Category Archives: Sirah

IKTIBAR DARI PERANG UHUD

CATATAN: CERAMAH INI MERUPAKAN KULIYAH SUBUH PADA 14 SYAWAL 1433H YANG DISAMPAIKAN DI MASJID NEGERI SABAH MENGUPAS PERISTIWA UHUD BERDASARKAN AYAT SURAH ALI IMRAN YANG DICATATKAN SELEPAS VIDEO INI DAN HIMPUNAN HADITH2 BERHUBUNG PERANG UHUD DALAM  PAUTAN DI BAWAH:

https://abuawatif.wordpress.com/2012/09/01/himpunan-hadith-hadith-berkaitan-peperangan-uhud/

Allah (s.w.t) berfirman dalam surah Ali Imran

140. Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

141. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang Yang kafir.

142. Adakah kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang Yang berjihad (yang berjuang Dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang Yang sabar (tabah dan cekal hati Dalam perjuangan)?

143. Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

144. dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

145. Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan  dengan izin Allah, Iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

146. Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

147. Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

148. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (Kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (Nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

149. Wahai orang-orang yang beriman! jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orangyang rugi.

150. (Janganlah kamu taatkan mereka!) bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah sebaik-baik Penolong.

151. Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

152. dan Demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjinya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) Dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah Dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa Yang kamu sukai (Kemenangan dan harta rampasan perang). di antara kamu ada Yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada Yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan Sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata Dengan limpah kurniaNya). dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.

153. (ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang Dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan Yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) Yang mendukacitakan (kekalahan), Dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) Yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa Yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa Yang menimpa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa jua Yang kamu lakukan.

154. kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) Yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, Iaitu rasa mengantuk Yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan Yang lain Yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah Dengan sangkaan Yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan Yang dijanjikan itu?” Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja Yang berkuasa melakukannya menurut peraturan Yang ditetapkanNya)”. mereka sembunyikan Dalam hati mereka apa Yang mereka tidak nyatakan kepadamu. mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan Yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di Rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang Yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”. dan (Apa Yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa Yang ada Dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa Yang ada Dalam hati kamu. dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan Segala (isi hati) Yang ada di Dalam dada.

155. bahawasanya orang-orang Yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir Dalam perang Uhud) itu, Sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan Dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) Yang mereka telah lakukan (pada masa Yang lalu); dan Demi Sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

GOLONGAN YANG MENYAMBUT MAWLIDURRASUL

Kelahiran nabi s.a.w sangat istimewa kerana di sambut sebelum kelahiran, semasa kelahiran dan selepas kewafatan rasul s.a.w.  Peristiwa kedatangan nabi s.a.w telah disebut oleh nabi Musa a.s seperti yang tercatat dalam kitab taurat dan orang-orang Yahudi berpindah ke Madinah kerana mereka menanti-nanti ketibaan nabi akhir zaman yang disebut di dalam kitab mereka bahawa nabi akan muncul di Madinah. Mereka mengenali sifat  nabi s.a.w seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri(al-Baqarah: ayat 146.  Sebaliknya apabila nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, golongan Yahudi menjadi penentang rasul s.a.w yang kuat dan mereka menjadi orang yang pertama kufur.Hanya sedikit dikalangan mereka yang beriman dan kebanyakannya kufur. Firman Allah s.w.t:
وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ (110
“ Sekiranya ahli kitab beriman maka itu lebih baik bagi mereka , ada kalangan mereka  yang beriman dan kebanyakan mereka fasiq.” Ali imran:ayat 110

Menurut al-Tabariyy antara golongan Yahudi yang beriman ialah Abdullah bin Salam dan saudaranya, dan Tha’labah bin Sa’yah dan saudaranya dan orang-orang seperti mereka(Lihat Tafsir al-Tabariyy, suntingan Ahmad Shakir j.7/ Hal.107)

Peristiwa kedatangan nabi s.a.w juga diberitahu oleh nabi Isa a.s. Firman Allah:
وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ (6)
6.  Dan (Ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, Sesungguhnya Aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan Kitab sebelumku, yaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).” Maka tatkala Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata.”

Justeru dalam menyambut kedatangan nabi s.a.w janganlah kita menjadi seperti orang Yahudi dan Nasrani demikian isi penting yang saya sampaikan dalam kuliyah di Surau al-Nahdah al-Ilmiyyah, Taman Sempelang surau yang pernah dihidupkan oleh sahabat dan rakan seperjuangan Ustaz Zulkifli Mustafa yang kini bertugas di Kedah.

Selepas Isyak ana menghadiri Mesyuarat Isu-isu Pendidikan Islam
Zon Sabah, Sarawak dan Labuan membincangkan beberapa isu seperti
(a) Makan sambil berdiri
(b)Solat Jumaat di tempat yang tidak cukup bilangan jemaah
(c) Hukum menghadiri sambutan hari kebesaran bukan Islam
(d)Hukum berjabat tangan
(e) Hukum memberi salam

Insya-ALLAH topik-topik ini akan dibincangkan dalam ruang yang akan datang.

