Monthly Archives: Ogos 2009

RAHMAT ILAHI Siri 2 (Fadilat Bulan Ramadan.)

Sidang pendengar yang dihormati,
Di dalam sebuah hadis sohih yang diriwayatakan oleh Imam al-Tirmidzi rasulullulah saw bersabda
إذا كانت أول ليلة من رمضان, فتحت أبواب الجنة ، وغلقت أبواب النار ، وصفدت الشياطين ، زناد : يا فاعل الخير أقبل، و يا باعي الشر أقصر ))
Maksudnya :
Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan,maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan diikat para syaitan dan di seru : Wahai orang-orang yang melakukan kebaikan selamat datang dan wahai orang yang melakukan kejahatan berhentilah
Jelaslah daripada hadis ini apakah yang sepatutnya dilaksanakan oleh seorang muslim itu apabila tibanya bulan Ramadann al-Mubarak.Sesungguhnya Allah SWT melipat gandakan pahala di atas amalan yang dilakukan oleh hambaNYa kerana kelebihan dan rahmat bulan ini. Pahala melakukan amalan sunat adalah seperti melakukan ibadat wajib manakala amalan fardu dilipatkaligandakan sebanyak tujuh puluh kali. Oleh itu sebagai umat Islam marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan –amalan yang mulia dan menjauhi segala larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Contoh dan ikutan yang terbaik adalah Rasulullah saw di mana didalam bulan ini, baginda melipat gandakan amalan baginda walaupun baginda seorang yang ma’sum, terpelihara daripada melakukan maksiat dan telah dijanjikan syurga oleh Allah swt.

Justeru itu kita sebagai umat Nabi Muhammad saw perlu merebut peluang keemasan ini denagnmemperbanyakkann amalan di samping meningkatkan kualiti amalan-amalan fardu dan menambah amalan-amalan sunat.
Antara amalan –amalan yang perlu diamalkan oleh kita di dalam bulan yang mulia ini
Pertama : Solat berjemaah lima waktu sehari semalam.Sabda Rasulullah saw
صلاة الجماعة أفضل من صلاة الفذ بسبع وعشرين درجة.
Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.
Antara amalan yang perlu diperbaiki oleh kita, janganlah kita datang ke masjid untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih sahaja tetapi marilah kita makmurkan rumah Allah di setiap waktu solat.

Kedua : Membanyakkan membaca al-Quran dan menghadiri majlis-majlis ilmu dan tadarus. Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
عن عبدالله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة. يقول الصيام : أي رب، منعته الطعام والشهوة فشفعني فيه ، ويقول القرآن: منعته النوم بالليل، فشفعني فيه. قال فيشفعان.

Daripada Ibnu Umar ra bahawasanya Rasul saw bersabda :
“ Puasa dan al-quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata:
“Wahai Tuhanku, dia telah menahan dirinya dari makan dan hawa nafsu, berilah syafaat kepadanya.
Al-Quran pula berkata:
“Dia telah berjaga malam kerana membacaku, berilah syafaat kepadanya. Lalu Allah Taala memberi syafaat kepada hambanya yang berpuasa dan membaca al-Quran.

Sehubungan dengan ini,diriwayatkan bahawa Imam Syafei mengkhatamkan al-Quran sebanyak 30 kali pada bulan-bulan biasa dan 60 kali dalam bulan Ramadan.

Ketiga : Membanyakkan sedekah, membantu golongan miskin dan memberi makan kepada orang yang berpuasa. Di dalam suatu khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah saw pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Salman r.a , maksudnya : “Barangsiapa memberi makan bagi orang-orang yang berpuasa baginya keampunan segala dosa-dosa yang pernah dilakuan dan bebas dari api neraka serta baginya pahala tanpa ada pengurangan daripadanya sedikitpun.” Ada sahabat yang bertanya ; Wahai Rasulullah tidak semua dikalangan kami yang mampu memberi makan orang yang berpuasa ? Maka rasulullah saw menjawab : “ Allah mengurniakan pahala-pahala ini bagi sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa walaupun hanya dengan buah tamar, air minuman ataupun susu”

Keempat : Menghidupkan malam bulan Ramadan dengan ibadat seperti solat terawih, tadarus al-Quran, berzikir, bertasbih dan berselawat. Sabda Rasul saw :

Sesiapa yang menghidupkan malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasannya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu..

