Category Archives: Guru-guruku

e-Khutbah Jumaat: 4 soalan di akhirat

IDEA ASAL KHUTBAH INI ADALAH DARI KHUTBAH YANG DISAMPAIKAN OLEH  ALMARHUMDRFADAL HASSAN ABBAS PADA TAHUN 1987

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَو لاَ أَنْ هَدَاناَ اللّه ، وَأَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلا الله وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُه .

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ حِبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا , نَبِيِّ الرَّحْمَةِ , وَشَفِيْعِ الأُمَّةِ , وَعَلَى آَلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ , وَبَعْدُ.

 فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُونَ اتَّقُوا الله ؛ فَإِنَّ تَقْوَاهُ أَفْضَلُ مُكْتَسَبٌ وَطَاعَتُهُ أَعْلَى نَسَبٍ : يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّإِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ آل عمران102

Wahai hamba-hamba Allah saya berpesan kepada anda dan juga diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah SWT, maka berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa.

Muslimin sidang Jumaat sekalian!

Marilah sama-sama kita mendengar satu hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi :

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَع : عَن عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ، ، وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلاَه ،وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَه، وَفِيمَا أَنْفَقَه  وَعَنْ عِلْمِهِ فِيماَ فَعَلَ

Maksudnya :

“ Tidak akan terlepas kedua kaki seorang hamba itu semasa (berada di Padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan ;

Pertama: Tentang umurnya, dimanakah dihabiskan

Kedua : Tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan

Ketiga: Tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan bagaimana digunakan

Keempat : Tentang ilmunya ,apakah diamalkan dengannya .[ Hadith riwayat Imam al-Tirmizi]

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Hadith ini mengingatkan kita berhubung 4 soalan yang nampak mudah tetapi ramai dikalangan kita yang tidak mengamalkannya.

Pertama: عَن عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ

Bagaimana kita menghabiskan umur kita atau dalam erti kata yang lain, bagaimana kita menghabiskan nikmat masa yang Allah (s.w.t) kurniakan kepada kita. Firman Allah (s.w.t):

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

Pada hari ini marilah kita bermuhasabah bagaimana kita hari ini menghabiskan masa kita? Bagaimana kita menghabiskan masa kita siang dan malam? Adakah menghabikan masa berjam-jam dengan menenonton filem, drama dan telenovela atau menghabiskan masa dengan perkara-perkara berfaedah ? Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup untuk duduk di masjid antara maghrib dan isyak atau selepas subuh untuk mendengar kuliah agama atau belajar al-Qur’an?  Adakah kita menghabiskan masa dengan menonton bola sehingga larut malam di kedai kopi atau di hadapan televisyen? Berapa ramai pula  di kalangan kita yang menghidupkan malam dengan solat tahajjud dan berapa ramai yang datang solat subuh berjemaah?  Berapa ramai yang menghadiri program jom heboh atau menyaksikan akademi fantasia berbanding yang menghadiri forum perdana atau rancangan realiti imam muda, ustazah pilihan atau solehah. Berapa ramai yang memilih channel tv al-Hijrah atau astro oasis berbanding saluran-saluran televisyen yang lain?

Justeru itu, berdasarkan hadith yang dibaca pada hari ini,  marilah kita menghargai masa dan jangan dibiarkan berlalu dengan perkara-perkara yang dimurkai Allah (s.w.t).Setiap masa yang diabaikan merupakan satu kerugian bagi kita. Marilah sama-sama kita menghayati ungkapan Hasan al-Basri Rahimahullah yang menyebut

لَقَدْ أَدْرَكَنَا مَنْ كاَنَ الْوَقْتُ فِيْهِم أَنْفَسُ مِنْ دَنَانِيْرِهِم وَذَهَبِهِم وَفِضَّتِهِم

“ Kami sempat bertemu dengan generasi yang waktu mereka lebih berharga dari dinar, emas dan perak.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Soalan Kedua yang akan ditanya di akhirat nanti ialah:

وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلاَه

Bagaimana kita menghabiskan masa muda kita?  adakah untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT atau disia-siakan zaman muda mereka dengan perkara –perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t .

Golongan pemuda hari ini  perlu mencontohi  pemuda ashabul  kahfi  yang yang berani mempertahankan aqidah dan agama sekalipun bilangan mereka sedikit, dan mereka tetap mempertahankan agama sekalipun di hadapan raja yang zalim yang memaksa mereka kembali kepada kekafiran.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Di dalam sejarah Islam, menceritakan kepada kita betapa hebatnya peranan pemuda–pemuda Islam berjuang mempertahankan Islam sehingga Islam itu berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Oleh itu, menyedari betapa pentingnya golongan pemuda di dalam Islam , maka Rasulullah saw begitu mengambil berat terhadap golongan pemuda . Buktinya, mereka yang mula-mula memeluk Islam dan menerima dakwah Rasulullah SAW adalah di kalangan pemuda-pemuda yang umur mereka lebih muda daripada Rasulullah sendiri seperti Saidina Abu Bakar, Saina Umar, Saidina Othman ,Saidina Ali (r.anhum )dan lain-lain lagi.

Muslimin sidang jumaat sekalian,

Bagaimana pemuda umat Islam hari ini ? Adakah mereka membesarkan dalam keadaan beriman kepada Allah (s.w.t) atau mereka telah lupa tanggungjawab mereka terhadap Allah s.w.t? Ramai di kalangan pemuda hari berpegang dengan slogan zaman muda hanya sekali. Oleh itu mereka bebas untuk melakukan apa saja yang diinginkan oleh hawa nafsu mereka dan mereka menurut sahaja apa yang dibisikkan oleh syaitan dalam hati sanubari mereka. Sebahagian besar daripada golongan pemuda Islam pada hari ini sudah tidak lagi mengingati Allah swt seperti meninggalkan sembahyang. Mereka merasakan bahawa ibadat sembahyang lima waktu itu sangat membebankan. Seolah-olah lebih susah daripada mendaki gunung yang tinggi atau berenang di dalam lautan api.

Golongan pemuda seperti ini lebih gemar menghabiskan masa mereka di perhentian bas dan pusat membeli-belah atau ditepi pantai yang menjadi tempat berkumpul pemuda-pemudi yang tidak ada arah tujuan hidup. Di sinilah tempat mereka bersuka ria, bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan, mendedahkan aurat, menghisap rokok dan melakukan perkara-perkara yang sia-sia , tidak ada guna di dunia dan akhirat.  Pergaulan bebas yang berlaku dikalangan pemuda-pemudi tanpa ada ikatan perkahwinan  yang sah menyebabkan berlakunya gejala sosial  seperti berzina, rogol, menggugurkan kandungan dan membuang anak-anak yang lahir daripada perbuatan zina dan tidak kurang juga mereka yang terlibat dengan gejala dadah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Satu lagi sindrom yang berlaku pada hari ini ialah anak muda tidak lagi berpeleseran di pusat membeli belah atau stesyen bas tetapi mereka menutup pintu bilik mereka untuk melayari internet.  Pemuda-pemudi Islam berada di hadapan internet dan berfacebok. Pemudi-pemjdi Islam menguploadkan dalam face book mereka  gambar yang tidak menutup aurat, lelaki dan perempuan bersembang berjam-jam di face book  sehingga mengabaikan tanggung jawab mereka terhadap Allah (s.w.t). Sebahagian yang lain pula menonton WEB yang mempunyai unsur lucah. Akhirnya mendorong kepada perbuatan sumbang mahram atau perbuatan zina.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Persoalan yang ketiga ialah:

وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَه، وَفِيمَا أَنْفَقَه

Tentang harta dari mana diperolehi dan bagaimana dibelanjakan?

