NOTA  24 RAMADAN “  UMRAH DI BULAN RAMADAN MENYAMAI  HAJI DAN MENCARI LAILATUL QADR DI MAKKAH

Sabda Nabi s.a.w:

عن ابن عباس رضي الله عنهما : أنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم ، قَالَ : (( عُمْرَةٌ في رَمَضَانَ تَعْدِلُ حَجَّةً – أَوْ حَجَّةً مَعِي )) متفقٌ عَلَيْهِ

Dari Ibnu ‘Abbas r.anhuma bahawa Nabi s.a.w bersabda: “ Umrah di bulan Ramadan menyamai (ganjarannya) mengerjakan haji atau haji bersamaku” Hadith MUTTAFAQUN  ‘ALAYHI

Antara nikmat yang tidak dilupakan oleh seorang di saat seorang itu terpilih menjadi tetamu Allah di bulan Ramadan. Nikmat itu lebih besar apabila seorang itu berada pada sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadan. Bayangkan sewa bilik yang sederhana pada awal ramadan ialah sekitar SR200 ia melambung kepada  SR1500-SR2000 satu malam. Saya pernah diberitahu oleh seorang pemandu Bas Saudi bahawa bayaran ansuran bas mereka dibayar dua kali setahun iaitu selepas Ramadan dan selepas haji. Inilah dua musim mereka mendapat rezeki yang banyak.. Orang yang melakukan umrah pada bulan Ramadan diberi ganjaran menyamai haji. Mengerjakan umrah di bulan Ramadan sangat mencabar. Cabaran pertama ia dilakukan dalam keadaan kita berpuasa sekiranya dilakukan di siang hari dan kesesakan pada malam hari. Di catatkan di sini sedikit panduan jadual bagi  mereka yang ingin beribadat pada sepuluh malam terakhir di Makkah.

TIPS : CADANGAN JADUAL RAMADAN DI MASJDIL HARAM ( MALAM)

45 minit  sebelum maghrib bertawaf di dataran putih.  Apabila saf mula dibentuk iaitu kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu bolehlah seseorang mula berdiri atau duduk dalam saf  yang mula dibentuk. Insya Allah dengan cara ini seseorang  boleh berbuka tidak jauh dari imam. Bagi mereka yang memilih kaedah ini dinasihatkan supaya bersedia dengan sebotol air zam-zam dan tamar untuk berbuka.  Jika seseorang itu berkelapangan dari sudut kewangan, dia boleh membeli sekotak rutab…tak mahal pun iaitu SR10 sekotak…dan mengagihkan kepada para Jemaah…Waktu maghrib biasanya di imamkan oleh Dr. Abdul Rahman al-Sudays. Pada tahun ini pada akhir Ramadan maghrib kadang-kadang diimamkan oleh Dr. Bandar Baleela.  Sekiranya tawaf belum dihabiskan sebelum maghrib , maka seseorang itu boleh menyambungnya selepas maghrib kecuali pada malam 27 Ramadan. Ia waktu puncak yang sangat mencabar iaitu  sebelum maghrib 27 Ramadan dan tawaf selepas maghrib 27 Ramadan. Pergerakan tawaf sangat lambat kerana ruang tawaf yang sangat sesak. Seseorang itu akan bergerak  setapak demi setapak kerana setiap ruang tawaf penuh dengan manusia.  Diingatkan juga bagi mereka yang solat didataran putih untuk segera meninggalkan tempat solat kerana sebaik sahaja solat proses pembersihan dataran putih akan dilaksanakan oleh petugas pembersih masjidil Haram berbaju hijau. Jika seseorang tidak bergerak maka dia akan terkena air beserta sabun!

