Tag Archives: Akhir ramadan

KHUTBAH AKHIR RAMADAN: MUHASABAH RAMADAN-MENANGISI PEMERGIAN RAMADAN, 29 RAMADAN 1433H LAILATUL QADAR?

Masjid Nurul Hikmah, Kota Kinabalu

 

اَلحمدُ للهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا , وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيْكٌ فِي الْمُلْكِ , وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيْرًا .

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ , لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيْتُ , وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ . وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ , وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ , وَالسِّرَاجُ  الْمُنِيْرُ .

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ حِبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا , نَبِيِّ الرَّحْمَةِ , وَشَفِيْعِ الأُمَّةِ , وَعَلَى آَلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ , وَبَعْدُ.

فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِه وَلاَ تَـمُوتُنَّ إِلاَّ وَأنْتُم مُسْلِمون!.

Wahai hamba Allah bertaqwalah kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan sebagai orang Islam.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Kita baru sahaja mendengar azan Jumaat yang terakhir yang dilaungkan oleh muezzin, sekarang kita berada pada hari Jumaat yang terakhir 1433H, sekarang kita berada penghujung bulan Ramadan yang disebut sebagai bulan ibadah, bulan mendapat keampunan, bulan kebebasan dari apa neraka, bulan turunnya rahmat, bulan di tutup pintu neraka, bulan di buka pintu syurga dan syaitan dibelenggu. Ramadan yang penuh dengan program tarbiah dan kerohanian akan berakhir beberapa ketika lagi, Ramadan yang penuh dengan aktiviti ibadah dan amalan menghampirkan diri kepada Allah (s.w.t) dengan makan sahur yang penuh keberkatan, solat lima waktu berjemaah, tadarus al-Quran, mendengar tazkirah dan ceramah agama, solat sunat terawih, berbuka puasa, memberi orang makan berbuka puasa, qiamullail, istighfar, zikir munajat dan solat tahajjud dan amalan-amalan ini ditambah lagi pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan yang dijanjikan oleh Allah swt dengan lailatul Qadar. Persoalannya adakah Ramadan yang kita lalui hampir sebulan meninggalkan kesan yang mendalam bagi mereka yang benar-benar mengambil peluang keemasan memperbaiki diri serta  taqarrub iaitu menghampirkan diri kepada Allah SWT.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di saat kita berada pada detik-detik akhir dari bulan Ramadan ini,  tibalah masanya untuk kita bermuhasabah dan bertanya apakah  ibadat puasa yang telah kita lakukan , adakah ia benar-benar puasa yang diterima oleh Allah S.W.T. atau sebaliknya? Adakah kita termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat dan pengampunan Allah? Adakah kita termasuk dalam golongan yang selamat dari api neraka setelah menjalani sebulan puasa. Sejauh mana taqwa yang telah kita tingkatkan setelah kita berpuasa  sebulan Ramadan . Firman Allah Taala:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah al-Baqarah ayat 183)

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Adakah ibadat puasa yang telah kita lalui menyebabkan kita merasai kemanisan beribadat? Adakah ibadat solat yang kita tunaikan sama ada yang sunat atau fardu, solat terawih, solat tahajjud dan lain-lain, adakah kita merasai kelazatannya? Adakah bentuk-bentuk ibadah yang kita lakukan, sedekah dan infaq yang kita berikan, zakat yang kita keluarkan, bantuan dan sumbangan yang kita berikan sepanjang ramadan. Adakah kita merasai nikmat dan khusyuk dari segala bentuk ibadah yang telah kita lakukan sepanjang ramadan? Inilah ibadat yang sepatutnya kita lakukan bukannya kita beribadat kerana mengikut kebiasaan. Orang berpuasa kita berpuasa…orang mengadakan majlis khatam al-Qur’an, maka kita pun membaca al-Qur’an, orang pergi solat terawih maka kita pun ke masjid untuk berterawih tetapi semua ibadat ini kosong dari kekhusyukan, kosong dari kemanisan dan keseronokan beribadat. Inilah roh kepada setiap ibadat yang kita lakukan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi (s.a.w):

