Rahmat Ilahi:Menghargai kedatangan junjungan besar nabi Muhammad saw.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saudara-saudara yang dikasihi Allah, sekarang saya terbitkan semula artikel bertajuk “Menghargai kedatangan junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang saya sampaikan dalam slot rahmat Ilahi yang disiarkan dalam Sabah FM beberapa tahun yang lalu.

Firman Allah Taala dalam surah al-Tawbah :

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.( 128)
Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”(129)

Ayat ini menjelaskan kepada kita lima sifat nabi Saw iaitu :
1- مِن أَنفُسِكُم : Golongan kamu sendiri ( iaitu manusia)
Firman Allah dalam ayat yang lain [ Surah al-Tawbah Ali Imran ayat 164] :

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri..

Hikmah Allah mengutus nabi daripada kalangan manusia.
Sidang pendengar yang dirahmati Allah,
Allah swt mengutus Rasul daripada kalangan manusia merupakan satu rahmat kepada manusia. Allah swt tidak mengutus nabi daripada kalangan malaikat atau jin atau makhluknya yang lain kerana beberapa sebab :

1- Nabi saw memahami keadaan manusia, kemampuan dan kelemahan manusia. Oleh itu nabi saw dengan wahyu daripada Allah swt tidak memerintahkan manusia melainkan mengikut kemampaun manusia. Ini jelas apabila Rasul SAW menegur tiga orang sahabat nabi yang mengecilkan ibadah nabi saw :
Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim :
حَدِيثُ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ نَفَرًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلُوا أَزْوَاجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ عَمَلِهِ فِي السِّرِّ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لاَ أَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لاَ آكُلُ اللَّحْمَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لاَ أَنَامُ عَلَى فِرَاشٍ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ فَقَالَ مَا بَالُ أَقْوَامٍ قَالُوا كَذَا وَكَذَا لَكِنِّي أُصَلِّي وَأَنَامُ وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Sesungguhnya beberapa orang Sahabat r.a bertanya kepada isteri-isteri Nabi s.a.w mengenai amalan yang dilakukan oleh baginda secara diam-diam. Maka ada di antara mereka yang memberitahu bahawa dia tidak akan berkahwin. Ada juga yang memberitahu bahawa dia tidak makan daging dan ada pula yang memberitahu bahawa dia tidak pernah tidur di atas hamparan. Mendengar hal itu semua, Nabi s.a.w memuji kepada Allah dan bersabda: Apa kena dengan kaum itu, mereka berbicara itu dan ini, sesungguhnya aku mendirikan sembahyang dan aku juga tidur, aku berpuasa, berbuka dan aku juga berkahwin. Maka sesiapa yang tidak suka sunnahku, dia bukanlah golonganku iaitu umatku *

2- Nabi saw dapat menyelesaikan masalah manusia

Dalam hadis yang lain seorang sahabat mengadu kepada nabi SAW tentang masalahnya :
Diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Khanzalah bertemu Rasullullah saw dalam keadaan menangis . Katanya :
“ Wahai Rasullullah apabila kami berada di sisimu, kamu mengingatkan kami tentang syurga dan neraka sehinggakan seolah-olah kami melihatnya . Sebaliknya apabila kami keluar kami asyik dengan isteri kami dan anak-anak kami serta harta-harta kami menyebabkan kami lupa”
Nabi saw menjawab :
“ Demi jiwaku yang berada dibawah kekuasaan-Nya, kalau kamu teruskan keadaanmu seperti ketika kamu bersamaku dan di dalam berzikir nescaya Malaikat akan bersalam denganmu di rumah kamu dan dijalanan, tetapi wahai Hanzalah satu ketika( kamu bersungguh-sungguh) dan ketika yang lain kamu (lemah dalam beribadat)

3- Mudah untuk dicontohi oleh manusia.

