Monthly Archives: Julai 2009

Fakta tentang batu yang mengikuti nabi saw dalam israk wal mikraj

SUMBER : http://qhazanah.wordpress.com/2009/07/21/benarkah-batu-terapung-dalam-peristiwa-isra-mikraj-di-palestin/

SOALAN:

Dato’, saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis. Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas daripada tarikan graviti. Pohon Dato’ perjelaskan apakah yang sebenarnya. – ZAINAL AHMAD

JAWAPAN Dato’ Dr Haron Din:

 

Tempat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Dimikrajkan

Ulama umumnya berpendapat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermikraj dari satu tempat di Baitulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis.

Pengalaman Al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi

Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud ‘Tempat Nabi bermikraj’, disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): “Berkatalah al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT.

“Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.”

“Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.”

“Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain.”

Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul ‘Arabi. Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam   tergantung-gantung. Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang saya sebutkan tadi.

 


 

 

Batu Terapung Pada Hari Ini Dari Pengalaman Dato’ Dr Haron Din

Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa.

Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini.

Advertisements

AWASI HADITH PALSU TENTANG FADILAT REJAB DAN SYA’BAN

Dipetik dari blog ustaz Yusof  Embong: http://yusofembong.blogspot.com/

Salam sahabat-sahabat,
Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.
Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.
Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.
Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.
Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.
Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.
Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).
Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.
Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut:

لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ
“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.” Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.
Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)
Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis:

رجب شهر الله، وشعبان شهري، ورمضان شهر أمتي
“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.”
Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).
Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah:
يَطَّلِعُ اللهُ إلَى خَلْقِهِ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمْيْعِ خَلْقِهِ إلاَّ لِمُشْرِكٍ أوْ مُشَاحِنٍ
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Sya’ban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.
Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru, Hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.
Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.
Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan as-Sunnah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”
Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.
Apa yang mereka pentingkan hanyalah redha orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.
Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).
Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

SMKA TAHAP dalam kenangan sempena JUBLI PERAK SMKA TAHAP

Assalamualaikum

Pertamanya tahniah diucapkan kepada Presiden X-TAHAP dan jawatankuasa atas kejayaan program JUBLI PERAK SMKA TAHAP baru-baru ini yang dirasmikan oleh Sultan Pahang. Ini bermakna generasi pertama TAHAP sudah berusia 38 tahun. Saya sendiri merupakan GEN-6 SMKA TAHAP. Saya sendiri tidak dapat hadir kemajlis yang pernah bersejarah ini kerana duduk jauh diperantauan hampir 2000KM.

Sepanjang 25 tahun ini SMKA TAHAP berjaya melahirkan ramai tokoh dalam masyarakat sama ada tokoh agama, ahli politik, usahawan, ahli-ahli profesional dan lain-lain. Datuk Mohd Shafri contohnya sebagai YB, ada juga yang menjadi pensyarah di universiti seperti Mohd Zohdi pensyarah di USIM, Nurillah Abdullah pensyarah Psikologi di UIAM, Wan Emril di Kolej Islam Pahang, Khairul Amin di UIAM, Mohd Aizam Mas’od pegawai penyelidik di JAKIM, Mohd Fadzli Yazid bekas pelajar terbaik SPM 2008 doktor di Hospital Tengku Afzan, ada yang menjadi wartawan dan ramai yang tidak dapat saya sebut di sini.

KHUTBAH ISRAK DAN MIKRAJ

الحمد الله الذي أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عواجا، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له،   له الملك وله الحمد يحي ويميت وهو على كل شيء قدير، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله ، اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

أما بعد! فيا عباد الله ، أوصيكم وإياي بتقوى الله  وطاعته فقد فاز المتقون .وتزودوا فإن خير الزاد التقوى

 

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya , bertaqwalah kepada Allah dan taatilah perintahnya.

 

SIDANG JUMAAT  YANG DIRAHMATI ALLAH,

 

          Tanpa kita sedari, kita sudah pun berada di penghujung bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang peristiwa yang sangat penting dalam sejarah hidup rasul saw dan dalam  sejarah umat Islam iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.

