Zaman Pemerintahan Ba،th(Sebelum Hafiz al-Asad 1963-1971)
Hizb al-Ba،th al-Isytirakimula menerajui pemerintahan Syria mulai 8 Mac 1963 melalui rampasan kuasa yang dilakukan oleh Ziyad al-Hariri. Pemerintahan Ba،th yang baru, mengamalkan dasar menekan gerakan Islam. Sejak 1963 sehingga ke saat penulisan kajian ini, gerakan Islam menghadapi cabaran dan tribulasi yang tidak dilalui sebelumnya. Muraqib al-،Am ،Isam al-،Attar sendiri terpaksa meninggalkan Syria. Beliau dibenarkan untuk menunaikan haji di Mekah dengan syarat tidak kembali ke Syria. Beliau menetap di Athen, Jerman. [1] Era pemerintahan Hizb al-Ba،th al-Isytiraki menyaksikan tragedi demi tragedi yang tidak diketahui penghujungnya. Gerakan al-Ikhwan al-Muslimun mula membuat penentangan bersenjata. Konfrontasi pertama ialah melalui tragedi Jami، al-Sultan 1964.
3.3.3.1 Tragedi Jami، al-Sultan 1964
Tragedi Jami، al-Sultan 1964 berpunca dari sikap pihak pemerintah yang bertindak agresif terhadap ulama.Mereka telah menukarkan beberapa orang guru Pendidikan Islam kepada pekerjaan yang tiada kaitan dengan ikhtisas mereka. Pemerintah juga telah menangkap Nizar ،Urwani, pelajar Madrasah ،Uthman al-Hurani kerana menulis perkataan menentang kerajaan di dinding Jami، al-Arba،in.[2]
Isu ini telah menyebabkan penduduk Hamah menjadi marah dan berkumpul di Dar al-Hukumah yang terletak di tengah bandar Hamah menuntut perlaksanaan hukum Islam serta meminta pemerintah membebaskan tahanan politik. Namun pergerakan mereka dihalang oleh tentera. [3] Situasi di atas menyebabkan Marwan Hadid bersama rakan-rakannya bertindak mogok di Jami’ al-Sultan sepanjang hari menuntut supaya Nizar ،Urwani dibebaskan.[4] Pihak pemerintah pula mula mengepung Hamah dengan tentera dan kereta kebal. Situasi di Hamah tidak stabil sehinggalah Marwan Hadid dan pengikutnya menyerah diri. Pihak berkuasa kemudiannya mengebom masjid al-Sultan. Beberapa pemuda yang masih berada di dalam masjid dan tidak menyerah diri bersama Marwan Hadid terkorban.
Tragedi Jami’ al-Sultan 1964berakhir dengan kemusnahan Jami’ al-Sultan dan menyebabkan kehilangan empat jiwa. Keadaan di Hamah tidak menentu sehinggalah syaikh Muhammad al-Hamid bertemu dan berbincang dengan pemerintah untuk mengembalikan suasana Hamah seperti sediakala. [5]
3.3.3.2 Tragedi Damsyik dan Hims
Pada tahun 1965 berlaku tragedi Damsyik dan tragedi Hims apabila pemerintah menceroboh masjid seperti yang berlaku di masjid al-Umawidi Damsyik, masjid Khalid bin al-Walid di Hims dan masjid al-Sultan di Hamah. Kemudian suasana politik reda seketika apabila berlakunya diplomasi antara pemerintah dan golongan penentang.[6]
3.3.3.3 Penahanan Politikus al-Ikhwan al-Muslimun 1967
Pada tahun 1967 pemerintah menangkap beberapa pemimpin al-Ikhwan iaitu ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Marwan Hadid dan al-Haj Badi’ ،Adi. Tindakan ini bertujuan mengelakkan penentangan terhadap usaha kerajaan menyerahkan bukit Golan kepada Yahudi.[7]
3.3.3.4 Krisis Kepimpinan 1969-1971
Pada tahun 1969, al-Ikhwan Syria menghadapi krisis dalaman apabila mereka berpecah kepada dua kumpulan iaitu penyokong ،Isam al-،Attar dan pengikut ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Sentimen perpecahan bermula pada 1968 apabila timbulnya perbezaan pendapat dari sudut metod dan kepimpinan. Sejak 1963, ،Isam al-،Attar yang mengepalai kepimpinan terus menggerakkan al-Ikhwan al-Muslimun melalui perwakilan tempatan tanpa memberi reaksi kepada tuntutan golongan agresif yang inginkan perubahan dalam metod dan objektif organisasi.
