Tag Archives: Akademi Pengajian Islam

Perkembangan al-Ikhwan al-Muslimun Syria(1949-1989) Part 3

Zaman Pemerintahan Ba،th(Sebelum Hafiz al-Asad 1963-1971)

 

Hizb al-Ba،th al-Isytirakimula menerajui pemerintahan Syria mulai 8 Mac 1963 melalui rampasan kuasa yang dilakukan oleh Ziyad al-Hariri. Pemerintahan Ba،th yang baru, mengamalkan dasar menekan gerakan Islam. Sejak 1963 sehingga ke saat penulisan kajian ini, gerakan Islam menghadapi cabaran dan tribulasi yang tidak dilalui sebelumnya. Muraqib al-،Am ،Isam al-،Attar sendiri terpaksa meninggalkan Syria. Beliau dibenarkan untuk menunaikan haji di Mekah dengan syarat tidak kembali ke Syria.  Beliau menetap di Athen, Jerman. [1] Era pemerintahan Hizb al-Ba،th al-Isytiraki menyaksikan tragedi demi tragedi yang tidak diketahui penghujungnya. Gerakan al-Ikhwan al-Muslimun mula membuat penentangan bersenjata. Konfrontasi pertama ialah melalui tragedi  Jami،  al-Sultan 1964.

 

 

3.3.3.1 Tragedi  Jami،  al-Sultan 1964

 

            Tragedi  Jami،  al-Sultan 1964 berpunca dari sikap pihak  pemerintah yang bertindak agresif terhadap ulama.Mereka telah  menukarkan beberapa orang guru Pendidikan Islam kepada pekerjaan yang tiada kaitan dengan ikhtisas mereka. Pemerintah juga telah menangkap Nizar ،Urwani, pelajar Madrasah ،Uthman al-Hurani kerana menulis perkataan menentang kerajaan di dinding Jami، al-Arba،in.[2]

 

            Isu  ini telah  menyebabkan penduduk Hamah menjadi marah dan berkumpul di Dar al-Hukumah yang terletak di tengah bandar Hamah menuntut perlaksanaan hukum Islam serta meminta  pemerintah membebaskan tahanan politik. Namun pergerakan mereka dihalang oleh tentera. [3] Situasi di atas menyebabkan Marwan Hadid bersama rakan-rakannya bertindak mogok  di Jami’ al-Sultan sepanjang hari menuntut supaya Nizar ،Urwani dibebaskan.[4]  Pihak pemerintah pula mula mengepung Hamah dengan tentera dan kereta kebal. Situasi di Hamah tidak stabil   sehinggalah  Marwan Hadid  dan pengikutnya menyerah diri. Pihak berkuasa kemudiannya mengebom masjid al-Sultan. Beberapa pemuda yang masih berada di dalam masjid dan tidak menyerah diri bersama Marwan Hadid terkorban.

 

Tragedi  Jami’ al-Sultan 1964berakhir dengan kemusnahan Jami’ al-Sultan dan menyebabkan kehilangan  empat jiwa. Keadaan di Hamah tidak menentu sehinggalah syaikh Muhammad al-Hamid bertemu dan berbincang dengan pemerintah untuk mengembalikan suasana Hamah seperti sediakala. [5]

 

3.3.3.2 Tragedi Damsyik dan Hims

 

Pada tahun 1965 berlaku tragedi Damsyik  dan tragedi  Hims apabila pemerintah menceroboh masjid seperti yang berlaku di masjid  al-Umawidi Damsyik, masjid  Khalid bin al-Walid di Hims dan masjid al-Sultan di Hamah. Kemudian suasana politik reda seketika apabila berlakunya diplomasi  antara pemerintah dan golongan penentang.[6]

 

 3.3.3.3 Penahanan Politikus al-Ikhwan al-Muslimun  1967

 

Pada tahun 1967 pemerintah  menangkap beberapa pemimpin al-Ikhwan  iaitu ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Marwan Hadid dan al-Haj Badi’ ،Adi. Tindakan ini bertujuan mengelakkan penentangan terhadap usaha kerajaan menyerahkan bukit Golan kepada Yahudi.[7]

 

 

3.3.3.4 Krisis Kepimpinan 1969-1971

 

Pada tahun 1969, al-Ikhwan  Syria menghadapi krisis  dalaman apabila mereka berpecah kepada dua kumpulan iaitu penyokong ،Isam al-،Attar  dan pengikut ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Sentimen perpecahan bermula pada 1968 apabila timbulnya perbezaan pendapat dari sudut metod dan kepimpinan. Sejak 1963, ،Isam al-،Attar yang mengepalai kepimpinan  terus menggerakkan  al-Ikhwan  al-Muslimun melalui perwakilan tempatan tanpa memberi reaksi  kepada tuntutan golongan agresif yang inginkan perubahan dalam metod dan objektif organisasi.

