Zaman Pemerintahan Demokrasi(1954 -1963).
3.3.2.1 Kedudukan al-Ikhwan al-Muslimun Selepas Kejatuhan Adib al-Syiskali
Kolonel Adib al-Syiskali terus memerintah Syria sehinggalah satu gerakan penentangan oleh pihak tentera bermula di sebelah utara Syria pada 25 Februari 1954. Penentangan tersebut merebak ke beberapa buah bandar menyebabkan Kolonel Adib al-Syiskali meletakkan jawatan dan meninggalkan Syria.[1] Dalam menghadapi senario politik yang baru, al-Ikhwan al-Muslimun sekali lagi bergerak cergas selepas kejatuhan kerajaan Adib al-Syiskali. Mereka meneruskan pergerakan walaupun belum ada undang-undang rasmi di Syria. Syria berada dalam keadaan tanpa undang-undang sehinggalah pilihanraya baru diadakan dan Syukri al-Qutili sekali lagi dilantik menjadi presiden pada 16 September 1955.[2]
Berdasarkan pengalaman menghadapi cabaran dan tribulasi yang lalu, pucuk pimpinan gerakan al- Ikhwan al-Muslimun mengubah pandangan dalam pendekatan dan perancangan politik. Mereka mengeluarkan satu kenyataan yang menyebut:
(a)al- Ikhwan al-Muslimun bersedia memberi kerjasama dengan mana-mana pemerintah yang iltizam dengan Islam.
(b)mengkritik penyelewengan, keruntuhan akhlak dan menyatakan bahawa Islam adalah dakwah, kerajaan dan peraturan.
(c)mengumumkan tidak turut serta dalam pilihanraya dan kerajaan serta membuat keputusan untuk menumpukan kepada aspek tarbiah.[3]
Dalam piliharaya yang diadakan pada musim panas tahun 1954, al- Ikhwan al-Muslimun tidak menghantar seorang calon pun untuk bertanding. Muhammad al-Mubarak yang tidak sependapat dengan al-Ikhwan al-Muslimun telah bertindak keluar daripada gerakan. Beliau telah menyertai pilihanraya 1954 atas tiket calon bebas.[4] Pada peringkat awal pilihanraya, al-Ikhwan al-Muslimun telah mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan pendirian mereka terhadap pilihanraya dan menyatakan Muhammad al-Mubarak bukanlah mewakili gerakan. Tindakan tersebut menyebabkan Muhammad al-Mubarak kalah dalam undian yang pertama. Walaubagaimanapun al-Ikhwan al-Muslimun kemudiannya mengubah pendirian mereka dengan memberi sokongan kepada beliau. Muhammad al-Mubarak menang dalam undian yang kedua.[5]
Semasa al- Ikhwan al-Muslimun Syria mengambil pendirian memberi tumpuan kepada aspek tarbiah dan keagamaan, al-Ikhwan al-Muslimun Mesir sedang menghadapi cabaran dengan Jamal ،Abd al-Nasir. Sahifah al-Manar yang merupakan lidah rasmi al-Ikhwan al-Muslimun Syria telah menyediakan satu ruangan khas untuk menceritakan perkembangan yang berlaku di Mesir. Jamal ،Abd al-Nasir yang menjadi presiden Mesir ketika itu telah menjatuhkan hukuman mati terhadap enam orang pemimpin al-Ikhwan Mesir iaitu ،Abd al-Qadir ،Awdah[6], Muhammad al-Farghali, Yusuf Tahla،at, Ibrahim al-Tayyib, Hindawi Duwayr dan Mahmud ،Abd al-Latif.[7] Mereka dijatuhkan hukuman bunuh kerana tuduhan cuba menggulingkan rejim ،Abd al-Nasir. [8] Tindakan rejim ،Abd al-Nasir telah menimbulkan kemarahan umat Islam. Satu revolusi dan penentangan berlaku dari Maghribi sampai ke Indonesia. Begitu juga di Syria, demontrasi diadakan di beberapa tempat menentang pembunuhan enam orang pemimpin al-Ikhwan di Mesir. Mustafa al-Siba،i telah berdiri selepas solat, meminta orang ramai supaya mendoakan para syuhada. [9]
