Tag Archives: M.A

IKHWAN PASCA TRAGEDI HAMAH

al-Ikhwan al-Muslimun  Selepas Tragedi Hamah

 

(a) Penglibatan Dalam al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya

 

Beberapa hari selepas berakhirnya tragedi Hamah iaitu pada 11 Mac 1982, satu perjanjian dimeterai antara pihak pembangkang di atas nama al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya. Mereka terdiri daripada gabungan 19 kumpulan yang datang dari pelbagai aliran pemikiran politik yang menentang  rejim Asad termasuklah al-Ikhwan al-Muslimun dan al-Jabhah al-Islamiyyah. Keputusan al-Ikhwan al-Muslimun menyertai al-Tahaluf adalah dengan persepakatan  anggota Hay’ah Ta’sisiyyah dalam al-Jabhah al-Islamiyyah.

 

 

Perjanjian  Mithaq al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya  mengandungi artikel berikut:

1-Usaha berterusan untuk menjatuhkan kerajaan menggunakan  segala pendekatan politik, media massa dan mendapatkan sokongan awam sehinggalah tercapai matlamat ini. Pendekatan utama ialah penentangan bersenjata.

2-Membawa pemerintah  ke mahkamah serta  membicarakan kesalahan mereka terhadap rakyat dan negara.

3-Membentuk kerajaan sementara yang berfungsi menjatuhkan kerajaan yang ada. Seterusnya berusaha seberapa segera mengadakan pilihanraya Majlis Ta’sisi dengan tujuan membentuk undang-undang yang berdaulat di negara.

4-Islam sebagai agama negara dan syariat Islam sebagai sumber utama  undang-undang kerana ianya merupakan warisan ketamadunan orang Arab, Islam dan manusia keseluruhannya. (Undang-undang) yang tidak menyentuh hak asasi orang bukan Islam dari segi kepercayaan. Mereka diberi kebebasan untuk melaksanakan undang-undang khas mereka.

5-Memberi jaminan kebebasan kepada setiap warganegara termasuklah kebebasan beragama, kebebasan berfikir, kebebasan berhimpun dan membentuk parti politik.

6-Mengatur semula ketenteraan Syria dan badan-badan kerajaan dengan ikhlas berdasarkan kelayakan yang akan mengembalikan kesatuan di Syria.

7-Menyelesaikan kegawatan ekonomi dan membina semula ekonomi Syria dengan memerangi sebarang bentuk penyelewengan seperti mencuri harta negara dan rasuah. Memanggil golongan profesional   yang berada di luar untuk turut serta membangunkan ekonomi negara.

8-Menyelamatkan golongan pekerja,petani dan orang miskin daripada menjadi mangsa penindasan pemerintah serta membantu mereka dalam meningkatkan taraf hidup.

9-Mengkaji semula sukatan pelajaran dan menilai pusat-pusat pengajian serta badan-badan kerajaan yang akan menyelamatkan negara daripada  kemunduran.

10-Memberi ganti rugi kepada keluarga mangsa yang terkorban sepanjang konfrontasi dengan pemerintah.

11-Meyakini sepenuhnya tentang tanggungjawab membebaskan Palestin  daripada penjajahan Yahudi dan sebarang bentuk imperialis. Menggunakan segala tenaga kemanusiaan, ketenteraan dan politik untuk membebaskan Palestin.

12-Memberi sokongan ketenteraan   kepada Munazzamah al-Tahrir al-Filastiniyyah demi mencapai matlamat penduduk Arab Palestin yang inginkan kemerdekaan.

13-Berusaha bersungguh-sungguh  ke arah menyatukan Arab.

14-Memberikan komitmen dalam menjalinkan hubungan dengan negara-negara Arab dan mengerahkan sepenuh tenaga mempertahankan negara-negara Arab.