 

Krisis dalaman  memuncak pada 1969 dalam satu mesyuarat sulit al-Ikhwan  al-Muslimun Syria. al-،Attar telah menamakan tiga tokoh yang menonjol untuk mendominasi  mesyuarat iaitu Dr.Mufawwaq al-Dabbul[8], Amin Yakan  dari Halab dan  ،Adnan Sa،id dari al-Ladhikiyyah. Dalam mesyuarat, perpecahan berlaku di antara Markaz Damsyik dengan Markaz Janub  yang terdiri daripada Hamah, Halab dan al-Ladhakiyah. Kumpulan Damsyik tidak bersetuju dengan konfrontasi tentera  dalam berdepan dengan rejim Ba،th. Mereka meyokong  ،Isam al-،Attar yang mahukan al-Ikhwan berdepan dengan rejim secara diplomasi. Antara mereka yang berada dalam kumpulan ini ialah Muwaffaq al-Dabbul, Muhammad al-Hawari, ،Ali Masy،al, Zuhayr al-Syawisy, Hasan Huwaydi dan lain-lain lagi. Mereka juga mempunyai penyokong dari luar Damsyik tetapi tidak ramai. Pihak yang menyokong pandangan konfrontasi ketenteraan pula ialah seperti  Amin Yakan, ،Adnan Sa،id, ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah, ،Adnan Sa،d  al-Din dan lain-lain lagi.

 

Pada tahun 1971, al-Ikhwan  al-Muslimun dari Jordan, Mesir, Sudan dan negara Teluk  berusaha menjadi orang tengah di antara kedua belah pihak. Mereka meminta supaya menghentikan perselisihan. Satu pemilihan sulit dilakukan, namun pemilihan pertama diboikot oleh pengikut ،Isam al-،Attar. Pada pemilihan kedua, pengiktirafan diberikan kepada al-Tanzim al-،Alami al-Ikhwan  al-Muslimin Suriya. Pimpinan yang  baru dilantik tidak mendapat sokongan daripada kumpulan Damsyik dan pengikut ،Isam al-،Attar tetapi mereka mendapat sokongan daripada  majoriti belia al-Ikhwan  al-Muslimun.  Oleh itu, sejak  tahun 1971 terdapat dua organisasi al-Ikhwan al-Muslimun Syria. Krisis kepimpinan ini tidak selesai sehingga  al-Jabhah al-Islamiyyah  ditubuhkan pada tahun 1981.[9]

 


[1] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.101.

 

[2]Ahmad al-Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami، al-Sultan fi 14/4/1964, hal.3-4, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.78, Mohd.Fisol(t.t), op.cit., hal.25.

 

[3]Ahmad al- Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami،  al-Sultan fi 14/4/1964, hal.6.

 

[4] Ibid.

 

[5] Ahmad al- Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami،  al-Sultan fi 14/4/1964,  hal.17. Temubual penulis dengan  Faris al-Milli pada  29 April 2000.

 

[6] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.14.

 

[7]Ahmad al-Jawwad(t.t), Mahamid fi al-Sirah al-Syaikh Muhammad al-Hamid, hal.13.

 

[8]Beliau merupakan tokoh yang paling menonjol di Markaz Damsyiq. Beliau bertugas sebagai profesor Matematik di Universiti Damsyik.

 

[9]Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.108.

