Tag Archives: MA

Perkembangan al-Ikhwan al-Muslimun Syria(1949-1989) Part 1

Zaman Rampasan Kuasa(1949-1954)

 

Sepanjang tempoh 1949-1954, Syria berdepan dengan kegawatan politik khususnya selepas peristiwa penguasaan Yahudi di Palestin. Setiap pihak  menuding jari menyalahkan antara satu sama lain  berhubung peristiwa yang berlaku di Palestin. Pada  masa yang sama, pemerintah  dituduh dengan pentadbiran yang lemah  kerana  mengamalkan rasuah dan penyelewengan. Situasi di atas telah memberi peluang kepada Amerika untuk campur tangan dalam pergolakan politik Syria.[1]

 

3.3.1.1 Rampasan Kuasa Husni al-Za،im(30  Mac 1949)

 

Pada 30 Mac 1949, penggulingan kuasa yang pertama berlaku dalam sejarah  Syria moden. Husni al-Za،im yang merupakan Qa،id al-Jaysy al-Suri         (Ketua tentera Syria) telah menangkap presiden Syria, Syukri al-Qutili dan Perdana Menteri Khalid al-،Azam. Beliau mengumumkan dirinya sebagai perdana Menteri dan kemudiannya sebagai presiden Syria yang baru. Kedudukan beliau sebagai presiden mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Mesir dan Arab Saudi.[2]

 

Menurut Dr.Umar F.Abd-Allah, rampasan kuasa ini mendapat sokongan CIA, Kedutaan Amerika di Damsyik. Miles Copeland seorang diplomat di Kedutaan Amerika pada tahun 1949 menulis:

“Tindakan politik di bawah Major Stephen telah dilakukan secara sistematik dengan kerjasama Za،im, pegawai tentera Syria. Beliau telah memberi idea kepada Za،im tentang rampasan kuasa. Beliau telah menasihatinya tentang cara rampasan dan menunjukkan kepadanya asas gerakan sulit.”[3]

 

Dalam berdepan dengan senario politik yang baru, al-Ikhwan al-Muslimun yang mengepalai gerakan Islam sejak 1947, bercita-cita membentuk sebuah kerajaan baru. Pada 9 April 1949, mereka telah menulis mudhakkarah(kenyataan) yang menjelaskan situasi negara dan mengemukakan penyelesaian kepada kegawatan yang sedang dihadapi. Namun usaha al-Ikhwan al-Muslimun tidak berhasil  kerana polisi pemerintah yang menekan gerakan Islam. Husni al-Za،im telah melakukan tindakan berikut bagi menyekat perkembangan pertubuhan politik di Syria:

i)Menyekat kebebasan akhbar tempatan dengan melakukan pemeriksaan yang ketat dan menarik balik beberapa permit akhbar tempatan .

ii)Menukarkan Majallah al-Ahkam al-،Adliyyah yang merupakan perundangan Islam kepada perundangan Perancis.

(iii)Mengharamkan penubuhan parti politik.

 

Kenyataan  akhbar al-Yawm al-Misriyyah, mengeluarkan arahan presiden Husni al-Za،im  kepada Mudir al-Amn al-،Am  supaya menggunakan uslub yang keras untuk berdepan dengan golongan komunis. Kemudiannya beliau akan bertindak ke atas al-Ikhwan kerana beliau tidak mampu menghapuskan dua pengaruh besar dalam satu masa.[4] Sepanjang tempoh ini, al-Ikhwan tidak dapat menaruh harapan kerana kelumpuhan sistem demokrasi. Pada Mei 1949, pengeluaran  majalah al-Manar terbitan   al-Ikhwan al-Muslimun dihentikan.[5]

 

 

3.3.1.2 Rampasan Kuasa Sami al-Hinnawi(Ogos 1949)

 

Lima bulan selepas rampasan kuasa yang pertama, iaitu pada Ogos 1949, rampasan kuasa kedua dilakukan oleh Sami al-Hinnawi[6] Ra’is Arkan al-Jaysy al-Suri.  Penggulingan kuasa yang bertujuan menyokong penyatuan Syria dengan Iraq dan mendapat sokongan British.[7] Rampasan kuasa ini mengakibatkan Husni al-Za،im dan perdana menterinya Muhsin al-Birazi dibunuh.[8]