15-Menjalinkan hubungan dengan dunia Islam seperti hubungan antara negara dan hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan  yang memberi kekuatan kepada Islam…[1]

 

 

Penglibatan al-Ikhwan al-Muslimun dalam al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya telah menyebabkan berlakunya perselisihan antara ،Adnan Sa،d  al-Din  dan ،Adnan ،Aqluh yang merupakan ketua kepada al-Tali،ah al-Muqatilah al-Ikhwan al-Muslimin.[2]  Mereka tidak bersetuju dengan penyertaan al-Ikhwan al-Muslimin dalam al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya.[3] Mereka  menolak penglibatan tersebut dengan alasan kerjasama yang dijalinkan bertentangan dengan syariah Islam. Mereka telah mengeluarkan  satu kenyataan menyebut beberapa pandangan ulama seperti ،Abd Allah bin Baz dan Muhammad Qutb berkaitan  al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriya. Mereka  mengkritik al-Tahaluf al-Watanikerana lebih bersifat nasionalisme.[4] Perselisihan tersebut  menyebabkan ،Aqluh dipecat daripada al-Ikhwan al-Muslimun pada 1982.[5]

 

(b) Berdiplomasi Dengan Pemerintah

 

            Selepas tragedi Hamah, al-Ikhwan al-Muslimun membuat penilaian terhadap kejadian-kejadian yang berlaku sebelum ini. Mereka membuat keputusan menghentikan  sebarang bentuk penentangan bersenjata terhadap rejim Asad. Mereka mengambil pendirian berdepan dengan rejim Asad menggunakan pendekatan nasihat. Keputusan tersebut diambil dalam tiga mesyuarat Maktab al-Irsyad yang diadakan selepas tragedi Hamah.[6]

 

Pada Disember 1984, al-Ikhwan al-Muslimun membuat satu pertemuan dengan pemerintah di Jerman. Mereka telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan pertemuan tersebut pada Februari 1985. Kenyataan tersebut menyebut :

….perwakilan kita telah membuat tuntutan jemaah dan masyarakat pada pertemuan pertama(dengan wakil pemerintah) pada minggu kedua bulan Disember 1984:

1.Menghapuskan undang-undang darurat yang menyekat warganegara Syria sejak dua puluh tahun yang lalu.

2.Menggantung undang-undang yang memberi keistimewaan kepada Hafiz Asad menjadi Hakim Mustabad ‘pemerintah kekal’ sebelum Syria mewartakan undang-undang yang baru.

3.Mengumumkan kebebasan awam dan menjamin kebebasan berfikir dan memberi pendapat. Memberi hak berpolitik kepada setiap warganegara tanpa sebarang perbezaan atau pengecualian. Sesungguhnya menyekat kebebasan warganegara walau apa alasan sekalipun merupakan jenayah besar.

4.Menyeru supaya diadakan satu pilihanraya yang bebas dan bersih yang memberi peluang kepada warganegara memilih wakil mereka yang sebenarnya.

5.Membentuk Hay’ah Ta’sisiyyah yang akan menggubal undang-undang baru yang mengikut tuntutan seluruh warganegara Syria yang ingin menjaga aqidah dan memelihara kebebasan serta menjamin hak-hak kemanusiaan.

6.Membentuk pasukan tentera yang melibatkan semua warganegara dan bukannya dari kumpulan atau parti yang berkepentingan sahaja.[7]

 

Sehingga ke saat penulisan ini al-Ikhwan tidak berani untuk melakukan penentangan bersenjata  berdasarkan pengalaman yang lalu. Pergerakan mereka amat terbatas bergantung kepada undang-undang negara yang menjadi tempat perlindungan mereka.


[1] ،Umar ،Abd al-Hakim(1987), hal.107-108.

 

[2] Pasukan ini terdiri daripada pemuda-pemuda yang membentuk gerakan bersenjata di Syria. Kebanyakan operasi-operasi yang berlaku di Syria sepanjang tempoh 1979-1982 dijalankan oleh pasukan ini di luar arahan kepimpinan al-Ikhwan al-Muslimun. Mereka mendukung pemikiran yang dibawa oleh Marwan al-Hadid. Sila lihat: Ahmad al-Jawwad, “Nubdhah ،an Harakah al-Tali،ah.”