Advertisements

RAHMAT ILAHI I Puasa Ramadan.

Sidang pendengar yang dirahmati Allah
Sedar atau tidak, Ramadan telah datang sekali lagi. Alhamdulillah Allah masih mengurniakan kesempatan dan peluang untuk kita menikmati kemuliaan dan kebesaran bulan yang dikhususkan buat umat Nabi Muhammad saw.

Sidang pendengar yang dirahmati Allah,

Ayat yang menerangkan berkenaan puasa ialah ayat 183-188 surah al-Baqarah. Ketika di Mekah Rasulullah saw bersama para sahabat belum melakukan ibadat puasa tetapi baginda melakukan puasa Asyura. Baginda juga menyeru para sahabatnya agar berpuasa pada hari tersebut. Apabila puasa di bulan Ramadhan difardukan, Nabi saw tidak menyuruh dan tidak melarang para sahabat melakukannya.
Perintah menyuruh kaum muslimin supaya berpuasa di bulan Ramadan diturunkan pada bulan Sya’ban tahun kedua hijrah. Firman Allah Taala:

183. Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,

Perkataanكتب dalam ayat ini menunjukkan perkara itu wajib dan mesti dilaksanakan.. Allah juga menenangkan jiwa orang mukmin kerana puasa ini telah juga diwajibkan ke atas orang-orang sebelum mereka walaupun cara puasa mereka berbeza. Ini merupakan satu rahmat dari Allah SWT.Ini menunjukkan puasa ini merupakan suatu taklif dan tanggungjawab yang mampu untuk dilakukan. Seterusnya Allah SWT menjelaskan tentang hikmat mengerjakan puasa iaitu mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.
Menurut Dr Fadal Hasan Abbas, ayat ini menjelaskan berkenaan fadilat dan kedudukan puasa. Di mana jika kita membuat perbandingan di antara ibadat-ibadat lain seperti solat , zakat dan haji. Solat dapat mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan kemungkaran. Sementara zakat pula dapat membersihkan jiwa dan menyucikan harta dan haji pula supaya kita dapat mengambil manfaat darinya. Sedangkan hikmah bagi orang yang mengerjakan puasa ialah mendapat taqwa . Sesungguhnya taqwa adalah suatu yang amat tinggi dan mulia. Dengan taqwa kita pastinya telah dapat mencegah diri dari melakukan kemungkaran, diri yang suci dan telah mencari segala manfaat dari perkara dunia dan akhirat. Jelas di sini kedudukan ibadat berpuasa itu sendiri dimana di dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah katanya, bersabda Rasulullah saw :Firman Allah SWT : “Sesungguhnya setiap amalan anak Adam itu adalah untuknya kecuali puasa , maka sesungguhnya ia untukKu dan aku yang akan membalasnya.”

Tujuan berpuasa itu supaya mereka termasuk orang-orang yang bertaqwa. Allah mahu menguji berapa ramai orang Islam yang berpuasa dengan erti kata sebenarnya. Sebagaimana hadis Nabi saw ada mengatakan;
كم من صائم ليس من صومه إلا الجوع والعطش
“Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.”

