AL-FATIHAH DR FADL ABBAS YANG WAFAT DALAM PERJALANAN UNTUK MENGERJAKAN UMRAH

 

Pautan-pautan:
1.http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?p=1473902
2.http://www.panet.co.il/online/articles/71/73/S-373738,71,73.html

Antara kata-kata beliau:
Saya hidup dengan al-Qur’an puluhan tahun tetapi dihadapan al-Quran saya masih lagi seorang pelajar yang kerdil.”’

Tanggal 9 Februari 2011 bersamaan 6 Rabiulawwal 1432H saya menerima mesej dari sahabat saya al-akh ustaz Shahrul Nizam “ Salam, alfatihah, semoga d cucuri rahmat dr fadhal hasan abas telah kembali ke rahmatillah 3 jam yang lalu. Pemergian al-marhum syaikh merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islam, seorang tokoh dalam bidang tafsir dan ijaz al-Quran.

Saya mencari dinternet dan tertulis: Syaikh Fadal Abbas meninggal dunia dalam perjalanan ke Mekah untuk mengerjakan umrah………dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang…

Disember lalu ustaz Sharul Nizam sempat bertemu dengan al-Marhum bertanya hasratnya untuk membuat kajian berhubung tafsir politik dan jawapannya: Setiap orang tahu keperluan di Negara masing-masing…

PERTEMUAN TERAKHIR
Kali pertama saya mengenali syaikh ialah semasa saya menjejakkan kaki di bumi Jordan pada tahun 1995. Saya digambarkan bahawa Dr.fadl seorang yang sangat tegas dan ditakuti oleh pelajar-pelajar Malaysia. Sesekali saya melihat Dr.Fadl dari jauh sehinggalah saya menghadiri kuliah yang diadakan di rumah beliau pada 9 Jun 1997. Pada hari itu beliau mentafsirkan ayat 179 surah al-Baqarah. Kuliah dimulakan dengan bacaan kitab Mukhtasar(ringkasan) Tafsir al-Kha:zin dan pembacanya ialah syaikh Muhammad. Biasanya syaikh Fadl memberi ulasan yang sederhana antara 20 minit ke 45 minit pada setiap kali kuliah di adakan. Sejak dari pertemuan ini, saya semakin mencintai syaikh Fadl kerana kemuliaaan akhlaknya dan ketinggian ilmu. Setiap kali hadir ke kuliahnya ada sahaja ilmu-ilmu baru khususnya berkaitan ijaz al-Quran yang diperolehi. Insya Allah dikesempatan yang lain saya akan cuba untuk menulis kembali mutiara-mutiara ilmu tersebut di dalam blog ini atau dalam bentuk penulisan…Kali terakhir saya menghadiri ke kuliah Dr.Fadl sebelum menamatkan pengajian ialah pada 1 Mei 2000.

Pada tahun 2008 semasa kami singgah di Jordan saya tidak berkesempatan untuk bertemu beliau. Pada Mei 2009 dan 2010 saya sempat menghadiri kuliah mingguan Dr.Fadl yang diadakan setiap hari Isnin malam Selasa. Kuliah ini diadakan sejak 1970-an, dan semasa ustaz shahrul Nizam menziarahinya pada Disember yang lalu, kuliah ini masih diteruskan. Beginilah istiqamah Dr.Fadal dalam menyampaikan ilmu…ini bermaksud kuliah tersebut berterusan hampir empat puluh tahun…Kesungguhan ini wajar dijadikan contoh kepada kita dalam menuntut ilmu…Pertemuan terakhir saya dengan beliau ialah pada 7 Jun 2010 semasa saya bersama Hj.Ruslin, Ustaz Zaki dan Abang Jamil singgah di Jordan…

