Category Archives: Travelog Ramadan

Mengenali Imam Masjidil Haram Dari Dekat (Siri 1)

IMAM-IMAM MASJIDIL HARAM : AS-SYAIKH DR. ABDUL RAHMAN AS-SUDAYS

Sumber: أئمة الحرمين  (1343H-1432H)karangan Dr.Abdullah bin Ahmad al-Ghamidi

DOA KHATAM AL-QURAN 1433H

TEMURAMAH SALURAN KUWAIT BERHUBUNG DOA IBU SYAIKH SUDAYS SEMASA KECIL

Beliau antara imam yang paling lama bertugas di masjidil haram. Biasanya beliau menjadi imam maghrib setiap malam Ahad hingga malam Rabu sekiranya beliau tidak bertugas diluar.

Nama penuh beliau ialah Abu Abdul Aziz Abdul Rahman bin Abdul Aziz bin Abdullah bin Muhammad bin Abdul Aziz bin Muhammad bin Abdullah. Beliau terkenal dengan panggilan al-Sudays. Merupakan anak kelahiran Riyadh tahun 1382H (sekarang 1433H-51 tahun).

Beliau menghafaz al-Qur’an semasa berusia 12 tahun. Bapanya telah menghantar beliau belajar di Jamaah (kumpulan) Tahfiz al-Qur’an al-Karim yang berada di bawah penyeliaan Syaikh Abdul Rahman bin Abdullah A:l Faryan.

Beliau membesar di Riyadh dan belajar di sekolah rendah al-Muthanna bin Harithah kemudian Ma’had Ilmiyy juga di Riyadh. Antara gurunya yang terkenal ialah Syaikh Abdullah al-Munif dan Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Tuwayjiri. Beliau menamatkan pengajiannya di Ma’had pada tahun 1399H dengan keputusan imtiyaz. Beliau selanjutnya menyambung pengajiannya di Kuliah Syariah di Riyadh sehingga tahun 1403H. Antara guru-guru di sini ialah:

1.Syaikh Salih al-‘Aliyy al-Nasir

2.Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah Al Syaikh

3.Dr. Syaikh soleh bin Abdul Rahman al-Atram

4.Dr.Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman bin Jabrin

5.Syaikh Abdul Aziz al-Daud

6.Syaikh Fahd al-Hamin

7.Syaikh Dr. Soleh bin Ghanim al-Sadlan

8.Syaikh Dr.Abdul Rahman bin Abdullah al-Darwish

9.Syaikh Dr. Abdullah bin Aliyy al-Rukban

10.Syaikh Dr. Abdul Aziz bin Abdul Rahman al-Rabi’ah

11.Syaikh Dr.Ahmad bin ‘Aliyy Sayr al-Mubarakiyy

12.Syaikh Dr. Ahmad Abdul Rahman al-Sadhan

Beliau pernah menjadi imam di beberapa masjid di ibu kota Riyadh dan yang terakhirnya di masjid  (Jami’) al-Syaikh al-‘Allamah Abdul Razaq al-‘Afifi

Selain menuntut ilmu di university beliau turut menuntut ilmu di masjid-masjid antaranya dengan:

1.Syaikh Abdul Aziz bin Baz

2.Syaikh al-‘Allamah Abdul Razzaq ‘Afifi

3.Dr.Soleh al-Fawzan

4.Syaikh Abdul Rahman bin Nasir al-Barak

5.Syaikh Abdul Aziz Abdullah al-Rajihi

Pada tahun 1404H beliau dilantik menjadi Imam dan khatib di masjidil haram dan memulakan tugasnya pada 22 Sya’ban 1404H, hari Ahad sebagai imam solat Asar dan khutbahnya yang pertama juga pada bulan Ramadan iaitu pada  15 Ramadan,

Pada tahun 1408H beliau memperolehi sarjana dengan pangkat mumtaz dari Kuliyah Syariah, Universiti Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyah bahagian usul fiqh dengan tesisnya bertajuk: المسائل الأصولية المتعلقة بالأدلة الشرعية التي خالف فيها ابن قدامة الغرالى)  di bawah penyeliaan dua penyelia, yang pertamanya dengan Syaikh al-‘Allamah Abdul Razzaq Afifi dan disebabkan masalah kesihatan, beliau diselia oleh Syaikh Dr. Abdul Rahman al-Darwisy.

Selanjutnya al-Sudays bertugas di bahagian Qadi di Kuliah Syariah, Universiti Ummul Qura di Mekah.

Pada tahun 1416H beliau memperolehi ijazah doktor falsafah  dengan pangkat mumtaz beserta cadangan tesis  dicetak di university Ummul Qura berjudul الواضح في أصول الفقه لأبي الوفاء بن عقيل الحنبلى دراسة وتحقيق.  Penyeliau beliau ialah Dr.Ahmad Fahmi Abu Sunnah dan disemak oleh Dr.Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turki, Menteri Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan, Dr. ‘Aliyy bin Abbas al-Hukmiyy, ketua bahagian pengajian tinggi Syariah, Universiti Ummul Qura.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai pensyarah kanan di university Ummul Qura serta meneruskan tugasnya menjadi imam, khatib dan tenaga pengajar di masjidil haram pada tahun 1416H. Beliau mengajar selepas maghrib  di masjidil haram dalam pelbagai disiplin ilmu termasuklah aqidah. Fiqh, tafsir dan hadith di samping terlibat dalam memberi fatwa pada musim haji dan lain-lain.