 

Seseorang mempunyai dua pilihan sama ada keluar dari masjid untuk berbuka di kedai-kedai makanan atau dihotel melalui pakej yang disediakan oleh travel agen. Sekiranya memilih untuk membeli di kedai  seseorang perlu bersabar dan menghabiskan masa berharga terutama pada 10 malam terakhir yang diharap pada salah satunya malam LAILATUL QADAR kerana perlu beratur panjang. Lebih baik makan malam selepas selesai terawih dan memilih berada di dalam masjidil Haram dengan menyediakan sedikit tamar sebagai makanan dan minumannya memang sudah tersedia AIR ZAM-ZAM. Ruang antara maghrib sehingga azan Isyak…Kebiasaannya masa antara azan maghrib diperpanjangkan  untuk memberi ruang para Jemaah mencari makanan berbuka (MAKAN MALAM). Ianya dua jam selepas azan maghrib…Contohnya waktu berbuka jam 6.30 petang, maka azan Isyak ialah pada jam 8.30 malam. Maka selang masa antara maghrib dan Isyak boleh diisi sama ada dengan melakukan tawaf sunat atau menyempurnakan tawaf sunat yang belum selesai sebelum maghrib. Ia juga boleh diisi dengan menghadiri halaqah-halaqah ilmu yang tetap diteruskan sepanjang bulan Ramadan atau melakukan amalan peribadi seperti membaca al-Qur’an, berzikir, solat sunat mutlak dan lain-lain

 

Bagi yang keluar dari masjidil Haram, apabila kawasan dalam masjid telah penuh,maka barisan petugas yang terdiri dari tentera dan sukarelawan unit beruniform dari sekolah-sekolah di Makkah akan membuat sekatan. Tidak ada lagi orang yang boleh masuk kecuali mereka yang berpakaian ihram untuk mereka menyempurnakan umrah mereka.  Sekatan ini akan berterusan sehingga selesai solat sunat terawih sekitar jam 10.30 ke 10.45 malam. Setiap malam solat terawih dipimpin oleh dua imam. Sebelum sepuluh malam terakhir witir akan dilakukan sebaik sahaja solat terawih selesai. Apabila masuk 21 Ramadan witir dilewatkan sehingga selepas solat tahajjud. Sekatan yang sama juga semasa SOLAT TAHAJJUD!

 

                Antara jam 10.30 hingga satu pagi bolehlah seseorang itu keluar untuk menunaikan keperluan mereka seperti makan malam dan sebagainya dan yang lebih baik terus beri’ktikaf di masjid. Pada jam satu pagi SOLAT TAHAJJUD BERJEMAAH  akan bermula dengan dipimpin oleh dua orang Imam.  Imam pertama akan memimpin  enam rakaat pertama solat tahajjud, manakala imam kedua memimpin 4 rakaat tahajjud di tambah dengan tiga rakaat witir. Solat malam diakhiri dengan doa Qunut witir antara 15-20 minit pada malam-malam biasa manakala pada malam 27 Ramadan diimamkan oleh Dr. Abdul Rahman al-Sudays dengan doanya antara 25-30 minit. Biasanya Qunut pada malam-malam ganjil dari sepuluh akhir dipimpin oleh Imam Sudays manakala malam-malam genap secara bergilir seperti Dr. Khaleed al-Ghamidi, Dr. Bandar Baleela. Solat Tahajjud biasanya berakhir sekitar jam 2.30 pagi dan pada malam 27 Ramadan sekitar jam 2.45. Siaran langsung solat tahajjud boleh dilayari di laman web berikut jam 6.00 pagi waktu Malaysia. Hebatnya TAHAJJUD di Makkah ia dilakukan oleh lebih 2 JUTA JEMAAH!

 

Biasanya waktu yang  lengang di dalam masjidil Haram   ialah selepas solat tahajjud dan witir kerana jemaah pulang dan mencari sahur. Ia kembali penuh selepas azan pertama dilaungkan iaitu kira-kira satu jam. Masa-masa kosong yang lain bolehlah diisi dengan amalan sunat yang lain.

MENGENALI IMAM-IMAM TERAWIH 1436H DI MASJIDIL HARAM.

Kali ini saya catatkan dua dari imam yang masih baru memimpin terawih atau Tahajjud.