 

          Israk bermaksud perjalanan Rasul saw pada waktu malam dari masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Firman Allah :

 

” Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya , untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar , lagi Maha Mengetahui.”( SURAH AL-ISRA’ AYAT 1)

 

          Mikraj pula bermaksud perjalanan nabi Muhammad saw dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ke tujuh berhampiran dengan Arasy.

 

 

SIDANG JEMAAH SEKALIAN

 

          Inti pati daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah Allah swt memfardukan solat lima waktu  sehari semalam. Dalam peristiwa mikraj, Rasul saw bertemu dengan Allah untuk menerima perintah mengerjakan solat yang pada mulanya 50 waktu dan akhirnya dikurangkan kepada lima waktu.

 

          Peristiwa Mikraj menunjukkan kepada kita ibadat solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi di dalam  Islam. Ini kerana hanya ibadat solat difardukan di langit. Justeru itu marilah sama-sama kita menjaga kualiti solat kita dengan melakukannya dengan penuh khusyuk dan melakukannya di awal waktu. Firman Allah :

 

” Telah berjaya orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk di dalam solatnya.” Surah al-Mukminun AYAT 1.

 

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA

 

          Antara pesanan Rasul saw berkenaan solat ialah :

1) Diriwayatkan daripada Abdullah katanya:

” Aku bertanya kepada Rasulullah s.aw. apakah amal yang paling disukai Allah ?”

Baginda saw menjawab:

الصلاة على  وقتها

Solat pada waktunya. Hadith riwayat Imam Bukhari

 

2)Diriwayatkan daripada  Uthman bin Affan bahawa Rasul s.a.w bersabda :

من أتم الوضوء  كما أمره الله   تعالى، فالصلوات المكتوبة  كفارات لما بينهن

” Barangsiapa  yang menyempurnakan wuduk sebagaimana yang diperintahkan Allah, maka solat lima waktu yang diwajibkan akan menghapuskan dosa yang dilakukan  antara waktu-waktu solat tersebut.”  Hadith riwayat Imam Muslim

 

          Nabi saw juga memberi amaran kepada golongan yang mengabaikan solat seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

 

أمرت أن أقاتل  الناس  حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله، وأن محمد رسول الله ويقيموا  الصلاة  ويؤتوا الزكاة ، فإذا فعلوا ذلك عصموا مني دمائهم  وأموالهم إلا بحق الإسلام، وحسابهم على الله.

” Aku diperintahkan supaya memerangi manusia  sehingga mereka mengakui bahawa  tiada tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah  dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah dan mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Apabila mereka melakukan yang demikian, maka darah dan harta mereka terpelihara melainkan dengan cara yang hak yang dibenarkan oleh Islam dan perhitungan mereka terserahlah kepada Allah. ( Hadith  riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

 

          Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang mengucap dua kalimah syahadah tetap akan diperangi sekiranya dia tidak mendirikan solat.

 

          Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Imam al-Thirmidhi  daripada Abu Hurairah r.a berkata: Bersabda rasul sa.w :

إن أول ما يُحاسب ُ به العبد يوم القيامة  من عمله  صلاته، فإن صلحت ، فقد أفلح وأنجح،  وإن فسدت ، فقد خاب وخسر.

” Sesungguhnya perkara yang pertama dihisab( dihitung) di akhirat ialah solatnya, sekiranya solatnya baik maka dia termasuk dalam golongan yang berjaya, dan sekiranya solatnya rosak, maka dia termasuk dalam golongan yang rugi.”

 

Sidang Jumaat yang berbahagia,

 

          Apa yang menyedihkan kita pada hari ini, terdapat segelintir umat Islam yang memandang ringan tentang solat, terdapat sebahagian mereka yang masih berada dipadang bola atau berpeleseran di pusat membeli belah pada waktu maghrib tanpa mengendahkan solat bahkan lebih menyedihkan masih ada masjid-masjid yang kosong yang tidak dapat menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.

