NOTA 18 RAMADAN “ HARI PEMBEZA”

NOTA 18 RAMADAN “ HARI PEMBEZA”

Firman Allah (s.w.t) dalam ayat 41 surah al-Anfal:

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ إِنْ كُنْتُمْ آَمَنْتُمْ بِاللَّهِ وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَى عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (41)

Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir Yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa Yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada “Hari Al-Furqaan”, Iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Hari al-Furqan iaitu hari pembeza antara dua pihak, pihak yang memperjuangkan kebenaran iaitu tentera Islam dan pihak batil yang terdiri dari tentera kafir. Ia merujuk kepada perang Badar. Allah s.w.t telag memberi kemenangan kepada Islam dalam perang Ini walaupun bilangan tentera Islam hanya 313 orang berbanding  1000 orang. Hari ini menyaksikan tewasnya dan matinya pemimpin-pemimpin Quraisy seperti Abu Jahal dan lain-lain. Ia berlaku pada pagi Jumaat 17 Ramadan tahun kedua hijrah.

Peperangan ini berlaku apabila dua golongan daripada satu bangsa, satu keturunan, satu bahasa dan satu tanah air bertembung. Satu golongan menerima al-Quran dan berjuang meninggikannya dan satu golongan yang berkeras dan menentang al-Quran. Di atas dasar keyakinan itulah mereka sanggup berjuang menghadapi musuh-musuh Islam dari kalangan keluarga dan sebangsa dengan mereka. Maka berlakulah peperangan Badar yang diizinkan oleh Allah kepada orang-orang Islam kerana mereka diperangi dan untuk meninggikan syariat Islam dan menentang golongan kuffar.

Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 39-40:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ (39) الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40)

” Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar maha berkuasa menolong mereka. Iaitu orang-orang yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: ” Tuhan Kami hanyalah Allah.” Dan sekiranya Allah tiada menolak pertembungan sebahagian manusia dengan manusia yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang  Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Rasulullah saw terpaksa berhijrah ke Madinah bersama-sama sahabat Muhajirin dan kemudian bergabung dengan golongan Islam di Madinah yang menerima Islam dan bersedia memberi pertolongan kepada golongan Muhajirin Makkah. Rasulullah mempersaudarakan kedua-dua golongan ini yang dari tanah air berlainan atas dasar keimanan kepada Allah dan keyakinan kepada Islam. Mereka telah bergabung sehingga berjaya menegakkan Negara Islam pertama di bawah pimpinan Rasulullah saw. Persaudaraan dan tertegaknya Islam di madinah menyebabkan golongan Jahiliyyah tidak senang , sehingga mereka menubuhkan satu pasukan tentera untuk menghancurkan Negara Islam. Maka berlakulah peperangan pertama yang hebat yang ditetapkan oleh Allah berlaku pada bulan Ramadan, di suatu tempat bernama Badar.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (123)

Dan sesungguhnya Allah telah memberi pertolongan kepada kamu(dalam peperangan) di Badar, sedangkan kamu pada masa itu lemah ( surah Ali Imran ayat 123)

Pertembungan kedua belah pihak di dalam peperangan Badar secara tidak seimbang. Golongan yang dipimpin oleh Rasulullah saw hanya berjumlah 300 orang sahaja dan tidak mempunyai kelengkapan senjata yang cukup lengkap, bertembung dengan golongan Abu Jahal 1000 orang bala tentera lengkap bersenjata. Bilangan yang sedikit tidak menjejaskan tentera Islam malah mereka diberi kemenangan yang gemilang kerana mereka memiliki kekuatan aqidah, keimanan dan keyakinan serta pergantungan ikhlas kepada Allah Taala.

Keyakinan ini dinyatakan oleh para sahabat diwakili oleh al-Miqdad bin Aswad : Wahai Rasulullah, kami tidak akan berkata kepada kamu sebagaimana berkata Bani Israil kepada Nabi Musa “ Pergilah kamu bersama-sama Tuhan kamu berperang, kami di sini mahu duduk saja”. Tetapi kami berkata : “ Pergilah kamu bersama-sama Tuhan kamu berperang, kami juga akan berperang bersama-sama kamu”.