 

[3] R. Hair. Dekmejian(1985),  op.cit., hal.177.

 

[4] ،Umar ،Abd al-Hakim(1987), op.cit., hal.106-119.

 

[5] R. Hair. Dekmejian(1985),  op.cit., hal.177.

 

[6] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.148.

 

[7] ،Umar al-Hakim(1987), hal.138-139.

 

Perkembangan al-Ikhwan al-Muslimun Syria(1949-1989) Part 2

Zaman Pemerintahan Demokrasi(1954 -1963).

3.3.2.1 Kedudukan al-Ikhwan al-Muslimun  Selepas Kejatuhan Adib al-Syiskali

Kolonel Adib al-Syiskali terus memerintah Syria sehinggalah satu gerakan penentangan oleh pihak tentera bermula di sebelah utara Syria pada 25 Februari 1954. Penentangan tersebut merebak ke beberapa buah bandar menyebabkan  Kolonel Adib al-Syiskali  meletakkan jawatan dan meninggalkan Syria.[1] Dalam menghadapi senario politik yang baru, al-Ikhwan al-Muslimun  sekali lagi bergerak cergas selepas kejatuhan kerajaan Adib al-Syiskali. Mereka meneruskan pergerakan walaupun belum ada  undang-undang rasmi di Syria. Syria berada dalam keadaan tanpa undang-undang  sehinggalah pilihanraya baru diadakan dan Syukri al-Qutili sekali lagi dilantik menjadi presiden pada 16 September 1955.[2]

Berdasarkan pengalaman menghadapi cabaran dan tribulasi yang lalu, pucuk pimpinan gerakan al- Ikhwan al-Muslimun  mengubah pandangan dalam pendekatan dan perancangan politik. Mereka mengeluarkan  satu kenyataan yang  menyebut:

(a)al- Ikhwan al-Muslimun  bersedia memberi kerjasama dengan mana-mana pemerintah   yang  iltizam dengan Islam.

(b)mengkritik penyelewengan, keruntuhan akhlak dan menyatakan bahawa Islam adalah dakwah, kerajaan dan peraturan.

(c)mengumumkan tidak turut serta dalam pilihanraya dan kerajaan serta membuat keputusan untuk menumpukan kepada aspek tarbiah.[3]

Dalam piliharaya yang diadakan pada musim panas tahun 1954, al- Ikhwan al-Muslimun  tidak menghantar seorang calon pun untuk bertanding. Muhammad  al-Mubarak yang tidak sependapat dengan al-Ikhwan al-Muslimun telah bertindak keluar daripada  gerakan.  Beliau telah menyertai pilihanraya 1954  atas tiket calon bebas.[4] Pada peringkat awal pilihanraya, al-Ikhwan al-Muslimun  telah mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan pendirian mereka terhadap pilihanraya dan menyatakan Muhammad  al-Mubarak  bukanlah mewakili gerakan.  Tindakan tersebut menyebabkan Muhammad  al-Mubarak  kalah dalam undian yang pertama. Walaubagaimanapun  al-Ikhwan al-Muslimun  kemudiannya   mengubah pendirian mereka dengan memberi sokongan kepada beliau.  Muhammad  al-Mubarak  menang dalam undian yang kedua.[5]

