Tag Archives: Disertasi M.A

Perkembangan al-Ikhwan al-Muslimun Syria(1949-1989) Part 5

Tragedi Hamah 1982

 

Tragedi Hamah 1982 merupakan klimaks pertembungan rejim Asad dengan al-Ikhwan. al-Ikhwan telah menerbitkan dua buah buku melaporkan  tragedi Hamah 1982. Buku tersebut ialah Hamah Ma’sah al-،Asr[1] dan Majzarah Hamah.[2] Kedua-dua buku ini melaporkan secara terperinci peristiwa yang berlaku sepanjang tragedi. Selain itu al-Ikhwan turut menyentuh tentang tragedi Hamah di dalam majalah al-Nadhir, keluaran khas sempena memperingati  ulang tahun kedua tragedi[3]  dan  al-Fida bilangan tiga yang diterbitkan pada Februari 1998.[4]

 

Tragedi yang berlaku selama hampir satu bulan(2 Februari-28 Februari 1982) telah menyebabkan kematian berpuluh ribu orang. Sebahagiannya menganggarkan bilangan yang terkorban mencecah empat puluh ribu orang.[5] Tentera telah menyerang masyarakat awam tanpa mengira mangsa termasuklah golongan kanak-kanak, orang tua dan wanita. Menurut ،Adnan Sa،d al-Din, tentera menggunakan cara yang tidak berperikemanusiaan dengan memotong kepala dan tangan mangsa semata-mata untuk mengambil perhiasan mereka. Begitu juga mereka membelah perut wanita yang mengandung dan membunuh janin.[6] Tragedi Hamah juga mengakibatkan kemusnahan 48 buah masjid, 5 buah gereja dan beberapa buah bangunan bersejarah yang termasuk dalam kesan sejarah yang tercatat dalam UNESCO.[7]

 

Selepas tragedi Hamah, Hafiz Asad yang menghilangkan diri beberapa bulan muncul menjelang ulang tahun ke 19  revolusi Ba،th di Damsyik pada 7 Mac 1982. Beliau mengelilingi bandar Damsyik selama dua jam. Kemunculannya mendapat sokongan gemuruh dan  beliau dibawa dari Qasr al-Diyafah  ke parlimen. Pada hari tersebut beliau berteriak :

“Pejuang-pejuang kebangsaan! Tidak ada suatu yang lebih bahaya terhadap Islam daripada penyelewengan pengertian dan konsepnya. Inilah jenayah yang telah dilakukan oleh Ikhwan. Mereka telah berperang atas nama Islam. Mereka telah membunuh atas nama Islam. Mereka telah menindas kanak-kanak, wanita dan orang tua atas nama Islam. Mereka telah memulaukan keluarga sendiri atas nama Islam…

 

Pejuang-pejuang patriotik yang berada di bandar-bandar dan kampung-kampung di negara ini, akan mempertahankan tanahair dan Islam. Islam yang dibawa oleh (nabi) Muhammad s.a.w. Saudara, kitalah satu-satunya yang akan mempertahankan Islam. Islam yang dibawa oleh para sahabat. Islam yang dibawa oleh Saidina ،Umar dan ،Ali, Islam yang adil…

Saudara, kematian penjenayah Ikhwan, kematian mereka yang menjadikan diri sebagai pengkhianat tanah air, kematian mereka yang mendapat sokongan daripada imperealis dan  zionis[8]


[1] Hamah Ma’sah al-،Asr(t.t), T.T.P: Maktab al-I،lam Jama،ah al-Ikhwan al-Muslimin. Buku ini mengandungi empat ratus halaman bercetak.

 

[2] Majzarah Hamah, al-Qissah al-Haqiqiyyah bi al-Asma’ wa al-Waqai،  wa al-Arqam wa al-Suwar li Akbar Majzarah fi al-،Asr al-Hadith(t.t), T.T.P: Mansyurat al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriyyah. Buku ini mengandungi 119 halaman bercetak.

 

[3] “Hamah fi al-Tarikh: ،Adad Khas ،an Hamah”, al-Nadhir, bil.66, Khamis, 15 Mac 1984. Buletin al- Nadhir bilangan yang ke-66 mengandungi  115 halaman bercetak.

 

[4] “Jarimah al-Qarn fi Dhikra Ma’sah Hamah al-Sadisah،Asyrah”,  al-Fida’,bil.3, Februari 1998.

 

[5] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.78, Temuramah penulis dengan Dr.Ahmad al-Jawwad pada 13 Mac 2000.

 

[6] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.78.

 

[7] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.76.

 

[8] Nikalaos Van Dam(1996), op.cit., hal.116.

 

Advertisements

Perkembangan al-Ikhwan al-Muslimun Syria(1949-1989) Part 3

Zaman Pemerintahan Ba،th(Sebelum Hafiz al-Asad 1963-1971)

 

Hizb al-Ba،th al-Isytirakimula menerajui pemerintahan Syria mulai 8 Mac 1963 melalui rampasan kuasa yang dilakukan oleh Ziyad al-Hariri. Pemerintahan Ba،th yang baru, mengamalkan dasar menekan gerakan Islam. Sejak 1963 sehingga ke saat penulisan kajian ini, gerakan Islam menghadapi cabaran dan tribulasi yang tidak dilalui sebelumnya. Muraqib al-،Am ،Isam al-،Attar sendiri terpaksa meninggalkan Syria. Beliau dibenarkan untuk menunaikan haji di Mekah dengan syarat tidak kembali ke Syria.  Beliau menetap di Athen, Jerman. [1] Era pemerintahan Hizb al-Ba،th al-Isytiraki menyaksikan tragedi demi tragedi yang tidak diketahui penghujungnya. Gerakan al-Ikhwan al-Muslimun mula membuat penentangan bersenjata. Konfrontasi pertama ialah melalui tragedi  Jami،  al-Sultan 1964.

 

 

3.3.3.1 Tragedi  Jami،  al-Sultan 1964

 

            Tragedi  Jami،  al-Sultan 1964 berpunca dari sikap pihak  pemerintah yang bertindak agresif terhadap ulama.Mereka telah  menukarkan beberapa orang guru Pendidikan Islam kepada pekerjaan yang tiada kaitan dengan ikhtisas mereka. Pemerintah juga telah menangkap Nizar ،Urwani, pelajar Madrasah ،Uthman al-Hurani kerana menulis perkataan menentang kerajaan di dinding Jami، al-Arba،in.[2]

 

            Isu  ini telah  menyebabkan penduduk Hamah menjadi marah dan berkumpul di Dar al-Hukumah yang terletak di tengah bandar Hamah menuntut perlaksanaan hukum Islam serta meminta  pemerintah membebaskan tahanan politik. Namun pergerakan mereka dihalang oleh tentera. [3] Situasi di atas menyebabkan Marwan Hadid bersama rakan-rakannya bertindak mogok  di Jami’ al-Sultan sepanjang hari menuntut supaya Nizar ،Urwani dibebaskan.[4]  Pihak pemerintah pula mula mengepung Hamah dengan tentera dan kereta kebal. Situasi di Hamah tidak stabil   sehinggalah  Marwan Hadid  dan pengikutnya menyerah diri. Pihak berkuasa kemudiannya mengebom masjid al-Sultan. Beberapa pemuda yang masih berada di dalam masjid dan tidak menyerah diri bersama Marwan Hadid terkorban.

 

Tragedi  Jami’ al-Sultan 1964berakhir dengan kemusnahan Jami’ al-Sultan dan menyebabkan kehilangan  empat jiwa. Keadaan di Hamah tidak menentu sehinggalah syaikh Muhammad al-Hamid bertemu dan berbincang dengan pemerintah untuk mengembalikan suasana Hamah seperti sediakala. [5]

 

3.3.3.2 Tragedi Damsyik dan Hims

 

Pada tahun 1965 berlaku tragedi Damsyik  dan tragedi  Hims apabila pemerintah menceroboh masjid seperti yang berlaku di masjid  al-Umawidi Damsyik, masjid  Khalid bin al-Walid di Hims dan masjid al-Sultan di Hamah. Kemudian suasana politik reda seketika apabila berlakunya diplomasi  antara pemerintah dan golongan penentang.[6]

 

 3.3.3.3 Penahanan Politikus al-Ikhwan al-Muslimun  1967

 

Pada tahun 1967 pemerintah  menangkap beberapa pemimpin al-Ikhwan  iaitu ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Marwan Hadid dan al-Haj Badi’ ،Adi. Tindakan ini bertujuan mengelakkan penentangan terhadap usaha kerajaan menyerahkan bukit Golan kepada Yahudi.[7]

