IKHWAN PASCA TRAGEDI HAMAH

al-Ikhwan al-Muslimun  Selepas Tragedi Hamah

 

(a) Penglibatan Dalam al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya

 

Beberapa hari selepas berakhirnya tragedi Hamah iaitu pada 11 Mac 1982, satu perjanjian dimeterai antara pihak pembangkang di atas nama al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya. Mereka terdiri daripada gabungan 19 kumpulan yang datang dari pelbagai aliran pemikiran politik yang menentang  rejim Asad termasuklah al-Ikhwan al-Muslimun dan al-Jabhah al-Islamiyyah. Keputusan al-Ikhwan al-Muslimun menyertai al-Tahaluf adalah dengan persepakatan  anggota Hay’ah Ta’sisiyyah dalam al-Jabhah al-Islamiyyah.

 

 

Perjanjian  Mithaq al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya  mengandungi artikel berikut:

1-Usaha berterusan untuk menjatuhkan kerajaan menggunakan  segala pendekatan politik, media massa dan mendapatkan sokongan awam sehinggalah tercapai matlamat ini. Pendekatan utama ialah penentangan bersenjata.

2-Membawa pemerintah  ke mahkamah serta  membicarakan kesalahan mereka terhadap rakyat dan negara.

3-Membentuk kerajaan sementara yang berfungsi menjatuhkan kerajaan yang ada. Seterusnya berusaha seberapa segera mengadakan pilihanraya Majlis Ta’sisi dengan tujuan membentuk undang-undang yang berdaulat di negara.

4-Islam sebagai agama negara dan syariat Islam sebagai sumber utama  undang-undang kerana ianya merupakan warisan ketamadunan orang Arab, Islam dan manusia keseluruhannya. (Undang-undang) yang tidak menyentuh hak asasi orang bukan Islam dari segi kepercayaan. Mereka diberi kebebasan untuk melaksanakan undang-undang khas mereka.

5-Memberi jaminan kebebasan kepada setiap warganegara termasuklah kebebasan beragama, kebebasan berfikir, kebebasan berhimpun dan membentuk parti politik.

6-Mengatur semula ketenteraan Syria dan badan-badan kerajaan dengan ikhlas berdasarkan kelayakan yang akan mengembalikan kesatuan di Syria.

7-Menyelesaikan kegawatan ekonomi dan membina semula ekonomi Syria dengan memerangi sebarang bentuk penyelewengan seperti mencuri harta negara dan rasuah. Memanggil golongan profesional   yang berada di luar untuk turut serta membangunkan ekonomi negara.

8-Menyelamatkan golongan pekerja,petani dan orang miskin daripada menjadi mangsa penindasan pemerintah serta membantu mereka dalam meningkatkan taraf hidup.

9-Mengkaji semula sukatan pelajaran dan menilai pusat-pusat pengajian serta badan-badan kerajaan yang akan menyelamatkan negara daripada  kemunduran.

10-Memberi ganti rugi kepada keluarga mangsa yang terkorban sepanjang konfrontasi dengan pemerintah.

11-Meyakini sepenuhnya tentang tanggungjawab membebaskan Palestin  daripada penjajahan Yahudi dan sebarang bentuk imperialis. Menggunakan segala tenaga kemanusiaan, ketenteraan dan politik untuk membebaskan Palestin.

12-Memberi sokongan ketenteraan   kepada Munazzamah al-Tahrir al-Filastiniyyah demi mencapai matlamat penduduk Arab Palestin yang inginkan kemerdekaan.

13-Berusaha bersungguh-sungguh  ke arah menyatukan Arab.

14-Memberikan komitmen dalam menjalinkan hubungan dengan negara-negara Arab dan mengerahkan sepenuh tenaga mempertahankan negara-negara Arab.

