Salam Mawlidurrasul dan 3 tahun blog Abu Awatif

Assalamualaikum, alhamdulillah blog Abu Awatif  mula memasuki tahun ke empat. Blog ini dibuka sempena sambutan mawlidurrasul 1430H dan hari ini kita bersyukur kerana sekali lagi dapat memperingati dan menghayati kelahiran rasul s.a.w.

Alhamdulillah bulan Rabiul Awwal datang sekali lagi…Bulan kelahiran manusia agung junjungan besar Nabi Muhammad (s.a.w).  Kelahiran manusia yang dinanti –nanti sebelum kelahirannya, yang disambut semasa kelahirannya dan di sambut hari kelahirannya berdekad-dekad selepas kematiannya. Antara yang menanti kedatangan Nabi (s.a.w) ialah orang-orang Yahudi yang tinggal di Madinah. Mereka mengenali  tanda-tanda Nabi akhir zaman seperti mereka mengenal anak  mereka sendiri. Begitu juga orang-orang Nasrani yang diberitahu oleh Nabi Isa (a.s) berhubung Nabi yang akan diutuskan selepasnya yang diberi nama Ahmad. Malangnya kedua-dua golongan ini tidak beriman kepada Nabi (s.a.w) setelah baginda menjadi Rasul.

Antara mereka yang bersungguh-sungguh mengadakan kenduri besar sempena kelahiran Nabi (s.a.w)  ialah Abu Lahab iaitu bapa saudara baginda (s.a.w). Malangnya apabila baginda diperintahkan oleh Allah (s.w.t) untuk menyeru kaumnya beriman kepada Allah (s.w.t) di bukit Safa; Abu Jahal  berkata: Celaka kamu wahai Muhammad. Adakah untuk tujuan ini kamu menghimpunkan kami?

Marilah kita mencontohi bagaimana penduduk  Madinah yang menanti-nanti ketibaan Nabi (s.a.w) dalam peristiwa hijrah. Kedatangan baginda disambut dengan penuh kegembiraan diiringi dengan laungan nasyid. Mereka menjadi penyokong kuat kepada Islam yang dibawa oleh Rasul (s.a.w).

Sesungguhnya kedatangan Nabi akhir zaman ini wajar sekali untuk diingati dan dihargai bukan sahaja dengan berarak dengan membawa sepanduk  tetapi akhirnya gagal menghidupkan sunnah solat zohor secara berjemaah. Bukan sahaja dengan mendapat habuan cuti am tetapi sunnah nabi (s.a.w) ditolak dan undang-undang ciptaan manusia disanjung…

Kelahiran Nabi (s.a.w) pelu diingati kerana baginda (s.a.w) membawa rahmat ke seluruh alam dan rahmat yang paling besar adalah Islam. Tanpa disedari kedatangan Rasul (s.a.w) telah membuka rezeki kepada ramai manusia.  Dengan adanya Islam yang dibawa oleh rasul (s.a.w) seorang  Imam boleh menjadi imam, bilal boleh menjadi muazzin(tukang azan), tukang sapu dapat membersihkan masjid, penceramah bebas boleh berceramah di masjid, khatib membaca khutbah pada hari Jumaat, tukang kayu boleh membina  mimbar, arkitek boleh melukis pelan masjid, kontraktor mendapat keuntungan dari pembinaan masjid , guru-guru pendidikan Islam dapat mengajar di sekolah,  guru-guru sejarah dapat  mengajar sejarah dan tamadun  Islam, syarikat percetakan dapat mencetak al-Qur’an dan buku-buku agama, penulis buku mendapat royalti, peniaga dapat menjual sejadah, telekung…, syarikat pelancongan dapat menganjurkan pakej haji dan umrah, akauntan dapat bekerja di  bank-bank yang mengamalkan perbankan Islam, chef dapat menyediakan makanan halal di hotel, syarikat penerbangan mengaut keuntungan dengan jutaan umat Islam mengerjakan ibadat haji setiap tahun, seorang pensyarah mendapat  gelaran professor dalam bidang pengajian Islam di universiti…..

 

Islam yang  dibawa oleh Rasul (s.a.w) telah berjaya mengubah masyarakat jahiliyah yang tidak dikenali dunia, hidup dalam pergaduhan dan persengketaan, yang berkuasa menindas yang lemah, pelacuran dan perzinaan di sana-sini, jirang tetangga di sakiti, golongan wanita ditindas dan sebagainya. Kedatangan Rasul (s.a.w) telah menghapuskan semua ini. Martabat wanita diangkat, mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam Islam, perzinaaan dan perjudian diharamkan, silaturrahim dijalinkan dan berbagai-bagai kebaikan lagi. Islam telah mengangkat masyarakat Arab dan umat Islam sebagai umat yang bertamadun.  Sistem pemerintahan khalifah  terus mencorakkan politik dunia sejak dari tertegaknya negara Islam yang pertama di Madinah al-Munawwarah, selama hampir 1300 tahun sehingga jatuhnya  khalifah Uthmaniyah pada tahun 1924.