Beliau juga banyak mengembara di dalam Arab Saudi dan luar Saudi dalam pertemuan, muktamar dan merasmikan pembukaan masjid dan pusat-pusat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Beliau juga terlibat dalam pertubuhan akademik, dakwah dan kebajikan. Antaranya beliau dicadangkan oleh Syaikh Abdul Aziz bin Baz untuk terlibat sebagai anggota syariah badan al-Ighatah al-Islamiah yang berada di bawah pertubuhan Rabitah al-Alami al-Islamiyy (Kesatuan Dunia Islam).

Beliau juga ada menulis dalam media massa, terlibat dalam aktiviti dakwah dalam ceramah-ceramah dan seminar di dalam dan luar Negara. Antara karya tulisan beliau selain tesisnya ialah:

-Kawkabah al-Khutab al-Munifah Min Jiwar  al-Ka’bah al-Syarifah

-Ittihaf al-Musytaq Bi Lamahat Min Minhaj wa Sirah al-Syaikh Abdul Razzaq

-Ahamm Muqawwimat fi solah al-Mu’allimin wa al-Mu’allimat

-Dawr al-‘Ulama’ fi Tabligh al-Ahkam al-Syar’iyyah

-Risalah Ila al-Mar’ah al-Muslimah

-al-Ta’liq al-Ma’mul  ‘Ala Thalatah usul

-Al-Idahat al-Jaliyah ‘ala al-Qawa’id al-Khams al-Kulliyah

Terjemahan: Dr. Norazamudin bin Umar

Advertisements

Kuliah Subuh 7 Syawal: Apa selepas Ramadan Part 2&3

Antara intipati:

1) Kisah jiran kubur Said Hawwa bermimpi melihat Said Hawwa di dalam kubur membaca al-Qur’an tidak berhenti-henti

2)Kesedihan terhadap muslimat yang bertudung di bulan Ramadan tetapi apabila menyambut ‘idul fitri dan menghadiri kebaikan ini dihancurkan dengan mendedahkan aurat

PART 3

Kuliah Subuh 7 Syawal: Apa selepas Ramadan Part 1

KEAJAIBAN SEDEKAH : 100 RIBU DALAM MASA SEBULAN!!!ALANGKAH BAIKNYA SEKIRANYA KITA BERINFAQ SEPERTI INI PADA BULAN-BULAN LAIN(Bahagian 1)

KEAJAIBAN SEDEKAH OLEH: ABU AWATIF

ALHAMDULILLAH! ALHAMDULILLAH!ALHAMDULILLAH,  saya bagi pihak Jawatankuasa DANA PEMBANGUNAN PUSAT PENDIDIKAN ISLAM AN NUR (TAHFIZ) mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua para penderma sekalipun jumlah yang disumbangkan hanyalah 5 sen sahaja kerana menyahut seruan Rasulullah (s.a.w) yang bermaksud: “TAKUTLAH KAMU AKAN API NERAKA WALAUPUN DENGAN SEPARUH BIJI KURMA.”

 

ALHAMDULILAH pada hari terakhir Ramadan kita berjaya mencapai sasaran mengutip dana sebanyak RM100.000.  Jika melihat penyata bank bertarikh 22 Ogos 2012  baki dalam akauan Pusat Pendidikan Islam An Nur ialah RM114, 316.04  ditolak dengan RM10,000 baki dalam akauan sebelum Ramadan dan RM3939 kutipan pada malam 1 syawal dan malam I’dul Fitri maka jumlah yang terkumpul sepanjang Ramadan ialah kira-kira RM100,377.00.

TERIMA KASIH SEKALI LAGI DIUCAPKAN KEPADA PARA PENDERMA SEMOGA ALLAH (S.W.T) MENAMBAHKAN REZEKI MEREKA SEBAGAIMANA YANG DI DOAKAN OLEH PARA MALAIKAT:

اللهم اعط منفقا سلفا ، الله اعط ممسكا تلفا

“  Ya Allah berikan kepada setiap orang berinfaq tambahan harta dan berikan kepada orang yang kedekut kemusnahan harta bendanya.” HADITH MUTTAFAQUN ‘ALAYHI

JUMLAH KUTIPAN SEPANJANG RAMADAN(ANGGARAN)

TEMPAT JUMLAH KUTIPAN
JEMAAH SURAU RIYADUSSOLIHIN RM23338.00
MASJID-MASJID RM24646.00
INDIVIDU DAN ORGANISASI RM16216.00
BANK IN RM30090.00
LAIN-LAIN RM6087.00

Kronologi:

