RAYUAN INFAQ RAMADAN 1436H
1.TAHFIZ AL-HAKIM JENGKA 15 PAHANG YANG BARU DILAKUKAN ACARA PECAH TANAH SEBELUM RAMADAN MAYBANK-156141528644
2.DANA PEMBANGUNAN PUSAT PENDIDIKAN ISLAM AN-NUR, KOTA KINABALU FASA KE-3- RM100,000 DIPERLUKAN UNTUK MEMBINA BANGUNAN 1 BLOK, BANK ISLAM 10 0160 1008 4808, MAYBANK 56 02 1400 2770, KUWAIT FINANCE HOUSE- 0091 4000 1132
3-DANA WAKAF KENDERAAN MAAHAD TAHFIZ DARUL HADIS SABAH- MAYBANK 563046310726 DI ATAS NAMA DARUL HADIS MANAGEMENT
4.MA’HAD DIRASAT DINIYYAH (MADAD), KG TEMIN, BANK ISLAM: 06082010009239, MAYBANK 556011062642
Alhamdulillah Allah s.w.t masih memberi nikmat kesihatan dan keafiatan dan memanjangkan usia kita sehingga ke saat ini. Tanpa kita sedari separuh dari bulan Ramadan telah berlalu dan kita sudah hampir ke garisan penamat. Kita telah hampir kepada malam-malam yang terbaik dalam satu tahun yang Allah janjikan salah satu dari malamnya dengan malam al-Qadr yang lebih baik dari seribu bulan tetapi tidak ada seorang pun di kalangan kita yang dapat memberi jaminan yang kita akan dapat bertemu dengan sepuluh akhir Ramadan.
Marilah dibulan yang mulia ini kita mendidik hati kita untuk sentiasa mengingati mati kerana “TAKUTKAN MATI” menjadi penyakit kepada umat akhir zaman seperti mana yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w:
عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا ” , قَالَ : قُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ ؟ قَالَ : ” أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ ، وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ يَنْتَزِعُ الْمَهَابَةَ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ ، وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ ” , قَالَ : قُلْنَا : وَمَا الْوَهْنُ ؟ قَالَ : ” حُبُّ الْحَيَاةِ ، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
Maksudnya: Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh pelusuk dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.
Maka para sahabat bertanya : “Apakah kerana kami sedikit pada masa itu? “
Nabi (s.a.w) menjawab: Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah pula akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-Wahn.
Para sahabat bertanya: Apakah penyakit al-Wahn itu ya Rasulullah?
Nabi s.a.w menjawab : Wahn itu ialah penyakit cintakan hidup dan takut kepada mati”
Hadith riwayat Imam Ahmad, no. 22397, Menurut Syaikh Syu’aib al-ArnautL Isnadnya hasan. Hadith juga diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dalam kitab “ al-‘Uqubat, no. 5, al-Tabarani dalam “Mu’jam al-Kabir”, no.1452, Abu Nu’aim dalam ‘al-Hulyah’, jilid 1, hal. 182, Abu Daud, no. 4297, al-Tabarani dalam “ al-Syamiyin, no. 600, al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah, jilid 6, hal. 534, al-Baghawi, no. 4224, Ibn ‘Asakir dalam ‘Tarikh Dimasyq, jil.8, hal. 193.
Orang yang baru tadi sebentar bersama-sama dengan kita tiba-tiba kita mendapat berita bahawa orang itu sudah pergi buat selama-lamanya. Kita juga akan mengikut jejak langkah mereka seperti kata Saidina Umar bin al-Khattab r.a :
كُلًّ يَومٍ يَقَالُ مَاتَ فَلَان وَماَتَ فَلان وَلاَ بُدَّ مِن يَومٍ أَن يُقَالَ مَات عُمر
Satu hari nanti pasti orang akan sebut kita pula yang mati. Kata Dr Yusuf al-Qardawi tanda pertama kita akan mati ialah lahirnya kita ke dunia.
