Tag Archives: Dr.Abdullah Yusuf

Latar Belakang Penubuhan  al-Ikhwan al-Muslimun Syria.

3.2.1  Pengasasan   al-Ikhwan al-Muslimun Syria.

Kajian tidak dapat memastikan tarikh yang tepat tentang kemunculan     al-Ikhwan al-Muslimun Syria. al-Ikhwan al-Muslimun Syria  terbentuk melalui kombinasi beberapa pertubuhan Islam di Syria.[1] Pertubuhan tersebut ialah :

(a)Syabab Muhammad  

 

Abu Sa،ud ،Abd al-Salam telah menubuhkan Jam،iyyah al-Rabitah al-Diniyyah li Syabab Muhammad pada tahun 1934 di Hims.[2]

 (b)Dar al-Arqam atau al-Syubban al-Muslimun

 

            Dar al-Arqam ditubuhkan di Halab dibawah pimpinan ،Umar Baha’ al-Amiri[3] pada tahun 1937. Dar al-Arqam yang asalnya  merupakan kelab kebudayaan dan sukan telah bertukar menjadi Dar al-Syubban al-Muslimun.[4]

(c)Cawangan al-Ikhwan al-Muslimun Mesir di Hamah.

 

            Pertubuhan di atas diasaskan oleh Muhammad al-Hamid bersama-sama rakan-rakannya seperti ،Abd-Allah al-Hallaq, Munir Lutfi, Munir al-Hurani, al-Haj ،Abd al-Ghani al-Sa،ati dan  ،Abd  al-Ghani al-Hamid.[5]

Pertubuhan-pertubuhan tersebut akhirnya disatukan atas nama  Jam،iyyah  al-Ikhwan al-Muslimin di antara tahun 1945 dan 1946. Mustafa al-Siba،i telah dipilih sebagai  Muraqib al-،Am,al-Ikhwan al-MuslimunSyria dan Lubnan yang pertama.[6]

Jam،iyyah al-Ikhwan al-Muslimin berkembang dengan cepat dan mengepalai  pertubuhan Islam yang lain sejak pilihanraya 1947 sehingga sekarang. Mereka telah melalui pelbagai peringkat dan memberi kesan kepada perkembangan politik di Syria.[7] Pada peringkat awal penubuhan, al-Ikhwan al-MuslimunSyria di bawah pimpinan Mustafa al-Siba،i telah melaksanakan program-program berikut :

(a) membentuk al-Lujnah al-Markaziyyah al-،ulya.

(b) menerbitkan risalah berkaitan  pergerakan  yang bertajuk: Ahdafuna wa   Mabadiuna(Matlamat dan Prinsip Kami) pada tahun 1945.

(c) gerakan menentang  French Mandate pada tahun 1945.

(d) mengasaskan organisasi Futuwwah pada Ogos 1946. Organisasi tersebut  berfungsi sebagai satu mukhayyam besar untuk melatih anggotanya menggunakan senjata di samping aktiviti lain seperti sukan dan kebudayaan. [8]

(e) menubuhkan sekolah-sekolah di setiap muhafazah  serta mengadakan kelas-kelas malam.

(f) menyediakan  khidmat kesihatan terutamanya di kawasan-kawasan kampung dan kediaman  terpencil.

(g) Menerbitkan beberapa akhbar seperti :

al-Manar dan al-Liwasebagai akhbar harian.

al-Syihab sebagai akhbar mingguan[9].

3.2.2 Struktur Awal Organisasi  al-Ikhwan al-MuslimunSyria dan Lubnan.

Struktur organisasi Jam،iyyah  al-Ikhwan al-Muslimin Syria  hampir  sama dengan  al-Ikhwan al-Muslimun Mesir. Organisasi Jam،iyyah  al-Ikhwan al-Muslimun Syria  pada peringkat penubuhannya boleh dilihat seperti berikut :

(a) Markaz Damsyik (Markaz al-،Ulya)

Markaz Damsyik dijadikan  pusat Lujnah al-Markaziyyah al-،Ulyayang diketuai oleh Muraqib al،Am. Beliau dibantu oleh 25 orang anggota lain yang dilantik melalui pemilihan al-Mu’tamar al-،Am.