 

Rasul (s.a.w) telah membimbing kita cara bagaimana mengurus diri dalam segenap hal. Rasulullah (s.a.w) mengajar kita menjaga kebersihan diri seperti memotong misai, mengemas janggut dan memotong kuku. Rasul (s.a.w)  mengajar  kepada kita cara berpakaian, memakai kasut, makan, minum semuanya dengan tangan kanan. Rasul s.a.w juga mengajar kepada kita sehingga cara untuk tidur dan masuk ke tandas. Masuk ke tandas dengan membaca doa dan melangkah masuk dengan kaki kiri…

 

Rasul (s.a.w) juga memperkenalkan kita kepada musuh kita yang utama iaitu syaitan.   Rasul (s.a.w) menjelaskan kepada kita sifat-sifat syaitan yang mengganggu manusia kecuali mereka yang ikhlas. Rasul (s.a.w) menunjukkan kepada kita cara beribadat, berumahtangga, berorganisasi sehingga bagaimana memerintah Negara dan baginda sendiri menjadi qudwah dan ikutan dalam semua ini. Baginda solat malam sehingga bengkak kakinya, baginda merupakan orang yang baik dengan isteri-isterinya, dalam peperangan baginda orang yang paling berani dan baginda memimpin tentera dalam satu saf yang teratur.

 

Cuba kita bayangkan sekiranya rasul (s.a.w) bersama kita pada hari ini dan datang ke masjid pada waktu subuh, tentu baginda akan melihat umatnya yang merasakan selimut yang menutupi badan lebih berat dari gunung Kinabalu sehingga masjid-masjid kosong berbanding tempat-tempat berhibur dan berseronok yang penuh dengan ribuan manusia. Pusat membeli-belah, taman permainan dan rekreasi, konsert-konsert hiburan penuh dengan lautan manusia. Bagaimana Nabi (s.a.w) melihat umatnya yang sanggup datang ke stadium seawall jam 6.00 petang kerana menyaksikan perlawanan akhir bola…

 

Cuba kita bayangkan sekiranya rasul (s.aw) melihat kita yang sedang berface book, wanita-wanita menguploadkan dalam face book mereka  gambar yang tidak menutup aurat, lelaki dan perempuan bersembang berjam-jam di face book sehingga mengabaikan tanggung jawab . Cuba kita bayangkan sekiranya rasul (s.a.w) melihat anak-anak muda gadis dan teruna yang sedang berpegang tangan di tepi pantai, bercumbu-cumbuan di waktu maghrib, di tengah malam dan malam-malam hujung minggu, baginda  melihat umatnya memenuhi panggung wayang. Bayangkan…bayangkan bagaimana kalau Rasul bersama kita pada hari ini…kita tanpa segan menyebarkan berita-berita yang tidak dipastikan kebenarannnya, berita-berita yang menjatuhkan maruah seseorang…muslim hari ini tidak segan lagi berbuat maksiat, rasuah, riba, memakan harta yang haram…

Justeru sempena mawlidurrasul s.a.w ini  marilah kita mengubah gaya hidup kita bermula dengan mengubah minda dan kefahaman kita berhubung  Islam.Islam difahami oleh generasi awal sebagai way of life. Islam merupakan satu sistem hidup yang sangat lengkap. Apabila di tanya bagaimana Islam? Maka Islam itu dapat dilihat dengan mata kasar melalui gerak geri dan tingkah laku para sahabat. Keindahan Islam yang diamalkan oleh para sahabat dan generasi lalu berjaya menarik hati orang bukan Islam terhadap Islam dan menimbulkan rasa gerun dihati mereka. Kehidupan individu, berkeluarga, bermasyarakat sehinggakan bernegara semuanya adalah berpaksikan Islam.

Islam pada kaca mata umat Islam hari ini difahami dalam skop yang sempit. Islam hanya diamalkan di masjid-masjid Allah tetapi apabila keluar dari masjid Islam jauh dari umatnya. Pemahaman umat Islam hanyalah pada skop ibadat-ibadat khusus sahaja seperti ibadat solat, puasa, haji bahkan pemahaman mereka terhadap rukun-rukun Islam pun amat cetek; umpamanya pengetahuan tentang ibadah zakat, mereka hanya tahu tentang zakat fitrah sahaja tetapi tidak ramai yang tahu tentang zakat harta, kesannya tidak ramai orang yang berharta seperti orang yang menternak lembu dan kambing tidak menunaikan haknya, begitu juga ramai usahawan dan peniaga yang mendapat keuntungan besar dalam perniagaan mereka tidak membayar zakat. Ramai juga juga yang tidak dapat membezakan zakat harta yang wajib dengan sedekah dan infaq yang sunat. Mereka menyangkakan dengan bersedekah seperti membeli keperluan-keperluan masjid seperti sejadah, al-Quran  maka sudah tidak perlu lagi mengeluarkan zakat, kesannya kita lihat masih ramai golongan fakir dan miskin hidup melarat kerana tidak mendapat hak zakat mereka berpunca dari ketidakfahaman umat Islam tentang zakat.