BEBERAPA CONTOH HUSNUL KHATIMAH
1)MENCONTOHI KISAH SAIDINA UTHMAN YANG MENANGIS APABILA MENZIARAHI KUBUR DAN KISAH SYAHIDNYA DI BUNUH PEMBERONTAK
عنْ هَانِئٍ – مَوْلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ – قَالَ : كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ إِذَا وَقَفَ عَلَى قَبْرٍ بَكَى، حتَّى يَبُلَّ لِحْيَتَهُ ، قَالَ : فَقِيْلُ لَهُ : تُذْكَرُ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ فَلَا تَبْكِي وَتَبْكِي مِنْ هَذَا قَالَ فَقَالَ : إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : “ الْقَبْرَ أَوَّلُ مَنَازِلِ الْآخِرَةِ ، فَإنْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ ، وَإنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ . قَالَ : وَقَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ : مَا رَأَيْتُ مَنْظَرًا قَطُّ إِلَّا وَالْقَبْرُ أَفْظَعُ مِنْهُ .
Dari Hani’- Mawla Uthman bin Affan ra berkata : Apabila ‘Uthman r.a apabila berdiri di hadapan kubur menangis sehingga janggutnya basah. Dikatakan kepada beliau:
“Apabila di sebut syurga dan neraka engkau tidak menangis, sementara jika disebut kubur engkau menangis?”
Katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Kubur adalah tempat pertama dari tempat-tempat di akhirat. Jika selamat darinya, mudahlah kita selanjutnya. Jika tidak, selanjutnya adalah azab yang lebih dahsyat. Dia berkata lagi: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah saw bersabdaL ‘Aku tidak pernah melihat suatu pemandangan pun yang lebih menakutkan daripada kubur, ”
Hadith riwayat Imam Ahmad no. 454, Menurut Syu’aib al-Arnaut: Isnadnya sahih. Riwayat Ibnu Majah (4267), al-Tirmizi (2308), al-Hakim, jilid 4, hal. 330-331, hadtih adalah hasan menurut al-Tirmizi, di hukum sohih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi
Demikianlah SIKAP Saidina Uthman yang menjadikan kematian sebagai pengajarannya. Walaupun beliau merupakan salah seorang dari sepuluh orang yang dijamin masuk syurga,namun dia tak merasa aman dari alam barzakh. Lihat bagaimana kita hari ini langsung tidak menghayati tujuan kita dianjurkan menziarahi kubur. Sebahagian kita berbual kosong, mengumpat orang, yang wanitanya tidak menutup aurat semasa menziarahi kubur.
SAIDINA UTHMAN SYAHID DALAM KEADAAN BERPUASA DAN MEMBACA AL-QUR’AN
Saidina Uthman meninggal dunia pada hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah selepas dikepung oleh pemberontak selama 40 hari. Mereka telah menghalang saidina Uthman dari pergi ke masjid. Beliau mati syahid dalam keadaan berpuasa dan membaca al-Quran. Beliau telah dibunuh oleh al-Ghafiqi bin Harb. Al-Ghafiqi telah memukul Sayyidina Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Al-Quran itu terus terbuka dan tetap berada di tangan Sayyidina Uthman sehingga darah yang mengalir dari muka Sayyidina Uthman terkena ayat 137 surah al-Baqarah yang bermaksud :……..Maka cukuplah Allah bagi kamu daripada kejahatan mereka dan Dialah Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Kemudian datang pula Sudan lalu dilibas pedangnya ke arah Sayyidina Uthman tetapi isterinya Nailah menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jari isteri Sayyidina Uthman itu. Sudan yang hilang peri kemanusian terus menetak Sayyidina Uthman beberapa kali sehingga beliau gugur syahid. 2 anak Sayyidina Uthman iaitu Najih dan Sobih turut gugur syahid dibunuh ketika membunuh pembunuh ayah mereka. Kewafatan Sayyidina Uthman sebelum Maghrib hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah dalam usia 83 tahun.
2)GOLONGAN YANG MENINGGAL DUNIA KERANA TERKESAN DENGAN BACAAN AL-QUR’AN
Berhubung perkara ini Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Tibyan Fi Adab Haml al-Qur’an:
وقد بات جماعة من السلف يتلون آيه واحدة يتدبرونها ويرددونها إلى الصبح وقد صعق جماعة من السلف عند القراءة ومات جماعات حال القراءة وروينا عن بهز بن حكيم أن زرارا بن أوفى التابعي الجليل رضي الله عنه أمهم في صلاة الفجر فقرأ حتى بلغ { فإذا نقر في الناقور * فذلك يومئذ يوم عسير } خر ميتا قال بهز : وكنت فيمن حمله
Menjadi kebiasaan sekumpulan generasi awal membca satu ayat. Mereka mentadabburinya dan mengulang-ngulangnya sehingga pagi. Sekumpulan mereka pengsan semasa membaca al-Qur’an da nada juga yang MENINGGAL DUNIA semasa membaca al-Qur’an:
Diceritakan oleh Imam Nawawi, dari Bahz bin Hakim, bahawasanya Zararah bin Aufa, seorang ulama terkemuka di kalangan tabi’in, ia pernah menjadi imam untuk mereka ketika solat Subuh. Zararah membaca surah hingga sampai pada ayat,
فَإِذَا نُقِرَ فِي النَّاقُورِ (8) فَذَلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ (9)
“Apabila ditiup sangkakala, maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sulit.” (QS. Al-Mudattsir: 8-9). Ketika itu Zararah tersungkur lantas meninggal dunia. Bahz menyatakan bahawa dia menjadi di antara orang yang memikul jenazahnya.