(b) Markaz Muhafazah

Di bawah Markaz al-،Ulya terdapat  markaz mengikut muhafazah. Setiap  markaz  diselia oleh seorang ketua yang dilantik.

(c) al-Qada

Setiap bahagian al-Qada’ dipimpin oleh seorang ketua yang dilantik.

(d) al-Syu،bah

Di bandar-bandar  yang besar terdapat al-Syu،bah (cawangan) mengikut Hayy(kampung).

(a)    al-Usrah

Merupakan unit terkecil dalam organisasi. Setiap usrah   dipimpin oleh naqib yang dilantik. Pada kebiasaannya  usrah dianggotai antara  lima hingga sebelas orang ahli.

Terdapat beberapa lujnah yang ditubuhkan dalam al-Ikhwan al-Muslimun iaitu Lujnah al-Thaqafiyyah, Lujnah mukafahah al-Ummiyyah, Lujnah al-Tullab, Lujnah al-Ummah dan Lujnah al-Ta‘awun.

al-Lujnah al-Thaqafiyyah menjadi penaung kepada Madaris al-Jam‘iyyah.  Antara madrasah  yang termasyhur  ialah al-Ma،had al-،Arabi al-Islamiyang diasaskan pada tahun 1945 dengan kerjasama Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami. Di samping itu lujnah di atas turut mengendalikan aktiviti kebudayaan yang lain. Daripada sudut ekonomi pula, al-Ikhwan al-Muslimun melaksanakan program ekonomi dalam bentuk kerjasama seperti al-Syarikah al-Ta،awuniyyah di Damsyik dan Halab serta al-Syarikah al-Tiba،ah wa al-Nasyr.[10]

Mustafa al-Siba،i menggambarkan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun dalam tempoh ini dengan menyebut :

“Pergerakan kita bukanlah satu persatuan atau parti politik tetapi merupakan gerakan kerohanian yang diterima oleh manusia sejagat. Ia merupakan satu revolusi baru.”[11]

3.2.3        Penubuhan Rabitah al-،Ulama’(1946)

Pada tahun 1946 Rabitah al-،Ulama’ diasaskan. Pertubuhan tersebut mendapat sambutan daripada  ulama Syria. Rabitah al-،Ulama’  merupakan kombinasi al-Jam،iyyah al-Islamiyyah. Melalui pertubuhan ini, ulama secara sulit  memberi bantuan dan sokongan kepada gerakan al-Ikhwan al-Muslimun dan aktiviti Islam yang diadakan oleh kumpulan Islam yang lain.[12]

 

3.2.4 Pilihanraya Hay’ah Ta’sisiyyah(1947)

Pada tahun 1947, pilihanraya Hay’ah Ta’sisiyyah diadakan. Pilihanraya tersebut melibatkan  pertandingan di antara  dua kumpulan utama  iaitu kumpulan  Mustafa al-Siba،i dan kumpulan yang mendapat sokongan negara luar. Dalam pilihanraya tersebut Mustafa al-Siba،i menang satu kerusi. Ketika membincangkan rang undang-undang  Hay’ah Ta’sisiyyah, Mustafa al-Siba،i telah membuat dua tuntutan iaitu  Islam sebagai agama rasmi negara dan Islam sebagai sumber utama perundangan. Tuntutan ini menyebabkan rang undang-undang Syria menyatakan:

(a)Islam sebagai salah satu sumber perundangan.

(b)Agama bagi presiden negara ialah Islam.

(c)Matlamat pendidikan ialah ke arah melahirkan generasi yang beriman kepada Allah s.w.t.