 

Ketika berhadapan dengan senario politik yang baru, pucuk pimpinan gerakan Islam mengubah strategi pergerakan. Gerakan Islam  terutamanya          al-Ikhwan al-Muslimun bergerak sebagai sebuah badan agama dan kebudayaan. al-Ikhwan al-Muslimun bekerjasama dengan pertubuhan lain menjalankan aktiviti politik melalui  al-Jabhah al-Islamiyyah al-Isytirakiyyah. Pemimpin gerakan Islam telah menyertai pilihanraya November 1949 di atas  nama gerakan ini.[9]  Topik yang menjadi  manifesto utama mereka ialah perancangan penyatuan negara Arab dan penentangan pengaruh barat ke atas negara Arab seperti sistem monarki di Iraq dan Jordan. Antara isu hangat yang timbul dalam pilihanraya tersebut  ialah kepentingan menjalinkan hubungan antara orang Islam dan kristian yang diketengahkan oleh Mustafa al-Siba،i. Isu tersebut timbul kerana terdapat dua calon Kristian yang mewakili  al-Jabhah al-Islamiyyah-al-Isytirakiyyah.[10]

 

3.3.1.3 Rampasan Kuasa Adib al-Syiskali  I (19 Disember 1949)

 

Hanya beberapa minggu sahaja setelah selesainya pilihanraya 1949, Kolonel Adib al-Syiskali[11]  yang pro Amerika  melakukan penggulingan kuasa yang ketiga  iaitu pada 19 Disember 1949.[12] Tindakan tersebut bertujuan menentang perancangan penyatuan Syria-Iraq.[13] Untuk  menangani situasi  politik yang baru, al-Ikhwan al-Muslimun  menggunakan pendekatan politik yang berbeza. Mereka menyokong pemerintahan Khalid al-،Azam yang dilantik oleh Kolonel Adib al-Syiskali. Namun begitu, usaha tersebut tidak menguntungkan  gerakan Islam kerana  kerajaan Khalid al-،Azam  hanyalah boneka kepada  diktator.  Pihak sebenar yang menentukan politik negara ialah tentera.

 

Pada tahun 1951, al-Ikhwan al-Muslimun  sekali lagi mengubah strategi politiknya. Mereka menolak kerjasama dengan kumpulan Khalid al-،Azam yang kedua. Pada masa yang sama mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kumpulan  I’tilaf al-Watani yang merupakan kumpulan yang terbesar dalam parlimen. Apabila tuntutan al-Ikhwan ditolak, mereka berkecuali  dalam penentuan kerajaan yang baru. [14]

 

Pada musim panas tahun 1951, apabila golongan pekerja  membuat rusuhan  di Halab, Hims dan Damsyik, al- Ikhwan al-Muslimun  turut campur tangan dalam  tuntutan golongan pekerja. Wakil parlimen al-Jabhah                    al-Islamiyyah al-Isytirakiyyah telah memberi sokongan kepada  Akram al-Hurani dan perwakilan Hizb al-Ba،th al-،Arabi di dalam mewartakan  Qanun Tahdid al-Mulkiyyah al-Zira،iyyah(Kanun Pemilikan Tanah Pertanian). Selain itu al-Ikhwan al-Muslimun turut menyokong gerakan petani menentang al-Iqta،iyyin(tuan-tuan tanah) pada musim panas 1951. Suasana politik di Syria menjadi semakin tidak stabil apabila polis dan tentera menyerang demontrasi awam yang diadakan di  Hims dan Hamah. Pertembungan sengit berlaku di antara pucuk pimpinan politik tempatan dengan pemimpin  tentera.[15]

 

3.3.1.4  Rampasan Kuasa Adib al-Syiskali  II (2 Disember 1951)

 

Keadaan politik yang bergolak di Syria telah membuka ruang  kepada  Kolonel Adib al-Syiskali  untuk melakukan rampasan kuasa kali kedua pada 2 Disember 1951. Pada 4 Januari 1952, pihak tentera telah mengeluarkan satu kenyataan mengharamkan pertubuhan politik dan pertubuhan militia. Tidak lama selepas itu, iaitu pada 16 Januari 1952,  satu kenyataan  menghalang kegiatan al- Ikhwan al-Muslimun  dikeluarkan. Organisasi gerakan terpaksa dibubarkan dan semua markaz serta cawangan al-Ikhwan al-Muslimun  di arahkan supaya ditutup.