Hadis-Hadis Nabi saw
2. Keberkatan sahur.
عن أنس رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ((تسحروا فإن في السحور بركة)).
Drpd Anas r.a katanya : Rasulullah bersabda ; ((Bersahurlah kerana padanya terdapat keberkatan))
Riwayat Muslim.
Sahur juga membezakan puasa kita dan puasa ahli kitab. Selain itu sunnah untuk kita melambatkan bersahur jika yakin belum terbit fajar dan mempercepatkan berbuka. Sebaik-baiknya kita berbuka dengan tamar dan sekiranya tidak ada maka dengan air kosong kerana ianya suci.
3. Kelebihan Berpuasa
عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم , قال : ((من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه))متفق عليه.
Maksudnya : Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan perhitungan akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

4. Sunnah menghidupkan bulan Ramadan.
عن أبي هريرة رضي الله عنه ،قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم , يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم فيه بعزيمة؛ فيقول : (0من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه))
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah saw menyuruh supaya menghidupkan Ramadan (iaitu bersolat tarawih)tanpa mewajibkannya .Baginda bersabda: (( Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan perhitungan maka akan diampun segala dosanya yang telah lalu.

Masya Allah, amat besar ganjaran yang telah Allah sediakan untuk orang-orang yang benar-benar menghayati bulan Ramadan ini. Oleh itu perbanyakkan dan pertingkatkanlah amalan di bulan Ramadan al-Mubarak ini dengan membaca al-Quran, solat Terawih, Qiamullail, solat sunat. Pastikan kita memelihara puasa kita daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah seperti mengumpat, mencela, fitnah, kata-kata kotor dan keji kerana ia mencacatkan puasa. Bahkan di dalam suatu hadis ada menyatakan bahawa orang yang tidak meninggalkan kata fitnah dan perbuatan-perbuatan buruk, Allah tidak mahu ia meninggalkan makan dan minum (Allah tidak menerima puasanya).

Pengetahuan asas tentang puasa

Syarat wajib puasa
1.Islam tidak wajib bagi orang kafir dan murtad
2.Baligh tidak wajib bagi kanak-kanak
3.Berakal : Orang gila, mabuk atau pitam sepanjang hari tidak wajib berpuasa
4.Mampu berpuasa: Orang sakit yang boleh memudaratkan jika berpuasa dan orang yang terlalu tidak wajib berpuasa

Syarat sah puasa
1.Islam : Tidah sah orang kafir atau murtad
2.Berakal dan Mumayyiz: Tidak sah puasa orang gila, pitam dan pengsan sepanjang hari
3.Suci daripada haid dan nifas : Tidak sah puasa perempuan haid dan nifas
3.Niat sebelum terbit fajar.Tidak sah orang yang tidak berniat pada waktu malam
4.Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.Tidak sah jika melakukan perkara-perkara membatalkan puasa
5. Berpuasa pada hari yang diharuskan : Tidak sah dan haram berpuasa pada hari Id al-Fitr, Hari Tasyriq dan hari syak.

Rukun Puasa

1.Niat: Malam hari bagi puasa Ramadan dan puasa wajib seperti puasa nazar, kafarah dan qada’ dan puasa sunat boleh berniat sebelum gelincir matahari asalkan belum melakukan perkara-perkara membatalkan puasa.
2.Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari

Perkara yang membatalkan puasa

1- Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja
2- Muntah dengan sengaja
3- Bersetubuh
4- Mengeluarkan air mani dengan sengaja
5- Haid
6- Nifas
7- Wiladah
8-Gila
9- Murtad.
10- Mabuk atau pengsan sepanjang hari
10- Tidak tahu membezakan siang dan malam.
* Tidur sepanjang hari tidak membatalkan puasa

Perkara makruh
1. Menggosok gigi setelah tergelincir matahari.
2. Berkumur-kumur dan beristinsya’ secara berlebihan
3. Mandi terlalu kerap atau berlebihan
4. Mencium isteri atau suami
5. Berseronok-seronok dengan isteri
6. Merasa makanan dengan lidah
7. Mengambil darah atau berbekam

Perkara sunat
1- Segera berbuka.
2-Makan melewatkan sahur.
3-Berbuka dengan tamar kerana ia mengembalikan tenaga atau jika tiada dengan air kerana ia membersihkan atau makanan manis terlebih dahulu
4- Meninggalkan perkataan yang sia-sia
5- Mengadakan jamuan berbuka
6-Mandi junub sebelum terbit fajar
7-Meningkatkan ibadat dan memperbanyakkan istighfar
8-Membaca doa sebelum berbuka
9-Solat sunat terawih
10- Membaca al-Quran dan berzikir.

