Kemunculan pertubuhan-pertubuhan di Syam bermula pada akhir kurun ke-19 Masihi. Pertubuhan-pertubuhan tersebut diasaskan atas nama jamiyah yang dianggotai oleh orang Arab kristian dan mendapat sokongan daripada gerakan misionaris. Organisasi pertubuhan-pertubuhan di atas adalah mirip persatuan-persatuan yang diasaskan di Eropah. Beberapa jamiyah telah ditubuhkan di Lubnan pada tahun 1847 dan 1850 seperti Jam،iyyah al-Nisa’. Pada suku terakhir kurun ke-19 beberapa persatuan kebajikan ditubuhkan oleh orang Islam. Pada tahun 1878, Jam،iyyah al-Maqasid al-Khayriyyah al-Islamiyyah telah ditubuhkan di Beirut oleh Ahmad Syafiq Midhat Pasha.[1] Pertubuhan tersebut terus berkembang sehinggalah berlakunya Perang Dunia I.
Sepanjang tempoh di antara Perang Dunia I sehingga tahun 1930-an, telah berlaku beberapa perubahan di Syria iaitu :
(a)Syria terpengaruh dengan penjajah Perancis dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk aspek ekonomi. Syria mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.
(b)Tersebar budaya barat khususnya budaya Perancis.
(c)Kemelesetan yayasan Islam khususnya dalam bidang pendidikan dan undang-undang.
(d)Kemunculan nasionalisme sebagai saingan kepada sistem Islam.[2]
Situasi di atas menggalakkan lagi pertumbuhan organisasi Islam yang teratur. Beberapa al-Jam،iyyah al-Islamiyyah telah diasaskan. Objektif penubuhan al- Jam،iyyah al-Islamiyyah ialah:
(a)menyebarkan dakwah Islamiah.
(b)sebagai sebuah organisasi kemasyarakatan.
(c)menimbulkan kesedaran beragama dan berfikir.
Pertubuhan tersebut kemudiannya berkembang menjadi satu gerakan penentangan yang teratur dan berperanan dalam menghadapi perubahan ekonomi, sosial dan politik. Mereka turut terlibat dalam pilihanraya dan demonstrasi awam.[3] Antara jamiyah tersebut ialah :
(a)al- Jam،iyyah al-Gharra’
Jamiyah di atas diasaskan pada awal tahun 1920-an. Penubuhannya adalah kesan daripada perasaan tidak puas hati terhadap sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh Perancis. Mereka telah mengasaskan sekolah-sekolah agama. Sekolah-sekolah tersebut berada di bawah naungan Muhammad Hasyim al-Khatib al-Husayni. al-Jam،iyyah al-Gharra’mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan sosial dan politik masyarakat setempat .[4]
(b)Jam،iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah
Jam،iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah diasaskan di antara tahun 1930 dan 1931. Mereka menjalinkan hubungan dengan Jam،iyyah al-Ikhwan al-Muslimin Mesir iaitu setelah beberapa anggota al-Ikhwan al-Muslimun Mesir datang ke Palestin dan Syria pada tahun 1935.[5]
(c)Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami
Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami diasaskan di antara tahun 1931 dan 1932. Jam،iyyah tersebutdianggotai oleh fukaha, khatib, doktor, peguam dan sasterawan. Beberapa peneraju pertubuhan ini telah memainkan peranan penting dalam politik dan ekonomi Syria seperti Ahmad Mazhar al-،Azamah[6], Muhammad Bahjat al-Baytar, Hasan al-Syati dan lain-lain lagi. Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami telah melaksanakan beberapa program iaitu:
(a)Menerbitkan buletin berjudul al-Tamaddun al-Islami yang bertujuan menyebarkan pengetahuan Islam kepada masyarakat.
(b)Menubuhkan madrasah yang diiktiraf secara rasmi oleh pemerintah. Mereka telah membina sebuah sekolah menengah iaitu Madrasah al-Tamaddun al-Islami di Damsyik. Pengambilan pertama pelajarnya ialah pada tahun 1946.
(c)Mengasaskan al-Rabitah al-Ukhawiyyah li Musa،adah Fuqara’ al-Tullab.
(d)Membantu dan memberi sokongan kepada Intifadah Palestin pada tahun 1936. Mereka mengasaskan Lujnah I‘anah al-Mankubin fi al-Quds. [7]
(d)Jamiyah yang lain
Selain daripada pertubuhan yang disebut di atas, terdapat beberapa pertubuhan lain seperti Jam،iyyah al-Ta ،awun al-Islami, Jam،iyyah al-،Ulama’, Jam،iyyah al-Tawjih al-Islami, Jam،iyyah ،Amal al-Birr al-Islami dan pertubuhan lain yang bermatlamatkan mempertahankan nilai-nilai Islam dalam berdepan dengan budaya barat. Peranan pertubuhan-pertubuhan Islam tersebut terserlah di dalam pilihanraya 1943. Presiden Republik Syria,Syukri al-Qutili[8] telah melantik ،Abd al-Hamid al-Tabba، iaitu salah seorang pemimpin al-Jam،iyyah al-Gharra’ dalam kerajaannya. Walaubagaimanapun, kerjasama tersebut terhenti apabila al-Jam،iyyah al-Gharra’ bersamapertubuhan-pertubuhan Islam yang lain mengumumkan penentangan mereka terhadap pemerintah. Mereka telah mengadakan penentangan berdarah di Damsyik pada Mei 1944. Penentangan yang diketuai oleh gerakan Islam ini bertujuan menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap majlis tarian yang terpengaruh dengan budaya Eropah dan bertentangan dengan norma masyarakat Islam. Majlis tersebut dianjurkan oleh Jam،iyyah Nuqtah al-Halib. Pertubuhan ini disertai oleh wanita daripada golongan burjuwazi yang mengikut cara hidup barat. [9]
[1] Dr.Umar F. Abd-Allah(1983), op.cit., hal.89.
[2] al-Habib al-Janhani(1989), “al-Sahwah al-Islamiyyah fi Bilad al-Syam: Mithal Suriyya”, al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu،asarah fi al-Watan al-،Arabi, Beirut: Markaz Dirasat al-Wihdah al-،Arabiyyah, hal.113.
[3] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.114.
[4] Ibid.
[5] Ibid, berhubung kedatangan al-Ikhwan al-Muslimun ke Syria, Sila lihat: Hassan al-Banna(1990), Mudhakkarah al-Da،wah wa al-Da،iyyah, Kaherah: al-Zahra’ li al-I،lam al-،Arabi, hal.270-272.
[6] Beliau dilahirkan pada tahun 1911 di Damsyik. Beliau mendapat pendidikan daripada ulama Damsyik. Beliau melanjutkan pengajiannya di Ma،hadal-Huquq, Universiti Syria. Beliau merupakan anggota Lujnah al-Tarbiyyah Wa al-Ta،lim di Wizarah al-Ma،arif Suriya. Pada zaman al-Wihdah(1958-1961) beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian. Beliau adalah pengasas kepada Madrasah al-Tamaddun al-Islami dan pengasas serta ketua pengarang majalah al-Tamaddun al-Islami yang diterbitkan pada bulan Rabiulawwal 1354H(1935). Beliau meninggal dunia pada 12 Rabiulawwal 1402H(1982). [Sila lihat: (1)al- Farfur(1988), op.cit., hal.44, (2)Muhammad Muti، al-Hafiz dan Nizar Ibazi(1991), op.cit., j.3, hal.433, (3)Yusuf (1999a), op.cit., j.1, hal.63.]
[7] Ibid.
[8] Beliau ialah Syukri bin Mahmud bin ،Abd al-Ghani. Beliau dilahirkan di Damsyik pada tahun 1891. Pada 17 Ogos 1943 beliau dilantik menjadi presiden Syria yang pertama. Semasa menjadi presiden, beliau telah berjaya mengusir penjajah Perancis dari Syria pada tahun 1946. Husni al-Za،im telah melakukan revolusi terhadapnya dan memaksa beliau meletakkan jawatan pada Mac 1949. Beliau telah ditangkap dan kemudiannya dibebaskan. Selepas dibebaskan beliau berhijrah ke Iskandariah, Mesir. Pada Ogos tahun 1955 beliau sekali lagi dilantik menjadi presiden. Beliau meninggal dunia di Beirut pada tahun 1967 dan dikebumikan di Damsyik. Sila lihat: al-Zirakli(1984), op.cit., hal.172-173.
[9] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.115.