Inilah ikrar yang diucapkan oleh para sahabat r.a. Ia bukan sebarang ikrar tetapi ikrar yang terbit daripada hati yang yakin dan ikhlas kepada Allah, bukannya ikrar yang hanya terbit daripada lidah yang tidak bertulang, yang boleh berkata-kata dengan mudah. Sehingga ada di antara orang Islam yang mahu memakan kurma di tangannya berkata, “Tidak ada yang menghalang aku  berperang kecuali buah tmar ini”. Lalu dia membuang buah kurma di tangannya, terus meluru merempuh musuh sehingga mati syahid.

Dasar perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat ialah sebagai menyatakan ubudiyyah dan ketundukan kepada Allah Taala dan untuk mengajak seluruh manusia supaya menyembah dan beribadah hanya kepada Allah, bukan kepada yang lain, sebagaimana ucapan doa yang diucapkan oleh Rasulullah saw di dalam peperangan tersebut:

“ Ya Allah, sekiranya golongan yang kecil dan dikalahkan, nescaya Engkau tidak akan disembah lagi.”

Sementara golongan jahiliyyah tetap angkuh dan mahu apa yang mereka mahukan walaupun jelas bercanggah dengan kebenaran. Yang mereka utamakan hanyalah menjaga hubungan kekeluargaan walaupun di atas dasar kesesatan dan bercanggah dengan dasar pengabdian dan ketundukan kepada Allah. Ini jelas di dalam doa Abu Jahal :  “Ya Allah, dia merupakan orang yang paling memutuskan hubungan keluarga, membawa ajaran yang tidak dikenali, maka musnahkan dia hari ini.”

Allah Taala memperkuatkan dan memberi sokongan kepada ahli Badar dengan tentera malaikat yang dipimpin oleh malaikat Jibrail, semulia-mulia makhluk ghaib. Sementara tentera musyrikin jahiliyyah diberi sokongan oleh sahabat-sahabat makhluk ghaib iaitu iblis.

Oleh itu kita perlu sedar bahawa bukan sahaja di dalam bulan Ramadan kita membuktikan pengabdian kepada Allah dengan berpuasa menahan diri daripada makan dan minum, dan kita sedar bahawa perintah Allah mesti didahulukan daripada kepentingan nafsu dan perut, maka kita juga perlu menyedari bahawa membuktikan kepada Allah Taala dengan berjuang menegakkan syariat Islam lebih penting daripada segala-galanya.

Itulah salah satu pengajaran dari bulan Ramadan yang mulia ini . Bukan sahaja dengan berpuasa tetapi juga  dengan mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalamnya.

DI AKHIR NOTA INI SAYA CATATKAN KESUDAHAN ABU JAHAL YANG SANGAT BANYAK MENYAKITI RASULLULLAH SAW.  Saya bawakan satu doa contoh untuk melihat bagaimana kesudahan manusia yang sombong dan angkuh ini…manusia yang disifatkan oleh Nabi saw sebagai FIR’AUN UMATKU…Ucapan yang disebut oleh Nabi saw semasa baginda melihat matinya Abu Jahal dalam perang Badar padahal dia adalah salah seorang dari dua Umar yang diminta oleh baginda s.a.w supaya diberi petunjuk. Rupanya Allah s.w.t  memilih Saidina Umar bin al-Khattab r.a dan bukannya ABU JAHAL Amru bin Hisyam. Semoga Allah s.w.t bangkitkan kita di akhirat nanti bersama Rasululllah s.a.w…bersama Abu Bakar r.a, bersama Umar r.a dan para sahabat dan hamba-hamba-Nya yang soleh

KISAH PERTAMA: ABU JAHAL MENDAKWA INGIN MEMIJAK TENGKUK RASUL SAW

Dari Abu Hurairah (r.a) katanya:

Abu Jahal bertanya: “Adakah Muhammad sedang meletakkan wajah di atas tanah( sujud) di hadapan kamu.”

Lalu seorang menjawab: “Ya.”

Abu Jahal berkata: “Demi al-Lat dan al-Uzza, kalau saya melihatnya berbuat demikian(sujud), aku akan memijak tengkuknya atau aku letakkan di wajahnya tanah.”

Abu Jahal pun datang kepada Rasulullah s.a.w yang sedang solat dan Abu Jahal berkata dia hendak memijak kepalanya.