أنْ تَعْبُدَ الله كَأَنَّك تَراهُ فَإن لَم تَكنْ تَراهُ فَإنَّه يَراكَ

“ Kamu menyembah Allah (s.w.t) seolah-olah kamu melihatnya, dan tentunya kamu tidak dapat melihat Allah Allah (s.w.t)  tetap melihat kamu.” HR Muslim

Kelazatan ini yang inilah yang dialami oleh Rasulullah (s.a.w). Sabda Rasulullah (s.a.w): وَجُعِلَت قُرَّةُ عِينِي فِي الصَّلاةِ  maksudnya dijadikan penyejuk mataku dalam ibadat solat. Merasai kelazatan beribadah yang melahirkan kekuatan dalaman. Rasulullah (s.a.w), para sahabat dan generasi awal menjadikan ibadat khusus solat, puasa, zakat, tahajjud sebagai kekuatan dalaman untuk menegakkan agama Allah (s.w.t), bukan sahaja untuk menentang hawa nafsu tetapi untuk menentang musuh-musuh Islam dalam peperangan.  Inilah kekuatan yang perlu kita cari dari ibadat yang dilakukan

 

Marilah kita merenung Sabda Rasul (s.a.w)yang diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) berkata Nabi (s.a.w):

رب صائم حظه من صيامه الجوع والعطش ، ورب قائم حظه من قيامه السهر ” .

Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban.Hadith ini menunjukkan ada orang yang Solat tetapi  hanya mendapat bilangan rakaat dan penat dan orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga. Ini kerana solat dan puasa mereka tidak mampu merubah seseorang kepada manusia yang mencegah dirinya dari kemungkaran dan mencapai tahap ketaqwaan yang sebenarnya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Marilah kita mencari kelazatan beribadah ini sebagaimana yang dikecapi oleh Rasulullah (s.a.w), para sahabat dan generasi dahulu. Kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Rasulullah (s.a.w) untuk bertahajjud dengan membaca al-Qur’an hampir enam juzuk, bermula dengan surah al-Baqarah diikuti dengan surah Ali Imran dan al-Nisa’ dalam satu rakaat, kelazatan inilah yang memberi kekuatan untuk seorang sahabat Nabi menghabiskan bacaan surah al-Kahfi sekalipun tubuhnya telah mengalirkan darah kerana dipanah oleh musuh semasa menunaikan solat, kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Saidina Uthman bin Affan untuk membaca keseluruhan al-Qur’an dalam satu rakaat solat witir di sisi Ka’bah, kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Imam Syafie untuk khatam al-Qur’an sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan dan kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Imam Ahmad bin Hanbal untuk solat Isyak dan Subuh dengan satu wuduk selama 30 tahun!

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Adakah lailatul Qadar tahun ini berlaku pada malam 21 Ramadan? Atau ianya berlaku pada malam 23 atau 25 Ramadan? Atau adakah ianya berlaku pada malam 27 Ramadan yang telah berlalu? Dan tidak mustahil ia berlaku pada malam ini, malam 29 Ramadan. Hanya Allah yang mengetahui waktunya. Justeru itu marilah kita mengambil peluang pada saat-saat akhir ramadan ini dengan menghidupkan malamnya dengan pelbagai bentuk ibadat semoga kita mendapat habuan menghidupkan malam yang lebih baik dari seribu bulan. Marilah kita melipat gandakan pelbagai bentuk ibadat dan antaranya sedikit sumbangan infaq untuk pembinaan kelas bagi kelas Tahfiz di Pusat Pendidikan Islam al-Nur yang akan dibina di kawasan sekitar Surau Riyadussolihin, Taman Austral yang dianggarkan kosnya sekitar RM 100, 000 dan sumbangan boleh diletakkan dalam tabung yang disediakan di belakang masjid ini.

