinan Rasulullah saw. Persaudaraan dan tertegaknya Islam di madinah menyebabkan golongan Jahiliyyah tidak senang , sehingga mereka menubuhkan satu pasukan tentera untuk menghancurkan Negara Islam. Maka berlakulah peperangan pertama yang hebat yang ditetapkan oleh Allah berlaku pada bulan Ramadan, di suatu tempat bernama Badar.

Firman Allah SWT:

Dan sesungguhnya Allah telah memberi pertolongan kepada kamu(dalam peperangan) di Badar, sedangkan kamu pada masa itu lemah ( surah Ali Imran ayat 123)

Pertembungan kedua belah pihak di dalam peperangan Badar secara tidak seimbang. Golongan yang dipimpin oleh Rasulullah saw hanya berjumlah 300 orang sahaja dan tidak mempunyai kelengkapan senjata yang cukup lengkap, bertembung dengan golongan Abu Jahal 1000 orang bala tentera lengkap bersenjata. Bilangan yang sedikit tidak menjjaskan tentera Islam malah mereka diberi kemenangan yang gemilang kerana mereka memiliki kekuatan aqidah, keimanan dan keyakinan serta pergantungan ikhlas kepada Allah Taala.

Keyakinan ini dinyatakan oleh para sahabat diwakili oleh al-Miqdad bin Aswad : Wahai Rasulullah, kami tidak akan berkata kepada kamu sebagaimana berkata Bani Israil kepada Nabi Musa “ Pergilah kamu bersama-sama Tuhan kamu berperang, kami di sini mahu duduk saja”. Tetapi kami berkata : “ Pergilah kamu bersama-sama Tuhan kamu berperang, kami juga akan berperang bersama-sama kamu”.

Inilah ikrar yang diucapkan oleh para sahabat r.a. Ia bukan sebarang ikrar tetapi ikrar yang terbit daripada hati yang yakin dan ikhlas kepada Allah, bukannya ikrar yang hanya terbit daripada lidah yang idak bertulang, yang boleh berkata-kata dengan mudah. Sehingga ada di antara orang Islam yang mahu memakan kurma di tangannya berkata, “tidak ada yang meghalang aku masuk kurma kecuali buah kurma ini”. Lalu dia membuang buah kurma di tangannya, terus meluru merempuh musuh sehingga mati syahid.

Dasar perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat ialah sebagai menyatakan ubudiyyah dan ketundukan kepada Alah Taala dan untuk mengajak seluruh manusia supaya menyembah dan beribadah hanya kepada Allah, bukan kepada yang lain, sebagaimana ucapan doa yang diucapkan oleh Rasulullah saw di dalam peperangan tersebut:
“ Ya Allah, sekiranya golongan yang kecil dan dikalahkan, nescaya Engkau tidak akan disembah lagi.”

Sementara golongan jahiliyyah tetap angkuh dan mahu apa yang mereka mahukan walaupun jelas bercanggah dengan kebenaran. Yang mereka utamakan hanyalah menjaga hubungan kekeluargaan walaupun di atas dasar kesesatan dan bercanggah dengan dasar pengabdian dan ketundukan kepada Allah. Ini jelas di dalam doa Abu Jahal : “Ya Allah, dia merupakan orang yang paling memutuskan hubungan keluarga, membawa ajaran yang tidak dikenali, maka musnahkan dia hari ini.”

Allah Taala memperkuatkan dan memberi sokongan kepada ahli Badar dengan tentera malaikat yang dipimpin oleh malaikat Jibrail, semulia-mulia makhluk ghaib. Sementara tentera musyrikin jahiliyyah diberi sokongan oleh sahabat-sahabat makhluk ghaib iaitu iblis.

Oleh itu kita perlu sedar bahawa bukan sahaja di dalam bulan Ramadan kita membuktikan pengabdian kepada Allah dengan berpuasa menahan diri daripada makan dan minum, dan kita sedar bahawa peintah Allah mesti didahulukan daripada kepentingan nafsu dan perut, maka kita juga perlu menyedari bahawa membuktikan kepada Allah Taala dengan berjuang menegakkan syariat Islam lebih penting daripada segala-galanya.

Itulah salah satu pengajaran dari bulan Ramadan yang mulia ini . Bukan sahaja dengan berpuasa tetapi juga dengan mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalamnya. Marilah sama-sama kita mengambil peluang dibulan yang mulia ini..

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s