Sidang Jumaat

Bagaimana umat Islam hari ini mencari harta mereka dan bagaiman harta tersebut dibelanjakan? Kebanyakan umat Islam hari ini tidak peduli soal sumber rezeki mereka adakah halal dan haram?  Apabila menyebut perkara yang haram, sebahagian kita memahami bahawa makanan dan minuman yang haram itu hanya  berupa arak, khinzir dan anjing atau binatang-binatang yang lain seperti binatang buas tetapi sebenarnya banyak disekeliling kita perkara-perkara yang haram dalam  urusan ekonomi. Umpamanya apabila membuat pinjaman, terdapat sebahagian umat Islam yang meminjam dengan Along untuk mendapatkan wang dengan cepat sedangkan ternyata pinjaman sebegini melibatkan riba yang diharamkan oleh Allah swt, apabila kita meninjau ke kedai loteri dan judi, kita lihat ramai umat Islam di sana bahakan ada yang berkupiah lebai berbaris untuk membeli tikam ekor dan banyak lagi senario-senario dalam masyarakar yang menunjukkan betapa umat Islam tidak mempedulikan rezeki yang mereka perolehi adakah dari sumber yang halal atau haram.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Bagaimana pula harta yang diperolehi tersebut  dibelanjakan?Ramai dikalangan kita hari ini , tahu tentang zakat fitrah sahaja tetapi tidak ramai yang tahu tentang zakat harta, kesannya tidak ramai orang yang berharta seperti orang yang menternak lembu dan kambing tidak menunaikan haknya, begitu juga ramai usahawan dan peniaga yang mendapat keuntungan besar dalam perniagaan mereka tidak membayar zakat. Ramai juga juga yang tidak dapat membezakan zakat harta yang wajib dengan sedekah dan infaq yang sunat. Mereka menyangkakan dengan bersedekah seperti membeli keperluan-keperluan masjid seperti sejadah, al-Quran  sudah tidak perlu lagi mengeluarkan zakat, kesannya kita lihat masih ramai golongan fakir dan miskin hidup melarat kerana tidak mendapat hak zakat mereka berpunca dari kejahilan membelanjakan harta yang dikurniakan Allah (s.w.t) ke saluran yang sepatutnya.

Sidang Jumaat

Soalan yang keeempat ialah : عَنْ عِلْمِهِ فِيماَ فَعَلَ

Berkaitan ilmu yang diperolehi apa yang diamalkan.

Ilmu yang akan memberi manfaat ini bukanlah berupa segulung sijil atau ijazah  yang diperolehi di kolej atau universiti,  atau berupa gelaran  M.A dan Ph.d  ilmu yang sebenarnya ialah ilmu yang kita dapat amalkan.  Hari ini kita melihat satu fenomena yang menyedihkan apabila kita melihat anak-anak kita mendapat markah yang tinggi dalam subjek Pendidikan islam atau subjek tamadun Islam di universiti tetapi apabila melihat kepada pengamalan ilmu tersebut ternyata mereka gagal. Mereka tidak menutup aurat, mereka tidak solat, mereka melakukan perkara yang dimurkai Allah (s.w.t) . Mereka tidak menghormati ibu bapa mereka dan mereka tidak mengingati Allah (s.w.t)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Marilah kita mencontohi bagaimana para sahabat bersegera mengamalkan ilmu yang diperolehi tanpa banyak soal. Apabila mereka mengetahui sesuatu perkara itu baik mereka segera melakukannya dan sekiranya mengetahui perkara itu haram mereka segera meninggalkannya. Lihat para sahabat yang menyimpan arak di rumah mereka, apabila mendengar firman Allah yang mengharamkan arak, mereka pulang ke rumah mencurahkan arak yang banyak sehingga arak yang banyak itu mengalir di lorong-lorong Madinah. Mereka tidak bimbang tidak dapat duit dengan sebab arak itu dicurahkan ke bumi.Apabila mendengar ayat yang mengharamkan riba , orang kaya dan orang miskin tidak lagi bermuamalat dengan ribqa. Mereka yakin bahawa riba adalah najis dan haram. Orang Islam tidak boleh beramal lagi dengannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Alah (s.w.t)

Apa akan berlaku sekiranya kita umat Islam hari ini menghayati dan melaksanakan empat persoalan yang disebut oleh Rasul (s.a.w) yang dibaca diawal khutbah tadi? Khatib percaya kita akan menjadi umat yang digeruni oleh musuh. Kita akan menjadi umat yang terbaik sebagaimana yang dilalui oleh generasi yang lalu sehinggakan Islam berjaya mengusai dua pertiga dunia.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Mengakhiri khutbah ini marilah sama-sama kita  bermuhasabah. Bagaimana kita ingin bertemu Allah (s.w.t) Bagaimana kita ingin mendapat keredaanAllah  sedangkan kita  memandang ringan terhadap usia, masa remaja, harta dan ilmu yang kita perolehi. Ingatlah tidak akan terlepas dari  empat perkara ini. Sudahkah kita bersedia ? Apakah jawapan yang kita akan berikan di mahkamah Allah (s.w.t) di akhirat nanti di saat  mulut kita ditutup dan yang bertutur ialah tangan kita dan yang menjadi saksi adalah kaki kita.

Firman Allah (s.w.t):

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (65)

Pada waktu itu kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. Surah Yasin

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُّنَّة ، وَنَفَعَنِي وَإِياَّكُم بِماَ فِيْهِمَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْحِكْمَةِ ، أَقُولُ مَا تَسْمَعوُن وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ مِنْ كُلِّ ذَنْبٍ وَخَطِيْئَة ؛ فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هَوَ الْغَفُورُ الرَّحِيم

al-Murabbi as-Syaikh Dr. Solah ‘Abdul Fattah al-Khalidiyy

Facebook: http://www.facebook.com/#!/alkhaledi.salah

Youtube: Temuramah pengalaman hidup Dr. Solah al-Khalidiyy

Ucapan tahniah sempena kemenangan Dr. Mursi

I’jaz al-Qur’an

Al-Murabbi a;-Syaikh Dr. Solah ‘Abdul Fattah al-Khalidiyy antara guru yang paling lama saya belajar dengannya di Jordan, seawal saya menjejak kaki di Sweileh Jordan pada September 1995 sehinga saya meninggalkan bumi Jordan.Antara kata kata hikmah yang saya tidak dapat lupakan ketika menyampaikan kuliah khusus di Bayt Nasywa, rumah siswi University Jordan di penghujung 1990an…

“AL-QUR’AN ADALAH SAHABAT YANG KITA TIDAK AKAN JEMU BERKAWAN DENGANNYA. DENGAN MEMBACA AL-QUR’AN KITA MEMPUNYAI 114 SAHABAT YANG KITA BOLEH PILIH. SETIAP KAWAN INI TIDAK AKAN MENJEMUKAN KITA.”

INSYA ALLAH saya akan uploadkan ceramah ini suatu masa nanti. Sebahagian kandungan ceramah diringkaskan dalam khutbah Jumaat saya bertajuk Nuzul al-Qur’an :terhadap al-Qur’an. Intipatinya terkandung dalam khutbah Jumaat bersempena Nuzul al-Qur’an: https://abuawatif.wordpress.com/2011/08/09/khutbah-nuzul-al-quran/.