Apabila beliau menghampiri Rasululullah (s.a.w) dia akan kebelakang dan berlindung dengan kedua tangannya lalu ditanya kepadanya: “Apa halnya kamu?”

Abu Jahal menjawab: “Di antaraku dengannya ada parit api, makhluk yang menyeramkan dan memiliki sayap.”

Rasulullah   (s.a.w) bersabda: “Kalau dia mendekatainya maka dia akan disambar oleh malaikat dan anggotanya akan patah satu persatu.”

[Hadith riwayat Imam Muslim dalam kitab sifat-sifat orang munafiq, no.2797, Ahmad j.2,h.370, Ibnu Kathir dalam tafsirnya, j.4,h.529. Menurutnya: Hadith riwayat Ahmad, Muslim, al-Nasai, Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir dalam tafsirnya, j.30,h.256 dan al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah, j.1,h.438]

KISAH KEDUA: ABU JAHAL MENCABAR RAKAN-RAKANNYA UNTUK MELETAKKAN SISA SEMBELIHAN DI SAAT NABI SAW SEDANG SUJUD

Dari Abdullah bin Mas’ud juga:

Suatu ketika Rasulullah s.a.w sedang berada di Masjidil Haram. Sementara itu Abu Jahal bin Hisyam, Syaibah serta Utbah kedua-duanya anak lelaki Rabi’ah, Walid bin Uqbah, Uqbah bin Abu Mu’ait Umaiyah bin Khalaf; Abu Ishak menyatakan : Dan dua lelaki lain yang aku lupa namanya, kesemuanya  tujuh orang. Mereka semua berada di Hijir Ismail dan Rasulullah (ﷺ) sedang solat. Apabila Rasulullah  s.a.w  memanjangkan sujudnya, Abu Jahal berkata: Siapakah di antara kamu yang berani pergi ke tempat sembelihan yang dimiliki oleh suku Fulan dan membawa sisa-sisa najis sembelihan dan meletakkannya ke atas Muhammad. Orang yang paling teruk daripada mereka iaitu ‘Uqbah bin Abu Mu’ait pergi mengambil sisa-sia sembelihan lalu meletakkannya ke atas bahu baginda (s.a.w) yang sedang sujud.

Ibnu Mas’ud menyebut: Aku hanya mampu berdiri dan tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana tiada orang yang dapat melindungiku. Aku pun pergi. manakala Fatimah apabila mendengar apa yang berlaku, dia datang kepada Rasul   (s.a.w) datang. Dia membuang kotoran yang ada tengkuk Rasul (s.a.w) kemudian memarahi orang-orang Quraisy dan mereka tidak membalas kata-kata Fatimah (r.a).

 

Nabi   (s.a.w) kemudian mengangkat kepalanya dari sujud. Setelah Nabi (s.a.w) selesai dari sembahyangnya, baginda   (s.a.w) berdoa ke atas mereka.

Ya Allah! aku serahkan kepada Engkau urusan orang-orang Quraisy… Ya Allah! aku serahkan kepada Engkau  Utbah,  ‘Uqbah,  Abu Jahal dan Syaibah”

 

Rasulullah (s.a.w) Kemudiannya keluar dari masjid dan baginda bertembung dengan Abu al-Bukhturi di jalan berlenggang-lenggang membawa cemeti  Apabila beliau melihat Nabi saw dengan wajah yang lain. Nabi pun berkata : “Biarkanlah aku.” Abu al-Bukhturi berkata: “Demi  Allah beritahulah apa yang telah berlaku ke atasmu, tentu telah terjadi sesuatu ke atas dirimu.”

Apabila Nabi saw tahu bahawa baginda tidak akan dilepaskan darinya maka Nabi saw memberitahu apa yang telah berlaku.  Rasulullah bersabda “Sesungguhnya Abu jahal menyuruh orang meletakkan najis ke atasku.” Maka Abu al-Bukhturi pun berkata : “Ayuh kita ke Masjid.’’