MAULIDURRASUL

Sebagaimana yang pernah saya tulis dalam entri yang lalu, syaikh Fadl mengisi bulan Rabiulawwal dengan mengingati maulidurrasul selama sebulan, sempena pemergian beliau pada bulan Rabiulawwal saya catatkan semula nasihat beliau yang ada dalam catatan peribadi penulis sempena memperingati maulid al-nabawi 1419H pad 12 R.Awwal 1419H bersamaan 6 Julai 1998 di rumah beliau:
ذكر سيدنا رسول الله … وما أعظم ذكرى وما أطيبها….كلها ترتفع بِهذا الأنسان….ومن أجل يعرف الإنسان ذاته، يدرك إنسانيته…يرد ما يليق بإنسانيته ..كل هذه ذكريات …لكن ذكر المولد يبقى لها شرفها…لماذا؟ لأنها هي الأساس (الهجرة، البدر، الإسراء، نزول القرآن، فتح مكة…لأن هناك عظيما قد تشرقت به الحياة، هناك عظيما قد ولد…لكل هذه دفعات الطيبة تستنير بها الصدور.كل ذلك دفع القوي، الندى الذي يسابق مع ضوء القمر والشمس ويسابق مع نسمة الصباح من أجل أن يدرك الإنسان إنسانيته. لقد كانت الحياة قبله مزيجا من الحق والباطل . وخالطا من الشر والخير. كانت شيئا فيها النور وفيها الظلمة ولكن أراد الله أن يدرك الكون . ما هو وأين هو؟ لذلك قضت حكمته سبحانه وتعالى…يكون نبوته خير الأنبياء وختم الأنبياء ورسالته ختم الرسالة..القرآن ختم الكتاب…منذ أن خلق الله آدم وأسكنه الجنة. شاء ربنا الله أن يخرجوا من الجنة ( أهبطوا منها) وظلت الإنسانية تتذكر كيف خرجت من الجنة؟ لماذا…لا بد حتى تتسم المعادلة أن يكون هناك من يرد الإنسانية اعتبارها…فتح له باب الجنة من أجل أن يخرجوا…ورسول الله يعلم الإنسان كيف يدخل الجنة مرة أخرى
Memperingati Saidina Rasulullah(s.a.w)…Betapa besar mengingati dan betapa baiknya…kesemuanya mengangkat manusia…supaya manusia mengenali hakikat dirinya, hakikat kemanusiaan, dia mengembalikan apa yang patut bagi manusia…semua ini merupakan memperingati akan tetapi memperingati mawlid mempunyai kemuliaanya…mengapa? Kerana mawlid adalah asas(hijrah, peperangan badar, israk mikraj, nuzul al-Quran, pembukaan Mekah) tanpa mawlid semua ini tidak akan berlaku…memperingatinya kerana di sana ada sesuatu yang besar…yang menyinari kehidupan, disana sesuatu yang agung telah lahir, semuanya yang baik ini menerangi hati.semuanya merupakan sebab yang kuat, bisikan yang mengejari cahaya bulan dan matahari dan mengejar angin pagi…supaya manusia mengetahui hakikat kemanusiaan. Kehidupan sebelum kelahirannya bercampur antara kebenaran dan kebatilan, bercampur aduk antara keburukan dan kebaikan..di sini ada sedikit cahaya dan di dalamnya penuh dengan kegelapan akan tetapi Allah s.w.t mahu dunia ini mengetahui. Apakah dia dan di mana dia? Oleh itu Allah s.w.t menetapkan hikmahnya…Allah menjadikan kenabiannya sebaik-baik nabi, penutup nabi-nabi dan risalahnya adalah risalah yang terakhir, al-Quran adalah kitab yang terakhir…qada Allah s.w.t ditetapkan sejak Allah s.w.t menciptakan Adam dan meletakkannya di syurga dan Allah s.w.t inginkan mereka keluar dari syurga(turunlah kami darinya) dan sejak itu manusia mengingati bagaimana mereka keluar dari syurga? Mengapa? Dari sini adanya kesinambungan supaya ada disana manusia yang mengembalikan hakikat manusia…pintu syurga dibuka supaya keluarnya rasulullah(s.a.w) untuk mengajar manusia bagaimana untuk masuk ke syurga semula…

Bersama-sama ini saya coretkan semula catatan saya berhubung al-marhum suatu masa dahulu:

Dr.Fadal Abbas merupakan seorang pakar dalam bidang tafsir dan secara khususnya ijaz al-Qur’an. Beliau menyebut dalam kitabnya al-Itqanul Burhan fi Ulum al-Quran bahawa beliau bercita-cita menghasilkan insklopedia ijaz al-Qur’an.

-Merupakan bekas pensyarah bahagian Usuluddin di Fakulti Shariah University of Jordan. Melahirkan ramai tokoh dalam bidang tafsir termasuklah anaknya sendiri Sana’ Fadal Abbas yang merupakan penulis bersama karya “Ijaz al-Qur’an” dan sekarang pensyarah di University al-Balqa’ al-Tatbiqiyyah, Jordan.

-Dr.Jammal Abu Hassan  merupakan seorang penuntut rapatnya, sekarang bertugas sebagai pensyarah di universiti ulum islamiyah antarabangsa enghasilkan satu buku yang dihadiahkan sempena 70 tahun Dr. Fadal yang diterbitkan oleh Dar al-Razi memuatkan penulisan-penulisan berkaitan al-quran dan bahasa pada tahun 2003. Dr.Ahmad al-Jammal sendiri menulis tentang pengalaman peribadinya dengan dr. Fadal Abbas.