Sebelum Ramadan Jawatankuasa Pendididikan Islam an-Nur (Tahfiz) Ustaz Mohd Jumat bin Abdul Razak al-Hafiz (Pengerusi), Ustaz Ridhuan Othman (Setiausaha) bersama wakil-wakil Pusat Pendidikan Islam an-Nur; Cikgu Hambali Sa’ad (Pengerusi), Ustaz Mohd Radzi Amaran( Setiausaha), wakil Surau Riyadussolihin Ustaz Muhammad Sua’id (Timbalan Pengerusi) dan Ustaz Muhasibi duduk semeja membincangkan masa depan Kelas Tahfiz yang mula beroperasi Januari 2012. Pada tahun 2013 bilangan pelajar bertambah dan kelas yang sedia ada tidak dapat menampung pelajar yang bertambah dari tahun ke tahun. Anggota mesyuarat bersetuju untuk membina kelas yang baru dengan rangka kelas akan dilakarkan oleh arkitek Hj. Syahril…Anggota mesyuarat juga bersetuju untuk melancarkan DANA PEMBANGUNAN PUSAT PENDIDIKAN ISLAM AN NUR (TAHFIZ).

BAHAGIAN 1: 1-10 RAMADAN

Malam 1 Ramadan

Ustaz Muhammad Suaid membuat pengumuman di Surau Riyadussolihin berhubung hasrat PPIAN (TAHFIZ) untuk membina 6 blok kelas. Sumbangan yang pertama diterima ialah sebanyak RM500.00dari seorang sahabat jemaah Surau Riyadussolihin. Sahabat ini terus menyampaikan INFAQNYA beberapa kali dan mengikut perkiraan saya jumlahnya lebih dari RM1500, semoga Allah (s.w.t) memberi keberkatan rezeki kepada sahabat ini.

6 Ramadan

Di sekolah saya mendapat panggilan telefon dari Haji  IXXXXXX salah seorang jemaah Masjid Negeri Sabah (MNS). Dia membawa bersamanya RM1550 sebagai INFAQ yang dikumpul sesama angota keluarganya. Oleh kerana sebelum ini jumlah kutipan untuk PDS (Pusat Dakwah Serantau) telah melebihi RM15k, sedangkan kutipan untuk PPIAN (Tahfiz) baru RM700, saya meminta keizinan darinya untuk membahagikan INFAQ tersebut kepada dua bahagian, sebahagian untuk PDS dan sebahagian untuk PPIAN( Tahfiz). Hj. IXXXXXX menyerahkan kepada saya untuk menguruskannya. Jumlah kutipan sehingga 6 Ramadan baru RM1500 DARI RM100.00. Baru 1.5% dari sasaran.

7 Ramadan.

Saya menerima sumbangan RM1000  dari Kak UXXX XXXXXXX, salah seorang jemaah MUSLIMAT  SRS . Alhamdulillah selepas itu berkali-kali saya menerima sumbangan dengan jumlah ini di SRS dan di tempat-tempat lain. Antara kisah yang menarik pada pagi Jumaat 21 Ramadan, sehari selepas Bonus (Khamis)  seorang guru di MS menyerahkan sampul tebal kepada cikgu Hambali dan menyebut: Ini sumbangan ikhlas dari saya. Saya pun membukanya dan di dalamnya note RM50.00 sebanyak 20 keping…Semoga Allah SWT memberi keberkatan kepada rezeki beliau…

Pada sebelah tengahari saya menyampaikan khutbah Jumaat di salah sebuah kampung di sebelah Menggatal dan menyentuh tentang kelebihan Ramadan. Saya kaitkan antara SEDEKAH dan TAQWA, namun tiada sebarang sumbangan yang diperolehi. Apapun ada seorang jemaah yang bertanya berhubung PPIAN(TAHFIZ). ALHAMDULILLAH saya datang kali ke-2 untuk berkhutbah Idul Fitri di masjid yang sama, kami mendapat sumbangan sebanyak RM479.60.

8 Ramadan

Saya menyampaikan kuliah subuh mingguan di MNS dan tajuknya perkaitan antara puasa dan sedekah. Antaranya saya nyatakan bahawa ayat puasa hanyalah lima bermula ayat 186 sedangkan ayat-ayat galakan untuk berINFAQ   meliputi beberapa muka surat dalam juzuk tiga. Bermula dengan ayat 261 surah al-Baqarah yang menjelaskan kelebihan bersedekah. Firman Allah (s.w.t):

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

Diikuti dengan ayat berikutnya berhubung dengan adab-adab bersedekah seperti tidak mengungkit-mengungkit atau menyakiti penerima sedekah, tidak riya’ dan sedekah dan infaqlah hendaklah dilakukan semata-mata MENDAPATKAN KEREDAAN ALLAH (S.W.T).Firman Allah (s.w.t):

Dan bandingan orang-orang Yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) Yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat Yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan. SURAH AL-BAQARAH 265

Dalam ayat 267 pula Allah (s.w.t) memerintahkan supaya mengeluarkan zakat dari harta yang baik dan bukannya dari yang kurang baik. Firman Allah (s.w.t):

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan JANGANLAH KAU SENGAJA MEMILIH YANG BURUK DARIPADNYA) (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. Surah al-Baqarah (2):267

Seterusnya dalam ayat 268 Allah (s.w.t) menjelaskan usaha-usaha syaitan untuk menghalang manusia dari bersedekah dan membelanjakan harta di jalan Allah (s.w.t) dengan alas an bersedekah akan menyebabkan penderma akan menjadi fakir sedangkan Allah (s.w.t) menjanjikan keampunan dan pahala kepada mereka yang BERINFAQ. Firman Allah (s.w.t):

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.