 

Sepanjang tahun 1952-1954 ramai pendukung gerakan Islam yang dipenjara atau diusir keluar seperti yang dinyatakan dalam risalah yang ditujukan kepada penduduk Syria selepas kejatuhan diktator tentera pada 1954.[16]

 


[1] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit.,  hal.117.

 

[2] Zahiyyah  Qaddurah(1985), op.cit., hal.267.

 

[3] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983),  op.cit., hal.49-50.

 

[4] al-Habib al-Janhani(1989),  op.cit.,  hal.116-117.

 

[5] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal. 118.

 

[6] Beliau ialah Muhammad Sami Hilmi al-Hinnawi. Beliau dilahirkan di Halab pada  tahun 1898. Beliau mendapat pendidikan di Madrasah Dar al-Mu،allimin, Damsyik(1916), Madrasah            al- ،Askariyyah di Istanbul  dan al-Madrasah al-Harbiyyah, Damsyik (1918-1919). Beliau pernah terlibat dalam Perang Dunia I dan Perang Islam-Yahudi(1948). Adib al-Syiskali yang telah melakukan rampasan kuasa telah memenjarakan beliau. Setelah dibebaskan beliau berhijrah ke Beirut. Di sini beliau dibunuh oleh Muhammad bin Ahmad bin Harsy pada 30 Oktober 1950. Jenazah beliau dikebumikan di Damsyik. Sila lihat: al-Zirakli(1984),  op.cit., j.6, hal.135.

 

[7] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983),  op.cit., hal.51.

 

[8] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.268.

 

[9] Dr.Umar F. Abd-Allah(1983), op. cit. hal.115.

 

[10] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.118.

 

[11] Beliau ialah Adib bin Hasan al-Syiskali. Beliau dilahirkan di Hamah dan mendapat pendidikan di Madrasah al-Zira،iyyah, Sulamiyah. Pada tahun 1945, beliau menyertai peperangan membebaskan Syria daripada penjajahan Perancis. Pada peringkat awal beliau bersama Husni al-Za،im tetapi beliau kemudiannya disingkirkan pada tahun 1949 kerana perselisihan pendapat. Pada  zaman pemerintahan al-Hinnawi beliau dilantik sebagai ketua tentera. Selepas melakukan rampasan kuasa(tahun 1949 dan tahun 1951), beliau meninggalkan Syria pada tahun 1953 dan menetap di beberapa negara seperti Arab Saudi(1954-1957), Perancis(1957-1960) dan akhirnya di Brazil. Beliau meninggal dunia di Brazil kerana dibunuh. Sila lihat: al-Zirakli(1984),  op.cit., j.1, hal.285-286.

 

[12] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.51, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.118.

 

[13] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.268.

 

[14] al-Habib al-Janhani(1989),  op.cit., hal.118.

 

[15]  Ibid.

 

[16] al-Habib al-Janhani(1989),  op.cit., hal.118-119.

 

Sejarah Perkembangan Awal Gerakan Islam Sebelum Dan Selepas Zaman Imperialis Perancis

Kemunculan pertubuhan-pertubuhan di Syam bermula pada akhir kurun ke-19 Masihi. Pertubuhan-pertubuhan tersebut diasaskan atas nama jamiyah yang dianggotai oleh orang Arab kristian dan  mendapat sokongan daripada gerakan misionaris. Organisasi pertubuhan-pertubuhan di atas adalah  mirip  persatuan-persatuan yang diasaskan di Eropah.  Beberapa  jamiyah telah ditubuhkan di Lubnan pada tahun 1847 dan 1850 seperti Jam،iyyah al-Nisa’. Pada suku terakhir kurun ke-19  beberapa   persatuan kebajikan ditubuhkan  oleh orang Islam. Pada tahun 1878,  Jam،iyyah al-Maqasid al-Khayriyyah al-Islamiyyah telah ditubuhkan di Beirut oleh Ahmad Syafiq Midhat Pasha.[1] Pertubuhan tersebut  terus berkembang sehinggalah berlakunya Perang Dunia I.