Ketika al-Ikhwan al-Muslimun Mesir menghadapi tekanan daripada rejim ،Abd al-Nasir, al-Ikhwan al-Muslimun Syria mengambil alih fungsi gerakan al-Ikhwan di Mesir. Mereka berperanan sebagai tunggak kepada al-Ikhwan di tanah Arab.[10] Pada Mac 1957, satu Muktamar al-Ikhwan al-Muslimun dari seluruh pelusuk tanah Arab diadakan di Syria.[11]
Pada 1957, Mustafa al-Siba،i meletakkan jawatan disebabkan masalah kesihatan dan tekanan politik. Kepimpinan al-Ikhwan al-Muslimun Syria diambil alih oleh ،Isam al-،Attar.[12]
3.3.2.2 Zaman al-Wihdah(Penyatuan Mesir-Syria) 1958-1961
Kedudukan al-Ikhwan Syria yang stabil antara 1954-1958 berubah apabila mereka berdepan dengan tekanan pada zaman ‘al-Wihdah (1958-1961). Jamal ،Abd al-Nasir mengamalkan dasar pembubaran parti politik. al-Ikhwan Syria terpaksa akur dengan dasar tersebut. Mereka menjalankan aktiviti secara sulit.[13]
3.3.2.3 Kedudukan al-Ikhwan al-Muslimun Selepas Zaman al-Wihdah
Pada 1961, penyatuan antara Mesir dan Syria berakhir. Keadaan ini memberi peluang kepada al-Ikhwan Syria bergerak secara bebas sekali lagi. Mereka turut serta dalam pilihanraya yang diadakan pada Disember 1961 di bawah pimpinan،Isam al-،Attar. Dalam pilihanraya tersebut mereka memperolehi kejayaan yang membanggakan apabila memenangi 10 kerusi. [14]
Selesai pilihanraya 1961, Dr.Nazim al-Qudsi telah dilantik sebagai presiden yang baru. Pada 28 Mac 1962, pihak tentera mengambil alih kuasa dan memerintah sehinggalah terbentuknya peralihan kuasa. Pada 13 April 1962, Dr.Nazim al-Qudsi dilantik sekali lagi menjadi presiden. Beliau meminta Dr.Basyir al-،Azamah untuk membentuk kerajaan baru yang terdiri dari golongan berhaluan kanan dan kiri yang sederhana serta beberapa anggota Hizb al-Ba،th al-Isytiraki. Beliau terus menerajui pemerintahan sehingga meletakkan jawatan pada 22 September 1962. Beliau meminta Dr.Nazim al-Qudsi untuk bekerjasama dengan tentera melantik Khalid al-،Azam untuk membentuk kerajaan yang baru. Beliau terus memerintah Syria sehingga 8 Mac 1963.[15]
[1] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.268.
[2] Ibid, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.119.
[3] Ibid.
[4] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.100, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.52-53.
[5] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.38.
[6] Beliau merupakan seorang ulama dalam bidang undang-undang dan syariah di Mesir. Beliau merupakan salah seorang pemimpin al-Ikhwan Mesir yang terkenal.
[7] Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.97-98.
[8] Richard Paul Mitchell(1985), al-Ikhwan al-Muslimun, ،Abd al-Warith Sa،id(terj.), Kaherah: Maktabat Madbuli, hal.293.
[9] Richard Paul Mitchell(1985), op.cit., hal.294.
[10] Dr.Umar F.Abd- Allah(1983), op.cit., hal.91, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.119.
[11] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.119.
[12] Dr.Umar F.Abd- Allah(1983), op.cit., hal.101.
[13] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.54-55, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.119.
[14]Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.42, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.43, al-Habib al-Janhani (1989), op.cit., hal.119-120.
[15] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.269-270.