Seterusnya Allah (s.w.t) sedekah itu boleh dilakukan secara tersembunyi atau terbuka. Allah juga memuji mereka  dan menjanjikan pahala kepada mereka yang bersedekah dan mereka tidak akan berasa takut atau bimbang. Firman Allah (s.w.t):

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, Dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. Surah al-Baqarah (2):274. Ini merupakan ayat terakhir berkaitan INFAQ dalam surah al-Baqarah. Ayat berikutnya adalah berkaitan hokum RIBA.

INFAQ JUGA MENJADI SATU DARI CIRI ORANG YANG BERTAQWA YANG MENJADI MATLAMAT KEPADA ORANG YANG BERPUASA.

Firman Allah (s.w.t) di awal surah al-Baqarah:

Kitab  Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta MEMBELANJAKAN (MENDERMAKAN) SEBAHAGIAN DARI REZEKI YANG KAMI BERIKAN KEPADA MEREKA. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Lihat juga surah al-Baqarah (2):177 yang menyebut sifat-sifat orang bertaqwa; antaranya:

“Dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang Yang terlantar Dalam perjalanan, dan kepada orang-orang Yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi…”

Dalam surah Ali Imran  ayat 133-135 pula Allah (s.w.t) berfirman:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga Yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu  ORANG YANG MENDERMAKAN HARTANYA PADA MASA SENANG DAN SUSAH, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Selesai kuliah saya mendapat sumbangan beberapa jemaah untuk PDS dan sumbangan untuk PPIAN (TAHFIZ) berjumlah RM350.00. Jumlah terkumpul sehingga pagi 8 Ramadan ialah RM2870.00 iaitu 2.87%. Waktu ini saya dan rakan-rakan tertanya-tanya mampukah kami mendapat RM20K?

10 Ramadan

Saya ditugaskan sebagai imam di Masjid al-Hilal, Tangjung Dumpil.(http://www.facebook.com/pages/Masjid-Al-Hilal-Tanjung-Dumpil/231295656924106) Ini road-show saya diluar SRS. Saya ke sini bersama sahabat yang dikasihi al-Fadil Ustaz Muhasibi Razali. Selepas rakaat ke-8 saya memberi tazkirah berhubung PUASA-TAQWA-INFAQ  dan dihujungnya saya menyatakan hasrat kami untuk membina kelas bagi kelas Tahfiz. Saya menyebut Ustaz Muhasibi akan menanti di belakang untuk menerima sumbangan tetapi waktu ini kami tidak membawa apa-apa sehingga ada jemaah yang bertanya sampaikah sumbangan yang kami berikan…Jumlah yang berjaya dikutip pada malam tersebut ialah RM381.00. Untuk rekod jumlah yang diperolehi sumbangan jemaah masjid al-Hilal sepanjang Ramadan sehingga satu syawal ialah RM3468.00 dengan salah seorang jemaahnya datang ke sekolah pada Jumaat 14 Ramadan menyerahkan sumbangan sebanyak RM2000.00 ditambah sumbangan RM300.00 yang diserahkan pada Ustaz Jumat selepas tazkirah Subuh pada 12 Ramadan@1 Ogos sebanyak RM300.00

AL-belurani.  1 ogos: seusai menyampaikan tazkirah lps subuh tadi mengenai “infaq” ada pihak telah menghulurkan infaq rm300 utk pembinaan blok2 kelas sek. rendah tahfiz an-nur. didoakan penderma tersebut dimurahkan dan diberikati rezekinya.

Pada sebelah tengahari 10 Ramadan, saya ditugaskan menyampaikan tazkirah zohor di MNS bertajuk: Berita gembira dan berita amaran di dalam al-Qur’an dan dihujung saya sampaikan hasrat kami untuk membina blok kelas tambahan dan jumlah kutipan ialah RM216.00

DERMA DAN MAJLIS TAHLIL

Bagi mempelbagaikan bentuk sumbangan, pada minggu pertama Ramadan saya mengedit borang sumbangan Moreh dan Tahlil Asrama MS yang disediakan oleh Ustaz Mohd Radzi dan Alhamdulillah banyak juga sumbangan yang diperolehi terutamanya dari staf SMK Tansau melalui ustaz Sya’ban. Jumlahnya lebih RM1K. Boleh dikatakan setiap hari saya menerima permintaan untuk mengadakan tahlil. Ada juga yang mengisi borang dan memberi sumbangan sahaja…

KHUTBAH JUMAAT: APA SELEPAS RAMADAN?

Masjid An Nur, IPG GAYA Kota Kinabalu, 6 Syawal 1433H

اَلحمدُ للهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا , وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيْكٌ فِي الْمُلْكِ , وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيْرًا .

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ , لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيْتُ , وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ . وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ , وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ , وَالسِّرَاجُ  الْمُنِيْرُ .

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ حِبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا , نَبِيِّ الرَّحْمَةِ , وَشَفِيْعِ الأُمَّةِ , وَعَلَى آَلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ , وَبَعْدُ.

فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِه وَلاَ تَـمُوتُنَّ إِلاَّ وَأنْتُم مُسْلِمون!.

Wahai hamba Allah bertaqwalah kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan sebagai orang Islam. Firman Allah (s.w.t):

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Dalam menjalankan amalan dan perkara kebajikan sesuatu yang paling disukai Allah ialah melakukan ibadat secara istiqamah. Istiqamah ialah melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan berpanjangan bukan sahaja pada bulan Ramadan bahkan mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain.

Sekiranya kita perhatikan menjadi kelaziman iatau kebiasaan masyarakat Islam masa kini, bila datangnya ramadan masjid penuh sesak dengan umat Islam, amalan tadarus atau membaca al-quran kedengaran di sana sini, amalan sedekah meningkat, ceramah-ceramah agama turut kedengaran dicorong-corong masjid dan sebagainya lagi, tetapi apabila habis sahaja bulan ramadan, keadaan kembali seperti asal, masjid-masjid mula terus lengang, solat fardu tidak dilaksanakan di masjid atau di surau akibat ketiadaan jemaah, al-Quran mula dijadikan hiasan semula dan berbagai lagi fenomena yang amat mendukacitakan. Maka di manakah tarbiah ramadan? Apakah ini dinamakan ibadat bermusim? tepuk dada tanyalah iman, Moga-moga kita tidak tergolong dalam kelompok ini insyaAllah.Marilah kita berdoa kepada Allah supaya memberi kekuatan kepada kita untuk istiqamah dalam melakukan ibadat dan tergolong dalam golongan yang disebut dalam ayatnya:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang Telah dijanjikan Allah kepadamu”. Surah Fussilat Ayat 30

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Bagi menjamin istiqamah dalam ibadah, khatib ingin berkongsi dengan siding Jumaat berhubung apa yang perlu dilakukan selepas Ramadan seperti yang disiarkan oleh Profesor Dr. Syaraf Qudah pensyarah dalam bidang hadith di Universiti of Jordan dalam laman sosial facebooknya bertajuk: مَاذا بَعَدَ رَمَضان  apa selepas Ramadan?

Beliau menyebut 12 point yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim untuk berjaya dalam menghadapi ujian didunia ini dia perlu berada pada tahap dia berada dalam bulan Ramadan. Antaranya:

  1. Kita bertaubat kepada Allah (s.w.t) dan telah biasa meninggalkan perkara-perkara yang haram maka kita perlu menjaga taubat kita selepas Ramadan. Tuhan kepada bulan Ramadan  adalah tuhan kepada bulan-bulan yang lain, sesungguhnya Allah (s.w.t) maha hidup dan tidak lalai.
  2. Kita menjaga dan menunaikan kewajipan-kewajipan pada bulan Ramadan, maka selepas Ramadan kita juga perlu menunaikan kewajipan tersebut
  3. Keikhlasan kita bertambah pada bulan Ramadan melalui ibadat puasa yang tidak dapat dilihat oleh seseorang kerana ibadat puasa bukanlah ibadat yang dapat dilihat seperti solat. Puasa merupakan ibadat di mana seseorang meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa yang hanya diketahui antara seorang hamba dengan penciptanya. Maka bersama-sama kita menjaga keikhlasan ini selepas Ramadan
  4. Kita berpuasa pada setiap hari bulan Ramadan, maka kita teruskan puasa tersebut selepas Ramadan dengan puasa 6 hari dari bulan Syawal sebagaimana sabda Rasulullah (s.a.w) Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti puasa 6 hari di bulan syawal mendapat pahala seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. Begitu juga dengan berpuasa pada hari-hari putih 13,14 dan 15 dari bulan Islam serta puasa sunat Isnin dan Khamis
  5. Kita biasa solat berjemaah pada bulan Ramadan maka kita teruskannya selepas Ramadan
  6. Kita menjaga Qiamullail (spt solat terawih) pada bulan Ramadan, maka jagalah ianya  walau dengan solat 2 rakaat tahajjud setiap malam
  7. Kita memperbanyakkan membaca al-Qur’an pada bulan Ramadan, maka jangan kita berpisah dengan al-Quran pada bulan selain Ramadan, maka bacalah sejuzuk al-Qur’an setiap hari.
  8. Kita memperbanyakkan doa pada bulan Ramadan, maka hendaklah kita sentiasa bergantung dan berharap kepada Allah (s.w.t) pada hari-hari lain dalam setahun
  9. Kita bersedekah kepada faqir miskin pada bulan Ramadan, maka kita teruskan amalan ini pada bulan-bulan selepas Ramadan
  10. Kita biasa menjalinkan silaturrahim pada bulan Ramadan, maka kita teruskan menjalinkan silaturrahim selepas Ramadan
  11. Kita biasa dengan kelas-kelas pengajian pada bulan Ramadan, maka kita teruskan menuntut ilmu selepas Ramadan. Jadikan sepanjang tahun belajar dan mengajar kerana ilmu diperolehi dengan belajar
  12. Kita dilatih bersabar pada bulan Ramadan bukan sahaja bersabar atas lapar dan dahaga bahkan dari perkara yang menyakitkan kita seperti sabda Nabi (s.a.w): “

إِذَا أَصْبَحَ أَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ فَإِنْ امْرُؤٌ شَاتَمَهُ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي صَائِمٌ

Maksudnya: “ Apabila berpaginya seorang dari kamu dalam keadaan berpuasa maka janganlah dia berkata kesat dan berlaku jahil, sekiranya ada seorang yang mengutuknya atau menyerangnya, maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya saya berpuasa. Sesungguhya saya berpuasa.” Maka teruskan amalan ini selepas Ramadan. Sesuungguhnya kelembutan itu dengan kita berusaha menjadi seorang yang lembut.