Kegagalan Mustafa al-Siba،i di dalam membuat tuntutan yang lebih komprehensif  telah menimbulkan kemarahan ulama  Syria.[13]

3.2.5  Peperangan Islam-Yahudi di Palestin(1948)

Deklarasi Balfour yang dimeterai semasa Perang Dunia I telah memudahkan orang Yahudi  memasuki Palestin. Sepanjang tempoh 1917-1947 berlaku  penghijrahan beramai-ramai bangsa Yahudi ke Palestin. Pada tahun 1947 mereka mengisytiharkan negara Israel. Pengisytiharan tersebut telah menimbulkan kemarahan umat Islam menyebabkan  berlakunya Peperangan Islam-Yahudi 1948. Umat Islam Syria termasuklah al-Ikhwan al-Muslimun turut berjuang mempertahankan kiblat kedua.[14]


[1] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.91, Fathi Yakan(1987), Islam Fikrah,Harakah dan Perubahan, Hj.Mohd Tahir Daeng Mengati(terj.), Alor Setar: Pustaka Ikhwan, hal.103, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.42, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.116, R.Hrair Dekmajian (1989), al-Usuliyyah fi al- ،Alam al-،Arabi, Sa،id ،Abd al-Warith(terj.), Kaherah: Dar al-Wafa’, hal.164.

[2] al-Habib al-Janhani(1989), op. cit., hal.116.

[3] Beliau dilahirkan di Halab pada tahun 1918. Beliau mendapat pendidikan di Universiti Damsyik dalam bidang undang-undang dan Universiti Serbonne dalam bidang Sastera dan Fiqh Lughah. Beliau terlibat dalam Perang Islam-Yahudi(1948). Beliau pernah mengajar di Universiti Muhammad al-Khamis di Pas, Maghribi, Dar al-Hadith al-Husniyah, di Ribat. Beliau merupakan seorang penyair. Sila lihat: Yusuf(1999a),  op.cit., j.2, hal.72.

[4] Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.103, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.42.

[5]Ahmad al-Jawwad(t.t), al-Mahamid fi al-Sirah al-Syaikh Muhammad al-Hamid, hal.10, Temubual dengan Dr.Ahmad al-Jawwad  pada 21 Februari 2000.

[6] Dr.Umar F. Abd-Allah(1983), op.cit., hal.91,  Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.103, Sa،id  Hawwa (1988d), op.cit., hal.42, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.116, R. Hrair Dekmajian(1989) op.cit., hal.164.

[7] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.115.

[8] al-Habib al-Janhani(1989),  op.cit., hal.116.

[9] ، Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.5-6.

[10] Ibid.

[11] Dr.Umar F.Abd- Allah(1983),  op.cit., hal.21, R.Hrair Dekmejian(1989),  op.cit., hal.164.

[12] Dr.Umar F. Abd- Allah(1983), op.cit., hal.33-34.

[13] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal 21.

[14] Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.104, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.42.

 

Advertisements

Sejarah Perkembangan Awal Gerakan Islam Sebelum Dan Selepas Zaman Imperialis Perancis

Kemunculan pertubuhan-pertubuhan di Syam bermula pada akhir kurun ke-19 Masihi. Pertubuhan-pertubuhan tersebut diasaskan atas nama jamiyah yang dianggotai oleh orang Arab kristian dan  mendapat sokongan daripada gerakan misionaris. Organisasi pertubuhan-pertubuhan di atas adalah  mirip  persatuan-persatuan yang diasaskan di Eropah.  Beberapa  jamiyah telah ditubuhkan di Lubnan pada tahun 1847 dan 1850 seperti Jam،iyyah al-Nisa’. Pada suku terakhir kurun ke-19  beberapa   persatuan kebajikan ditubuhkan  oleh orang Islam. Pada tahun 1878,  Jam،iyyah al-Maqasid al-Khayriyyah al-Islamiyyah telah ditubuhkan di Beirut oleh Ahmad Syafiq Midhat Pasha.[1] Pertubuhan tersebut  terus berkembang sehinggalah berlakunya Perang Dunia I.