Rasul saw sama seperti manusia yang lain. Baginda makan, minum,tidur, berkahwin….Rasul saw adalah contoh untuk manusia. Di rumah baginda saw adalah bapa dan suami yang mithali, sebagai hamba Allah Rasul SAW merupakan manusia yang paling kuat beribadat dan hamba-Nya yang paling takut kepada Allah swt, Rasullullah juga merupakan contoh pemimpin yang unggul dan di dalam peperangan Rasul SAW merupakan ketua tentera…

Sifat Kedua :
( عَزِيزٌ عَلَيهِ مَا عَنِتُّم ))
“yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu”

Nabi saw telah menjelaskan bahawa semua rasul dimakbulkan doa mereka oleh Allah swt. Nabi-nabi yang terdahulu AS telah menggunakan doa tersebut semasa di dunia tetapi nabi kita Muhammad saw menggunakannya di akhirat. Dalam satu hadis nabi saw bersabda :
( وَأَنَا آخُذُ بِحُجَزِكُمْ عن النّارِ ))
“ Saya mempertahankan kamu dari tercampak ke dalam neraka”
Di dalam hadis nabi Saw menjelaskan kepada kita perkara-perkara yang menyebabkan kita tidak dimasukkan ke neraka. Antaranya :

1- Jangan melakukan dosa-dosa besar
2- Jangan membunuh diri
3- Sempurnakan wuduk
4- Membayar zakat
5- Beramal dengan apa yang disampaikan
6- Pemimpin yang tidak menipu rakyatnya
7- Wanita yang mentaati suami.
8- Jangan Menyiksa binatang

Sifat Ketiga :
حَرِيْصٌ عَلَيْكُمْ
” Yang sangat tamak ( menginginkan ) kebaikan bagi kamu ”

Nabi saw sentiasa mengambil berat dan memelihara iman,kedudukan yang tinggi bagi umatnya di dunia sehingga mereka akan diletakkkan di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.

Contoh kebaikan yang diingini oleh Rasul saw
(a)Rasulullah saw inginkan umat Islam memiliki jatidiri dan tidak mengikut cara orang yang terdahulu sebagaimana sabdanya:

حَدِيثُ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ *
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu telah mengikuti sunnah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggakan mereka masuk ke dalam lubang biawak kamu tetap mengikuti mereka. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang kamu maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani? Baginda bersabda: Kalau bukan mereka, siapa lagi [ Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muislim] *

(b)Rasulullah saw menggalakkan umatnya bersatu padu:

حَدِيثُ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى *
رواه إمام بخاري
Diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit *

(c ) Rasullullah melarang permusuhan sesama Islam

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim:
حَدِيثُ جَرِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ اسْتَنْصِتِ النَّاسَ ثُمَّ قَالَ لَا تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ *
Diriwayatkan daripada Jarir r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda kepadaku sewaktu Haji Wida’ supaya menyuruh orang ramai diam. Setelah orang ramai diam, baginda bersabda: Janganlah kamu kembali menjadi orang-orang kafir setelah peninggalan ku dengan memukul-mukul leher di antara satu sama lain di kalangan kamu *

Sifat keempat dan kelima : Belas kasihan dan merahmati umatnya

Sifat belas kasihan dan merahmati umatnya dapat dilihat dalam beberapa situasi:

Pertama : Rahmat baginda saw dalam ibadat :
حَدِيثُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ فَلْيَرْقُدْ حَتَّى يَذْهَبَ عَنْهُ النَّوْمُ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا صَلَّى وَهُوَ نَاعِسٌ لَعَلَّهُ يَذْهَبُ يَسْتَغْفِرُ فَيَسُبُّ نَفْسَهُ
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk semasa sembahyang maka hendaklah dia duduk sehingga hilang perasaan mengantuk tersebut. Sesungguhnya apabila seseorang daripada kamu sembahyang dalam keadaan mengantuk, ketika dia memohon keampunan mungkin akan terjadi dia mencaci dirinya sendiri * [ Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Kedua : Rahmat nabi ke atas kaum Taif :

Ketika Rasul saw berhijrah ke Taif. Dakwah baginda ditolak . Baginfa dilontar batu hingga mengalir darah baginda tetap berdoa kepada Allah SWT :
اللهم اهد قومي فإنّهم لا يعلمون
“Ya Allah Ya Tuhanku, berilah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka kaum yang tidak mengetahui

Ketiga: Rahmat nabi terhadap kanak-kanak :
حَدِيثُ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ مَعَ أُمِّهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ فَيَقْرَأُ بِالسُّورَةِ الْخَفِيفَةِ أَوْ بِالسُّورَةِ الْقَصِيرَةِ *
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendengar tangisan anak kecil bersama ibunya ketika baginda sedang sembahyang, lalu baginda pun membaca surah yang sedikit ayatnya atau surah yang pendek [ Hadis muttafaqun Alaihi]

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s