Pada jam 9.00 malam kami bersama-sama jemaah Surau Riyadussolihin di jamu oleh tuan Hj.Shariman  di Restoran Padang Ibu, Jesselton Point Ferry Terminal. Turut bersama Tuan Guru Hj.Muchlis Abu Kassim, ulama terkenal di Sabah yang menyampaikan kuliyah tentang Asmaul Husna di surau Riyadussolihin.Sahabat-sahabat yang ada kesempatan sertailah majlis ilmu bersama Ustaz Muchlis setiap Selasa malam Rabu selepas maghrib.

SAMBUTAN MAWLID 1430H, TUAN HAJI AYYUB, MASJID KG LIKAS DAN WARISAN PUTIH

Alhamdulilllah mawlid tahun ini disambut dengan meriah.Tahun ini sambutan Mawlid bagi saya bermula dengan pengisian yang cukup berkesan oleh Tuan Haji Ayub yang disampaikan di surau Austral pada hari Jumaat malam Sabtu 10 R.Awwal bersamaan 7 Mac 2009. Secara peribadi ini kali kedua saya mendengar ceramah dari Tuan Haji Ayub yang merupakan bekas Paderi yang memeluk Islam. Kali pertama di masjid negeri beberapa tahun yang lalu. Tuan Haji Ayub seorang tokoh dakwah yang perlu dicontohi oleh pejuang-pejuang Islam, apa tidaknya sudah berpuluh kampung di Sarawak memeluk Islam ditangan beliau, bagaimana dengan kita? Tidak hairanlah beliau dianugerahkan sebagai tokoh Maal Hijrah dan tokoh dakwah negeri Sarawak moga Allah memanjangkan usia beliau…Amin

Tuan Haji Ayub terkenal sebagai seorang yang setia dengan agama kristian sejak dari zaman remaja dan pernah belajar satu sekolah dengan Pak Lah dan DSAI. Kesetiannya kepada agama kristian menyebabkan beliau dihantar belajar ke Jerman dan beberapa negara lain untuk mendalami agama kristian sehingga kitab old testament dan new tesment yang disifatkan oleh tuan Hj. Ayub sebagai kitab lucah yang memberi gambaran yang tidak baik terhadap nabi-nabi seperti tuduhan Nabi Nuh minum arak dan berzina dengan anak perempuan sendiri….pernyataan ini memang benar sekali kerana saya pernah membaca kisah ini dalam kitab bible versi Arab yang saya perolehi semasa saya pergi ke pejabat gereja( Idarah Kanisah) di bandar Amman bersama sahabat senior yang saya kagumi Dr.Azhar Ariffin, sekarang pensyarah di IKM, Petaling Jaya dan aktivis jemaah di kawasan Lembah pantai.

Setelah berada dalam agama kristian sehingga menjadi paderi yang diberi kuasa pengampunan peringkat antarabangsa, dan perasaan simpati Hj. Ayub terhadap orang Islam di kampungnya yang sangat baik berbanding dengan masyarakat kristian di Barat, pernah sekali beliau melawat seorang tua yang sakit yang tinggal di tingkat lima, melalui perjalanan yang sukar tetapi seteguk air pun tidak diberi…berbanding orang-orang Islam di Kampungnya di Bukit Pelanduk, Bukit Mertajam sangat baik, contohnya sepanjang bulan Ramadan walaupun orang Islam berpuasa tetapi mereka menghantar makanan ke rumah tuan Haji Ayub sehinggakan satu bulan mereka tak perlu memasak..dan banyak lagi yang lain yang disebut oleh tuan Haji Ayub. Dalam kristian hanya orang yang di Baptais sahaja layak masuk syurga. Haji Ayub pada masa itu berasa kasihan, mengapa orang-orang Islam di kampungnya yang baik tidak masuk kristian supaya mereka boleh masuk syurga. Haji Ayub berdoa mengikut cara kristian supaya orang kampungnya diselamatkan. Menurut Hj. Ayub dalam ajaran kristian, paderi-paderi sembahyang lima kali sehari dan dalam musim perayaan mereka sembahyang enam kali. Sembahyang tersebut ialah:
(a)Matudin yang dilakukan pada awal pagi dengan melakukan meditasi membaca dan menghayati bible selama setengah jam
(b) Lawdeth selama 10 minit paderi bercakap dengan roti yang dianggap sebagai badan nabi Isa
(c) Sextus yang dilakukan pada jam 12.00
(d)Nonee pada jam 4.00 petang
(e)Vesper pada jam 6.00 petang selama setengah jam dengan bertasbih 53 kali antaranya memuji Maryam
(f)Comply sebelum tidur.

Kerana simpati dengan orang-orang Islam tuan Hj.Ayub keluar ke gereja ketika paderi-paderi lain tidur selama 6 bulan meminta supaya diberi petunjuk sehinggalah beliau tertidur dalam gereja dan terdengar suara meminta beliau belajar tentang Islam.