3)SYAIKH ABU HASAN ‘ALI AL-NADAWI MENINGGAL KETIKA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT PADA HARI-HARI TERAKHIR DARI BULAN RAMADAN!
Beliau meninggal dunia pada tengah hari Juma’at, 23 Ramadhan 1420H / 31 Disember 1999M ketika usianya mencapai 85 tahun.. Beliau telah dijemput Allah SWT pulang ke sisiNya ketika sedang bersiap-siap untuk menghadiri solat Jum’at di kediamannya, Dia berwuduk dan mula membaca surah al-Kahf seperti kebiasaannya. Begitulah Allah swt muliakan syaikh Abu Hasan ‘Ali al-Nadawi yang MENINGGAL DUNIA PADA BULAN RAMADAN, HARI JUMAAT KETIKA BELIAU SEDANG MEMBACA AL-QUR’AN.
4)IKTIBAR DARI SYAHIDNYA SAIDINA UMAR
الْمَوتُ فِي سَبَيِل الله أَسمى أمانينا “ Mati di jalan Allah adalah setinggi-tinggi cita kami. Berapa orang yang Allah s.w.t tunaikan niat mereka untuk mati syahid. Nama-nama seperti al-Syahid Hassan al-Banna, al-Syahid Syeq Qutub, al-Syahid Ahmad Yasin, al-Syahid Abdul Qadir ‘Awdah, al-Syahid ‘Abdullah Azzam, al-Syahid Sa’id Ramadan al-Buti…itu beberapa nama ulama dan tokoh yang masyhur yang Allah pilih mereka sebagai syuhada’ di jalan Allah.
Saidina Umar r.a beruntung kerana semasa hidupnya baginda saw telah memberitahu bahawa beliau akan mati syahid.
Daripada Anas bin Malik r.a bahawa suatu hari Nabi (s.a.w) naik ke atas Bukit uhud , bersama baginda Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman r.anhum. Tiba-tiba bukit Uhud bergegar. Nabi pun menghentak kakinya dan berkata kepada bukit Uhud “ Wahai Uhud jangan kamu bergegar, sesungguhnya di atas kamu ada seorang nabi,orang yang benar dan 2 orang yang akan mati syahid”. ( HR al-Bukhari no. 3697)
Selepas 12 tahun kewafatan Nabi s.a.w, Allah s.w.t telah memilih Saidina ‘Umar sebagai syahid di jalannya apabila beliau di bunuh oleh hamba Parsi yang bernama Abu Lu’luah, Fairuz hamba kepada sahabat Nabi s.a.w al-Mughirah bin Syu’bah r.a
Saidina Umar Memohon Untuk Mati Syahid di Madinah.
Tahun 23 hijrah (1413 tahun yang lalu) semasa Saidina Umar mengerjakan haji beliau yang terakhir. Semsa berada di Mina’ pada hari tasyriq, beliau membentang rida’ dan mengangkat tangan ke langit dan berdoa kepada Allah.
اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ ، وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Ya Allah aku telah berusia ,kekuatan sudah mula lemah, rakyatku bertebaran, maka cabut nyawaku. Ya Allah aku minta mati syahid di jalan mu dan mati syahid di Madinah ”.
Doa ini dicatatkan oleh Imam al-Bukhari no. 1766.
Allah perkenankan doanya kurang daripada 2 minggu.
Mimpi Benar yang dilihat oleh Abu Musa al-Asya’ari,(sebelum Saidina Umar menunaikan haji yang terakhir
Berkata Abu Musa al-Asya’ari:
“Aku tengok di hadapan aku ada banyak jalan, kemudian tiba-tiba ia menjadi ada satu jalan. Aku pun berjalan sehingga akhirnya aku sampai ke atas bukit. Aku lihat di atas bukit itu Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a sedang melambai tangan kepada Saidina ‘Umar . Aku terkejut daripada tidur dan itu adalah petanda Saidina Umar akan pergi.