 

 

3.3.3.4 Krisis Kepimpinan 1969-1971

 

Pada tahun 1969, al-Ikhwan  Syria menghadapi krisis  dalaman apabila mereka berpecah kepada dua kumpulan iaitu penyokong ،Isam al-،Attar  dan pengikut ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Sentimen perpecahan bermula pada 1968 apabila timbulnya perbezaan pendapat dari sudut metod dan kepimpinan. Sejak 1963, ،Isam al-،Attar yang mengepalai kepimpinan  terus menggerakkan  al-Ikhwan  al-Muslimun melalui perwakilan tempatan tanpa memberi reaksi  kepada tuntutan golongan agresif yang inginkan perubahan dalam metod dan objektif organisasi.

 

Krisis dalaman  memuncak pada 1969 dalam satu mesyuarat sulit al-Ikhwan  al-Muslimun Syria. al-،Attar telah menamakan tiga tokoh yang menonjol untuk mendominasi  mesyuarat iaitu Dr.Mufawwaq al-Dabbul[8], Amin Yakan  dari Halab dan  ،Adnan Sa،id dari al-Ladhikiyyah. Dalam mesyuarat, perpecahan berlaku di antara Markaz Damsyik dengan Markaz Janub  yang terdiri daripada Hamah, Halab dan al-Ladhakiyah. Kumpulan Damsyik tidak bersetuju dengan konfrontasi tentera  dalam berdepan dengan rejim Ba،th. Mereka meyokong  ،Isam al-،Attar yang mahukan al-Ikhwan berdepan dengan rejim secara diplomasi. Antara mereka yang berada dalam kumpulan ini ialah Muwaffaq al-Dabbul, Muhammad al-Hawari, ،Ali Masy،al, Zuhayr al-Syawisy, Hasan Huwaydi dan lain-lain lagi. Mereka juga mempunyai penyokong dari luar Damsyik tetapi tidak ramai. Pihak yang menyokong pandangan konfrontasi ketenteraan pula ialah seperti  Amin Yakan, ،Adnan Sa،id, ،Abd al-Fattah Abu Ghuddah, ،Adnan Sa،d  al-Din dan lain-lain lagi.

 

Pada tahun 1971, al-Ikhwan  al-Muslimun dari Jordan, Mesir, Sudan dan negara Teluk  berusaha menjadi orang tengah di antara kedua belah pihak. Mereka meminta supaya menghentikan perselisihan. Satu pemilihan sulit dilakukan, namun pemilihan pertama diboikot oleh pengikut ،Isam al-،Attar. Pada pemilihan kedua, pengiktirafan diberikan kepada al-Tanzim al-،Alami al-Ikhwan  al-Muslimin Suriya. Pimpinan yang  baru dilantik tidak mendapat sokongan daripada kumpulan Damsyik dan pengikut ،Isam al-،Attar tetapi mereka mendapat sokongan daripada  majoriti belia al-Ikhwan  al-Muslimun.  Oleh itu, sejak  tahun 1971 terdapat dua organisasi al-Ikhwan al-Muslimun Syria. Krisis kepimpinan ini tidak selesai sehingga  al-Jabhah al-Islamiyyah  ditubuhkan pada tahun 1981.[9]

 


[1] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.101.

 

[2]Ahmad al-Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami، al-Sultan fi 14/4/1964, hal.3-4, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.78, Mohd.Fisol(t.t), op.cit., hal.25.

 

[3]Ahmad al- Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami،  al-Sultan fi 14/4/1964, hal.6.

 

[4] Ibid.

 

[5] Ahmad al- Jawwad(t.t), Adwa’ ،ala Ahdath Jami،  al-Sultan fi 14/4/1964,  hal.17. Temubual penulis dengan  Faris al-Milli pada  29 April 2000.

 

[6] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.14.

 

[7]Ahmad al-Jawwad(t.t), Mahamid fi al-Sirah al-Syaikh Muhammad al-Hamid, hal.13.

 

[8]Beliau merupakan tokoh yang paling menonjol di Markaz Damsyiq. Beliau bertugas sebagai profesor Matematik di Universiti Damsyik.

 

[9]Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.108.