Semoga Allah (s.w.t) menerima segala amalan kita dan Allah membantu kita semua melakukan ketaatan sepanjang tahun.

Ya Allah Ya Tuhan Kami Bantulah Kami Untuk melakukan ketaatan kepadamu, Ya Allah Kembalikan kepada kami Ramadan bertahun-tahun, Ya Allah keluarkan kami dari bulan Ramadan sebagai hamba-Mu yang bertaqwa semoga kami termasuk dalam golongan yang engkau sebut di dalam kitabmu:

وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوهَا خَالِدِينَ ( 73 ) وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي صَدَقَنَا وَعْدَهُ وَأَوْرَثَنَا الْأَرْضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ نَشَاءُ فَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ ( 74) ) .

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (Mereka pun masuk) – Serta mereka berkata:” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjinya kepada kami, dan yang menjadikan Kami mewarisi bumi syurga ini Dengan sebebas-bebasnya, Kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana sahaja Kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”. Surah al-Zumar Ayat 73-74.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

KESERONOKAN BERINFAQ

Antara intipati kuliyah subuh di Masjid Negeri tadi: Adakah ibadat puasa yang telah kita lalui menyebabkan kita merasai kemanisan beribadat? Adakah ibadat solat yang kita tunaikan sama ada yang sunat atau fardu, solat terawih, solat tahajjud dan lain-lain, adakah kita merasai kelazatannya? Adakah bentuk-bentuk ibadah yang kita lakukan, sedekah dan infaq yang kita berikan, zakat yang kita keluarkan, bantuan dan sumbangan yang kita berikan sepanjang ramadan. Adakah kita merasai nikmat dan khusyuk dari segala bentuk ibadah yang telah kita lakukan sepanjang ramadan? ( Dipetik dari audio khutbah Jumaat akhir ramadan 1432H di http://www.niknasri.com/wp-content/uploads/2011/08/khtbh-muhasabah-ramadhan-26-aug-11-13-26-18.mp3)…Kelazatan beribadah inilah yang menyebabkan Saidina ABu Bakar bersedekah/infaq keseluruhan hartanya dalam perang Tabuk, kelazatan beribadah inilah yang menyebabkan Saidina Umar menginfaq sebahagian dari hartanya, kelazatan beribadah inilah yang menyebabkan Saidina Uthman dan Abdul Rahman bin Auf mengeluarkan sumbangan berupa kuda dan emas yang nilai semasanya jutaan ringgit…

Alhamdulillah usaha sahabat untuk mengutip infaq bagi fasa pertama pembangunan Pusat Pendidikan Islam An Nur yang bercita-cita mengutip RM100K untuk membina kelas dimaqbulkan oleh Allah (s.w.t) dengan sumbangan yang diberikan oleh jemaah subuh masjid Negeri Sabah. ALHAMDULILLAH jumlah kutipan sehingga kuliah subuh di Masjid Negeri, kiraan tidak rasmi RM101293.24. Kutipan QIYAM: RM2215.70 dan kutipan selepas kuliah Subuh: RM2844.00. Jumlah kutipan di masjid negeri pagi ni RM5059.70. الله أكبر

 

KHUTBAH AKHIR RAMADAN: MUHASABAH RAMADAN-MENANGISI PEMERGIAN RAMADAN, 29 RAMADAN 1433H LAILATUL QADAR?

Masjid Nurul Hikmah, Kota Kinabalu

 

اَلحمدُ للهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا , وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيْكٌ فِي الْمُلْكِ , وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيْرًا .

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ , لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيْتُ , وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ . وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ , وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ , وَالسِّرَاجُ  الْمُنِيْرُ .

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ حِبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا , نَبِيِّ الرَّحْمَةِ , وَشَفِيْعِ الأُمَّةِ , وَعَلَى آَلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ , وَبَعْدُ.

فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِه وَلاَ تَـمُوتُنَّ إِلاَّ وَأنْتُم مُسْلِمون!.