 

 

Antara kuliyah yang saya menadah dengan beliau

(a) Sebagai Mustami’ di Kuliyah Dakwah dan Usuluddin

-I’jaz al-Qur’an

-Tafsir surah al-Anam

– Manahij Mufassisirin( Metodologi Pentafsiran al-Qur’an)

(b) Kuliyah umum di Masjid Abdul Rahman bin ‘Auf

-Tafsir Surah al-Kahf, kuliyah sebelum Jumaat

-Tafsir Juzuk 28 selepas maghrib setiap Sabtu malam Ahad dari surah al-Mujadalah sehingga surah al-Munafiqun

-Tafsir surah al-Ahzab selepas maghrib setiap Sabtu malam Ahad, kelas ini selepas tafsir juzuk 28

– Fiqh Manhaji dalam mazhab Imam Syafie, Kuliah maghrib Sabtu malam Ahad

-Tazkirah subuh setiap pagi sekitar lima minit dari tafsir surah al-Nahl sehingga surah al-Syuara’. Dr Solah berjaya menghabiskan tafsir keseluruhan al-Qur’an di Masjid Abdul Rahman bin ‘Auf selama lebih kurang 20 tahun. syaikh menjadi imam di masjid ini dari masa mudanya sehinggalah berlakunya perjanjian damai Jordan-Israel 1994 syaikh berhenti dari menjadi Imam. Saya ada mendengar rakaman khutbah beliau semasa menjadi imam dan beliau sangat tegas pendiriannya.

-Antara yang saya tidak boleh lupakan, saya diberi kesempatan untuk mendengar khutbah yang di sampaikan oleh Dr. Solah al-Khalidiyy sekitar tahun 1999@ 2000 setelah beliau diGAM  dari menyampaikan khutbah pada tahun 1994. Waktu itu baru sahaja umat Islam menyambut ‘Idul Adha dan imam yang sepatutnya menyampaikan khutbah tidak hadir. Dr Solah naik ke mimbar untuk menyampaikan khutbahnya dan isi kandungannya adalah hadith Huzaifah berkaitan fitnah akhirr zaman yang menyebut tentang dua ala abwab jahannam, penyeru-penyeru di pintu neraka. warna kulit mereka sama dengan kita,  bahasa mereka sama…Khutbah yang disampaikan oleh syaikh ini antara khutbah yang paling menyeronokkan saya sepanjang hidup ini…antara khutbah yang paling berkesan…Antara mutiara-mutiara yang masih segar dalam ingatan ke hari ini ialah:

Sekarang kita hidup pada zaman fitnah. Masyarakat Islam diuji dan jauh dari Islam. Namun begitu saya berasa gembira apabila saya melihat seorang anak muda membuka mushaf di dalam bas membaca al-Qur;an.”

(c) Kuliyah khusus di Masjid Abdul Rahman bin ‘Auf

– Kuliyah Fiqh Ta’wil al-Qur’an, awal surah al-Baqarah sehingga ayat 30. (Catatan kuliyah masih ada dalam simpanan saya.

– Ringkasan kepada tafsir Ibnu Kathir  yang ditulis oleh syaikh sendiri

(d) Kuliyah khusus di rumah beliau

Saya juga sempat menghadiri kuliyah khusus yang diadakan di rumah syaikh setiap Jumaat@ Sabtu. Antara kitab yang dibaca

-Tatbiq al-Nahw oleh Dr Abduh al-Rajihi

-Muqaddimah Usul al-Tafsir oleh Ibnu Taymiyah…Kitab ini  habis dibaca.

Kelas di rumah dr antara kelas yang tidak dilupakan.

(e) Saya juga ada menyimpan rakaman kuliah tafsir surah Ali Imran yang disampaikan di Baq’ah satu penempatan di Amman, Jordan

Artikel berkaitan:

Ustaz Adlan Abdul Aziz:Kenangan Bersama Dr.Solah…tafsiran ‘Alif Laam Miim’

Ibnu Suhaimi: Kerinduan Syeikh Solah Abdul Fattah Al-Khalidi

Ustaz Zakaria Hamzah ( Abu Fatin) :Guruku-Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi, Ulama’ Tafsir Moden Terkini Yang Alim

Muhammad Abdulloh Suradi:Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi, Ulama’ Tafsir Moden Terkini Yang Alim

Khuttah barraqah

Dalam artikel saya bertajuk MERINDUI BUMI SYAM(GURU-GURU HADITH) saya ada menyebut:

Dr.Solah al-Khalidiyy…beliau merupakan pentafsir terkenal di Jordan…Saya belajar dengannya dua kitab iaitu al-Jami’ Bayna al-Sahihayn iaitu hadith-hadith yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim dan pada bulan ramadan, 3o minit sebelum berbuka saya belajar dengannya kitab Sohih Sirah Nabawiyah. Kami juga pernah belajar Sohih Muslim di teratak kami Dar al-Fikr selepas Asar hari Jumaat

KEMANISAN MENYEMAK TESIS YANG TIDAK DILUPAKAN (MEI-JUN 2011)

Terima kasih Saudara Zakaria yang berikan gambar ini

Masjid Umawi Damsyik, Sabtu 28 Mei 2011

Berhampiran Gua Ashabul Kahfi, Jordan , Isnin 30 Mei 2011

Di atas Sungai Nil, Rabu 1 Jun 2011

AL-FATIHAH DR FADL ABBAS YANG WAFAT DALAM PERJALANAN UNTUK MENGERJAKAN UMRAH

 

Pautan-pautan:
1.http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?p=1473902
2.http://www.panet.co.il/online/articles/71/73/S-373738,71,73.html

Antara kata-kata beliau:
Saya hidup dengan al-Qur’an puluhan tahun tetapi dihadapan al-Quran saya masih lagi seorang pelajar yang kerdil.”’

Tanggal 9 Februari 2011 bersamaan 6 Rabiulawwal 1432H saya menerima mesej dari sahabat saya al-akh ustaz Shahrul Nizam “ Salam, alfatihah, semoga d cucuri rahmat dr fadhal hasan abas telah kembali ke rahmatillah 3 jam yang lalu. Pemergian al-marhum syaikh merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islam, seorang tokoh dalam bidang tafsir dan ijaz al-Quran.

Saya mencari dinternet dan tertulis: Syaikh Fadal Abbas meninggal dunia dalam perjalanan ke Mekah untuk mengerjakan umrah………dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang…

Disember lalu ustaz Sharul Nizam sempat bertemu dengan al-Marhum bertanya hasratnya untuk membuat kajian berhubung tafsir politik dan jawapannya: Setiap orang tahu keperluan di Negara masing-masing…

PERTEMUAN TERAKHIR
Kali pertama saya mengenali syaikh ialah semasa saya menjejakkan kaki di bumi Jordan pada tahun 1995. Saya digambarkan bahawa Dr.fadl seorang yang sangat tegas dan ditakuti oleh pelajar-pelajar Malaysia. Sesekali saya melihat Dr.Fadl dari jauh sehinggalah saya menghadiri kuliah yang diadakan di rumah beliau pada 9 Jun 1997. Pada hari itu beliau mentafsirkan ayat 179 surah al-Baqarah. Kuliah dimulakan dengan bacaan kitab Mukhtasar(ringkasan) Tafsir al-Kha:zin dan pembacanya ialah syaikh Muhammad. Biasanya syaikh Fadl memberi ulasan yang sederhana antara 20 minit ke 45 minit pada setiap kali kuliah di adakan. Sejak dari pertemuan ini, saya semakin mencintai syaikh Fadl kerana kemuliaaan akhlaknya dan ketinggian ilmu. Setiap kali hadir ke kuliahnya ada sahaja ilmu-ilmu baru khususnya berkaitan ijaz al-Quran yang diperolehi. Insya Allah dikesempatan yang lain saya akan cuba untuk menulis kembali mutiara-mutiara ilmu tersebut di dalam blog ini atau dalam bentuk penulisan…Kali terakhir saya menghadiri ke kuliah Dr.Fadl sebelum menamatkan pengajian ialah pada 1 Mei 2000.