1)Syaikh Dr. Yasir al-Dosarry (Sumber Wikepedia)- MULAI RAMADAN 1436H

Imam Yasir

 

Dr. Yasir al-Dosarry kali pertama menjadi imam Terawih pada malam kedua Ramadan 1436H:

Beliau antara imam termuda di Masjidil Haram. Beliau  yang merupakan salah seorang Qari Saudi yang masyhur dilantik untuk memimpin terawih pada Ramadan 1436H. Imam ini dilahirkan pada tahun 1400 hijrah iaitu 1980. Usianya sekarang 36 @ 35 tahun. Beliau memperolehi ijazah sarjana muda Syariah dari Universiti Imam Muhammad bin Sa’ud al-Islamiah. Setelah menamatkan pengajiannya beliau bertugas sebagai setiausaha di Persatuan Menghafaz al-Qur’an al-Amir Sultan “ JAM’IYYAH AL-AMIR SULTAN LI TAHFIZ AL-QUR’AN”  di bawah tentera udara selama dua tahun.Tujuh tahun kemudaian dia belajar  peringkat M.A dalam bidang Fiqh Muqarin di Ma’had Aliyy Lil Qada’ (Kolej Tinggi Qadi) di university yang sama. Akhirnya beliau mendapat sijil Dr Falsafah dari Ma’had Aliyy dengan tesisnya berjudul: “ AL-FURUQ AL-FIQHIYYAH ‘INDA AL-HANAFIYAH FI AL-BUYU’” – Maksudnya: Perbezaan Fiqh di sisi Hanafiyah dalam bab Jual Beli”

 

                Beliau menjadi imam di pelbagai masjid, antaranya Masjid Abdullah al-Khalifi selama dua tahun, kemudian beberapa tahun di masjid al-Kauthar. Ini diikuti di Jami’ al-Imam Abdullah bin Sa’ud selama 5 tahun seterusnya di Jami’ al-Syaikh ‘Abdul Aziz bin Baz beberapa tahun. Sejak tahun 1426H beliau menjadi Imam di Jami’ al-Dakhil di Bandar Riyadh dan pada bulan Ramadan 1436H beliau dilantik menjadi imam terawih di MASJIDIL HARAM.

 

                Beliau juga merupakan PENSYARAH bermula dengan pensyarah kanan kemudia n Profesor Madya di Univesiti al-Malik al-Su’ud, Beliau juga anggota kepada beberapa pertubuhan seperti pertubuhan fiqh ilmiah Saudi, pertubuhan ilmiah Sa’udi untuk al-Qur’an dan ‘Ulum al-Quran, pertubuhan kajian Dakwah Saudi, anggota lajnah Eropah Pertubuhan Antarabangsa Pemuda Islam serta anggota pertubuhan kebajikan di bandar al-Kharaj.

 

GURU-GURU BELIAU

                Beliau belajar dengan beberapa Qurra’ antaranya

(a)Syaikh Bakri al-Tarabisyi salah seorang yang mempunyai sanad al-Quran yang paling tinggi  “ A”ALA ISNAD” di dunia

(b) Syaikh Ibrahim al-Akhdar syaikh Qurra’ Madinah

(c) Syaikh Muhammad Tamim salah seorang ahli lembaga semakan al-Mushaf al-Syarif  di Kilang Percetakan al-Qur’an  King Fadh

(d)Syaikh Mahmud bin ‘Umar Sukkar

(e)Syaikh Ahmad Khaleel Syahin

(f)Syaikh Sa’d Sunbul

(g) Syaikh Abdullah al-Jarullah.

 

                Beliau juga  berguru dengan Syaikh Abdullah bin Jabrin, Syaikh ‘Abdul Aziz bin ‘Abdullah Al Syaikh, Mufti Saudi, syaikh Soleh al-Fawzan, syaikh Soleh bin ‘Abdullah bin Humayd, Syaikh Sa’d al-Syathri, Syaikh Soleh bin ‘Abdul Aziz Al al-Syaikh, syaikh Muhammad bin Hasan Al al-Syaikh, syaikh Ya’qub al-Bahisin, syaikh Abdul Aziz bin Ibrahim al-Qasim, syaikh Abdul Aziz bin Abdullah al-Rajihi.