Semasa al- Ikhwan al-Muslimun  Syria  mengambil pendirian memberi tumpuan kepada aspek tarbiah dan keagamaan, al-Ikhwan al-Muslimun Mesir sedang menghadapi  cabaran dengan Jamal ،Abd al-Nasir. Sahifah al-Manar  yang merupakan lidah rasmi al-Ikhwan al-Muslimun   Syria  telah menyediakan satu ruangan khas untuk menceritakan perkembangan yang berlaku di Mesir. Jamal      ،Abd al-Nasir  yang menjadi presiden Mesir ketika itu telah menjatuhkan hukuman mati terhadap enam orang pemimpin al-Ikhwan Mesir iaitu  ،Abd        al-Qadir ،Awdah[6], Muhammad al-Farghali, Yusuf Tahla،at, Ibrahim al-Tayyib, Hindawi Duwayr dan Mahmud ،Abd al-Latif.[7] Mereka dijatuhkan hukuman bunuh kerana tuduhan cuba menggulingkan  rejim ،Abd al-Nasir. [8] Tindakan rejim  ،Abd al-Nasir  telah menimbulkan kemarahan umat Islam. Satu revolusi dan penentangan berlaku  dari Maghribi sampai ke Indonesia. Begitu juga di Syria, demontrasi diadakan di beberapa tempat menentang pembunuhan enam orang pemimpin  al-Ikhwan di Mesir. Mustafa al-Siba،i telah berdiri selepas solat, meminta orang ramai supaya mendoakan para syuhada. [9]

Ketika al-Ikhwan al-Muslimun Mesir menghadapi tekanan daripada rejim  ،Abd al-Nasir, al-Ikhwan al-Muslimun Syria  mengambil alih fungsi gerakan      al-Ikhwan di Mesir. Mereka  berperanan sebagai tunggak kepada al-Ikhwan di tanah Arab.[10]  Pada Mac 1957, satu Muktamar al-Ikhwan al-Muslimun dari seluruh pelusuk tanah Arab diadakan di Syria.[11]

Pada 1957, Mustafa al-Siba،i meletakkan jawatan disebabkan masalah  kesihatan dan tekanan politik. Kepimpinan al-Ikhwan al-Muslimun Syria  diambil alih oleh  ،Isam al-،Attar.[12]

 3.3.2.2 Zaman al-Wihdah(Penyatuan Mesir-Syria) 1958-1961

Kedudukan al-Ikhwan Syria yang stabil antara 1954-1958 berubah apabila mereka berdepan dengan tekanan pada zaman ‘al-Wihdah (1958-1961). Jamal ،Abd al-Nasir  mengamalkan dasar pembubaran parti politik. al-Ikhwan Syria terpaksa akur dengan dasar tersebut.  Mereka menjalankan aktiviti secara sulit.[13]

3.3.2.3 Kedudukan al-Ikhwan al-Muslimun Selepas Zaman al-Wihdah

Pada 1961, penyatuan antara Mesir dan Syria berakhir. Keadaan ini  memberi peluang kepada al-Ikhwan Syria bergerak secara bebas sekali lagi. Mereka turut serta dalam pilihanraya yang diadakan pada Disember 1961 di bawah pimpinan،Isam al-،Attar. Dalam pilihanraya tersebut mereka memperolehi kejayaan yang membanggakan apabila memenangi  10 kerusi. [14]

Selesai pilihanraya 1961, Dr.Nazim al-Qudsi telah dilantik sebagai presiden yang baru. Pada  28 Mac 1962, pihak tentera mengambil alih kuasa dan memerintah sehinggalah terbentuknya peralihan kuasa. Pada 13 April 1962,      Dr.Nazim al-Qudsi dilantik sekali lagi menjadi presiden.  Beliau meminta          Dr.Basyir al-،Azamah untuk membentuk kerajaan  baru yang terdiri dari golongan berhaluan kanan dan kiri yang sederhana serta beberapa anggota Hizb al-Ba،th al-Isytiraki. Beliau terus menerajui pemerintahan sehingga meletakkan jawatan pada 22 September 1962. Beliau meminta Dr.Nazim al-Qudsi untuk bekerjasama dengan tentera melantik Khalid al-،Azam untuk membentuk kerajaan yang baru. Beliau terus memerintah Syria sehingga  8 Mac 1963.[15]


[1] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.268.

[2] Ibid, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit.,  hal.119.

 

[3] Ibid.