Pada tahun 2008 semasa kami singgah di Jordan saya tidak berkesempatan untuk bertemu beliau. Pada Mei 2009 dan 2010 saya sempat menghadiri kuliah mingguan Dr.Fadl yang diadakan setiap hari Isnin malam Selasa. Kuliah ini diadakan sejak 1970-an, dan semasa ustaz shahrul Nizam menziarahinya pada Disember yang lalu, kuliah ini masih diteruskan. Beginilah istiqamah Dr.Fadal dalam menyampaikan ilmu…ini bermaksud kuliah tersebut berterusan hampir empat puluh tahun…Kesungguhan ini wajar dijadikan contoh kepada kita dalam menuntut ilmu…Pertemuan terakhir saya dengan beliau ialah pada 7 Jun 2010 semasa saya bersama Hj.Ruslin, Ustaz Zaki dan Abang Jamil singgah di Jordan…

MAULIDURRASUL

Sebagaimana yang pernah saya tulis dalam entri yang lalu, syaikh Fadl mengisi bulan Rabiulawwal dengan mengingati maulidurrasul selama sebulan, sempena pemergian beliau pada bulan Rabiulawwal saya catatkan semula nasihat beliau yang ada dalam catatan peribadi penulis sempena memperingati maulid al-nabawi 1419H pad 12 R.Awwal 1419H bersamaan 6 Julai 1998 di rumah beliau:
ذكر سيدنا رسول الله … وما أعظم ذكرى وما أطيبها….كلها ترتفع بِهذا الأنسان….ومن أجل يعرف الإنسان ذاته، يدرك إنسانيته…يرد ما يليق بإنسانيته ..كل هذه ذكريات …لكن ذكر المولد يبقى لها شرفها…لماذا؟ لأنها هي الأساس (الهجرة، البدر، الإسراء، نزول القرآن، فتح مكة…لأن هناك عظيما قد تشرقت به الحياة، هناك عظيما قد ولد…لكل هذه دفعات الطيبة تستنير بها الصدور.كل ذلك دفع القوي، الندى الذي يسابق مع ضوء القمر والشمس ويسابق مع نسمة الصباح من أجل أن يدرك الإنسان إنسانيته. لقد كانت الحياة قبله مزيجا من الحق والباطل . وخالطا من الشر والخير. كانت شيئا فيها النور وفيها الظلمة ولكن أراد الله أن يدرك الكون . ما هو وأين هو؟ لذلك قضت حكمته سبحانه وتعالى…يكون نبوته خير الأنبياء وختم الأنبياء ورسالته ختم الرسالة..القرآن ختم الكتاب…منذ أن خلق الله آدم وأسكنه الجنة. شاء ربنا الله أن يخرجوا من الجنة ( أهبطوا منها) وظلت الإنسانية تتذكر كيف خرجت من الجنة؟ لماذا…لا بد حتى تتسم المعادلة أن يكون هناك من يرد الإنسانية اعتبارها…فتح له باب الجنة من أجل أن يخرجوا…ورسول الله يعلم الإنسان كيف يدخل الجنة مرة أخرى
Memperingati Saidina Rasulullah(s.a.w)…Betapa besar mengingati dan betapa baiknya…kesemuanya mengangkat manusia…supaya manusia mengenali hakikat dirinya, hakikat kemanusiaan, dia mengembalikan apa yang patut bagi manusia…semua ini merupakan memperingati akan tetapi memperingati mawlid mempunyai kemuliaanya…mengapa? Kerana mawlid adalah asas(hijrah, peperangan badar, israk mikraj, nuzul al-Quran, pembukaan Mekah) tanpa mawlid semua ini tidak akan berlaku…memperingatinya kerana di sana ada sesuatu yang besar…yang menyinari kehidupan, disana sesuatu yang agung telah lahir, semuanya yang baik ini menerangi hati.semuanya merupakan sebab yang kuat, bisikan yang mengejari cahaya bulan dan matahari dan mengejar angin pagi…supaya manusia mengetahui hakikat kemanusiaan. Kehidupan sebelum kelahirannya bercampur antara kebenaran dan kebatilan, bercampur aduk antara keburukan dan kebaikan..di sini ada sedikit cahaya dan di dalamnya penuh dengan kegelapan akan tetapi Allah s.w.t mahu dunia ini mengetahui. Apakah dia dan di mana dia? Oleh itu Allah s.w.t menetapkan hikmahnya…Allah menjadikan kenabiannya sebaik-baik nabi, penutup nabi-nabi dan risalahnya adalah risalah yang terakhir, al-Quran adalah kitab yang terakhir…qada Allah s.w.t ditetapkan sejak Allah s.w.t menciptakan Adam dan meletakkannya di syurga dan Allah s.w.t inginkan mereka keluar dari syurga(turunlah kami darinya) dan sejak itu manusia mengingati bagaimana mereka keluar dari syurga? Mengapa? Dari sini adanya kesinambungan supaya ada disana manusia yang mengembalikan hakikat manusia…pintu syurga dibuka supaya keluarnya rasulullah(s.a.w) untuk mengajar manusia bagaimana untuk masuk ke syurga semula…

Bersama-sama ini saya coretkan semula catatan saya berhubung al-marhum suatu masa dahulu:

Dr.Fadal Abbas merupakan seorang pakar dalam bidang tafsir dan secara khususnya ijaz al-Qur’an. Beliau menyebut dalam kitabnya al-Itqanul Burhan fi Ulum al-Quran bahawa beliau bercita-cita menghasilkan insklopedia ijaz al-Qur’an.

-Merupakan bekas pensyarah bahagian Usuluddin di Fakulti Shariah University of Jordan. Melahirkan ramai tokoh dalam bidang tafsir termasuklah anaknya sendiri Sana’ Fadal Abbas yang merupakan penulis bersama karya “Ijaz al-Qur’an” dan sekarang pensyarah di University al-Balqa’ al-Tatbiqiyyah, Jordan.

-Dr.Jammal Abu Hassan  merupakan seorang penuntut rapatnya, sekarang bertugas sebagai pensyarah di universiti ulum islamiyah antarabangsa enghasilkan satu buku yang dihadiahkan sempena 70 tahun Dr. Fadal yang diterbitkan oleh Dar al-Razi memuatkan penulisan-penulisan berkaitan al-quran dan bahasa pada tahun 2003. Dr.Ahmad al-Jammal sendiri menulis tentang pengalaman peribadinya dengan dr. Fadal Abbas.

– Perkenalan awal syaikh Jamal Abu Hasan  ialah semasa mendengar kuliyah tafsir yang disiarkan dalam radio Jordan. Dr. Fadal Abbas merupakan satu-satu tokoh yang membaca al-Quran dengan suaranya yang merdu kemudian mentafsirkan seluruh al-Quran dalam radio Jordan. Menurut Dr.Ahmad al-Jammal pernah seorang pelajar Ph.D yang membuat kajian tentang Dr.Fadal meminta keizinan untuk mendapatkan salinan tafsir Dr.Fadal dari radio jordan tetapi tidak dibenarkan dengan alasan hak cipta radio Jordan.

-Alhamdulillah saya sendiri memperolehi 10 keping kaset rakaman tafsir yang disampaikan oleh Dr. Fadal ketika mencari kaset di balad(Pusat bandar Amman) pada tahun 2000 semasa saya keluar bersama al-Akh Shahrul Nizam(adik-ipar ustaz Abdullah Din) sekarang bertugas SMK Sri Bentong, Pahang. Insya Allah jika diberi kesempatan saya akan uploadkan kuliyah tafsir tersebut.