 

Sidang Jumaat

Lusa atau Isnin kita akan bersama-sama menyambut idul fitri. Persoalannya sejauh manakah kita mampu menjadi manusia bertaqwa setelah kita berpuasa selama sebulan. Adakah Hari raya disambut dengan menghabiskan masa membaca al-Qur’an sebagai penerusan dari ibadat bulan Ramadan atau ia disambut di hadapan televisyen berjam-jam menonton drama-drama, kisah-kisah cinta, filem-filem yang diimport dari timur dan barat yang jelas bertentangan dan Islam dan tidak memberi manfaat dan melupakan tanggungjawab melayan tetamu. Amalan ini tidak seharusnya dibiarkan kerana ia bertentangan dengan taqwa yang ingin dicapai dari ibadat puasa dan bertentangan dengan roh sambutan Aidil Fitri yang sebenar iaitu kembali  kepada fitrah, kemurnian, kesucian dan kemuliaan sebagai makhluk Allah swt.

 

Sidang Jumaat,

Adakah kita ingin merosakkan kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini dengan membiarkan isteri kita, anak-anak perempuan kita, wanita-wanita Islam disekitar kita membuka tudung mereka. Tudung yang dipakai dengan cantik selama sebulan hanya disimpan di dalam almari. Adakah kita ingin meninggalkan al-Qur’an yang kita baca sepanjang ramadan dengan menyimpannya di atas rak buku? Apakah patut kita meninggalkan ramadan dengan mengulangi kembali dosa-dosa dan kesalahan yang telah kita sesali, setelah kita bertaubat kepada Allah (s.w.t)? Marilah sama-sama kita memerangi hasutan dan godaan syaitan yang akan dibebaskan beberapa ketika lagi. Semoga kita keluar dari bulan Ramadan sebagai golongan yang dibebaskan daripada api neraka. Semoga Allah (s.w.t) memanjangkan umur kita sehingga kita bertemu dengan ramadan yang akan datang.  Semoga kita termasuk dalam golongan yang bertaqwa yang Allah sediakan untuk mereka syurga. Firman  Allah (s.w.t):

 

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (Mereka pun masuk) – Serta mereka berkata:” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjinya kepada kami, dan yang menjadikan Kami mewarisi bumi syurga ini Dengan sebebas-bebasnya, Kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana sahaja Kami sukai; maka pemberian Yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang Yang beramal”. Surah al-Zumar Ayat 73-74.

 

أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُالرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

Sidang Jumaat sekalian,
Dalam menjalankan amalan dan perkara kebajikan sesuatu yang paling disukai Allah ialah melakukan ibadat secara istiqamah. Istiqamah ialah melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan berpanjangan bukan sahaja pada bulan Ramadan bahkan mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain.

Sekiranya kita perhatikan menjadi kelaziman iatau kebiasaan masyarakat Islam masa kini, bila datangnya ramadan masjid penuh sesak dengan umat Islam, amalan tadarus atau membaca al-quran kedengaran di sana sini, amalan sedekah meningkat, ceramah-ceramah agama turut kedengaran dicorong-corong masjid dan sebagainya lagi, tetapi apabila habis sahaja bulan ramadan, keadaan kembali seperti asal, masjid-masjid mula terus lengang, solat fardu tidak dilaksanakan di masjid atau di surau akibat ketiadaan jemaah, al-Quran mula dijadikan hiasan semula dan berbagai lagi fenomena yang amat mendukacitakan. Maka di manakah tarbiah ramadan? Apakah ini dinamakan ibadat bermusim? tepuk dada tanyalah iman, Moga-moga kita tidak tergolong dalam kelompok ini insyaAllah.Marilah kita berdoa kepada Allah supaya memberi kekuatan kepada kita untuk istiqamah dalam melakukan ibadat dan tergolong dalam golongan yang disebut dalam ayatnya:

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang Telah dijanjikan Allah kepadamu”. Surah Fussilat ayat 30.

 

Advertisements