 

Sepanjang tempoh di antara Perang Dunia I  sehingga tahun 1930-an, telah berlaku beberapa  perubahan di Syria  iaitu :

(a)Syria terpengaruh dengan  penjajah Perancis dalam pelbagai aspek kehidupan  termasuk aspek ekonomi.  Syria mengamalkan  sistem ekonomi  kapitalis.

(b)Tersebar budaya barat khususnya budaya Perancis.

(c)Kemelesetan yayasan Islam khususnya dalam bidang pendidikan dan undang-undang.

(d)Kemunculan  nasionalisme sebagai saingan kepada sistem Islam.[2]

Situasi di atas menggalakkan lagi pertumbuhan organisasi  Islam  yang teratur. Beberapa al-Jam،iyyah al-Islamiyyah telah diasaskan. Objektif penubuhan al- Jam،iyyah al-Islamiyyah ialah:

(a)menyebarkan dakwah Islamiah.

(b)sebagai sebuah organisasi kemasyarakatan.

(c)menimbulkan kesedaran beragama dan berfikir.

 

Pertubuhan tersebut kemudiannya berkembang menjadi satu  gerakan penentangan yang teratur dan berperanan dalam menghadapi  perubahan ekonomi, sosial dan politik. Mereka turut terlibat dalam pilihanraya dan demonstrasi awam.[3] Antara  jamiyah tersebut ialah :

 

(a)al- Jam،iyyah al-Gharra

Jamiyah di atas diasaskan pada awal tahun 1920-an. Penubuhannya adalah kesan daripada perasaan tidak puas hati terhadap sistem pendidikan yang  diperkenalkan oleh Perancis. Mereka telah mengasaskan sekolah-sekolah agama. Sekolah-sekolah tersebut  berada  di bawah naungan Muhammad Hasyim al-Khatib al-Husayni. al-Jam،iyyah al-Gharramempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan sosial dan politik masyarakat setempat .[4]

 

(b)Jam،iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah 

 

Jam،iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah  diasaskan di antara tahun 1930 dan 1931. Mereka menjalinkan hubungan dengan Jam،iyyah al-Ikhwan al-Muslimin Mesir iaitu setelah beberapa anggota al-Ikhwan al-Muslimun Mesir datang ke Palestin dan Syria pada tahun 1935.[5]

 

(c)Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami

 

Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami diasaskan di antara tahun 1931 dan 1932. Jam،iyyah  tersebutdianggotai oleh  fukaha, khatib, doktor, peguam dan sasterawan. Beberapa  peneraju pertubuhan ini telah memainkan peranan penting  dalam politik dan ekonomi Syria seperti  Ahmad Mazhar al-،Azamah[6], Muhammad Bahjat al-Baytar, Hasan al-Syati dan lain-lain lagi. Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami telah melaksanakan beberapa program iaitu:

(a)Menerbitkan buletin berjudul al-Tamaddun al-Islami yang bertujuan menyebarkan pengetahuan Islam kepada masyarakat.

(b)Menubuhkan madrasah  yang diiktiraf secara rasmi oleh pemerintah. Mereka telah membina  sebuah sekolah menengah iaitu Madrasah al-Tamaddun al-Islami di Damsyik. Pengambilan pertama pelajarnya ialah pada tahun 1946.

(c)Mengasaskan  al-Rabitah al-Ukhawiyyah li Musa،adah Fuqara’ al-Tullab.

(d)Membantu dan memberi sokongan kepada Intifadah Palestin pada tahun 1936. Mereka mengasaskan  Lujnah Ianah al-Mankubin fi al-Quds. [7]

 

(d)Jamiyah  yang lain 

 