-Dr.Fadal Abbas merupakan seorang yang taat kepada Allah s.w.t dan dikurniakan dengan suara yang merdu. Pada bulan ramadan saya dan sahabat-sahabat menanti-menanti bacaan beliau. Pernah satu tahun beliau menjadi imam pada malam kedua, dia sudah membaca surah al-An’am dalam terawihnya, ini menunjukkan ketika solat bersendirian beliau sudah membaca 6 juzuk pada malam pertama. Pada setiap malam beliau akan membaca hampir 1 1/2 juzuk. Beliau menjadi imam terawih di Masjid al-Zumayli yang tidak jauh dari rumahnya

– Walaupun buta dan dalam keadaan tangan kanannya bergantung pada dinding mihrab masjid semasa berusia 67 tahun beliau menjadi imam solat gerhana matahari semasa gerhana matahari berlaku di Jordan pada tahun 1999 dan mengatakan sesiapa yang tidak mampu berdiri boleh duduk dan menyebut kisah Ai’shah r.anha yang solat di belakang rasul s.a.w. Rasul s.a.w solat gerhana matahari hingga selesai gerhana. Ai’shah r.anha berkata aku tidak mampu berdiri sehingga aku berniat untuk duduk tetapi apabila aku melihat orang tua dan kanak yang lebih lemah dariku berdiri, aku tidak duduk.’

Pada masa itu gerhana bermula selepas waktu zohor lebih kurang jam 1.30 tengahari, syaikh Fadal mengimamkan solat gerhana dengan membaca surah Ghafir (juz 24), surah Fussilat diikuti dengan surah-surah berikutnya dan solat berakhir lebih kurang jam 4.00 petang(berakhirnya gerhana)…3 juzuk dan ++++ dibaca oleh Dr.Fadal dalam keadaan tangannya sesekali bergantung pada dinding masjid. Demikianlah kesungguhan Dr.Fadal dalam melaksanakan sunnah nabi s.a.w.

Berhubung ketaatan beliau, saya pernah mendengar dari sahabat Arab saya bernama Nizar, dia belajar di Kulliyah Dakwah dan Usuluddin dibawah seliaan kementerian Hal Ehwal Islam dan Wakaf jordan, seorang pengikut jamaah al-Ikhwan al-Muslimun, merupakan tenaga penggerak remaja di Masjid Abdul Rahman bin Auf membawa satu kisah menarik yang berlaku antara Dr.Fadak dengan al-Shahid Abdullah Azzam(meninggal 1989) seorang pejuang di Afghanistan insya Allah ada kesempatan saya akan menulis tentang beliau, saya tidak pernah berjumpa dengan beliau kerana semasa saya berada di Jordan, dia sudah gugur shahid tetapi saya belajar dan kagum dengan ilmunya melalui kaset tafsir surah al-tawbah, buku Ussaq al-Hur(Pencinta Bidadari) dan buku-buku mengenai jihad.

Kisah ini berlaku semasa al-Shahid Abdullah Azzam pulang dari mengerjakan umrah dan menumpang rehat di rumah Dr.Fadal. Apabila Dr.Fadal membentangkan persiapan untuk tidur, Dr.Abdullah Azzam memberitahu: Saya datang ke sini untuk solat dibelakang tuan, Dr.Fadal, seperti yang saya sebut suara Dr.Fadal memang merdu, iras-iras suara syaikh Muhammad Jibril. beginilah keadaannya antara dua tokoh ini mereka meneruskan solat sehingga awal pagi dan Abdullah Azzam tidak tidur sehingga ke pagi, alangkah kita memerlukan ulama seperti ini pada zaman ini…

Pernah saya menghadiri kuliyah tafsir Dr.Fadal untuk pelajar-pelajar M.A, kelas M.A bermula dari jam 4-7 malam, peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab, apabila masuk waktu maghrib, beliau berhenti seketika dan memohon keizinan untuk berbuka puasa dengan memakan beberapa biji tamar… Demikianlah kesungguhannya untuk menghidupkan sunnah nabi s.a.w, menyegerakan berbuka puasa dan menghidupkan puasa nawafil…

Beliau memang seorang yang sangat mencintai rasul s.a.w dan seorang yang istiqamah. Alhamdulillah melalui seorang sahabat Arab saya dapat belajar dengan Dr.Muhammad Hawwa sedikit dalam mustalah hadith, dan membaca hadith sohih al-Bukhari. Kelas sohih al-Bukhariyy adalah pada setiap Isnin malam selasa selepas maghrib.

Sejak saya belajar dengan Dr.Muhammad Hawwa saya dibawa oleh beliau ke rumah Dr.Fadal Abbas untuk mengikuti kuliyah tafsir pada setiap Isnin malam selasa yang diadakan oleh Dr.Fadal Abbas. Kuliyah ini telah diadakan lebih dari dua puluh tahun(sejak penghujung1970 an) – perkiraan semasa saya belajar di Jordan, sekiranya kelas itu masih berterusan bermakna sudah mengjangkau 30 tahun…lihatlah istoqamah seorang alim dalam menyampaikan ilmu..Peristiwa ini juga menunjukkan sifat seorang alim yang tawaduk, Dr.Muhammad yang sudah memegang title Dr. tidak miss dari menghadiri kuliyah tafsir Dr.Fadal Abbas…Bagaimana dengan kita hari ini, baru ada sedikit ilmu tetapi dah berlagak hebat… Kuliyah hari Isnin Dr.Fadal sesekala dihadiri oleh tokoh-tokoh hebat yang membawa title Dr.

Kecintaan Dr.Fadal Abbas dibuktikan melalui sambutan Mawlid rasul s.a.w. Sekiranya pada kuliyah-kuliyah yang biasa Dr.Fadal akan menghidangkan Qahwah Sadah” Kopi pahit yang disediakan untuk tetamu, tetapi apabila tiba musim Mawlid nabi s.a.w, Dr.Fadal akan membuat jamuan istimewa sebagai menghargai kedatangan nabi s.a.w.Pernah sekali beliau menjamu kami dengan kueh yang dinamakan Kinafah… cukup sedap rasanya dan apabila saya tanya dikedai harganya JD5(RM25) sekilo…beginilah keadaannya Dr. Fadal apabila tibanya musim mawlid nabi s.a.w. Sambutan Mawlid nabi bukan sehari tetapi pada minggu-minggu berikutnya syaikh akan membaca sirah nabi s.a.w selama sebulan…Antaranya kitab al-Mawahib al-Ladunniyah karangan al-Qastalaniyy…

Dr.Fadal juga merupakan seorang yang tegas dan amanah dalam tanggung jawab yang dilaksanakan sebab itu beliau terkenal dikalangan pelajar-pelajarnya sebagai seorang yg straight dari segi pemarkahannya. Pernah dalam satu kuliyah Dr.Fadal menyebut bahawa beliau meluluskan salah seorang penuntutnya yang sepatutnya gagal kerana akhlak pelajar tersebut baik, katanya beliau tidak tidur satu malam dan akhirnya memilih keputusan yang asal…pelajar tersebut gagal…

Akhirnya dalam coretan ringkas oleh hamba Allah yang daif ini, saya ingin menukilkan kata-kata Dr.Fadal Hassan Abbas dalam satu kuliyah yang disampaikan sekitar tahun 1999-2000 yang cukup memberi kesan kepada saya, pada masa itu dia seorang tokoh yang hebat dalam tafsir tetapi beliau mengatakan: Saya hidup dengan al-Qur’an puluhan tahun tetapi dihadapan al-Quran saya masih lagi seorang pelajar yang kerdil.”’. Bagaimana dengan kita?