 

Advertisements

Sejarah Perkembangan Awal Gerakan Islam Sebelum Dan Selepas Zaman Imperialis Perancis

Kemunculan pertubuhan-pertubuhan di Syam bermula pada akhir kurun ke-19 Masihi. Pertubuhan-pertubuhan tersebut diasaskan atas nama jamiyah yang dianggotai oleh orang Arab kristian dan  mendapat sokongan daripada gerakan misionaris. Organisasi pertubuhan-pertubuhan di atas adalah  mirip  persatuan-persatuan yang diasaskan di Eropah.  Beberapa  jamiyah telah ditubuhkan di Lubnan pada tahun 1847 dan 1850 seperti Jam،iyyah al-Nisa’. Pada suku terakhir kurun ke-19  beberapa   persatuan kebajikan ditubuhkan  oleh orang Islam. Pada tahun 1878,  Jam،iyyah al-Maqasid al-Khayriyyah al-Islamiyyah telah ditubuhkan di Beirut oleh Ahmad Syafiq Midhat Pasha.[1] Pertubuhan tersebut  terus berkembang sehinggalah berlakunya Perang Dunia I.

 

Sepanjang tempoh di antara Perang Dunia I  sehingga tahun 1930-an, telah berlaku beberapa  perubahan di Syria  iaitu :

(a)Syria terpengaruh dengan  penjajah Perancis dalam pelbagai aspek kehidupan  termasuk aspek ekonomi.  Syria mengamalkan  sistem ekonomi  kapitalis.

(b)Tersebar budaya barat khususnya budaya Perancis.

(c)Kemelesetan yayasan Islam khususnya dalam bidang pendidikan dan undang-undang.

(d)Kemunculan  nasionalisme sebagai saingan kepada sistem Islam.[2]

Situasi di atas menggalakkan lagi pertumbuhan organisasi  Islam  yang teratur. Beberapa al-Jam،iyyah al-Islamiyyah telah diasaskan. Objektif penubuhan al- Jam،iyyah al-Islamiyyah ialah:

(a)menyebarkan dakwah Islamiah.

(b)sebagai sebuah organisasi kemasyarakatan.

(c)menimbulkan kesedaran beragama dan berfikir.

 

Pertubuhan tersebut kemudiannya berkembang menjadi satu  gerakan penentangan yang teratur dan berperanan dalam menghadapi  perubahan ekonomi, sosial dan politik. Mereka turut terlibat dalam pilihanraya dan demonstrasi awam.[3] Antara  jamiyah tersebut ialah :

 

(a)al- Jam،iyyah al-Gharra

Jamiyah di atas diasaskan pada awal tahun 1920-an. Penubuhannya adalah kesan daripada perasaan tidak puas hati terhadap sistem pendidikan yang  diperkenalkan oleh Perancis. Mereka telah mengasaskan sekolah-sekolah agama. Sekolah-sekolah tersebut  berada  di bawah naungan Muhammad Hasyim al-Khatib al-Husayni. al-Jam،iyyah al-Gharramempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan sosial dan politik masyarakat setempat .[4]

 

(b)Jam،iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah 

 

Jam،iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah  diasaskan di antara tahun 1930 dan 1931. Mereka menjalinkan hubungan dengan Jam،iyyah al-Ikhwan al-Muslimin Mesir iaitu setelah beberapa anggota al-Ikhwan al-Muslimun Mesir datang ke Palestin dan Syria pada tahun 1935.[5]

 

(c)Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami

 

Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami diasaskan di antara tahun 1931 dan 1932. Jam،iyyah  tersebutdianggotai oleh  fukaha, khatib, doktor, peguam dan sasterawan. Beberapa  peneraju pertubuhan ini telah memainkan peranan penting  dalam politik dan ekonomi Syria seperti  Ahmad Mazhar al-،Azamah[6], Muhammad Bahjat al-Baytar, Hasan al-Syati dan lain-lain lagi. Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami telah melaksanakan beberapa program iaitu:

(a)Menerbitkan buletin berjudul al-Tamaddun al-Islami yang bertujuan menyebarkan pengetahuan Islam kepada masyarakat.

(b)Menubuhkan madrasah  yang diiktiraf secara rasmi oleh pemerintah. Mereka telah membina  sebuah sekolah menengah iaitu Madrasah al-Tamaddun al-Islami di Damsyik. Pengambilan pertama pelajarnya ialah pada tahun 1946.

(c)Mengasaskan  al-Rabitah al-Ukhawiyyah li Musa،adah Fuqara’ al-Tullab.