Wahai hamba Allah bertaqwalah kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan sebagai orang Islam.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Kita baru sahaja mendengar azan Jumaat yang terakhir yang dilaungkan oleh muezzin, sekarang kita berada pada hari Jumaat yang terakhir 1433H, sekarang kita berada penghujung bulan Ramadan yang disebut sebagai bulan ibadah, bulan mendapat keampunan, bulan kebebasan dari apa neraka, bulan turunnya rahmat, bulan di tutup pintu neraka, bulan di buka pintu syurga dan syaitan dibelenggu. Ramadan yang penuh dengan program tarbiah dan kerohanian akan berakhir beberapa ketika lagi, Ramadan yang penuh dengan aktiviti ibadah dan amalan menghampirkan diri kepada Allah (s.w.t) dengan makan sahur yang penuh keberkatan, solat lima waktu berjemaah, tadarus al-Quran, mendengar tazkirah dan ceramah agama, solat sunat terawih, berbuka puasa, memberi orang makan berbuka puasa, qiamullail, istighfar, zikir munajat dan solat tahajjud dan amalan-amalan ini ditambah lagi pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan yang dijanjikan oleh Allah swt dengan lailatul Qadar. Persoalannya adakah Ramadan yang kita lalui hampir sebulan meninggalkan kesan yang mendalam bagi mereka yang benar-benar mengambil peluang keemasan memperbaiki diri serta  taqarrub iaitu menghampirkan diri kepada Allah SWT.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di saat kita berada pada detik-detik akhir dari bulan Ramadan ini,  tibalah masanya untuk kita bermuhasabah dan bertanya apakah  ibadat puasa yang telah kita lakukan , adakah ia benar-benar puasa yang diterima oleh Allah S.W.T. atau sebaliknya? Adakah kita termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat dan pengampunan Allah? Adakah kita termasuk dalam golongan yang selamat dari api neraka setelah menjalani sebulan puasa. Sejauh mana taqwa yang telah kita tingkatkan setelah kita berpuasa  sebulan Ramadan . Firman Allah Taala:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah al-Baqarah ayat 183)

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Adakah ibadat puasa yang telah kita lalui menyebabkan kita merasai kemanisan beribadat? Adakah ibadat solat yang kita tunaikan sama ada yang sunat atau fardu, solat terawih, solat tahajjud dan lain-lain, adakah kita merasai kelazatannya? Adakah bentuk-bentuk ibadah yang kita lakukan, sedekah dan infaq yang kita berikan, zakat yang kita keluarkan, bantuan dan sumbangan yang kita berikan sepanjang ramadan. Adakah kita merasai nikmat dan khusyuk dari segala bentuk ibadah yang telah kita lakukan sepanjang ramadan? Inilah ibadat yang sepatutnya kita lakukan bukannya kita beribadat kerana mengikut kebiasaan. Orang berpuasa kita berpuasa…orang mengadakan majlis khatam al-Qur’an, maka kita pun membaca al-Qur’an, orang pergi solat terawih maka kita pun ke masjid untuk berterawih tetapi semua ibadat ini kosong dari kekhusyukan, kosong dari kemanisan dan keseronokan beribadat. Inilah roh kepada setiap ibadat yang kita lakukan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi (s.a.w):

أنْ تَعْبُدَ الله كَأَنَّك تَراهُ فَإن لَم تَكنْ تَراهُ فَإنَّه يَراكَ

“ Kamu menyembah Allah (s.w.t) seolah-olah kamu melihatnya, dan tentunya kamu tidak dapat melihat Allah Allah (s.w.t)  tetap melihat kamu.” HR Muslim

Kelazatan ini yang inilah yang dialami oleh Rasulullah (s.a.w). Sabda Rasulullah (s.a.w): وَجُعِلَت قُرَّةُ عِينِي فِي الصَّلاةِ  maksudnya dijadikan penyejuk mataku dalam ibadat solat. Merasai kelazatan beribadah yang melahirkan kekuatan dalaman. Rasulullah (s.a.w), para sahabat dan generasi awal menjadikan ibadat khusus solat, puasa, zakat, tahajjud sebagai kekuatan dalaman untuk menegakkan agama Allah (s.w.t), bukan sahaja untuk menentang hawa nafsu tetapi untuk menentang musuh-musuh Islam dalam peperangan.  Inilah kekuatan yang perlu kita cari dari ibadat yang dilakukan

 

Marilah kita merenung Sabda Rasul (s.a.w)yang diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) berkata Nabi (s.a.w):

رب صائم حظه من صيامه الجوع والعطش ، ورب قائم حظه من قيامه السهر ” .

Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban.Hadith ini menunjukkan ada orang yang Solat tetapi  hanya mendapat bilangan rakaat dan penat dan orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga. Ini kerana solat dan puasa mereka tidak mampu merubah seseorang kepada manusia yang mencegah dirinya dari kemungkaran dan mencapai tahap ketaqwaan yang sebenarnya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Marilah kita mencari kelazatan beribadah ini sebagaimana yang dikecapi oleh Rasulullah (s.a.w), para sahabat dan generasi dahulu. Kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Rasulullah (s.a.w) untuk bertahajjud dengan membaca al-Qur’an hampir enam juzuk, bermula dengan surah al-Baqarah diikuti dengan surah Ali Imran dan al-Nisa’ dalam satu rakaat, kelazatan inilah yang memberi kekuatan untuk seorang sahabat Nabi menghabiskan bacaan surah al-Kahfi sekalipun tubuhnya telah mengalirkan darah kerana dipanah oleh musuh semasa menunaikan solat, kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Saidina Uthman bin Affan untuk membaca keseluruhan al-Qur’an dalam satu rakaat solat witir di sisi Ka’bah, kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Imam Syafie untuk khatam al-Qur’an sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan dan kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Imam Ahmad bin Hanbal untuk solat Isyak dan Subuh dengan satu wuduk selama 30 tahun!