29 Mac 2009-7.22 am

MERINDUI BUMI SYAM(GURU-GURU HADITH)

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani

Saya mulakan dedikasi ini dengan mengajak pembaca mensedekahkan al-Fatihah buat guru saya al-Marhum Syaikh Ibrahim al-Aliyy…al-Fatihah..

Alhamdulillah sepanjang 4 tahun 8 bulan mengutip mutiara ilmu di bumi Jordan saya berkesempatan mempelajari hadith dan ulum hadith dengan beberapa guru. Saya tidak belajar secara formal ilmu hadith di kuliah shariah di universiti kerana saya mempelajari Bahasa Arab sepenuhnya di Kuliyah Adab tetapi syukur kerana sepanjang  berada di bumi Jordan saya sempat bertalaqqi dan menjadi mustami'(pendengar) di kuliah shariah. Antara guru-guru saya di kuliah shariah universiti of Jordan ialah:( Insha Allah dikesempatan yang lain saya akan menceritakan tentang guru saya ini satu persatu secara detail…

1. Dr.Id al-Sahib. Saya belajar dengannya Ulum al-Hadith dan kitab yang dibaca ialah kitab Dr.Nuruddin Itir berjudul Manhaj al-Naqd fi Ulum al-hadith

2.Dr.Yasir al-Shimaliyy. Saya belajar  Hadith 1 dengan dan membaca kitab Jami’ al-Ulum wa al-Hikam karya Ibn Rejab al-Hanbali dan Manahij al-Muhaddithin(Metodologi ahli hadith) yang ditulis oleh beliau sendiri.

Antara guru hadith saya ialah

al-'allamah al-muhadith syaikh syuaib al-Arnaut

3. Syaikh Syuaib al-Arnaut…salah seorang ulama hadith dan penyunting yang terkenal…berkecimpung dalam bidang hadith lebih dari empat puluh tahun…saya sendiri tak ingat bagaimana saya boleh menghadiri kelas Syaikh Suaib…kalau tak silap saya  di bawa oleh salah seorang dari keluarga tuan punyai maktabah Muassasah al-Risalah…harap2 Allah ingatkan saya orang tersebut kerana jasanya sangat besar bagi saya…kuliyah beliau diadakan di salah sebuah rumah di kawasan Syimsyani…Kali pertama saya datang dengan Ustaz Abdullah Din dan selepas itu beliau tidak dapat datang , mungkin ada keuzuran..selepas itu bilangan yang menghadiri kuliyah syaikh Syuaib bertambah…kemudian group ustaz Zamri NTV9 datang…ustaz Shahrul Nizam…Abid, Fakhzan…mereka ini sahabat2 group talaqqi di Amman…alangkah baik sekiranya zaman ini boleh berulang…kemanisan bertalaqqi tetapi peluang untuk belajar hanya sekali…Dengan syaikh syuaib saya belajar kitab Subulussalam, bermula dengan kitab bersuci dan atas cadangan Dr.Zuhayr yang menjadi pembaca kitab kepada syaikh beliau membaca kitab jual beli…Syaikh Syuaib seorang yang tidak putus ideanya…selepas itu pelajar Malaysia di  al-Bayt menjemput beliau menyampaikan ceramah tentang pengalaman beliau dalam bidang hadith…saya tidak hadir dalam majlis ini tetapi ustaz Sufiyan negeri Sembilan memberikan saya salinan tape…satu pengalaman seorang manusia yang menghabiskan hidupnya dengan hadith…pengalaman yang sangat berharga…saya sangat menyayangi Syaikh Syuaib kerana lebih 40 tahun beliau hidup dengan hadith nabi saw…

Satu masa kelas syaikh Syuaib sangat meriah kerana dihadiri oleh sahabat-sahabat dari universiti al-Bayt…jarak antara Mafraq ke Amman lebih 70 KM…kerana cintakan ilmu mereka sanggup menyewa coaster semata-mata untuk mendapatkan ilmu…antara yang hadir ustaz Aizam Masud, Ustaz Harmi dan lain-lain…

Merindui Syaikh Syuaib

Setelah 8 tahun meninggalkan Jordan, semasa datang ke Jordan pada tahun 2008 bersama keluarga tersayang, ibu, ummu awatif, ummu Nusaibah dan Maryam saya ke Dar al-Bashir untuk mendapatkan maklumat tentang Syaikh Syuaib, katanya pejabat beliau dekat dengn masjid Fadal Abbas di Jabal Husayn… saya mengambil teksi dan turun di masjid Fadal Abbas dan mencari-cari pejabat syaikh Syuaib seperti yang digambarkan kepada saya…tetapi takdir Allah saya tidak berjumpa…oleh kerana saya ada temujanji berikutnya di Masjid Sayyidah Aishah untuk bertemu dengan Dr.Muhammad Said Hawwa, saya akhirnya menahan teksi menuju ke kawasan Abdoon… saya ke Syimsyani pada hari Sabtu malam Ahad yang menjadi kebiasaan kuliah syaikh Syuaib tetapi saya tidak jumpa rumah yang menjadi kunjungan setiap minggu…Akhirnya pada tahun 2008 saya meninggalkan Jordan dengan perasaan sedih kerana tidak dapat bertemu dengan syaikh syuaib

Alhamdulillah pada tahun 2009, sekali lagi saya berpeluang ke Jordan. Kali ini bersama tuan Hj Fawzi Haw dan ustaz Sufian Said…kali ini saya berada lebih lama di Jordan…sekali lagi saya ke Dar al-Bashir dan saya mendapat nombor telefon dari salah seorang staf Dar al-Bashir…katanya jangan beritahu syaikh tentang anta dapat nombor ini dari saya…selepas itu saya menelefon syaikh dan alhamdulillah syaikh mengangkatnya…oleh kerana pada hari tersebut saya dan hj fawzi berangkat ke Syria saya membuat temujanji dengan beliau pada hari Selasa untuk bertemu di pejabatnya…

Sekembali dari Syria, kami sampai di Amman tengah malam dan alhamdulillah sebelah malam saya sempat menghadiri kuliyah Dr Fadal Abbas…keesokan pagi saya bersama Ustaz Pian dan Hj Fawzi ke Abdali seterusnya ke Jabal Husain untuk mencari syaikh Syuaib sekali lagi…saya cuba menelefon syaikh Syuaib tetapi telefonnya ditutup…Hari ini Jordan cuti sempena hari kemerdekaan…saya cuba mencari pejabat penyuntingan Muassasah al-Risalah( Maktab Tahqiq Muassasah al-Risalah)…pada awalnya kami tidak berjumpa sehingga kami hampir-hampir ingin pulang ke tempat penginapan…Akhirnya kami bertemu dengan rumah yang menjadi pejabat penyuntingan dengan bantuan seorang Arab…

Assalamualaikum…kami mengetuk pintu…Ini maktab tahqiq Muasssasah al-Risalah? Ya ..syaikh syuaib ada?..Maaf syaikh Syuaib tiada hari ini…hari ini cuti…alhamdulillah dapat kami berkenalan dengan Syaikh Adil Mursyid salah seorang penuntut lama syaikh syuaib. Lebih 18 tahun dia bersama syaikh Syuaib dalam kerja-kerja penyuntingan…Kami seterusnya di bawa masuk ke pejabat…melalui syaikh Adil kami mendapat nombor telefon rumah syaikh Syuaib…

Saya  seterusnya menelefon rumah syaikh Syuaib…telefon diangkat oleh anak perempuannya…Maaf syaikh tak ada..dia keluar…akhirnya kami putuskan untuk ke balad Amman(pusat bandar) untuk membeli beberapa buah tangan untuk di bawa pulang…dengan persoalan adakah dapat bertemu dengan syaikh atau tidak?