Apabila beliau menceritakan mimpi ini kepada Saidina Anas bin Malik, Anas bin Malik berkata: Mengapa tuan tidak menulis mimpi tersebut dan kirimkan kepada kepada Saidina Umar r.a yang pada waktu itu tidak berada di Madinah. Abu Musa r.a membalas dia tak mahu menulisnya dan hanya akan diam sahaja kerana tidak mahu mengganggu Saidina Umar r.a
Saidina Umar di tikam oleh Abu Lu’luah
Amru yang menyaksikan peristiwa Saidina Umar ditikam menyebut (Peristiwa ini berlaku pada hari Rabu 26 Zulhijjah tahun 23 Hijrah:
“Beliau berasa gentar untuk berada di saf pertama kerana takutkan Saidina Umar. Oleh itu pada hari kejadian dia berada di saf kedua di belakang Ibnu ‘Abbas dan di hadapan Ibnu ‘Abbas ialah Saidnian Umar yang menjadi imam. Pada kebiasannya, ketika iqamah subuh, Saidina Umar berjalan di antara saf dan berkata samakan saf. Kalau ada salah dia akan betulkan. Setelah semuanya selesai dia akan angkat takbir. Pada hari kejadian, Saidina Umar mengangkat takbir dan diikuti oleh jemaah lain. Sebelum Saidina ‘Umar r.a membaca al-Fatihah, Abu Lu’luah keluar dari tengah saf dan menikamnya dengan tiga tikaman yang sangat dalam di bahu, di pusat dan di perut hingga tembus.. Selepas menikam Saidina Umar r.a , Abu Lu’luah menikam jemaah yang lain seramai 13 orang , 7 orang dari mereka gugur sebagai syahid. Dalam situasi yang getir ini Abdul Rahman bin Auf, dia mengambil burnus ‘ Topi” lalu mencampaknya ke atas Abu Lulu’ah. Pada saat ini, Abu Lu’luah yakin dia tertangkap . Beliau mengambil keputusan untuk bunuh diri kerana dia tahu dia takkan terlepas. Saidina Umar yang terbaring, menarik tangan ‘Abdul Rahman untuk menympurnakan solat. Jemaah lain yang berada di tepi tidak melihat kejadian itu menyebut Subhanallah kerana tidak mendengar imam membaca surah al-Fatihah. Tugas imam diambil oleh Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf r.a dan menyempurnakan solat subuh dengan membaca dua surah yang pendek iaitu surah al-Khauthar pada rakaat pertama dan surah al-Nasr pada rakaat kedua. Saidina Umar pengsan kesan dari tikaman tersebut sehingga matahari hampir terbit akan tetapi dia belum menunaikan solat subuh . Para jemaah menyebut: Solat! Solat! Solat ya amirul mukminin. Saidina Umar terkejut dengan seruan itu lalu bangun dan bertanya adakah jemaah yang lain sudah solat? Ibnu ‘Abbas menjawab: Ya sudah. Mereka tolong ambilkan air lalu Saidina ‘Umar berwuduk dan tunaikan solat fajar. Selesai solat Saidina Umar bertanya: “Siapa yang telah menikamku?
Ibnu ‘Abbas menjawab: Musuh allah, Abu Lu’luah hamba kepada al-Mughirah yang telah menikammu dan menikam beberapa orang lain dan turut menikam dirinya sendiri.
Saidina Umar, diangkat dari mihrab ke rumahnya dalam keadaan badan yang berdarah. Di rumah , tabib datang untuk merawat. Dia membira Saidina minum nira tamar dan susu. Susu tersebut terkeluar daripada badannya. Ini tanda kecederaan itu sangat teruk. Tabib berpesan kepada Saidina umar supaya berwasiat kerana ajalnya sudah sampai.