– Perkenalan awal syaikh Jamal Abu Hasan  ialah semasa mendengar kuliyah tafsir yang disiarkan dalam radio Jordan. Dr. Fadal Abbas merupakan satu-satu tokoh yang membaca al-Quran dengan suaranya yang merdu kemudian mentafsirkan seluruh al-Quran dalam radio Jordan. Menurut Dr.Ahmad al-Jammal pernah seorang pelajar Ph.D yang membuat kajian tentang Dr.Fadal meminta keizinan untuk mendapatkan salinan tafsir Dr.Fadal dari radio jordan tetapi tidak dibenarkan dengan alasan hak cipta radio Jordan.

-Alhamdulillah saya sendiri memperolehi 10 keping kaset rakaman tafsir yang disampaikan oleh Dr. Fadal ketika mencari kaset di balad(Pusat bandar Amman) pada tahun 2000 semasa saya keluar bersama al-Akh Shahrul Nizam(adik-ipar ustaz Abdullah Din) sekarang bertugas SMK Sri Bentong, Pahang. Insya Allah jika diberi kesempatan saya akan uploadkan kuliyah tafsir tersebut.

-Dr.Fadal Abbas merupakan seorang yang taat kepada Allah s.w.t dan dikurniakan dengan suara yang merdu. Pada bulan ramadan saya dan sahabat-sahabat menanti-menanti bacaan beliau. Pernah satu tahun beliau menjadi imam pada malam kedua, dia sudah membaca surah al-An’am dalam terawihnya, ini menunjukkan ketika solat bersendirian beliau sudah membaca 6 juzuk pada malam pertama. Pada setiap malam beliau akan membaca hampir 1 1/2 juzuk. Beliau menjadi imam terawih di Masjid al-Zumayli yang tidak jauh dari rumahnya

– Walaupun buta dan dalam keadaan tangan kanannya bergantung pada dinding mihrab masjid semasa berusia 67 tahun beliau menjadi imam solat gerhana matahari semasa gerhana matahari berlaku di Jordan pada tahun 1999 dan mengatakan sesiapa yang tidak mampu berdiri boleh duduk dan menyebut kisah Ai’shah r.anha yang solat di belakang rasul s.a.w. Rasul s.a.w solat gerhana matahari hingga selesai gerhana. Ai’shah r.anha berkata aku tidak mampu berdiri sehingga aku berniat untuk duduk tetapi apabila aku melihat orang tua dan kanak yang lebih lemah dariku berdiri, aku tidak duduk.’

Pada masa itu gerhana bermula selepas waktu zohor lebih kurang jam 1.30 tengahari, syaikh Fadal mengimamkan solat gerhana dengan membaca surah Ghafir (juz 24), surah Fussilat diikuti dengan surah-surah berikutnya dan solat berakhir lebih kurang jam 4.00 petang(berakhirnya gerhana)…3 juzuk dan ++++ dibaca oleh Dr.Fadal dalam keadaan tangannya sesekali bergantung pada dinding masjid. Demikianlah kesungguhan Dr.Fadal dalam melaksanakan sunnah nabi s.a.w.

Berhubung ketaatan beliau, saya pernah mendengar dari sahabat Arab saya bernama Nizar, dia belajar di Kulliyah Dakwah dan Usuluddin dibawah seliaan kementerian Hal Ehwal Islam dan Wakaf jordan, seorang pengikut jamaah al-Ikhwan al-Muslimun, merupakan tenaga penggerak remaja di Masjid Abdul Rahman bin Auf membawa satu kisah menarik yang berlaku antara Dr.Fadak dengan al-Shahid Abdullah Azzam(meninggal 1989) seorang pejuang di Afghanistan insya Allah ada kesempatan saya akan menulis tentang beliau, saya tidak pernah berjumpa dengan beliau kerana semasa saya berada di Jordan, dia sudah gugur shahid tetapi saya belajar dan kagum dengan ilmunya melalui kaset tafsir surah al-tawbah, buku Ussaq al-Hur(Pencinta Bidadari) dan buku-buku mengenai jihad.