Selepas zohor, tuan Hj Fawzi pulang ke apartment yang disewa di hadapan universiti…saya dan ustaz Pian pulang ke Suweileh…sesampai di Suweileh saya mendapati dompet saya tercicir…mungkin tertinggal di dalam teksi yang saya naiki atau dibalad  Amman…saya cuba menelefon Hj Fawzi kalau-kalau ianya tertinggal termasuk dalam salah satu beg  plastik…setelah diperiksa tidak ada…harapan untuk berjumpa adalah tipis kerana esok kami akan bertolak pulang ke Malaysia…akhirnya saya ke Masjid Awwabin dan selepas solat Asar saya menjadi tamu ke Syaikh Dr Muadh Said Hawwa…saya mengadu masalah kepadanya … beliau mengajar kepada saya satu ilmu. Perbanyakkan baca surah al-Duha dan baca doa ini…

اللَّهُمَّ كَمَا رَدَدْتَ يُوسُفَ عَلَى أَبِيهِ رُدَّ عَلَيَّ ضَالَّتي

Allahumma kama radadta Yusufa ‘Ala Abihi Rudda ‘Alayya Dhallatiyy

Ya Allah sebagaimana Engkau kembalikan Yusuf, Engkau kembalikan harta kami yang hilang.

(Keesokannya saya pulang ke Malaysia dengan dompet saya tidak ditemui…alhamdulillah tidak berapa lama selepas itu saya mendapat panggilan dari Ustaz Ishraq UMS…Arab yang pegang dompet anta email kat ana..Alhamdulillah akhirnya ana dapat dompet tersebut dari orang sekampung ana yang belajar perubatan di JUST yang pulang sempena Aidil Fitri…semua yang ada dalam dompet tersebut tidak diusik walaupun sedikit…jujurnya orang Arab ini..namanya Mohd Syadi Kabatilo…rupa-rupanya dompet saya tercicir semasa membeli buah tin…)

Setelah mendengar beberapa nasihat dan tawjihat dari syaikh Murabbi Dr. Muadh Hawwa saya sekali lagi menelefon syaikh Syuaib..alhamdulillah beliau mengangkatnya…sila datang ke rumah selepas maghrib berhampiran Jami Zaki al-Dandasyi…saya terus ke apartment Hj Fawzi dan mengajak beliau ke rumah Syaikh Syuaib…kami menunggu ustaz Sufiyan tetapi beliau tidak sampai…kami meneruskan perjalanan terlebih dahulu kerana banyak jalan ditutup pada petang itu kerana rakyat Jordan menyambut raja mereka…puas juga berunding dengan pemandu teksi kerana ramai pemandu yang tidak mahu pergi kerana jalan sibuk dan banyak jalan di tutup…Akhirnya setelah melalui jalan yang tidak biasa dilalui dan dengan perjalanan lebih setengah jam ditambah hendak mencari masjid kerana pemandu teksi pun tak tahu juga, masjid di kawasan duwar madinah, perjalanan biasa hanyalah 5 -10 minit…alhamdulillah sebelum maghrib kami sampai di masjid tersebut..bila sampai di sini baru saya teringat 8 tahun yang lalu saya pernah sampai di sini ketika menemubual Ustaz Abdullah Tantawi tentang syaikh Said Hawwa… 

Apa yang saya perhatikan di masjid ini, jemaah-jemaahnya melimpah sampai keluar , hampir seperti solat  Jumaat..alhamdulillaj ini satu perkembangan positif yang saya lihat di Jordan…

Usai solat maghrib saya bertanya kepada salah seorang jemaah…Anda kenal syaikh Syuaib…alhamdulillah saya mengenalinya…anda tahu di mana rumahnya? Ya saya tahu…boleh tolong tunjukkan rumahnya…alhamdulillah dengan pertolongan akhirnya kami sampai ke rumah syaikh…

Di rumah kami disambut dan dilayan dengan baik…kami diajak oleh syaikh untuk makan malam bersama…hidangan disediakan oleh anak syaikh…isterinya telah meninggal dunia…syaikh berseloroh kalau saya kahwin dengan orang Malaysia ok tak?…Antara perbincangan kami adalah berkaitan kelas talaqqi yang disampaikan oleh beliau…sekarang ada tiga kelas seminggu, Jumaat malam Sabtu di Syimsyani, Ahad malam Isnin Kitab Sohih al-Bukhari dan malam selasa kelas khusus untuk golongan profesional…Beliau bertanya juga: Adakah kitab-kitab suntingan saya sampai ke Malaysia?…Diakhir pertemuan dia menghadiahkan kami 2CD kitab Musnad Imam Ahmad dan Siyar A’lam al-Nubala’ suntingan beliau dan pasukan penyunting Muassasah al-Risalah dalam bentuk PDF dan dia memberi kebenaran untuk menyebarkan…Sesiapa yang ingin mendapatkan copynya bolehlah berhubung dengan saya

4.Dr Anas Sobri…semasa kami belajar dengannya beliau sedang melanjutkan M.A dalam bidang hadith di Universiti of Jordan..Saya, ustaz Shahrul Nizam dan beberapa pelajar yang lain membaca sukatan Ulum al-Hadith bagi Jamiah al-Quds al-Maftuhah( Open University) dan alhamdulillah kami selesai membaca buku ini dari kulit ke kulit…kalau tak silap kami baca buku ini selepas Isyak hari Selasa…

5. Syaikh Abu Huzaifah…merupakan lepasan kuliyah hadith Universiti Islam Madinah al-Munawwarah, berasal dari Syria…saya mengenali Syaikh Abu Huzaifah melalui ustaz Abdullah Din…kami membaca dengan beliau hadith sohih Muslim setiap pagi selepas solat subuh…Alhamdulillah dapat istiqamah setahun dan lepas tu terhenti…antara yang sama-sama belajar ialah Dr.Azhar Yaakub dan sesekali ustaz…

6.Dr.Hammam Said merupakan pakar dalam ilmu ilal hadith…satu ilmu yang mendalam dalam ilmu hadith dan memerlukan kepada kefahaman…beliau juga sekarang merupakan Muraqib al-Am al-Ikhwan al-Muslimun di Jordan…saya belajar dengannya sohih al-Bukhari dan kitab berkaitan ilal hadith yang merupakan tesis Ph.D beliau…Kitab sohih al-Bukhari dibaca oleh beliau di masjid Abdul Rahman bin Auf berselang-seli dengan kelas tafsir selepas solat subuh…semasa saya mula menjejakkan kaki di Suweileh dr.Hammam sudah pun membaca kitab ini…beliau terus membaca dan terhenti  sekitar tahun 1997@1998. Kitab Ilal al-hadith merupakan kelas khusus yang diadakan di rumah beliau.

