E-KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI KEMERDEKAAN

KHUTBAH JUMAAT: KEMERDEKAAN YANG SEBENARNYA

Masjid Bandaraya,Kota Kinabalu, 13 Syawal 1433H

اَلحمدُ للهِ  الْقَائلِ : إَنَا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحاً مُبِيْنَا. لِيَغْفِرَ لَكَ اللهُ  مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيكَ وَيَهْدِيَكَ صَرَاطًا مُّسْتَقِيماً. وَيَنْصُرَكَ اللهُ نَصْراً عَزِيزاً

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ , لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيْتُ , وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ . وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ , وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ , وَالسِّرَاجُ  الْمُنِيْرُ .

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ حِبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا , نَبِيِّ الرَّحْمَةِ , وَشَفِيْعِ الأُمَّةِ , وَعَلَى آلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ , وَبَعْدُ.

فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِه وَلاَ تَـمُوتُنَّ إِلاَّ وَأنْتُم مُسْلِمون!.

Wahai hamba Allah bertaqwalah kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan sebagai orang Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Ayat yang dibaca di awal khutbah tadi menyentuh tentang kemerdekaan kota Mekah melalui peristiwa pembukaan kota Makkah “Fathu Makkah” yang menyaksikan Nabi (s.a.w) menumbangkan lebih dari 360 berhala yang berada di sekeliling Ka’bah. Kemerdekaan Mekah setelah beratus-ratus tahun manusia menjadi hamba kepada berhala yang disembah selain Allah (s.w.t). Sejak ‘Amru bin Luhay membawa masuk berhala ke Mekah, pelbagai nama berhala yang disebut di dalam al-Qur’an dan hadith yang menjadi sembahan manusia seperti Ya’uq, Yaguth, Suwa’, al-Lat, al-Uzza, Isaf dan Na’ilah. Berhala-berhala ini terus menjadi sembahan penduduk Mekah dan masyarakat semenanjung Tanah Arab yang berada di sekitar Mekah. Secara berperingkat-peringkat Nabi (s.a.w) menyelamatkan manusia dari dijajah oleh ajaran syirik dan hanya selepas lebih kurang 21 tahun, 13 tahun Nabi berdakwah di Mekah, 8 tahun di Madinah, Nabi kembali ke Mekah untuk memerdekakan sepenuhnya bumi Mekah dari penyembahan berhala. Ayat-ayat tersebut bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (Wahai Muhammad) satu jalan kemenangan ang jelas nyata,

Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadaMu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).

3. dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Kemerdekaan Mekah juga merujuk kepada berakhirnya amalan-amalan jahiliyah seperti perzinaan, pelacuran, membunuh anak perempuan hidup-hidup, menyakiti jiran, golongan yang lemah ditindas dan dizalimi, berakhirnya penipuan dan riba dalam sistem jual beli dan terbinanya sistem hidup Islam di Mekah bermula dari pembinaan rumah tangga sehinggalah kepada hukum-hakam berkaitan cara berekonomi, cara bersosial, cara menjalinkan hubungan dengan Negara luar dan cara menangani jenayah dalam masyarakat seperti menyekat arak, judi, perzinaan dan segala bentuk kemungkaran. Kemerdekaan yang menjadi titik tolak kepada kestabilan kerajaan Islam Madinah al-Munawwarah di bawah pimpinan Rasulullah (s.a.w) yang bukan sahaja menjadi Imam di dalam solat, bukan setakat sebagai khatib dalam solat Jumaat bahkan baginda adalah ketua kepada kerajaan Islam yang ditakuti oleh  dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi. Pengisian kepada kemerdekaan Mekah ialah melaksanakan segala perintah Allah (s.w.t) dan meninggalkan segala larangan yang termaktub di dalam al-Qur’an dan hadith Nabi (s.a.w). Polisi inilah juga yang dipegang dan diamalkan oleh khulafa’ al-Rasyidin Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali R.anhum. Polisi ini juga diteruskan oleh setiap kerajaan Islam pada zaman Bani Umayyah, zaman Bani Abbasiyah sehingga kepada zaman kerajaan Uthmaniyah yang bermula dengan pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menjatuhkan kuasa besar Rom yang berpusat di Kota Konstatinople , Sultan Muhammad al-Fatih yang disifatkan oleh Rasulullah (s.a.w) sebagai sebaik-baik pemimpin. Kerana berpegang kepada al-Qur’an dan hadith banyak tempat berjaya dimerdekakan dari penyembahan berhala kepada penyembahan Allah (s.w.t). Kesannya Islam sampai kepada kita di negeri-negeri Tanah Melayu, Indonesia dan Patani.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Kita bersyukur kehadrat Allah (s.w.t) kerana pada hari ini kita sama-sama memperingati satu hari yang cukup bersejarah dalam negara kita iaitu sambutan kemerdekaan yang ke-55. Persoalannya apakah maknanya kita countdown jam 12 malam tadi dalam keadaan bilangan anak luar nikah yang bakal dilahirkan pada 9 bulan akan datang bertambah. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar sinar harian merekodkan sepanjang 2008-2010 iaitu dalam tempoh 2 tahun sebanyak 152, 182 orang anak luar nikah yang dilahirkan. Ini bermakna purata anak luar nikah yang dilahirkan ialah seramai 208.47 orang sehari iaitu seramai 8.67 orang setiap jam! Adakah penyumbang kepada angka ini adalah dari kalangan kita? Anak perempuan kita? Adik-beradik perempuan kita? Anak buah kita? Saudara mara kita? Jiran-jiran kita? Rakan sepejabat kita? Inilah pencapaian kita setelah lebih lima dekad kita mencapai kemerdekaan! Maka marilah sama-sama kita bermuhasabah. Semoga Allah memelihariasemua wanita Islam dari terjeremus ke lembah yang merosakkan keturunan kita….

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Kemerdekaan menurut Islam bukanlah semata bebas dari penjajahan material semata-mata sebaliknya kemerdekaan yang sebenar dalam Islam ialah apabila manusia memerdekakan dirinya dari menyembah selain Allah (s.w.t) seperti mana terkandung di dalam kata-kata   (رُبْعِي بن عَامِر)Rub’ie bin A’mir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

نَحْنُ قَوْمٌ ابْتَعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ غَيْرِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سِعَةِ الآخِرَةِ”

“Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan makhluk kepada penyembahan Allah, dari kezaliman kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”

Ungkapan Rubi’yy bin ’Amir ini menunjukkan kemerdekaan yang sebenarnya ialah apabila kita berpegang teguh sepenuhnya dengan ajaran Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Persoalannya bagaimana kita ingin mengisi kemerdekaan yang Allah s.w. t  anugerahkan kepada kita. Apakah ianya cukup setakat mengadakan aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan, bulan kemerdekaan, mengebarkan jalur gemilang dan sebagainya. Ya sambutan yang diadakan sebagai satu tanda kesyukuran kita atas nikmat Allah yang cukup besar ini, tetapi apa yang lebih penting ialah penghayatan kepada kemerdekaan itu sendiri. Bagi menjawab persoalan ini marilah kita membaca ayat Allah  dari surah al-Hajj.