 

[4] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983),  op.cit., hal.100, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.52-53.

[5] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit.,  hal.38.

[6] Beliau merupakan seorang ulama dalam bidang undang-undang dan syariah di Mesir. Beliau merupakan salah seorang pemimpin al-Ikhwan Mesir yang terkenal.

[7] Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.97-98.

[8] Richard Paul Mitchell(1985), al-Ikhwan al-Muslimun, ،Abd al-Warith Sa،id(terj.),  Kaherah: Maktabat Madbuli, hal.293.

[9] Richard Paul Mitchell(1985),  op.cit., hal.294.

[10] Dr.Umar F.Abd- Allah(1983),  op.cit., hal.91, al-Habib al-Janhani(1989),  op.cit.,  hal.119.

[11] al-Habib al-Janhani(1989),  op.cit.,  hal.119.

[12] Dr.Umar F.Abd- Allah(1983),  op.cit., hal.101.

[13] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.54-55, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit.,  hal.119.

[14]Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.42, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.43, al-Habib al-Janhani (1989), op.cit., hal.119-120.

[15] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.269-270.

Latar Belakang Penubuhan  al-Ikhwan al-Muslimun Syria.

3.2.1  Pengasasan   al-Ikhwan al-Muslimun Syria.

Kajian tidak dapat memastikan tarikh yang tepat tentang kemunculan     al-Ikhwan al-Muslimun Syria. al-Ikhwan al-Muslimun Syria  terbentuk melalui kombinasi beberapa pertubuhan Islam di Syria.[1] Pertubuhan tersebut ialah :

(a)Syabab Muhammad  

 

Abu Sa،ud ،Abd al-Salam telah menubuhkan Jam،iyyah al-Rabitah al-Diniyyah li Syabab Muhammad pada tahun 1934 di Hims.[2]

 (b)Dar al-Arqam atau al-Syubban al-Muslimun

 

            Dar al-Arqam ditubuhkan di Halab dibawah pimpinan ،Umar Baha’ al-Amiri[3] pada tahun 1937. Dar al-Arqam yang asalnya  merupakan kelab kebudayaan dan sukan telah bertukar menjadi Dar al-Syubban al-Muslimun.[4]

(c)Cawangan al-Ikhwan al-Muslimun Mesir di Hamah.

 

            Pertubuhan di atas diasaskan oleh Muhammad al-Hamid bersama-sama rakan-rakannya seperti ،Abd-Allah al-Hallaq, Munir Lutfi, Munir al-Hurani, al-Haj ،Abd al-Ghani al-Sa،ati dan  ،Abd  al-Ghani al-Hamid.[5]

Pertubuhan-pertubuhan tersebut akhirnya disatukan atas nama  Jam،iyyah  al-Ikhwan al-Muslimin di antara tahun 1945 dan 1946. Mustafa al-Siba،i telah dipilih sebagai  Muraqib al-،Am,al-Ikhwan al-MuslimunSyria dan Lubnan yang pertama.[6]

Jam،iyyah al-Ikhwan al-Muslimin berkembang dengan cepat dan mengepalai  pertubuhan Islam yang lain sejak pilihanraya 1947 sehingga sekarang. Mereka telah melalui pelbagai peringkat dan memberi kesan kepada perkembangan politik di Syria.[7] Pada peringkat awal penubuhan, al-Ikhwan al-MuslimunSyria di bawah pimpinan Mustafa al-Siba،i telah melaksanakan program-program berikut :

(a) membentuk al-Lujnah al-Markaziyyah al-،ulya.

(b) menerbitkan risalah berkaitan  pergerakan  yang bertajuk: Ahdafuna wa   Mabadiuna(Matlamat dan Prinsip Kami) pada tahun 1945.

(c) gerakan menentang  French Mandate pada tahun 1945.