7. Dr.Muhammad Said Hawwa…Saya mengikuti kelas ini melalui seorang sahabat yang bernama Ihab..Pada peringkat awal kami membaca kitab ulum al-Hadith sebelum maghrib dan selepas maghrib kami membaca kitab sohih al-Bukhariyy…Dr.Muhammad menulis tesis PhDnya tentang metodologi imam al-Bukhari dalam al-Jarh wa al-Ta’dil…saya sempat menghadiri kelas ulum al-hadith beberapa kali sahaja…yang saya dapat belajar secara berterusan dari saya mula mengenali Dr Muhammad sehinggalan saya pulang ke Malaysia pada Mei 2000…

8. al-Marhum syaikh Ibrahim al-Aliyy…Saya belajar dengannya kitab Sohih al-Bukhariyy dan kitab Sohih Sirah Nabawiyah yang disusun oleh beliau sendiri…

9.Dr.Solah al-Khalidiyy…beliau merupakan pentafsir terkenal di Jordan…Saya belajar dengannya dua kitab iaitu al-Jami’ Bayna al-Sahihayn iaitu hadith-hadith yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim dan pada bulan ramadan, 3o minit sebelum berbuka saya belajar dengannya kitab Sohih Sirah Nabawiyah. Kami juga pernah belajar Sohih Muslim di teratak kami Dar al-Fikr selepas Asar hari Jumaat

Meraih ilmu di Serambi Mekah

‘Zikrayat: Kembara mencari ilmu di bumi  Syam(3)’

Gambar kenangan penulis semasa mengikuti kursus Bahasa Arab di Pusat Bahasa Nilam Puri pada hujung 1994- awal 1995 yang diperolehi dari Ziyad Akhtar

Usai SPM pada tahun 1994, saya bersama rakan saya Abu Hasif mengikuti kursus Bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri…kali kedua saya di sini ialah pada bulan Julai 1996 mengikuti kursus persediaan Bahasa Arab sebelum ke Jordan pada Ogos 1996…Kesempatan berada di negeri Serambi Mekah telah digunakan oleh penulis untuk menghadiri kuliah Jumaat bersama-sama sahabat yang lain…Alangkah baiknya kalau semua majlis-majlis ilmu dihadiri oleh pendengar yang ramai…

  Sepanjang di Nilam Puri penulis sempat bekenalan dengan beberapa orang seperti Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan rakannya ustaz…(saya tak ingat namanya)…Pada masa ini kedua-duanya berlumba-lumba untuk menghafaz al-Qur’an. Saya masih ingat Ustaz Zaharuddin biasanya membaca surah Yusof semasa beliau mengimami solat di masjid Kg.Laut…rakannya pula mempunyai semangat yang tinggi untuk menghafaz al-Qur’an dan saya tahu kemudiannya dia pernah memenangi pertandingan hafazan peringkat kebangsaan….Antara sahabat lama yang saya kenali di Nilam Puri ini ialah Ustaz Yusro yang kini bertugas di Melaka… Pada masa ini juga saya mempunyai hubungan rapat dengan ustaz Nuruddin al-Kurt yang berasal dari Turki..Beliau mengajar di pusat bahasa dan sedang melanjutkan pengajian di UKM pada peringkat MA..

           Kedatangan saya kali kedua ialah pada bulan Julai/Ogos…Kali ini saya mengajak arwah ayah untuk menemani saya…kami berdua menaiki bas sahaja untuk ke sini kerana sepanjang hidup beliau, kami tidak pernah berkereta, yang ada ialah motor Honda CM977…Kursus kali ke-2 disertai 70 orang pelajar tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia di samping pelajar-pelajar Kelantan yang akan menyambung pengajian mereka di Mesir…Di sini saya banyak belajar tentang gerakan Islam…

Nostalgia: PERJALANAN MENJADI TETAMU DATARAN SYAM(2)

SMKA TAHAP PERMULAAN KE JORDAN

Selepas UPSR…terima kasih kepada guru-guru yang mengajar di sekolah rendah dan secara khususnya kepada Cikgu Tahir yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Matematik…saya tidak ada apa-apa maklumat tentang beliau kerana selepas UPSR beliau berpindah ke Perak…harap satu masa saya dapat bertemu dengan beliau… dan Sir Saleh yang mengajar Bahasa Inggeris…Alhamdulillah dengan Cikgu Salleh saya sentiasa berhubung dengannya dari semasa ke semasa…kalau hadir ke kuliah Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man setiap malam selasa, Insha Allah berjumpa dengannya….Saya masih ingat masa tu kalau tak hafaz perkataan Bahasa Inggeris kena berdiri atau rotan…hasilnya dapat A…tapi bila masuk sekolah menengah prestasi Bahasa Inggeris semakin lemah….

Selepas UPSR saya menghadiri temuduga untuk masuk sekolah agama kerajaan negeri…Sekolah Menengah Agama Jengka Pusat…sekarang dah bertukar nama Ma’had al-Diniyy Sultan Ahmad Shah…saya memulakan pengajian menengah di sini dan sempat belajar di sini sekitar dua minggu…Pada masa yang sama saya juga memohon Asrama Felda…Saya mendapat tawaran ke sini tetapi Allah tidak menggerakkan hati untuk ke sana…

Saya ada memohon ke SMKA TAHAP tetapi saya tidak termasuk dalam senarai awal…Arwah bapa cuba memohon bantuan dari Ustaz Zul yang bertugas di  Jabatan Pelajaran Pahang dan selepas dua minggu saya mendapat tawaran ke SMKA TAHAP…

Dua kakak saya yang belajar di sekolah agama kerajaan negeri memberi pandangan kepada saya untuk meneruskan pengajian di sekolah agama kerajaan negeri dengan alasan belajar di sekolah agama dapat dua sijil dan boleh menyambung pengajian di timur tengah(Mesir)…tetapi Allah menggerakkan hati saya untuk memilih SMKA TAHAP…

Alhamdulillah saya menjejakkan kaki di SMKA TAHAP dengan hati yang sayu kerana inilah kali pertama saya meninggalkan keluarga…Rupa-rupanya selepas itu saya selalu jauh dari keluarga…Terlalu banyak kenangan manis dan pahit di SMKA TAHAP yang saya tidak dapat nukilkan di ruangan ini…

Di tingkatan 1, saya ditempatkan di kelas 1 Ibnu Sina…Minat saya terhadap bahasa Arab adalah di tingkatan 2 Ibnu Sina semasa belajar dengan Ustazah Halizan Daud kakak kepada ustaz Zuridan yang sekarang merupakan pensyarah di Universiti Malaysia Pahang…saya tertarik dengan cara pengajaran Ustazah Halizan yang baru tamat di UKM…hasilnya penguasaan bahasa Arab saya meningkat di samping subjek-subjek yang lain…

Pada tahun 1992 saya mengambil SRP. Tahun ini merupakan tahun terakhir SRP dan mulai 1993 PMR diperkenalkan. Di tingkatan 4  Ibnu Khaldun & 5 Ibnu Khaldun saya belajar Bahasa Arab Komunikasi dengan Ustaz Nik Adnan dan Bahasa Arab Tinggi dengan Ustazah Norana.

Ditingkatan 4, SMKA TAHAP didatangi oleh Tuan Haji Zohdi(haji muda) yang sebelum ini belajar di SMA al-Ihsan, Kuantan dan dengan beliau saya belajar ilmu pidato…Dengan kelebihan beliau kami berempat dapat ke Kuching, Sarawak menyertai pertandingan forum perdana… Pada tahun ini Haji Zohdi dilantik sebagai ketua umum dan saya sebagai setiausahanya…

Semasa tingkatan 5, Hj. Zohdi memberitahu dia ada memohon untuk ke Jordan dengan Yayasan Pahang…ini serba sedikit memberi inspirasi untuk saya belajar di Jordan…pada tahun ini kami berforum tanpa adanya Hj.Zohdi kami hanya sampai ke peringkat negeri…

Alhamdulillah setelah mendapat keputusan SPM saya memohon biasiswa ke Jordan dan yang hadir temuduga dari SMKA TAHAP ialah saya dan ustaz Khairul Amin  di samping beberapa calon lain dari seluruh negeri Pahang…Salah seorang penemuduga ialah ustaz Shaari Yatim dari Sektor Pendidikan Islam yang memang sudah saya kenali sebelum ini kerana dua kali beliau mengiringi saya ke pertandingan syarahan Bahasa Arab sempena sambutan Maal Hijrah…dari yang hadir itu dua orang dari negeri Pahang terpilih iaitu saya dan Ustaz Khairul Amin,,,