Penyaksian para sahabat terhadap Saidina Umar r.a
Semasa Saidina Umar sakit, para sahabat dan umat Islam berkunjung menziarahi khalifah. Mereka menyebut kebaikan Umar r.a. Antaranya Ibnu ‘Abbas memuji Saidina Umar dengan menyebut:
“Ya Amirul Mukminin, kamu telah menjadi teman kepada Rasul. Kamu amat baik dalam persahabatan. Baginda telah tinggalkan kamu dalam keadaan redha. Kamu bersahabat dengan Abu Bakar. Kamu amat baik dalam persahabatan. Abu Bakar tinggalkan kamu dalam keadaan redha. Dan kamu telah bersahabat dengan sahabat-sahabat baginda r.anhum. Sudah tentu mereka akan redha di atas pemergianmu. Kamu pemimpin yang adil. Islam telah tersebar dengan pimpinanmu.
Saidina Umar teruja dengan kata-kata Ibnu ‘Abbas, dia perbetulkan cara duduknya. Saidina Umar berkata: “Bersaksilah apa yang kamu sebut ini adalah benar.”
Ibnu ‘Abbas membalas: Ya benar aku bersaksi dengan Allah apa yang aku katakan adalah benar.
Saidina Ali yang hadir dalam majlis itu juga berkata: “ Ya aku bersaksi dengan Allah apa yang disebut oleh Ibnu ‘Abbas adalah benar”
Sahabat-sahabat yang lain turut bersaksi dengan pujian yang telah diberi kepada Saidina Umar oleh Ibnu ‘Abbas.
Akhirnya Saidina Umar menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berusia 63 tahun seperti mana usia dua sahabatnya Rasulullah s.a.w dan saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a
عنْ ابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ أَنَّهُ سَمِعَ ابْنَ عَبَّاسٍ يَقُولُ وُضِعَ عُمَرُ عَلَى سَرِيرِهِ فَتَكَنَّفَهُ النَّاسُ يَدْعُونَ وَيُصَلُّونَ قَبْلَ أَنْ يُرْفَعَ وَأَنَا فِيهِمْ فَلَمْ يَرُعْنِي إِلَّا رَجُلٌ آخِذٌ مَنْكِبِي فَإِذَا عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ فَتَرَحَّمَ عَلَى عُمَرَ وَقَالَ مَا خَلَّفْتَ أَحَدًا أَحَبَّ إِلَيَّ أَنْ أَلْقَى اللَّهَ بِمِثْلِ عَمَلِهِ مِنْكَ وَايْمُ اللَّهِ إِنْ كُنْتُ لَأَظُنُّ أَنْ يَجْعَلَكَ اللَّهُ مَعَ صَاحِبَيْكَ وَحَسِبْتُ إِنِّي كُنْتُ كَثِيرًا أَسْمَعُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ذَهَبْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَدَخَلْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَخَرَجْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ
Dari Ibnu Abu Mulaikah bahawa dia mendengar Ibnu ‘Abbas r.a berkata; Setelah jasad ‘Umar diletakkan di atas tempat tidurnya, orang-orang datang berkumpul lalu mendo’akan dan solat ke atas jenazahnya sebelum diusung. Saat itu aku ada bersama orang ramai, dan tidaklah aku terperanjat melainkan setelah ada orang yang meletakkan siku lengannya pada bahuku, yang ternyata dia adalah ‘Ali bin Abu Thalib. Kemudian dia memohonkan rahmat bagi ‘Umar dan berkata; Sama sekali tidak engkau tinggalkan seorangpun yang lebih aku sukai agar Allah berikan pembalasan sesuai keistimewaan amalnya daripadamu. Dan demi Allah, sungguh aku yakin sekali bahawa Allah akan menjadikan kamu bersama kedua sahabatmu (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Bakr) disebabkan aku sering kali mendengar Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:Aku berangkat (bepergian) bersama Abu Bakr dan ‘Umar. Aku masuk bersama Abu Bakr dan ‘Umar. Aku keluar bersama Abu Bakr dan ‘Umar ( HR al-Bukhari no. 3685)
Jenazah Saidina Umar dikebumikan pada hari Ahad, 1 Muharram tahun ke-24 Hijrah.
Ini sebahagian dari detik-detik akhir dari kehidupan Saidina Umar r.a untuk dijadikan iktibar. Kita tidak tahu bagaimana cara kita akan pergi, bila dan di mana? Apa yang mampu kita lakukan ialah kita berdoa kepada Allah swt dengan doa-doa berikut:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ بِأَسْمَائِكَ الْحُسْنَى وَصِفَاتِكَ الْعُلَى أَنْ تَجْعَلَ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا ، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِيْمَهَا ، وَخَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ ، وَخَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ ، وَخَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلَقَاكَ