Nota 12 Ramadan Panjang Umur, sihat dan taat

Nota 12 Ramadan Panjang Umur,  sihat dan taat

Diberi usia yang panjang merupakan sebahagian dari ketentuan Allah swt. Firman Allah s.w.t.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّى وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنْ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuiNya dahului. Surah al-Hajj ayat 5

Saat berada di usia “EMAS”  sepatutnya digunakan sebaik-baiknya untuk seseorang menghampirkan dirinya kepada Allah (s.w.t).  Justeru itu Imam Nawawi dalam kitabnya Riyadus Solihin meletakkan satu bab yang khusus “ BAB GALAKAN MENAMBAH KEBAIKAN PADA HUJUNG USIA”

Beliau menyebut ayat 37 surah Fatir:

قَالَ الله تَعَالَى :أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءكُمُ النَّذِيرُ

Maksudnya: “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran

Berkata Ibnu Abbas dan para ulama: Maksudnya tidakkah Kami lanjutkan usia kamu sehingga umur 60 tahun?…Ada pandangan yamg menyebut 18 tahun, pandangan yang lain 40 tahun.Ini merupakan pandangan Hasan al-Basri, al-Kalbi, Masruq dan satu pandangan yang dipetik dari Ibnu ‘Abbas.Adalah diriwayatkan bahawa penduduk Madinah, apabila usia mereka mencecah umur empat puluh tuhan, mereka menumpukan sepenuh masa mereka untuk beribadat kepada Allah (s.w.t). Ada juga berpandangan ia merupakan usia baligh.

.

Berhubung usia emas ini Imam al-Bukhari menyebut  hadith dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda:

 (( أعْذَرَ الله إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أجَلَهُ حَتَّى بَلَغَ سِتِّينَ سَنَةً )) رواه البخاري .

“Allah tetap menerima uzur – alasan – seseorang yang diakhirkan ajalnya, sehingga ia berumur enampuluh tahun.” (Riwayat Bukhari)

قَالَ العلماء : معناه لَمْ يَتْرُكْ لَهُ عُذراً إِذْ أمْهَلَهُ هذِهِ المُدَّةَ . يقال : أعْذَرَ الرجُلُ إِذَا بَلَغَ الغايَةَ في العُذْرِ .

Imam Nawawi menyebut, para Ulama berkata: Maksudnya Allah swt tidak memberi seseorang untuk beralasan lagi sekiranya mereka di panjangkan umur sehingga saat umur ini.

Justeru itu mereka yang diberi nikmat usia yang panjang perlu menggunakan nikmat ini dengan sebaik-baiknya. Di sini dicatatkan beberapa contoh ulama’ yang dipanjangkan umur oleh Allah swt untuk dijadikan pengajaran kepada kita.

Antara mereka yang masih hidup sehingga ke saat ini ialah seperti Dr. Yusuf al-Qardawi, Syaikh Syu’aib al-Arnaut, Syaikh ‘Uthman Taha, Syaikh Abu Bakar al-Jazairi dan lain-lain lagi. Antara yang telah meninggal dunia seperti Syaikh Sya’rawi, Syaikh Abu Hasan’Ali al-Nadawi(1914-1999) , Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan syaikh Tantawi bekas Syaikh al-Azhar.

Antara ulama silam yang dipanjangkan umur ialah Qurra’ al-Sab’ah dan perawi mereka, Imam Ibnu Jarir al-Tabari.Imam Ibnu Jarir al-Tabari meninggal semasa berusia 85 tahun.

Antara ulama Nusantara yang dipanjangkan usia oleh Allah swt ialah seperti (saya catatkan ini sebagai contoh yang saya petik dari buku Khazanah Tafsir di Nusantara karya  Mustafa Abdullah 2011)

1)Syaikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi (1893-1989)- 96 tahun

2) Dato Haji Muhammad Nor bin Ibrahim (1905-1987)- 82 tahun

3)Syaikh Abdullah Basmeih (1913-1996)-83 tahun

4)Dato’ Yusuf Zaki Yacob ( 1928-1998)-70 tahun

5) Syaikh Ahmad Sonhadji Muhammad (1922-2010)-88 tahun

Di sini saya catatkan kisah 3 orang dari ulama ini menghabiskan nikmat umur yang panjang:

* Syaikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi (1893-1989)- 96 tahun

Tokoh ini terkenal dengan kamus Melayu-Arab.Qamus al-Marbawi yang dihasilkan oleh beliau pada tahun 1927 telah memasyhurkan beliau sehingga ke hari ini. Sehingga kini usia Qamus al-Marbawi telah mencecah 88 tahun! Ia masih digunakan oleh pengkaji dan pelajar di Asia Tenggara

Tokoh ini dilahirkan di Makkah pada 28 Zulkaedah 1313 Hijrah.Beliau membesar di Masfalah, Makkah sebelum keluarganya mengambil keputusan untuk kembali ke Perak ketika usianya 5 tahun.

Dari segi pendidikan beliau mampu menghafaz 10 juzuk al-Qur’an di samping beberapa buah kitab ketika berusia sepuluh tahun.Beliau pernah menuntut di beberapa buah pondok seperti Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan Kuala Kangsar, Pondok Tok Kenali di Kelantan.Kemudian dia belajar di Makkah sebelum menyambung pengajiannya di Universiti al-Azhar pada Mac 1924.Qamus al-Marbawi dihasilkan semasa beliau di Mesir. Usaha ini dilakukan secara kolektif  bersama tiga rakannya  Syeikh Junid Toha, Abdullah Afifuddin dan Nasir al-Jawhari namun akhirnya disiapkan secara bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Akhirnya hasil usaha syaikh kamusini berjaya disiapkan pada tahun 1927.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh jam 8.40 pagi HARI JUMAAT bertarikh 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awwal 1409H dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Lubuk Merbau. Usia beliau semasa meninggal dunia ialah 96 TAHUN.

Antara karya besar beliau yang diajar di masjid-masjid pada hari ini ialah kitab Bahr al-Mazi  yang merupakan ringkasan dan ulasan kepada kitab sunan al-Tirmizi. Selain itu  beliau juga menghasilkan terjemahan Sahih al-Bukhari, kupasan kitab Bulughul Maram dan karya berjudul Idaman Guru yang mengupas mengenai  hadith Sahih al-Bukhari dan sahih Muslim.

Bahr al-Mazi adalah antara kitab hadith bertulisan jawi terbesar dan terawal yang pernah wujud  di alam Melayu. Kelainan kitab ini ialah ulasannya  mengikut warna dan acuan masyarakat Malaysia.

Selain itu beliau juga menghasilkan kitab dalam bidang tafsir seperti  Tafsir surah Yasin, Tafsir al-Qur’an Marbawi, Tafsir Juzuk Amma dan lain-lain.

* Syaikh Abdullah Basmeih (1913-1996)-83 tahun

Beliau adalah salah seorang ulama yang berasal dari Tanah Arab.Beliau datang ke Tanah Melayu pada tahun 1927 kerana mengikut ayahnya.

Nama sebenar beliau ialah Syaikh Abdullah Basmeih bin Syaikh Muhammad Basmeih. Ayahnya berasal dari Hadramaut dan menetap dengan ayahnya Salleh iaitu datuk kepada syaikh Abdullah Basmeih.

Beliau dilahirkan pada 29 Disember 1913 di Ma’abadah satu kawasan yang tidak jauh dari  kawasan Masjidil Haram. Semasa dia berusia dua tahun, ibunya Aisyah binti Abdullah bin Hammad meninggal dunia dan dia dibesarkan di bawah jagaan makciknya  Hamidah Hammadat.

Bapanya sering berulang-alik di antara Makkah dan Tanah Melayu kerana urusan perniagaan dan telah berkahwin dengan perempuan Melayu  bernama Yang Chik binti Haji Kesah yang berasal dari Kampung Sungai Kertah, Pangkalan Balak, Melaka.

Beliau mendapat pendidikan awal di Makkah di suatu tempat bernama Suq al-Layl yang berhampiran dengan masjidil Haram .Di situlah dia mempelajar ilmu agama dan telah khatam al-Qur’an serta mampu membaca serta menulis. Pada tahun 1927 ketika berusia belasan tahun dia dibawa belayar  ke Tanah Melayu dan menetap bersama ibu tirinya.

Semasa berhijrah ke tanah Melayu, beliau tidak pandai bertutur Bahasa Melayu, kerana kesungguhannya beliau dapat bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik dan mula menulis dan menterjemah buka Bahasa Arab ke Bahasa Melayu.

Beliau kembali kerahmatullah pada pukul 9.00 pagi 14 Julai 1996 kerana menghidap sakit jantung. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Keramat.

Beliau banyak meninggalkan buku dan terjemahan seperti sejarah Hidup Siti ‘Aisyah ( 2 jilid), Sejarah Hidup Saidina Ali ( 2 jilid yang dicetak pada tahun 1952. Dua karya beliau yang terkenal ialah Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Qur’an dan Mastika Hadis.

Usaha penghasilan tafsri pimpinan al-Rahman bermula pada 16 Februari 1968.  Sebelum itu tugas penterjemahan ini diserahkan kepada Ustaz Faisal bin Haji Othman yang dilantik oleh Tunku Abdul Rahman. Bagaimanapun selepas beberapa bulan beliau meletak jawatan.Tugas berat ini disambung oleh Syeikh Abdullah Basmih.  Setiap juzuk yang siap diterjemah diserahkan kepada Dato’  Haji Muhammad  Noor bin Ibrahim (1905-1987)  untuk semakan dan pengesahan. Juzuk pertama berjaya disiapkan pada hujung tahun 1968.Selepas dua tahun jilid pertama disempurnakan diikuti jilid kedua yang mengandungi sepuluh juzuk diterbitkan pada tahun 1970.Jilid ketiga yang mengandungi sepuluh juzuk terakhir disiapkan pada tahun 1972 ketika syaikh Abdullah Basmieh berusia 59 tahun.

Pada Februari 1980 (ketika Syaikh Abdullah Basmeih berusia 67 tahun) bersamaan Rabiul Awwal 1400 tafsir Pimpinan al-Rahman diterbitkan dalam satu jilid setebal 1,756 halaman. Kandungannya seperti versi jawi kecuali beberapa tempat yang memerlukan penjelasan dan beberapa ayat yang disusun  dengan lebih jelas dan mudah. Beliau telah mendapat kerjasama Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Syeikh Abdul Mohsein bin Salleh dan pemangku Imam Besar Masjid Negara iaitu ustaz Abu Hasssan Din al-Hafiz untuk menyemak semula kandungan dan penjelasannya.

Selepas kewafatan syaikh Abdullah Basmeih, pada tahun 2008 tafsir Pimpinan al-Rahman diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dengan tajuk “ Interpratation of The Meaning of The Qur’an’ setebal 1,317 muka surat.

*Syaikh Ahmad Sonhadji Muhammad (1922-2010)-

Beliau dilahirkan pada Ogos 1922M bersamaan Zulhijjah 1340 di Desa Penggiiring, Solo, Indonesia. Beliau mengikut keluarganya ke Singapura pada  tahun 1927.

Beliau mendapat pendidikan awal di rumah beliau sendiri dan lulus peperiksaan kelas 5 di sekolah komuniti Islam di Singapura. Pada tahun 1937 beliau menyambung pengajiannya di  Madrasah al-Juneid di Singapura selama 6 tahun.

Beliau banyak menghasilkan karya antaranya Sejarah Islam (MCE), Fiqh dan Tawhid, Panduan Memahami Tafsir al-Quran I dan II dan karyanya yang terkenal ialah Tafsir ‘Abr al-Athir.

Ustaz Ahmad Sonhadji meneroka bidang pentafsiran al-Qur’an  sejak 12 Sya’ban 1379 bersamaan 19 Februari 1959 ( usia beliau 37 tahun) berupa syarahan yang disampaikan menerusi Radio Singapura pada setiap malam dan selesai mengarangnya pada  24 Rejab 1404 bersamaan 26 April 1984 ( usia beliau 62 tahun !) dengan mengambil masa 25 tahun 2 bulan dan dibukukan secara berpenggal sebanyak 30 penggal hingga juzuk ke-30.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s