Dari peristiwa itu, tuan Hj.Ayub meminta kebenaran dari pihak gereja di Jerman, untuk mengkaji tentang Islam untuk menyelamatkan orang-orang islam di kampungnya dan beliau telah dihantar untuk belajar dalam bidang teologi perbandingan agama dan tertarik dengan sejarah nabi-nabi dan khususnya nabi Muhammad s.a.w dan peristiwa ini akhirnya membawa beliau kepada Islam…

MASJID KG.LIKAS

Pada malam 12 Rabiulawwal Ahad malam Isnin saya dijemput oleh Tuan Hj.Nahar untuk menyampaikan ceramah sempena Mawlidrurrasul di masjid Jamek Kg.Likas .Selama lebih kurang lapan tahun saya menjejakkan kaki di negeri Sabah, inilah kali pertama saya berceramah di masjid ini. Antara topik yang saya bincangkan keistimewaan 12 Rabiulawwal dan hari Isnin, adakah nabi s.a.w menyambut Mawlidurrasul dan diakhiri dengan kisah cinta Saidina Umar r.anhu terhadap rasul s.a.w. Berdasarkan pengamatan yang saya lakukan dari pembacaan saya memang nabi s.a.w dan para sahabat tidak pernah menyambut hari kelahiran baginda s.a.w , begitu juga pada zaman Saidina Umar cadangan untuk menjadikan hari kelahiran nabi s.a.w sebagai permulaan takwim Islam tidak diterima, berdasarkan kepada ceramah yang saya dengar di zaman persekolahan dahulu dalam satu ceramah mawlid nabi s.a.w di kampung saya orang yang pertama menyambut mawlid nabi s.a.w ialah panglima Salahuddin al-Ayyubi yang menjadikan mawlid sebagai sumber untuk membakar semangat tentera Islam pada masa itu yang sedang berhadapan dengan tentera salib tetapi saya tidak pula mengkaji fakta ini. Semasa membaca hadith dalam kitab Sohih Sirah Nabawiyah karangan guru saya, Syaikh Ibrahim al-Aliyy saya bertemu dengan hadith yang sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim tentang sebab nabi berpuasa pada hari Isnin, nabi menyebut: “Hari tersebut aku dilahirkan dan aku menerima wahyu” HR Imam Muslim, Kitab Puasa: Bab sunat Berpuasa 3 hari setiap bulan, hadith no. 1162 dan Abu Dawud hadith no.2426.
Sekiranya nabi berpuasa setiap hari Isnin kerana mengingati hari kelahirannya, maka apalah salahnya bagi kita menyambut mawlidurrasul dengan pengisian-pengisian yang tidak bertentangan dengan syarak yang menyuntik semangat cinta terhadap rasul s.a.w Cuma yang perlu diperbaiki kepada masyarakat yang berarak dari Padang Merdeka ke wisma MUIS alangkah baiknya kiranya mereka akhiri perarakan itu dengan solat jemaah di masjid negeri atau di tempat-tempat lain.

Berhubung keistimewaan hari Isnin pula, hari Isnin merupakan hari kelahiran nabi, hari nabi mengangkat Hajar al-aswad apabila hajar al-Aswad berubah kedudukannya semasa Mekah dilanda banjir, hari nabi menerima wahyu, hari nabi keluar dari Mekah untuk berhijrah, hari nabi s.a.w sampai di Madinah dan hari nabi s.a.w bertemu dengan kekasihnya.

MAWLID NABI S.A.W WARISAN PUTIH

Ini kali kedua saya bersama keluarga ini, keluarga Imam Amiruddin, Imam Rawatib masjid negeri menyambut mawlidurrasul. Kali pertama tahun lepas pada 12 Rabiulawwal 1429H/20 Mac 2008 dan tahun ini kali kedua pada 12 Rabiulawwal 1430H/9 Mac 2009. Sambutan ini di adakan di dewan Perhimpunan Wanita Sabah, berhampiran Taman Sempelang. Sambutan ini agak istimewa kerana mawlidurrasul dijadikan peluang untuk menjalinkan silaturrahim antara saudara mara . Program diisi dengan bacaan doa, berzanji selawat dan saya memberi tazkirah selama dua puluh minit. Tazkirah saya kali ini berkaitan kisah Muadz bin Jabal yang sangat sedih kerana tidak tahu tentang kewafatan rasul s.a.w, pada waktu itu Muadz menjadi utusan nabi di Yaman, maklumlah pada masa itu perhubungan susah, Muadz hanya mendapat isyarat tentang kewafatan nabi s.a.w melalui mimpi, kemudian beliau ke Madinah untuk mendapatkan kepastian. Program diakhiri dengan persembahan Marhaban oleh kaum ibu yang diketuai oleh ustazah Hjh.Elfi isteri Ustaz Hj.Muchlis.Semoga perasaan cinta kita terhadap nabi s.a.w bertambah.

Destinasi saya berikutnya ialah di Taman Sempelang ialah ceramah di surau Nahdah al-Ilmiyyah pada malam ini 14 Rabiulawwal Selasa malam Rabu 10/3/2009 selepas maghrib.