 

Dari aspek pemahaman hukum Islam umat Islam hanya memahami sebahagian dari hukum Islam sahaja seperti hukum al-Ahwal al-Syaksiyyah iaitu yang berkaitan dengan nikah kahwin, namun pemahamannya juga terbatas.  Ramai yang tidak memahami tangggungjawab suami isteri, ramai yang kabur tentang batas-batas pergaulan dengan saudara-mara terutamanya antara ipar dan duai, ramai yang beranggapan pergaulan dengan ipar sama seperti adik-beradik, pergaulan dengan sepupu sama seperti adik beradik sedangkan dengan ipar dan sepupu yang tidak sejantina dengan kita, kita diharamkan bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan  dan diharamkan mendedahkan aurat antara satu sama lain. Ini tidak termasuk pergaulan bebas anak remaja kita sehinggakan kita melihat anak-anak kita melakukan tindak-tanduk seperti mereka itu suami isteri sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa ikatan perkahwinan, hasilnya kita lihat pelabagai gejala sosial yang berlaku seperti kes buang anak, kes anak luar nikah berlaku di sana-sini seolah ianya perkara biasa dalam masyarakat.

 

Hubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah menjadi fenomena biasa yang tidak lagi dianggap janggal oleh masyarakat Islam sendiri. Melihat lelaki dan perempuan berpasangan berjalan di jalanan, berpimpin tangan, minum bersama, bergelak ketawa juga dianggap suatu yang tidak terlarang. Seorang isteri boleh keluar makan bersama lelaki bukan suaminya di waktu rehat tengahari atas nama persahabatan. Kereta rakan sepejabat lelaki boleh ditumpang seorang perempuan untuk ke pejabat lalu berdua-duaan selama lebih setengah jam dengan pelbagai topik perbualan yang diselangi gurau senda, malah ia berlaku dengan permintaan suami, seorang wanita boleh menyambut telefon seorang lelaki dengan penuh gelak ketawa di hadapan suami.

 

Inilah bala yang mula menimpa umat akhir zaman. Perkara mungkar tidak lagi dianggap mungkar bahkan mungkin dianggap makruf oleh sebahagian umat Islam, malah yang mungkar itu disuruh dan yang baik dilarang. Jika ditegur perlakuan salah, akan ada yang berkata, apa salahnya lelaki keluar minum dengan wanita rakan sepejabat, apa salahnya? Memang salah, tapi yang salah dianggap kebaikan.

 

Dari aspek ekonomi dan pemakanan pula, sebahagian kita memahami bahawa makanan dan minuman yang haram itu hanya arak, khinzir dan anjing atau binatang-binatang yang lain seperti binatang buas tetapi sebenarnya banyak di sekeliling kita perkara-perkara yang haram dalam  urusan ekonomi. Umpamanya apabila membuat pinjaman, terdapat sebahagian umat Islam yang meminjam dengan Along untuk mendapatkan wang dengan cepat sedangkan ternyata pinjaman sebegini melibatkan riba yang diharamkan oleh Allah swt, apabila kita meninjau ke kedai loteri dan judi, kita lihat ramai umat Islam di sana bahkan ada yang berkupiah lebai berbaris untuk membeli tikam ekor dan banyak lagi senario-senario dalam masyarakar yang menunjukkan ceteknya pengetahuan umat Islam sehingga dalam perkara asas-asas agama pun ramai yang tidak faham, sehinggakan mereka tidak lagi dapat membezakan antara ibadat wajib dan sunat, sehinggakan ada umat Islam yang datang awal pagi ke masjid menanti solat hari raya tetapi tidak menunaikan solat subuh, kalau di bulan Ramadan pula ramai yang berebut-rebut datang ke masjid untuk menunaikan solat terawih lapan rakaat atau dua puluh rakaat tetapi segelintirnya tidak menunaikan solat Isyak dan sebahagian besar apabila ditanya adakah anda menunaikan solat lima waktu sehari semalam, maka jawapan mereka tidak.Demikianlah hal kita umat Islam hari ini tentang kefahaman Islam. Ini belum dilihat dari aspek pengamalan dan dan penghayatan . Marilah kita menjadikan mawlidurrasul 1433H sebagai titik permulaan untuk kita berubah.

SELAMAT MENYAMBUT MAWLIDURRASUL

 

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s