Hukum Qada’ puasa

1) Qada’
-Berbuka kerana musafir, sakit, datang haid, nifas
– Wanita yang mengandung kerana bimbangkan diri sendiri
2) Fidyah
– Orang tua yang tidak mampu berpuasa
– Orang yang sakit tidak ada harapan untuk sembuh
Memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan
3) Qada’ dan Fidyah
-Wanita yang mengandung kerana bimbangkan kesihatan janin
-Wanita menyusukan anak kerana bimbangkan kesihatan bayi
-Wanita menyusukan anak kerana bimbangkan kesihatan diri dan bayi
-Orang yang berpuasa dan tidak sempat qada sehinggalah Ramadan tahun berikutnya.
4) Kaffarah
– Lelaki yang bersetubuh dengan isteri disiang hari Hukuman secara tertib
1) Bebaskan seorang hamba
2) Puasa enam puluh hari berturut-turut
3) Memberi makan kepada enam puluh orang miskin

Kadar Fidyah: 1 cupak Baghdad diberi kepada orang miskin ( 1/4 gantang Baghdad) lebih kurang 700 gram beras ( 1/4 xRm 5.20=Rm 1.30)

HUKUM-HAKAM BERKAITAN PUASA

1. Orang yang makan dan minum dengan sangkaan waktu subuh belum masuk atau sangkaan matahari telah terbenam

Contohnya seorang yang bangun tidur dan melihat suasana masih gelap dan menyangkakan subuh belum masuk atau tersalah melihat jam atau jam mati lalu bersahur dan ternyata dia makan setelah masuk waktu subuh
atau menyangkakan matahari telah terbenam atau mendengar azan negara lain atau berpegang pada kenyataan seseorang yang mengatakan matahari terbenam dan ternyata selepas itu dia berbuka sebelum terbenam matahari(masuk waktu maghrib)

Hukum: Golongan ini perlu menqada puasanya kerana puasanya tidak sah.

2. Orang yang dipaksa makan dan minum
Hukum: Puasanya sah

3.Orang yang berkumur secara berlebih-lebihan menyebabkan air masuk ke dalam kerongkongnya

Hukum: Sekiranya dia mampu mengeluarkan air tersebut tetapi dia tidak mengeluarkannya maka puasanya menjadi batal. Sekiranya dia tidak mampu mengeluarkannya maka dia dimaafkan dan puasanya sah

4.Orang yang keluar kahaknya ke dalam mulut kemudian menelannya

Hukum: Sekiranya dia menelan semula kahak maka batal puasanya, adapun menelan air liur tidak membatalkan puasa.

5. Sisa makanan dalam mulut

Hukum: Sekiranya orang berpuasa mengumpul sisa makanannya dan menelannya maka batal puasanya. Sekiranya sisa itu sedikit dan tertelan diluar kawalan, tidak membatalkan puasa.

6. Memakan sesuatu yang bukan makanan seperti duit, benang, tanah

Hukum: Batal kerana memasukkan sesuatu ke dalam rongga.

7. Hukum berjima’ orang yang berbuka puasa disebabkan musafir atau sakit

Hukum: Harus kerana dia telah berbuka kerana musafir atau sakit. Sekiranya membatalkan puasa dengan jima’ maka dia dikenakan kaffarah.

AHLAN WA SAHLAN RAMADAN

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK SEMOGA MENJADI MANUSIA BERTAQWA. SABDA RASUL S.A.W:
“عَنْ اِبْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ (ص) أَنَّهُ قَالَ: مَنْ فَرِحَ بِدُخُوْلِ رَمَضَانَ حَرَّمَ اللهُ جَسَدَهُ عَلَى النِّيْرَانِ.”