(d) mengasaskan organisasi Futuwwah pada Ogos 1946. Organisasi tersebut  berfungsi sebagai satu mukhayyam besar untuk melatih anggotanya menggunakan senjata di samping aktiviti lain seperti sukan dan kebudayaan. [8]

(e) menubuhkan sekolah-sekolah di setiap muhafazah  serta mengadakan kelas-kelas malam.

(f) menyediakan  khidmat kesihatan terutamanya di kawasan-kawasan kampung dan kediaman  terpencil.

(g) Menerbitkan beberapa akhbar seperti :

al-Manar dan al-Liwasebagai akhbar harian.

al-Syihab sebagai akhbar mingguan[9].

3.2.2 Struktur Awal Organisasi  al-Ikhwan al-MuslimunSyria dan Lubnan.

Struktur organisasi Jam،iyyah  al-Ikhwan al-Muslimin Syria  hampir  sama dengan  al-Ikhwan al-Muslimun Mesir. Organisasi Jam،iyyah  al-Ikhwan al-Muslimun Syria  pada peringkat penubuhannya boleh dilihat seperti berikut :

(a) Markaz Damsyik (Markaz al-،Ulya)

Markaz Damsyik dijadikan  pusat Lujnah al-Markaziyyah al-،Ulyayang diketuai oleh Muraqib al،Am. Beliau dibantu oleh 25 orang anggota lain yang dilantik melalui pemilihan al-Mu’tamar al-،Am.

(b) Markaz Muhafazah

Di bawah Markaz al-،Ulya terdapat  markaz mengikut muhafazah. Setiap  markaz  diselia oleh seorang ketua yang dilantik.

(c) al-Qada

Setiap bahagian al-Qada’ dipimpin oleh seorang ketua yang dilantik.

(d) al-Syu،bah

Di bandar-bandar  yang besar terdapat al-Syu،bah (cawangan) mengikut Hayy(kampung).

(a)    al-Usrah

Merupakan unit terkecil dalam organisasi. Setiap usrah   dipimpin oleh naqib yang dilantik. Pada kebiasaannya  usrah dianggotai antara  lima hingga sebelas orang ahli.

Terdapat beberapa lujnah yang ditubuhkan dalam al-Ikhwan al-Muslimun iaitu Lujnah al-Thaqafiyyah, Lujnah mukafahah al-Ummiyyah, Lujnah al-Tullab, Lujnah al-Ummah dan Lujnah al-Ta‘awun.

al-Lujnah al-Thaqafiyyah menjadi penaung kepada Madaris al-Jam‘iyyah.  Antara madrasah  yang termasyhur  ialah al-Ma،had al-،Arabi al-Islamiyang diasaskan pada tahun 1945 dengan kerjasama Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami. Di samping itu lujnah di atas turut mengendalikan aktiviti kebudayaan yang lain. Daripada sudut ekonomi pula, al-Ikhwan al-Muslimun melaksanakan program ekonomi dalam bentuk kerjasama seperti al-Syarikah al-Ta،awuniyyah di Damsyik dan Halab serta al-Syarikah al-Tiba،ah wa al-Nasyr.[10]

Mustafa al-Siba،i menggambarkan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun dalam tempoh ini dengan menyebut :

“Pergerakan kita bukanlah satu persatuan atau parti politik tetapi merupakan gerakan kerohanian yang diterima oleh manusia sejagat. Ia merupakan satu revolusi baru.”[11]

3.2.3        Penubuhan Rabitah al-،Ulama’(1946)

Pada tahun 1946 Rabitah al-،Ulama’ diasaskan. Pertubuhan tersebut mendapat sambutan daripada  ulama Syria. Rabitah al-،Ulama’  merupakan kombinasi al-Jam،iyyah al-Islamiyyah. Melalui pertubuhan ini, ulama secara sulit  memberi bantuan dan sokongan kepada gerakan al-Ikhwan al-Muslimun dan aktiviti Islam yang diadakan oleh kumpulan Islam yang lain.[12]

 