Krisis dalaman memuncak pada 1969 dalam satu mesyuarat sulit al-Ikhwan al-Muslimun Syria. al-،Attar telah menamakan tiga tokoh yang menonjol untuk mendominasi mesyuarat iaitu Dr.Mufawwaq al-Dabbul[8], Amin Yakan dari Halab dan ،Adnan Sa،id dari al-Ladhikiyyah. Dalam mesyuarat, perpecahan berlaku di antara Markaz Damsyik dengan Markaz Janub yang terdiri daripada Hamah, Halab dan al-Ladhakiyah. Kumpulan Damsyik tidak bersetuju dengan konfrontasi tentera dalam berdepan dengan rejim Ba،th. Mereka meyokong ،Isam al-،Attar yang mahukan al-Ikhwan berdepan dengan rejim secara diplomasi. Antara mereka yang berada dalam kumpulan ini ialah Muwaffaq al-Dabbul, Muhammad al-Hawari, ،Ali Masy،al, Zuhayr al-Syawisy, Hasan Huwaydi dan lain-lain lagi. Mereka juga mempunyai penyokong dari luar Damsyik tetapi tidak ramai. Pihak yang menyokong pandangan konfrontasi ketenteraan pula ialah seperti Amin Yakan, ،Adnan Sa،id, ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah, ،Adnan Sa،d al-Din dan lain-lain lagi.
Pada tahun 1971, al-Ikhwan al-Muslimun dari Jordan, Mesir, Sudan dan negara Teluk berusaha menjadi orang tengah di antara kedua belah pihak. Mereka meminta supaya menghentikan perselisihan. Satu pemilihan sulit dilakukan, namun pemilihan pertama diboikot oleh pengikut ،Isam al-،Attar. Pada pemilihan kedua, pengiktirafan diberikan kepada al-Tanzim al-،Alami al-Ikhwan al-Muslimin Suriya. Pimpinan yang baru dilantik tidak mendapat sokongan daripada kumpulan Damsyik dan pengikut ،Isam al-،Attar tetapi mereka mendapat sokongan daripada majoriti belia al-Ikhwan al-Muslimun. Oleh itu, sejak tahun 1971 terdapat dua organisasi al-Ikhwan al-Muslimun Syria. Krisis kepimpinan ini tidak selesai sehingga al-Jabhah al-Islamiyyah ditubuhkan pada tahun 1981.[9]
[1] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.101.
[2]Ahmad al-Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami، al-Sultan fi 14/4/1964, hal.3-4, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.78, Mohd.Fisol(t.t), op.cit., hal.25.
[3]Ahmad al- Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami، al-Sultan fi 14/4/1964, hal.6.
[4] Ibid.
[5] Ahmad al- Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami، al-Sultan fi 14/4/1964, hal.17. Temubual penulis dengan Faris al-Milli pada 29 April 2000.
[6] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.14.
[7]Ahmad al-Jawwad(t.t), Mahamid fi al-Sirah al-Syaikh Muhammad al-Hamid, hal.13.
[8]Beliau merupakan tokoh yang paling menonjol di Markaz Damsyiq. Beliau bertugas sebagai profesor Matematik di Universiti Damsyik.
[9]Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.108.