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Adakah lailatul Qadar tahun ini berlaku pada malam 21 Ramadan? Atau ianya berlaku pada malam 23 atau 25 Ramadan? Atau adakah ianya berlaku pada malam 27 Ramadan yang telah berlalu? Dan tidak mustahil ia berlaku pada malam ini, malam 29 Ramadan. Hanya Allah yang mengetahui waktunya. Justeru itu marilah kita mengambil peluang pada saat-saat akhir ramadan ini dengan menghidupkan malamnya dengan pelbagai bentuk ibadat semoga kita mendapat habuan menghidupkan malam yang lebih baik dari seribu bulan. Marilah kita melipat gandakan pelbagai bentuk ibadat dan antaranya sedikit sumbangan infaq untuk pembinaan kelas bagi kelas Tahfiz di Pusat Pendidikan Islam al-Nur yang akan dibina di kawasan sekitar Surau Riyadussolihin, Taman Austral yang dianggarkan kosnya sekitar RM 100, 000 dan sumbangan boleh diletakkan dalam tabung yang disediakan di belakang masjid ini.

 

Sidang Jumaat

Lusa atau Isnin kita akan bersama-sama menyambut idul fitri. Persoalannya sejauh manakah kita mampu menjadi manusia bertaqwa setelah kita berpuasa selama sebulan. Adakah Hari raya disambut dengan menghabiskan masa membaca al-Qur’an sebagai penerusan dari ibadat bulan Ramadan atau ia disambut di hadapan televisyen berjam-jam menonton drama-drama, kisah-kisah cinta, filem-filem yang diimport dari timur dan barat yang jelas bertentangan dan Islam dan tidak memberi manfaat dan melupakan tanggungjawab melayan tetamu. Amalan ini tidak seharusnya dibiarkan kerana ia bertentangan dengan taqwa yang ingin dicapai dari ibadat puasa dan bertentangan dengan roh sambutan Aidil Fitri yang sebenar iaitu kembali  kepada fitrah, kemurnian, kesucian dan kemuliaan sebagai makhluk Allah swt.

 

Sidang Jumaat,

Adakah kita ingin merosakkan kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini dengan membiarkan isteri kita, anak-anak perempuan kita, wanita-wanita Islam disekitar kita membuka tudung mereka. Tudung yang dipakai dengan cantik selama sebulan hanya disimpan di dalam almari. Adakah kita ingin meninggalkan al-Qur’an yang kita baca sepanjang ramadan dengan menyimpannya di atas rak buku? Apakah patut kita meninggalkan ramadan dengan mengulangi kembali dosa-dosa dan kesalahan yang telah kita sesali, setelah kita bertaubat kepada Allah (s.w.t)? Marilah sama-sama kita memerangi hasutan dan godaan syaitan yang akan dibebaskan beberapa ketika lagi. Semoga kita keluar dari bulan Ramadan sebagai golongan yang dibebaskan daripada api neraka. Semoga Allah (s.w.t) memanjangkan umur kita sehingga kita bertemu dengan ramadan yang akan datang.  Semoga kita termasuk dalam golongan yang bertaqwa yang Allah sediakan untuk mereka syurga. Firman  Allah (s.w.t):

 

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (Mereka pun masuk) – Serta mereka berkata:” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjinya kepada kami, dan yang menjadikan Kami mewarisi bumi syurga ini Dengan sebebas-bebasnya, Kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana sahaja Kami sukai; maka pemberian Yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang Yang beramal”. Surah al-Zumar Ayat 73-74.

 

أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُالرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

Sidang Jumaat sekalian,
Dalam menjalankan amalan dan perkara kebajikan sesuatu yang paling disukai Allah ialah melakukan ibadat secara istiqamah. Istiqamah ialah melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan berpanjangan bukan sahaja pada bulan Ramadan bahkan mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain.

Sekiranya kita perhatikan menjadi kelaziman iatau kebiasaan masyarakat Islam masa kini, bila datangnya ramadan masjid penuh sesak dengan umat Islam, amalan tadarus atau membaca al-quran kedengaran di sana sini, amalan sedekah meningkat, ceramah-ceramah agama turut kedengaran dicorong-corong masjid dan sebagainya lagi, tetapi apabila habis sahaja bulan ramadan, keadaan kembali seperti asal, masjid-masjid mula terus lengang, solat fardu tidak dilaksanakan di masjid atau di surau akibat ketiadaan jemaah, al-Quran mula dijadikan hiasan semula dan berbagai lagi fenomena yang amat mendukacitakan. Maka di manakah tarbiah ramadan? Apakah ini dinamakan ibadat bermusim? tepuk dada tanyalah iman, Moga-moga kita tidak tergolong dalam kelompok ini insyaAllah.Marilah kita berdoa kepada Allah supaya memberi kekuatan kepada kita untuk istiqamah dalam melakukan ibadat dan tergolong dalam golongan yang disebut dalam ayatnya:

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang Telah dijanjikan Allah kepadamu”. Surah Fussilat ayat 30.