Begitu juga terdapat dikalangan umat Islam yang hanya mengerjakan solat pada hari Jumaat sahaja dan ada juga yang solat dua kali setahun iaitu pada hari raya. Inilah sebahagian daripada realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

 

 Golongan ini seharusnya mengingati amaran rasul saw yang berbunyi:

” ومن لم يحافظ عليها  لم تكن له نورا ولا برهانا ولا نجاة يوم القيامة، وكان يوم القيامة  مع فرعون وقارون وهامان ، وأبي بن خلف “

” Sesiapa yang tidak menjaga solat  maka diat idak  akan memperolehi cahaya , tidak akan selamat dan dibangkitkan bersama Firaun, Qarun , Haman dan Ummayah bin Khalaf.” Hadith riwayat Imam Ahmad, al-Tabarani dan Ibn Hibban.

 

Tahukah sidang jumaat sekalian, siapakah Firaun, Haman , Qarun dan Ummayah bin Khalaf? Mereka ini adalah golongan yang disebut dengan jelas di dalam al-Quran dan hadith yang sahih sebagai ahli neraka. Mohon perlindungan Allah daripadanya.

 

Sidang Jumaat yang berbahagia,

          Dalam mengingati Peristiwa Israk, kita tidak boleh melupakan bumi Israk iaitu bumi Palestin, bumi bertuah yang dibuka oleh nabi Ibrahim a.s, bapa kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang ramai. Tanggung jawab membebaskan bumi Palestin bukan tanggung jawab umat Islam di Palestin sahaja tetapi ianya kewajipan setiap individu muslim walau di mana mereka berada.

 

Marilah kita mengingati ucapan Saidina Umar bin al-Khattab apabila membuka Palestin beliau mengatakan :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام، مهما ابتغينا غير الإسلام أذلنا الله

” Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam, apabila kita  mencari selain Islam maka Allah akan menghina kita.”

 

Marilah kita kembali kepada Islam dengan berpegang teguh dengan ajaran al-quran dan hadith dan memerangi segala bentuk amalan dan kemungkaran yang ada dalam masyarakat yang jelas bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

 

بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم  ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم ، وتقبل مني ومنكم تلاوته  إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا أستغفر الله  العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه ، إنه هو الغفور الرحيم

JEJAK KASIH DI TANAH HARAM

Alhamdulillah antara yang menarik dalam perjalanan kali ini ialah Allah SWT mempertemukan saya dengan sahabat dan guru yang tidak ditemui belasan tahun. Pada hari pertama di Madinah selepas solat zohor dan menziarahi rasul s.a.w Allah mempertemukan saya dan sahabat dan guru iaitu Ustaz Abdul Fattah Zakaria yang menyambung pengajiannya peringkat M.A dalam bidang hadith pada tahun 1997/1998. Sekembalinya ke tanah air saya hanya mendengar berita tentangnya dari jauh. Semasa di Jordan kami sempat bertalaqqi dengannya tafsir surah al-Kahf.

Beliau sekarang aktif sebagai penceramah Tabung Haji dan selalu ke Mekah dan Madinah saban tahun. Kedatangannya kali ini membawa anak  sulungnya menghadiri temuduga di universiti Islam Madinah al-Munawwarah semoga anaknya berjaya dalam permohonannya.

Melalui Ustaz Abdul Fattah dapat saya berhubung dengan student di sana dan ke perpustakaan universiti Islam selepas Asar untuk membuat sedikit rujukan untuk kajian saya. Inilah kali pertama saya menjejakkkan kaki di universiti Islam Madinah yang melahirkan ramai tokoh dan  ulama. Di sinilah tempat belajarnya dua guru saya di sekolah menengah iaitu al-Marhum Ustaz Harun dan ustaz Jusoh Harun yang sekarang bertugas di SMKA Naim lil Banat. Saya sendiri selepas   SPM pernah cuba memohon untuk memasuki universiti ini dan takdir Allah saya menuntut ilmu di bumi Syam. Beruntunglah saudara-saudara yang dapat belajar di universiti ini di sisi rasul SAW.

            Dari universiti Madinah, kami diberitahu  tentang satu bukit yang tinggi, belakang bukit tersebut sekarang menjadi tempat jualan spare part kereta. Di belakang bukit inilah menjadi sempadan Dajjal yang tidak dapat masuk ke tanah haram dalam tanda-tanda kiamat yang besar, satu informasi baru yang saya perolehi.