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Ayat ini menjelaskan kepada kita beberapa pengisian kepada kemerdekaan

Pertama :

أَقَامُوا الصَّلَاةَ

Mendirikan solat dan melakukan ibadat-ibadat lain yang akan menghampirkan diri kita kepada Allah s.w.t. Kemerdekaan itu sepatutnya diisi dengan melakukan perkara-perkara ketaatan yang membawa kita kepada keredaan Allah s.w.t. Dalam kita membangunkan  dan memajukan negara , kesibukan kita menjalankan tugas harian jangan sampai kita lupa akan tanggungjawab kita kepada Allah swt. Marilah kita sama-sama bermuhasabah  setelah kita mencapai kemerdekaanlebih  setengah abad, berapa ramai masyarakat kita yang masih tidak pandai mengerjakan solat, mereka yang tahu mengerjakan solat berapa ramai yang menunaikan solat? Apakah masjid kita penuh seperti penuhnya pusat membeli-belah?  Apakah solat menjadi agenda penting dalam rutin harian kita? Sejauh mana masyarakat kita menghayati Islam dari erti kata yang sebenarnya? Dalam kita mengecapi nikmat kemerdekaan ini jangan kita lupa untuk bersyukur kepada Allah s.w.t atas nikmatnya yang sangat banyak.

Sidang Jumaat yang rahmati Allah,

Pengisian kedua kepada kemerdekaan ialah:

وَآتَوُا الزَّكَاةَ

Mengeluarkan zakat atau dalam erti kata yang lain memastikan ekonomi kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita bebas dari sumber-sumber yang diharamkan oleh Allah s.w.t samada riba atau penipuan. Golongan yang berada perlu membantu golongan yang miskin dengan cara mengeluarkan zakat dan bersedekah. Golongan yang miskin dan tidak berkemampuan pula janganlah sekadar mengharapkan bantuan sebaliknya perlu mengubah kehidupan mereka dengan berusaha dan bekerja mengikut kemampuan kerana tangan yang memberi adalah lebih mulia dari tangan yang menerima. Pastikan sumber rezeki kita adalah dari sumber yang halal dan dibelanjakan ke jalan yang halal.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pengisian ketiga kepada kemerdekaan berdasarkan ayat surah al-Hajj ialah

وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ

“Menghidupkan budaya Amar Makruf dan Nahi Mungkar. “

Masyarakat yang merdeka perlu mengajak kepada kebaikan antara satu sama lain  dan pada masa yang sama sekiranya terdapat kepincangan  maka perlu ada golongan yang menegur kesalahan.

Insya Allah dengan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar akan dapat mewujudkan masyarakat yang aman dan makmur.

Sidang  Jumaat,

Walaupun Negara kita telah lama menikmati kemerdekaan tetapi masih ramai yang masih belum memenuhi takrif merdeka menurut Islam menghayati semangat itu mengikut acuan Islam bagi mengelakkan masyarakat terus terjajah minda oleh pemikiran dan ideologi  asing , mereka hidup bukan dengan cara hidup Islam. Hari ini kita dapati generasi muda berpelukan berciuman tanpa segan silu di tempat awam apatah lagi di tempat yang tertutup. Erti sebenar kemerdekaan bagi generasi muda pada masa kini semakin luntur serta tidak dihargai dan ia terbukti apabila berlakunya pelbagai kes membabitkan golongan itu seperti mat rempit, buli dan samseng dan tidak kurang yang ditahan di pusat serenti kerana terlibat dengan dadah dan syaboo .

Justeru itu marilah kembali kepada al-Quran dan hadith dalam mengisi kemerdekaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Marilah kita mengingati dan menghayati perjuangan generasi yang lalu memperjuangkan kemerdekaan sehingga terkorban. Marilah sama-sama mempertahankan kemerdekaan negara daripada anasir jajahan kuasa besar dalam bentuk moden. Marilah disaat  55 tahun kita menyambut kemerdekaan ini kita memperbanyakkan beristighfar dan bertasbih kepada Allah (s.w.t). Firman Allah (s.w.t):

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ( 1 ) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ( 2 ) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ( 3 ) ) 

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai kota Makkah); Dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat”.                                                                                      

              (An-Nasr : 1-3)

Semoga Allah mencatat kita dikalangan hamba-Nya yang bersyukur yang mengisi nikmat kemerdekaan dengan pengisian yang mendapat keredaan-Nya dan jauh dari kemurkaan-Nya

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s