(d)Membantu dan memberi sokongan kepada Intifadah Palestin pada tahun 1936. Mereka mengasaskan  Lujnah Ianah al-Mankubin fi al-Quds. [7]

 

(d)Jamiyah  yang lain 

 

Selain daripada pertubuhan yang disebut di atas, terdapat beberapa  pertubuhan  lain seperti Jam،iyyah al-Ta ،awun al-Islami, Jam،iyyah al-،Ulama’, Jam،iyyah al-Tawjih al-Islami, Jam،iyyah ،Amal al-Birr al-Islami dan pertubuhan lain yang bermatlamatkan mempertahankan nilai-nilai Islam dalam berdepan dengan budaya barat. Peranan pertubuhan-pertubuhan Islam tersebut terserlah di dalam  pilihanraya 1943. Presiden Republik Syria,Syukri al-Qutili[8] telah melantik  ،Abd al-Hamid al-Tabba، iaitu salah seorang pemimpin al-Jam،iyyah al-Gharradalam kerajaannya. Walaubagaimanapun, kerjasama  tersebut terhenti  apabila   al-Jam،iyyah al-Gharra’  bersamapertubuhan-pertubuhan  Islam yang lain mengumumkan penentangan mereka terhadap  pemerintah. Mereka telah mengadakan penentangan berdarah di Damsyik pada Mei 1944. Penentangan yang diketuai oleh gerakan Islam ini bertujuan  menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap majlis tarian yang terpengaruh dengan budaya  Eropah dan bertentangan dengan norma masyarakat Islam. Majlis tersebut dianjurkan oleh Jam،iyyah Nuqtah al-Halib. Pertubuhan ini disertai oleh wanita daripada golongan burjuwazi yang mengikut cara hidup barat. [9]


[1] Dr.Umar F. Abd-Allah(1983), op.cit., hal.89.

 

[2] al-Habib al-Janhani(1989), “al-Sahwah al-Islamiyyah fi Bilad al-Syam: Mithal Suriyya”,          al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu،asarah fi al-Watan al-،Arabi, Beirut: Markaz Dirasat al-Wihdah al-،Arabiyyah, hal.113.

 

[3] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.114.

 

[4] Ibid.

 

[5] Ibid, berhubung kedatangan al-Ikhwan al-Muslimun ke Syria, Sila lihat: Hassan al-Banna(1990), Mudhakkarah al-Da،wah wa al-Da،iyyah, Kaherah: al-Zahra’ li al-I،lam al-،Arabi, hal.270-272.

 

[6] Beliau dilahirkan pada tahun 1911 di Damsyik. Beliau mendapat pendidikan daripada ulama Damsyik. Beliau melanjutkan pengajiannya di Ma،hadal-Huquq, Universiti Syria. Beliau merupakan anggota Lujnah al-Tarbiyyah Wa al-Ta،lim di Wizarah al-Ma،arif Suriya. Pada zaman al-Wihdah(1958-1961) beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian. Beliau adalah pengasas kepada Madrasah al-Tamaddun al-Islami dan  pengasas serta ketua pengarang majalah al-Tamaddun al-Islami  yang diterbitkan pada bulan Rabiulawwal  1354H(1935). Beliau meninggal dunia pada 12 Rabiulawwal 1402H(1982). [Sila lihat: (1)al- Farfur(1988), op.cit.,  hal.44, (2)Muhammad Muti، al-Hafiz dan Nizar Ibazi(1991), op.cit., j.3, hal.433, (3)Yusuf (1999a), op.cit., j.1, hal.63.]

 

[7] Ibid.

 

[8] Beliau ialah Syukri bin Mahmud bin ،Abd al-Ghani. Beliau dilahirkan di Damsyik pada tahun 1891. Pada 17 Ogos 1943 beliau dilantik menjadi presiden Syria yang pertama. Semasa menjadi presiden, beliau telah berjaya mengusir penjajah Perancis dari Syria pada tahun 1946. Husni al-Za،im telah melakukan revolusi terhadapnya dan memaksa beliau meletakkan jawatan pada Mac 1949. Beliau telah ditangkap dan kemudiannya dibebaskan. Selepas dibebaskan beliau berhijrah ke Iskandariah, Mesir. Pada Ogos tahun 1955 beliau sekali lagi dilantik menjadi presiden. Beliau meninggal dunia di Beirut pada tahun 1967 dan dikebumikan di Damsyik. Sila lihat: al-Zirakli(1984),  op.cit., hal.172-173.

 

[9] al-Habib  al-Janhani(1989), op.cit., hal.115.