                Beliau juga terlibat dalam seminar  peringkat antarabangsa yang di adakan di Mesir, Turki, Riyadh. Beliau juga pernah mengetuai Lajnah Hakim pertandingan dua wahyu : al-Quran dan al-Sunnah yang berlangsung di Liverpool, hakim pertandingan al-Qur’an di peringkat kementerian pertahanan Saudi.

 

Beliau juga menyampaikan ceramah anjuran kerajaan dan di luar Saudi. Beliau juga keudara melalui saluran internet , siaran-siaran radio, internet disamping menulis di akhbar tempatan dan majalah-majalah. Beliau juga banyak menghasilkan karya-karya ilmiah dan buku.

 

Beliau mempunyai web peribadi yang boleh dilayari iaitu:

www.aldosry.net/

KISAH MENGHAFAZ AL-QUR’AN

Beliau menghafaz al-Qur’an sejak kecil semasa keluarganya mencari kehidupan di Bandar Riyadh. Di sini tempat dia menghafaz al-Qur’an. Kisahnya menghafaz al-Qur’an bermula pada zaman kanak-kanak. Dia pernah meminta dari bapanya untuk membelikannya alat eletronik. Bapanya mensyaratkannya menghafaz Juzuk ‘Amma. Beliau berjaya menghafaznya dan memperolehi apa yang dikehendaki. Ini permulaan hatinya berminat dengan al-Qur’an. Bapanya kemudian menghantarnya ke sekolah Tahfiz al-Quran dibawah kementerian pendidikan “ Wizarah al-Maa’rif” sehingga dia dapat menghafaz al-Qur’an dengan cepat sekali. Semasa berusia 15 tahun dia sudah mula menjadi imam di masjid yang kecil walaupun ketika itu penerimaan seorang budak berusia 15 tahun menjadi imam tidak diterima. Masjid ini masjid kecil dan bukannya masjid rasmi. Apabila usianya mencecah 18TAHUN dia dilantik secara rasmi oleh Kementerian Hal Ehwal Islam sebagai Imam Masjid di Riyadh. Dia berpandangan imam semasa kecil adalah perkara yang positif dalam membantu seseorang menghafaz al-Quran dan menjaga akhlak namun sekiranya masa belum sesuai maka ia perlu dielakkan sekalipun memiliki suara yang merdu.” Sumber Web Rasmi Dr Yasir al-Dosry

 

 

 

2) Dr Bandar Abdul Aziz  Baleelah (MULAI RAMADAN 1435H)- Terjemahan dipetik dari web Indonesia

syaikhbandar

 Syaikh Memimpin Solat Tahajjud Pada malam 24 Ramadan 1436H

– Lahir di Makkah tahun 1395 AH.
– Memperoleh gelar Master di 1422 AH di Fiqh dari College of Studi Islam Syariah dan dari Umm al-Qura University.
– Meraih gelar doktor dalam Fiqh dari Fakulti  Syariah pada tahun 1429 AH dari Universiti Islam Madinah.
– Bekerja sebagai guru fiqh di Institut Haram al-Sharif bahagian pengajian tinggi
– Beliau sekarang asisten profesor di University of Taif.
– Menjabat sebagai Imam dan khatib Masjid Ameera Nouf di daerah  Aziziyah di Makkah,dan setelah itu di Masjid Bin Baz.
– Diangkat sebagai Imam dari Masjid al Haram pada Minggu 1434/12/09 AH.
– Diangkat sebagai permanen Masjid al Haram pada hari Rabu, 4/12/1434AH
– Mengimami shalat pertama di Masjid al Haram pada 1434/05/12, pada waktu Maghrib.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s