 

Sepanjang tempoh di antara Perang Dunia I  sehingga tahun 1930-an, telah berlaku beberapa  perubahan di Syria  iaitu :

(a)Syria terpengaruh dengan  penjajah Perancis dalam pelbagai aspek kehidupan  termasuk aspek ekonomi.  Syria mengamalkan  sistem ekonomi  kapitalis.

(b)Tersebar budaya barat khususnya budaya Perancis.

(c)Kemelesetan yayasan Islam khususnya dalam bidang pendidikan dan undang-undang.

(d)Kemunculan  nasionalisme sebagai saingan kepada sistem Islam.[2]

Situasi di atas menggalakkan lagi pertumbuhan organisasi  Islam  yang teratur. Beberapa al-Jam،iyyah al-Islamiyyah telah diasaskan. Objektif penubuhan al- Jam،iyyah al-Islamiyyah ialah:

(a)menyebarkan dakwah Islamiah.

(b)sebagai sebuah organisasi kemasyarakatan.

(c)menimbulkan kesedaran beragama dan berfikir.

 

Pertubuhan tersebut kemudiannya berkembang menjadi satu  gerakan penentangan yang teratur dan berperanan dalam menghadapi  perubahan ekonomi, sosial dan politik. Mereka turut terlibat dalam pilihanraya dan demonstrasi awam.[3] Antara  jamiyah tersebut ialah :

 

(a)al- Jam،iyyah al-Gharra

Jamiyah di atas diasaskan pada awal tahun 1920-an. Penubuhannya adalah kesan daripada perasaan tidak puas hati terhadap sistem pendidikan yang  diperkenalkan oleh Perancis. Mereka telah mengasaskan sekolah-sekolah agama. Sekolah-sekolah tersebut  berada  di bawah naungan Muhammad Hasyim al-Khatib al-Husayni. al-Jam،iyyah al-Gharramempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan sosial dan politik masyarakat setempat .[4]

 

(b)Jam،iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah 

 

Jam،iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah  diasaskan di antara tahun 1930 dan 1931. Mereka menjalinkan hubungan dengan Jam،iyyah al-Ikhwan al-Muslimin Mesir iaitu setelah beberapa anggota al-Ikhwan al-Muslimun Mesir datang ke Palestin dan Syria pada tahun 1935.[5]

 

(c)Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami

 

Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami diasaskan di antara tahun 1931 dan 1932. Jam،iyyah  tersebutdianggotai oleh  fukaha, khatib, doktor, peguam dan sasterawan. Beberapa  peneraju pertubuhan ini telah memainkan peranan penting  dalam politik dan ekonomi Syria seperti  Ahmad Mazhar al-،Azamah[6], Muhammad Bahjat al-Baytar, Hasan al-Syati dan lain-lain lagi. Jam،iyyah al-Tamaddun al-Islami telah melaksanakan beberapa program iaitu:

(a)Menerbitkan buletin berjudul al-Tamaddun al-Islami yang bertujuan menyebarkan pengetahuan Islam kepada masyarakat.

(b)Menubuhkan madrasah  yang diiktiraf secara rasmi oleh pemerintah. Mereka telah membina  sebuah sekolah menengah iaitu Madrasah al-Tamaddun al-Islami di Damsyik. Pengambilan pertama pelajarnya ialah pada tahun 1946.

(c)Mengasaskan  al-Rabitah al-Ukhawiyyah li Musa،adah Fuqara’ al-Tullab.