15-Menjalinkan hubungan dengan dunia Islam seperti hubungan antara negara dan hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan  yang memberi kekuatan kepada Islam…[1]

 

 

Penglibatan al-Ikhwan al-Muslimun dalam al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya telah menyebabkan berlakunya perselisihan antara ،Adnan Sa،d  al-Din  dan ،Adnan ،Aqluh yang merupakan ketua kepada al-Tali،ah al-Muqatilah al-Ikhwan al-Muslimin.[2]  Mereka tidak bersetuju dengan penyertaan al-Ikhwan al-Muslimin dalam al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya.[3] Mereka  menolak penglibatan tersebut dengan alasan kerjasama yang dijalinkan bertentangan dengan syariah Islam. Mereka telah mengeluarkan  satu kenyataan menyebut beberapa pandangan ulama seperti ،Abd Allah bin Baz dan Muhammad Qutb berkaitan  al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya. Mereka  mengkritik al-Tahaluf al-Watanikerana lebih bersifat nasionalisme.[4] Perselisihan tersebut  menyebabkan ،Aqluh dipecat daripada al-Ikhwan al-Muslimun pada 1982.[5]

 

(b) Berdiplomasi Dengan Pemerintah

 

            Selepas tragedi Hamah, al-Ikhwan al-Muslimun membuat penilaian terhadap kejadian-kejadian yang berlaku sebelum ini. Mereka membuat keputusan menghentikan  sebarang bentuk penentangan bersenjata terhadap rejim Asad. Mereka mengambil pendirian berdepan dengan rejim Asad menggunakan pendekatan nasihat. Keputusan tersebut diambil dalam tiga mesyuarat Maktab al-Irsyad yang diadakan selepas tragedi Hamah.[6]

 

Pada Disember 1984, al-Ikhwan al-Muslimun membuat satu pertemuan dengan pemerintah di Jerman. Mereka telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan pertemuan tersebut pada Februari 1985. Kenyataan tersebut menyebut :

….perwakilan kita telah membuat tuntutan jemaah dan masyarakat pada pertemuan pertama(dengan wakil pemerintah) pada minggu kedua bulan Disember 1984:

1.Menghapuskan undang-undang darurat yang menyekat warganegara Syria sejak dua puluh tahun yang lalu.

2.Menggantung undang-undang yang memberi keistimewaan kepada Hafiz Asad menjadi Hakim Mustabad ‘pemerintah kekal’ sebelum Syria mewartakan undang-undang yang baru.

3.Mengumumkan kebebasan awam dan menjamin kebebasan berfikir dan memberi pendapat. Memberi hak berpolitik kepada setiap warganegara tanpa sebarang perbezaan atau pengecualian. Sesungguhnya menyekat kebebasan warganegara walau apa alasan sekalipun merupakan jenayah besar.

4.Menyeru supaya diadakan satu pilihanraya yang bebas dan bersih yang memberi peluang kepada warganegara memilih wakil mereka yang sebenarnya.

5.Membentuk Hay’ah Ta’sisiyyah yang akan menggubal undang-undang baru yang mengikut tuntutan seluruh warganegara Syria yang ingin menjaga aqidah dan memelihara kebebasan serta menjamin hak-hak kemanusiaan.

6.Membentuk pasukan tentera yang melibatkan semua warganegara dan bukannya dari kumpulan atau parti yang berkepentingan sahaja.[7]

 

Sehingga ke saat penulisan ini al-Ikhwan tidak berani untuk melakukan penentangan bersenjata  berdasarkan pengalaman yang lalu. Pergerakan mereka amat terbatas bergantung kepada undang-undang negara yang menjadi tempat perlindungan mereka.


[1] ،Umar ،Abd al-Hakim(1987), hal.107-108.

 

[2] Pasukan ini terdiri daripada pemuda-pemuda yang membentuk gerakan bersenjata di Syria. Kebanyakan operasi-operasi yang berlaku di Syria sepanjang tempoh 1979-1982 dijalankan oleh pasukan ini di luar arahan kepimpinan al-Ikhwan al-Muslimun. Mereka mendukung pemikiran yang dibawa oleh Marwan al-Hadid. Sila lihat: Ahmad al-Jawwad, “Nubdhah ،an Harakah al-Tali،ah.”

 

[3] R. Hair. Dekmejian(1985),  op.cit., hal.177.

 

[4] ،Umar ،Abd al-Hakim(1987), op.cit., hal.106-119.

 

[5] R. Hair. Dekmejian(1985),  op.cit., hal.177.

 

[6] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.148.

 

[7] ،Umar al-Hakim(1987), hal.138-139.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s