 

           Di Masjidil Haram pula saya bertemu dengan guru yang mengajar saya Pendidikan Islam di tingkatan 2 iaitu Ustaz Shaari Daud. Kali terakhir saya bertemu beliau ialah pada tahun 1998 semasa pulang bercuti musim panas. Ustaz Shaari semasa di sekolah merupakan seorang guru yang tegas dan dihormati. Pada hari beliau bertugas menjadi warden, pantang sahaja dengar bunyi motornya pelajar-pelajar sudah bangun untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Semasa  tingkatan lima pelajar-pelajar ramai yang datang solat subuh berjemaah kerana ustaz mengenakan hukuman mandi di khalayak ramai sekiranya tidak datang solat subuh secara berjemaah. Pada permulaanya di hadapan asrama putera dan kemudiannya semasa pulang dan waktu makan tengahari di hadapan kantin yang disaksikan oleh pelajar putera dan puteri. Niat baik ustaz untuk mendidik dan mentarbiyah pelajar-pelajarnya akhirnya menyebabkan beliau ditukarkan ke sekolah lain selepas saya mengambil SPM. Inilah masalahnya apabila manusia tidak dapat membezakan antara permata dan kaca sedangkan solat subuh berjemaah mempunyai kelebihan yang besar seperti yang saya catatkan sebelum ini. Semoga Allah memanjangkan umur Ustaz Shaari dan sekarang beliau bertugas di kampungnya dan pada masa yang sama beliau menjadi Imam di kampung.

Dalam perjalanan ini juga saya berjumpa dengan Dr Fahmi Khir dan Dr. Nazmi Desa yang baru menamatkan pengajian PHD pada tahun 2008. Dr. Fahmi Khir merupakan senior saya semasa belajar di Jordan dan tesis PHDnya tentang kitab Bidayatul Mujtahid. Dr.Nazmi Desa saya tidak pernah bertemu dengannya semasa di Jordan dan beliau merupakan penulis buku teks Pendidikan Islam tingkatan dua dan tiga.

ZIARAH NABI S.A.W DAN IBADAT UMRAH I

Alhamdulillah tahun ini sekali lagi Allah s.w.t mengizinkan hamba-Nya yang kerdil ini untuk menziarahi nabi s.a.w secara dekat, satu nikmat yang cukup besar dan sangat berharga dalam kehidupan.

Bersama saya dari Jordan empat orang sahaja dan flight kami sampai jam 12.oo tengah malam di Airport Jeddah. Oleh kerana kami tak ramai alhamdulillah Allah mempermudahkan perjalanan kami. Di imegresen kami dapat keluar dengan mudah dan di airport kami disambut oleh Tuan Hj Suhaimi dan lebih kurang jam  1.oo pagi kami bertolak ke Madinah dengan menyewa sebuah kereta dan sampai di Madinah pada waktu subuh…Di Madinah barulah kami join dengan group Ustaz Nasir seramai 28 orang termasuk kami…4 orang datang dengan kuwait Airways dan Royal Jordanian dan rombongan yang lain dengan Ittihad Airways dan Gulfair.

 

Jemaah Umrah al-Nasr Group Cuti Sekolah 2009

Jemaah Umrah al-Nasr Group Cuti Sekolah 2009

Di Madinah kami disambut oleh Ustaz Mohd Ali yang diamanahkan oleh Ustaz Nasir sebagai ketua dan kami duduk sebilik dengan Cikgu Khusairi pensyarah IP Tuanku Bainun, Pulau Pinang…

Journey 4: ke Makam Al-Sahabiyy al-Jalil Abu ‘Ubaydah bin Al-Jarrah da Dirar bin al-Azwar r.anhuma

Destinasi kami berikutnya ialah ke makam salah seorang sepuluh sahabat nabi yang dijamin masuk syurga iaitu Saidina Abu ‘Ubaydah bin al-Jarrah r.anhu.

Makam Abu Ubaydah r.anhu

Makam Abu Ubaydah r.anhu

Selesai menziarahi Saidina Abu Ubaydah r.anhu kami terus ke makam sahabat nabi Dirar bin al-Azwar r.anhu yang terletak tidak jauh dari makam Saidina Abu Ubaydah r.anhu
Makam al-Sahabiyy al-Jalil Dirar bin al-Azwar r.anhu

Makam al-Sahabiyy al-Jalil Dirar bin al-Azwar r.anhu