(d)Membantu dan memberi sokongan kepada Intifadah Palestin pada tahun 1936. Mereka mengasaskan  Lujnah Ianah al-Mankubin fi al-Quds. [7]

 

(d)Jamiyah  yang lain 

 

Selain daripada pertubuhan yang disebut di atas, terdapat beberapa  pertubuhan  lain seperti Jam،iyyah al-Ta ،awun al-Islami, Jam،iyyah al-،Ulama’, Jam،iyyah al-Tawjih al-Islami, Jam،iyyah ،Amal al-Birr al-Islami dan pertubuhan lain yang bermatlamatkan mempertahankan nilai-nilai Islam dalam berdepan dengan budaya barat. Peranan pertubuhan-pertubuhan Islam tersebut terserlah di dalam  pilihanraya 1943. Presiden Republik Syria,Syukri al-Qutili[8] telah melantik  ،Abd al-Hamid al-Tabba، iaitu salah seorang pemimpin al-Jam،iyyah al-Gharradalam kerajaannya. Walaubagaimanapun, kerjasama  tersebut terhenti  apabila   al-Jam،iyyah al-Gharra’  bersamapertubuhan-pertubuhan  Islam yang lain mengumumkan penentangan mereka terhadap  pemerintah. Mereka telah mengadakan penentangan berdarah di Damsyik pada Mei 1944. Penentangan yang diketuai oleh gerakan Islam ini bertujuan  menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap majlis tarian yang terpengaruh dengan budaya  Eropah dan bertentangan dengan norma masyarakat Islam. Majlis tersebut dianjurkan oleh Jam،iyyah Nuqtah al-Halib. Pertubuhan ini disertai oleh wanita daripada golongan burjuwazi yang mengikut cara hidup barat. [9]


[1] Dr.Umar F. Abd-Allah(1983), op.cit., hal.89.

 

[2] al-Habib al-Janhani(1989), “al-Sahwah al-Islamiyyah fi Bilad al-Syam: Mithal Suriyya”,          al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu،asarah fi al-Watan al-،Arabi, Beirut: Markaz Dirasat al-Wihdah al-،Arabiyyah, hal.113.

 

[3] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.114.

 

[4] Ibid.

 

[5] Ibid, berhubung kedatangan al-Ikhwan al-Muslimun ke Syria, Sila lihat: Hassan al-Banna(1990), Mudhakkarah al-Da،wah wa al-Da،iyyah, Kaherah: al-Zahra’ li al-I،lam al-،Arabi, hal.270-272.

 

[6] Beliau dilahirkan pada tahun 1911 di Damsyik. Beliau mendapat pendidikan daripada ulama Damsyik. Beliau melanjutkan pengajiannya di Ma،hadal-Huquq, Universiti Syria. Beliau merupakan anggota Lujnah al-Tarbiyyah Wa al-Ta،lim di Wizarah al-Ma،arif Suriya. Pada zaman al-Wihdah(1958-1961) beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian. Beliau adalah pengasas kepada Madrasah al-Tamaddun al-Islami dan  pengasas serta ketua pengarang majalah al-Tamaddun al-Islami  yang diterbitkan pada bulan Rabiulawwal  1354H(1935). Beliau meninggal dunia pada 12 Rabiulawwal 1402H(1982). [Sila lihat: (1)al- Farfur(1988), op.cit.,  hal.44, (2)Muhammad Muti، al-Hafiz dan Nizar Ibazi(1991), op.cit., j.3, hal.433, (3)Yusuf (1999a), op.cit., j.1, hal.63.]

 

[7] Ibid.

 

[8] Beliau ialah Syukri bin Mahmud bin ،Abd al-Ghani. Beliau dilahirkan di Damsyik pada tahun 1891. Pada 17 Ogos 1943 beliau dilantik menjadi presiden Syria yang pertama. Semasa menjadi presiden, beliau telah berjaya mengusir penjajah Perancis dari Syria pada tahun 1946. Husni al-Za،im telah melakukan revolusi terhadapnya dan memaksa beliau meletakkan jawatan pada Mac 1949. Beliau telah ditangkap dan kemudiannya dibebaskan. Selepas dibebaskan beliau berhijrah ke Iskandariah, Mesir. Pada Ogos tahun 1955 beliau sekali lagi dilantik menjadi presiden. Beliau meninggal dunia di Beirut pada tahun 1967 dan dikebumikan di Damsyik. Sila lihat: al-Zirakli(1984),  op.cit., hal.172-173.

 

[9] al-Habib  al-Janhani(1989), op.cit., hal.115.