Category Archives: Sahabat

TAKZIAH KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEMOGA ALLAH MEMBERI GANJARAN PAHALA YANG BESAR

Alhamdulillah setiap pagi kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi nafas dan kesihatan badan kepada kita semoga kita terus diberikan kesihatan moga-moga Allah memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan tetamu yang sentiasa dirindui Ramadan al-Mubarak yang semakin hampir…

Diruang ini, penulis ingin mengucapkan takziah kepada beberapa sahabat yang kehilangan orang yang disayangi semoga Allah memberi ganjaran yang besar sebagaimana yang diajar oleh rasul saw:

 عَطَّمَ اللهُ أَجْرَكُم

” semoga Allah memberikan kepadamu pahala yang besar.”

1. Takziah kepada Abang Azmi(Nikki Management), isteri, Azlan dan keluarga atas pemergian ibu Abang Azmi yang meninggal dunia beberapa hari selepas kewafatan al-marhum tuan Hj. Nahar. Saya sendiri pernah beberapa kali bertemu dengan ibu abang Azmi(al-Marhumah)  dan kali terakhir sekitar tahun 2004-2005 semasa saya mengajar Azlan al-Qur’an.

2. Takziah kepada Abang Jamil bin Dan serta  keluarga yang kehilangan ibu kandungnya pada hari Khamis 22/7/2010. Berita ibunya yang tidak sedarkan diri diberitahu oleh Abang Jamil semasa kami berusrah pada 16/7/2010. Pada malam itu kami membincangkan hadith dalam kitab Riyadussolihin berkaitan kematian, bagaimana menghadapi dan menguruskan jenazah dari saat sakaratul maut sehinggalah mensedekahkan amalan kepada si mati. Kami juga menyebut kebaikan-kebaikan al-Marhum Ustaz Nahar dalam usrah tersebut dan dihujung usrah kami sama-sama mengerjakan solat hajat semoga Allah memberikan kesihatan kepada ibu Abang Jamil dan Allah lebih sayang kepada ibunya….

 

al-Marhum Tuan Hj Abdullah/Barabag dalam kenangan.Foto oleh Abu Nuha.

3. Takziah kepada Abu Aslam dan keluarga atas kehilangan bapa tuan Hj Abdullah/Barabag yang meninggal dunia pada malam nisfu Sya’ban selepas solat Isyak( 26/7/2010). Saya sendiri tidak pernah berjumpa dengan al-Marhum walaupun Abu Aslam banyak menceritakan tentang kebaikan beliau kepada saya. Saya hanya dapat menatap wajah al-Marhum beberapa ketika sahaja selepas al-Marhum kembali kerahmatullah semoga Allah merahmati rohnya. Jenazah al-Marhum dikebumikan di Kota Belud dan terlebih dahulu dimandikan dan dikafankan di rumah anaknya Abu Aslam di Ujana Kingfisher dan disolatkan di Masjid Bangka-Bangka selepas solat Subuh. Selain dari anak-anak, cucu dan sahabat jenazah al-Marhum Tuan Hj Abdullah/Barabag turut disembahyangkan oleh sekumpulan jemaah tabligh yang datang dari Pakistan yang beriktikaf di masjid tersebut semoga doa keampunan dan rahmat oleh para jemaah diperkenankan oleh Allah SWT. 

4.Takziah kepada Tn Hj Mokhtar,bekas pengarah ANGKASA Sabah, sekarang bertugas di Kuala Lumpur atas pemergian bonda kesayangan Ainon binti Ahmad ketika berusia 77 tahun pada 28 Julai 2010…

 

Semoga roh-roh mereka beristirehat bersama roh-roh orang mukmin sebagaimana hadith rasul saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

حَدَّثَنَا ‏ ‏قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏مَالِكِ بْنِ أَنَسٍ ‏ ‏فِيمَا قُرِئَ عَلَيْهِ عَنْ ‏ ‏مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ حَلْحَلَةَ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏مَعْبَدِ بْنِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏أَبِي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ ‏ ‏أَنَّهُ كَانَ يُحَدِّثُ ‏ أنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏مُرَّ عَلَيْهِ بِجَنَازَةٍ فَقَالَ ‏ ‏مُسْتَرِيحٌ وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْمُسْتَرِيحُ وَالْمُسْتَرَاحُ مِنْهُ فَقَالَ الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلَادُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ

Dari Abu Qatadah bin Rib’iyy memberitahu bahawa satu jenazah lalu di hadapan nabi saw lantas baginda bersabda ” MUSTARIH DAN MUSTARAH MINHU”-ORANG YANG BERISTIREHAT DAN BEREHAT DARINYA- Sahabat bertanya: ” Wahai Rasulullulah apakah maksudnya? Baginda menjawab:

 Hamba yang beriman berehat dari kepenatan dunia dan hamba yang berdosa berehat darinya hamba-hamba, tanah air, pokok dan binatang.

HR IMAM MUSLIM NO.950

Meraih ilmu di Serambi Mekah

‘Zikrayat: Kembara mencari ilmu di bumi  Syam(3)’

Gambar kenangan penulis semasa mengikuti kursus Bahasa Arab di Pusat Bahasa Nilam Puri pada hujung 1994- awal 1995 yang diperolehi dari Ziyad Akhtar

Usai SPM pada tahun 1994, saya bersama rakan saya Abu Hasif mengikuti kursus Bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri…kali kedua saya di sini ialah pada bulan Julai 1996 mengikuti kursus persediaan Bahasa Arab sebelum ke Jordan pada Ogos 1996…Kesempatan berada di negeri Serambi Mekah telah digunakan oleh penulis untuk menghadiri kuliah Jumaat bersama-sama sahabat yang lain…Alangkah baiknya kalau semua majlis-majlis ilmu dihadiri oleh pendengar yang ramai…

  Sepanjang di Nilam Puri penulis sempat bekenalan dengan beberapa orang seperti Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan rakannya ustaz…(saya tak ingat namanya)…Pada masa ini kedua-duanya berlumba-lumba untuk menghafaz al-Qur’an. Saya masih ingat Ustaz Zaharuddin biasanya membaca surah Yusof semasa beliau mengimami solat di masjid Kg.Laut…rakannya pula mempunyai semangat yang tinggi untuk menghafaz al-Qur’an dan saya tahu kemudiannya dia pernah memenangi pertandingan hafazan peringkat kebangsaan….Antara sahabat lama yang saya kenali di Nilam Puri ini ialah Ustaz Yusro yang kini bertugas di Melaka… Pada masa ini juga saya mempunyai hubungan rapat dengan ustaz Nuruddin al-Kurt yang berasal dari Turki..Beliau mengajar di pusat bahasa dan sedang melanjutkan pengajian di UKM pada peringkat MA..

           Kedatangan saya kali kedua ialah pada bulan Julai/Ogos…Kali ini saya mengajak arwah ayah untuk menemani saya…kami berdua menaiki bas sahaja untuk ke sini kerana sepanjang hidup beliau, kami tidak pernah berkereta, yang ada ialah motor Honda CM977…Kursus kali ke-2 disertai 70 orang pelajar tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia di samping pelajar-pelajar Kelantan yang akan menyambung pengajian mereka di Mesir…Di sini saya banyak belajar tentang gerakan Islam…

Ustaz Zulkifli Mustafa

ASSALAMUALAIKUM
Pagi tadi saya berhubung dengan sahabat kita yang dah berpindah ke Kedah al-Fadil Ustaz Zulkifli Mustafa. Alhamdulillah dia berada dalam keadaan sihat walafiat dan beliau menyampaikan salam kepada sahabat-sahabat yang mengenalinya.

Sekarang beliau dan isteri ditempatkan di sekolah yang sama, zawjahnya mengajar sebelah pagi dan beliau mengajar sebelah petang. Alhamdulillah ustaz Zul dan isterinya sentiasa bertugas di tempat yang dekat walaupun asalnya isteri ditempatkan di sekolah yang jaraknya 20 KM.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada Ustaz Zul untuk meneruskan kerja-kerja jemaah di sana…