Maka Nabi saw dan Abu al-Bukhturi menuju ke masjid dan memasukinya. Kemudian Abu al-Bukhturi menemui Abu Jahal dan berkata : “Wahai Abu al-Hakam , Kamukah yang menyuruh supaya meletakkan najis ke atas diri Muhammad? “. Abu Jahal menjawab : “Ya.” Lalu dia mengangkat cemetinya dan memukul kepalanya. Ibnu Mas’ud menyebut  maka lelaki yang ada di situ saling berbantah-bantahan di antara satu sama lain. Abu Jahal menjerit : “Celaka !!! Sesungguhnya Muhammad menanamkam permusuhan di  antara kita”

Dalam riwayat lain, Apabila Rasulullah saw mengangkat kepalanya baginda  mengucapkan syukur kepada Allah dan memuliakanNya kemudian berdoa:

“ Ya Allah jatuhkanlah hukuman  ke atas  pemimpin Quraisy.”

[al-Haythami menyebut(j.6.h.18):Hadith Ibnu Mas’ud dalam sahih menyebut kisah al-Buhturi dengan oendak. Hadith ini riwayat al-Bazzar dan al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat dan di dalam perawinya terdapat al-Ajlah bin ‘Abdullah al-Kindi dan dia seorang yang thiqah di sisi Ibnu Ma’in dan lain-lain. Menurut al-Nasai dan lain-lain al-Ajlah seorang yang daif. Hadith hasan Insya-Allah. Lihat ulasan dalam takhrij hadith 89]

KESUDAHAN ABU JAHAL

Hadis Abdul Rahman bin Auf r.a   katanya:

Ketika aku berdiri di tengah-tengah barisan semasa peperangan Badar aku menoleh ke kanan dan ke kiriku, tiba-tiba aku terpandang dua orang pemuda Ansar yang masih remaja. Aku benar-benar berhasrat untuk bersama dengan mereka berdua. Salah seorang daripada mereka mengisyaratkan kepadaku dan bertanya kepadaku: Wahai Pak cik! Apakah pak cik kenal Abu Jahal? Aku menjawab: Ya! Aku mengenalinya, kenapakah kamu memerlukannya wahai anak saudaraku? Lalu dia berkata: Aku pernah diberitahu bahawa Abu Jahal pernah mencaci maki Rasulullah s.a.w . Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sekiranya aku melihat Abu Jahal maka aku akan berlawan dengannya satu lawan satu sehingga terbukti siapa yang akan mati terlebih dahulu. Aku begitu kagum dengan tekad dan semangat anak muda tersebut. Kemudian pemuda yang seorang lagi pun berkata demikian juga kepadaku.

Tidak berapa lama kemudian aku melihat Abu Jahal muncul dari kejauhan dan mundar-mandir di antara orang ramai. Aku katakan kepada kedua orang pemuda itu: Bukankah sekarang kalian sudah melihat Abu Jahal. Itulah dia lawan yang kamu berdua tanyakan tadi. Lalu mereka mendekati Abu Jahal dan tanpa menunggu lebih lama lagi mereka menghunus pedang ke arah Abu Jahal sehingga dia meninggal dunia pada waktu itu juga. Kemudian mereka berdua menemui Rasulullah s.a.w  dan memberitahu kepada baginda. Rasulullah  s.a.w  lalu bertanya kepada mereka: Sebenarnya siapakah di antara kamu berdua yang telah membunuhnya? Kemudian mereka berdua masing-masing mengaku sebagai pembunuhnya. Rasulullah ﷺ bertanya lagi: Apakah kamu berdua telah menyapu pedang kamu berdua? Mereka menjawab: Tidak! Selanjutnya Rasulullah  s.a.w memeriksa pedang mereka. Setelah puas lalu baginda bersabda: Kalian berdua telah membunuhnya. Akhirnya Rasulullah s.a.w  memutuskan bahawa harta orang yang terbunuh tersebut adalah untuk Muaz bin Amru bin Al-Jamuh. Dua orang pemuda tersebut bernama Muaz bin Amru bin Al-Jamuh dan Muaz bin Afra’.

( HR al-Bukhariyy dalam kitab peperangan bab kelebihan mereka yang menyertai Badar, no. Hadith 3988, Imam Muslim dalam kitab jihad dan perjalanan bab orang yang membunuh musuh mendapat bahagian dari harta yang dibunuh, no. Hadith 1752, al-Hakimj. 3, h. 425, al-Tabariyy dalam sejarah j. 3, h. 454, al-Baihaqiyy dalam Dalail, j. 3, h. 83)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s