Selain daripada pertubuhan yang disebut di atas, terdapat beberapa  pertubuhan  lain seperti Jam،iyyah al-Ta ،awun al-Islami, Jam،iyyah al-،Ulama’, Jam،iyyah al-Tawjih al-Islami, Jam،iyyah ،Amal al-Birr al-Islami dan pertubuhan lain yang bermatlamatkan mempertahankan nilai-nilai Islam dalam berdepan dengan budaya barat. Peranan pertubuhan-pertubuhan Islam tersebut terserlah di dalam  pilihanraya 1943. Presiden Republik Syria,Syukri al-Qutili[8] telah melantik  ،Abd al-Hamid al-Tabba، iaitu salah seorang pemimpin al-Jam،iyyah al-Gharradalam kerajaannya. Walaubagaimanapun, kerjasama  tersebut terhenti  apabila   al-Jam،iyyah al-Gharra’  bersamapertubuhan-pertubuhan  Islam yang lain mengumumkan penentangan mereka terhadap  pemerintah. Mereka telah mengadakan penentangan berdarah di Damsyik pada Mei 1944. Penentangan yang diketuai oleh gerakan Islam ini bertujuan  menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap majlis tarian yang terpengaruh dengan budaya  Eropah dan bertentangan dengan norma masyarakat Islam. Majlis tersebut dianjurkan oleh Jam،iyyah Nuqtah al-Halib. Pertubuhan ini disertai oleh wanita daripada golongan burjuwazi yang mengikut cara hidup barat. [9]


[1] Dr.Umar F. Abd-Allah(1983), op.cit., hal.89.

 

[2] al-Habib al-Janhani(1989), “al-Sahwah al-Islamiyyah fi Bilad al-Syam: Mithal Suriyya”,          al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu،asarah fi al-Watan al-،Arabi, Beirut: Markaz Dirasat al-Wihdah al-،Arabiyyah, hal.113.

 

[3] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.114.

 

[4] Ibid.

 

[5] Ibid, berhubung kedatangan al-Ikhwan al-Muslimun ke Syria, Sila lihat: Hassan al-Banna(1990), Mudhakkarah al-Da،wah wa al-Da،iyyah, Kaherah: al-Zahra’ li al-I،lam al-،Arabi, hal.270-272.

 

[6] Beliau dilahirkan pada tahun 1911 di Damsyik. Beliau mendapat pendidikan daripada ulama Damsyik. Beliau melanjutkan pengajiannya di Ma،hadal-Huquq, Universiti Syria. Beliau merupakan anggota Lujnah al-Tarbiyyah Wa al-Ta،lim di Wizarah al-Ma،arif Suriya. Pada zaman al-Wihdah(1958-1961) beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian. Beliau adalah pengasas kepada Madrasah al-Tamaddun al-Islami dan  pengasas serta ketua pengarang majalah al-Tamaddun al-Islami  yang diterbitkan pada bulan Rabiulawwal  1354H(1935). Beliau meninggal dunia pada 12 Rabiulawwal 1402H(1982). [Sila lihat: (1)al- Farfur(1988), op.cit.,  hal.44, (2)Muhammad Muti، al-Hafiz dan Nizar Ibazi(1991), op.cit., j.3, hal.433, (3)Yusuf (1999a), op.cit., j.1, hal.63.]

 

[7] Ibid.

 

[8] Beliau ialah Syukri bin Mahmud bin ،Abd al-Ghani. Beliau dilahirkan di Damsyik pada tahun 1891. Pada 17 Ogos 1943 beliau dilantik menjadi presiden Syria yang pertama. Semasa menjadi presiden, beliau telah berjaya mengusir penjajah Perancis dari Syria pada tahun 1946. Husni al-Za،im telah melakukan revolusi terhadapnya dan memaksa beliau meletakkan jawatan pada Mac 1949. Beliau telah ditangkap dan kemudiannya dibebaskan. Selepas dibebaskan beliau berhijrah ke Iskandariah, Mesir. Pada Ogos tahun 1955 beliau sekali lagi dilantik menjadi presiden. Beliau meninggal dunia di Beirut pada tahun 1967 dan dikebumikan di Damsyik. Sila lihat: al-Zirakli(1984),  op.cit., hal.172-173.

 

[9] al-Habib  al-Janhani(1989), op.cit., hal.115.