Kisah ini berlaku semasa al-Shahid Abdullah Azzam pulang dari mengerjakan umrah dan menumpang rehat di rumah Dr.Fadal. Apabila Dr.Fadal membentangkan persiapan untuk tidur, Dr.Abdullah Azzam memberitahu: Saya datang ke sini untuk solat dibelakang tuan, Dr.Fadal, seperti yang saya sebut suara Dr.Fadal memang merdu, iras-iras suara syaikh Muhammad Jibril. beginilah keadaannya antara dua tokoh ini mereka meneruskan solat sehingga awal pagi dan Abdullah Azzam tidak tidur sehingga ke pagi, alangkah kita memerlukan ulama seperti ini pada zaman ini…

Pernah saya menghadiri kuliyah tafsir Dr.Fadal untuk pelajar-pelajar M.A, kelas M.A bermula dari jam 4-7 malam, peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab, apabila masuk waktu maghrib, beliau berhenti seketika dan memohon keizinan untuk berbuka puasa dengan memakan beberapa biji tamar… Demikianlah kesungguhannya untuk menghidupkan sunnah nabi s.a.w, menyegerakan berbuka puasa dan menghidupkan puasa nawafil…

Beliau memang seorang yang sangat mencintai rasul s.a.w dan seorang yang istiqamah. Alhamdulillah melalui seorang sahabat Arab saya dapat belajar dengan Dr.Muhammad Hawwa sedikit dalam mustalah hadith, dan membaca hadith sohih al-Bukhari. Kelas sohih al-Bukhariyy adalah pada setiap Isnin malam selasa selepas maghrib.

Sejak saya belajar dengan Dr.Muhammad Hawwa saya dibawa oleh beliau ke rumah Dr.Fadal Abbas untuk mengikuti kuliyah tafsir pada setiap Isnin malam selasa yang diadakan oleh Dr.Fadal Abbas. Kuliyah ini telah diadakan lebih dari dua puluh tahun(sejak penghujung1970 an) – perkiraan semasa saya belajar di Jordan, sekiranya kelas itu masih berterusan bermakna sudah mengjangkau 30 tahun…lihatlah istoqamah seorang alim dalam menyampaikan ilmu..Peristiwa ini juga menunjukkan sifat seorang alim yang tawaduk, Dr.Muhammad yang sudah memegang title Dr. tidak miss dari menghadiri kuliyah tafsir Dr.Fadal Abbas…Bagaimana dengan kita hari ini, baru ada sedikit ilmu tetapi dah berlagak hebat… Kuliyah hari Isnin Dr.Fadal sesekala dihadiri oleh tokoh-tokoh hebat yang membawa title Dr.

Kecintaan Dr.Fadal Abbas dibuktikan melalui sambutan Mawlid rasul s.a.w. Sekiranya pada kuliyah-kuliyah yang biasa Dr.Fadal akan menghidangkan Qahwah Sadah” Kopi pahit yang disediakan untuk tetamu, tetapi apabila tiba musim Mawlid nabi s.a.w, Dr.Fadal akan membuat jamuan istimewa sebagai menghargai kedatangan nabi s.a.w.Pernah sekali beliau menjamu kami dengan kueh yang dinamakan Kinafah… cukup sedap rasanya dan apabila saya tanya dikedai harganya JD5(RM25) sekilo…beginilah keadaannya Dr. Fadal apabila tibanya musim mawlid nabi s.a.w. Sambutan Mawlid nabi bukan sehari tetapi pada minggu-minggu berikutnya syaikh akan membaca sirah nabi s.a.w selama sebulan…Antaranya kitab al-Mawahib al-Ladunniyah karangan al-Qastalaniyy…

Dr.Fadal juga merupakan seorang yang tegas dan amanah dalam tanggung jawab yang dilaksanakan sebab itu beliau terkenal dikalangan pelajar-pelajarnya sebagai seorang yg straight dari segi pemarkahannya. Pernah dalam satu kuliyah Dr.Fadal menyebut bahawa beliau meluluskan salah seorang penuntutnya yang sepatutnya gagal kerana akhlak pelajar tersebut baik, katanya beliau tidak tidur satu malam dan akhirnya memilih keputusan yang asal…pelajar tersebut gagal…

Akhirnya dalam coretan ringkas oleh hamba Allah yang daif ini, saya ingin menukilkan kata-kata Dr.Fadal Hassan Abbas dalam satu kuliyah yang disampaikan sekitar tahun 1999-2000 yang cukup memberi kesan kepada saya, pada masa itu dia seorang tokoh yang hebat dalam tafsir tetapi beliau mengatakan: Saya hidup dengan al-Qur’an puluhan tahun tetapi dihadapan al-Quran saya masih lagi seorang pelajar yang kerdil.”’. Bagaimana dengan kita?

29 Mac 2009-7.22 am

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s