3.2.4 Pilihanraya Hay’ah Ta’sisiyyah(1947)

Pada tahun 1947, pilihanraya Hay’ah Ta’sisiyyah diadakan. Pilihanraya tersebut melibatkan  pertandingan di antara  dua kumpulan utama  iaitu kumpulan  Mustafa al-Siba،i dan kumpulan yang mendapat sokongan negara luar. Dalam pilihanraya tersebut Mustafa al-Siba،i menang satu kerusi. Ketika membincangkan rang undang-undang  Hay’ah Ta’sisiyyah, Mustafa al-Siba،i telah membuat dua tuntutan iaitu  Islam sebagai agama rasmi negara dan Islam sebagai sumber utama perundangan. Tuntutan ini menyebabkan rang undang-undang Syria menyatakan:

(a)Islam sebagai salah satu sumber perundangan.

(b)Agama bagi presiden negara ialah Islam.

(c)Matlamat pendidikan ialah ke arah melahirkan generasi yang beriman kepada Allah s.w.t.

Kegagalan Mustafa al-Siba،i di dalam membuat tuntutan yang lebih komprehensif  telah menimbulkan kemarahan ulama  Syria.[13]

3.2.5  Peperangan Islam-Yahudi di Palestin(1948)

Deklarasi Balfour yang dimeterai semasa Perang Dunia I telah memudahkan orang Yahudi  memasuki Palestin. Sepanjang tempoh 1917-1947 berlaku  penghijrahan beramai-ramai bangsa Yahudi ke Palestin. Pada tahun 1947 mereka mengisytiharkan negara Israel. Pengisytiharan tersebut telah menimbulkan kemarahan umat Islam menyebabkan  berlakunya Peperangan Islam-Yahudi 1948. Umat Islam Syria termasuklah al-Ikhwan al-Muslimun turut berjuang mempertahankan kiblat kedua.[14]


[1] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.91, Fathi Yakan(1987), Islam Fikrah,Harakah dan Perubahan, Hj.Mohd Tahir Daeng Mengati(terj.), Alor Setar: Pustaka Ikhwan, hal.103, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.42, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.116, R.Hrair Dekmajian (1989), al-Usuliyyah fi al- ،Alam al-،Arabi, Sa،id ،Abd al-Warith(terj.), Kaherah: Dar al-Wafa’, hal.164.

[2] al-Habib al-Janhani(1989), op. cit., hal.116.

[3] Beliau dilahirkan di Halab pada tahun 1918. Beliau mendapat pendidikan di Universiti Damsyik dalam bidang undang-undang dan Universiti Serbonne dalam bidang Sastera dan Fiqh Lughah. Beliau terlibat dalam Perang Islam-Yahudi(1948). Beliau pernah mengajar di Universiti Muhammad al-Khamis di Pas, Maghribi, Dar al-Hadith al-Husniyah, di Ribat. Beliau merupakan seorang penyair. Sila lihat: Yusuf(1999a),  op.cit., j.2, hal.72.

[4] Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.103, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.42.

[5]Ahmad al-Jawwad(t.t), al-Mahamid fi al-Sirah al-Syaikh Muhammad al-Hamid, hal.10, Temubual dengan Dr.Ahmad al-Jawwad  pada 21 Februari 2000.

[6] Dr.Umar F. Abd-Allah(1983), op.cit., hal.91,  Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.103, Sa،id  Hawwa (1988d), op.cit., hal.42, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.116, R. Hrair Dekmajian(1989) op.cit., hal.164.

[7] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.115.

[8] al-Habib al-Janhani(1989),  op.cit., hal.116.

[9] ، Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.5-6.

[10] Ibid.

[11] Dr.Umar F.Abd- Allah(1983),  op.cit., hal.21, R.Hrair Dekmejian(1989),  op.cit., hal.164.

[12] Dr.Umar F. Abd- Allah(1983), op.cit., hal.33-34.

[13] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal 21.

[14] Fathi Yakan(1987), op.cit., hal.104, Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.42.