Maksudnya : “Barang siap merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka”. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

MUKHAYYAM BAHASA ARAB TINGGI SPM DAN BAHASA ARAB STPM 2009

Alhamdulillah Mukhayyam Bahasa Arab SPM dan STPM antara Maktab Sabah dan SMKA Kota Kinabalu yang bermatlamat membantu pelajar untuk menghadapi peperiksaan melabuhkan tirainya jam 12.30 tengahari  16 Ogos 2009 bersamaan 25 sya’ban 2009. Majlis penangguhan mukhayyam disempurnakan oleh Ustaz Zulkifli Muhamad, Penolong Kanan HEM SMKAKK. Mukhayyam yang disertai 103 orang pelajar juga bertujuan mengeratkan hubungan antara Kelas Aliran Agama(KAA) yang merupakan anak angkat kepada SMKA dengan pelajar-pelajar SMKA Kota Kinabalu. Program ini merupakan program julung-julung kali diadakan antara dua sekolah dengan tenaga-tenaga yang terdiri dari Ustaz Zulkifli Nawawi Ketua Panitia Bahasa Arab SMKAKK , Ustazah Andi Kaswia selaku setiausaha program, Ustaz Nik Anwar, Ustaz Azrul, ustazah Shakirah, Ustazah Fardah semuanya dari SMKAKK dan saya dan Ustazah Mazlin dari Maktab Sabah.

 

Majlis yang berlangsung 3 hari dua malam bermula dengan taaruf antara peserta pada hari Jumaat diikuti dengan pengisian Nahu oleh Ustazah Andi, Saraf Ustaz Azrul, Balaghah Ustaz Nik Anwar, Mufradat Ustazah Shakirah dan Fardah manakala saya sendiri mengendalikan bahagian Insya’

 

Mukhayyam diserikan dengan kedatangan tetamu khas Ustaz Ideris Abdul Rahim pegawai kualiti Bahagian Pendidikan Islam yang menyampaikan ceramah motivasi pada sebelah malam yang turut disertai oleh pelajar-pelajar dari SEMAI dan SMKA Tun Mustafa. Ustaz Ideris dalam motivasinya menjelaskan cinta monyetnya dengan Bahasa Arab di peringkat SRP, pertunangannya di peringkat SPM dan perkahwinannya selepas menamatkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab di Universiti Yarmouk diikuti bertugas di SEMAI. Beliau juga turut menerangkan kejayaannya memperolehi tempat kedua anugerah inovasi hari guru peringkat kebangsaan pada tahun 2007 melalui program kad pintar. Pengalaman bertugas di bidang kurikulum bahasa Arab di JAPIM dan kenangan manis berkursus di Oman pada Mei 2009. Ustaz Ideris akan melanjutkan pengajian di  peringkat M.A semoga beliau berjaya dalam pengajiannya.

 

Peserta juga menghadapi cabaran dalam program Mughamarat Hang Tuah yang berlangsung selama dua jam dengan peserta diminta mencari enam stesyen berdasarkan kata kunci yang diberi. Di penghujung cabaran dua kumpulan berjaya untuk melakukan cabutan bertuah dan ianya dimenangi oleh pasukan

 

Dipenghujung Mukhayyam kumpulan al-Mubtada’ dinobatkan sebagai kumpulan lelaki terbaik dan kumpulan al-Saja’ sebagai kumpulan pelajar perempuan terbaik manakala Syarafuddin Durahman dari Maktab Sabah terpilih sebagai  peserta lelaki terbaik. Semoga semuanya berjaya dengan cemerlang dalam SPM dan STPM November ini…

[LIHAT  GAMBAR SEKITAR MUKHAYYAM DI LINK BERIKUT:http://www.myarabicclass07.wordpress.com