Perkembangan al-Ikhwan al-Muslimun Syria(1949-1989) Part 4

Zaman Pemerintahan Ba،th(Hafiz al-Asad 1971-2000)

 

Pada 13 November 1971, Hafiz Asad  melakukan rampasan kuasa. Pada tahun  yang sama beliau dilantik menjadi presiden Syria yang pertama bukan daripada kalangan sunni. Beliau mengumumkan polisi politiknya yang bersikap terbuka terhadap dunia Arab.[1] Pemerintahan Asad berjalan dengan baik sehinggalah pada tahun 1973, rakyat mula memprotes tindakan kerajaan yang  cuba mengubah perlembagaan negara.

 

3.3.4.1 Krisis Perlembagaan 1973

 

Konflik pertama di pasca pemerintahan Hafiz Asadialah krisis perlembagaan 1973. Hafiz Asad cuba meminda perlembagaan  Syria berasaskan fahaman sekular.[2] Tindakan Asad  mendapat tentangan hebat daripada rakyat.  Satu demonstrasi besar-besaran berlaku  terutamanya di Hamah dan Hims  bermula  Februari 1973. Ulama di Hamah, Halab dan Hims telah menandatangani satu  bayan (petisyen) menyatakan protes mereka terhadap perlembagaan yang baru digubal dan  mendesak Hafiz Asad dan  Majlis al-Sya،b menetapkan  agama presiden ialah Islam.[3]

 

Kesan daripada krisis perlembagaan 1973, beberapa ulama telah  ditahan termasuklah  Sa،id Hawwa. Desakan pelbagai pihak telah menyebabkan presiden Hafiz Asadmengubah perlembagaan yang menyatakan presiden Syria mestilah seorang muslim. Pada  tahun 1974,  Hafiz Asadmengaku menjadi seorang yang berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah, menunaikan ibadah umrah dan sentiasa menunaikan solat Jumaat di masjid.[4]

 

3.3.4.2 Perkembangan al-Ikhwan al-Muslimun(1976-1978).

 

Menurut ،Adnan Sa،d al-Din yang merupakan Muraqib al-،Am al-Ikhwan al-Muslimun, tempoh 1976-1978 dianggap sebagai Marhalah al-Takwin al-Rabbani.[5] Di antara aktiviti  yang dijalankan oleh al-Ikhwan al-Muslimun  sepanjang tempoh di atas  ialah :

(a)Penekanan kepada aspek tarbiah, zikir dan ibadat. Pendukung gerakan al-Ikhwan digalakkan melakukan amalan nawafil seperti puasa dan solat sunat. Mereka juga dididik supaya menjaga lidah dan bersangka baik terhadap orang lain. Dalam tempoh ini, gerakan menerbitkan satu pamflet mengajak ahli melazimi taqwa dan berusaha melakukan tazkiyah al-Nafs.[6]

 

(b)Dialog dengan pemimpin Muhafazah.

Bagi memantapkan lagi organisasi al-Ikhwan al-Muslimun  Syria, barisan kepimpinan al-Ikhwan Syria mengadakan beberapa sesi pertemuan di setiap daerah. Pertemuan ini berlangsung dalam tiga peringkat iaitu :

(i)Pertemuan sekurang-kurangnya dua bulan sekali di kawasan Halab, Idlib, Hamah, Hims dan Damsyik.

(ii)Pertemuan sekurang-kurangnya  setiap enam bulan sekali meliputi kawasan yang jauh iaitu al-Furat, al-Riqqah dan al-Jazirah.

(iii)Pertemuan  setiap empat bulan sekali di kawasan al-Sahil dan Muhafazat  Janubiyyah.

 

(c)Menjalin hubungan rapat dengan golongan ulama.

Pada tahun 1976, Majlis Syura al-Ikhwan al-Muslimun  memutuskan supaya  gerakan menjalinkan hubungan dengan ulama berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan. Hasilnya pendukung-pendukung al-Ikhwan al-Muslimun telah menjalinkan hubungan dengan para ulama, penuntut ilmu dan syaikh  di sekolah-sekolah di  Syria.[7]

 

(d)Menggubal perlembagaan baru yang mengandungi prinsip-prinsip asas dan interaksi dalaman. Perlembagaan ini dibentuk berdasarkan perlembagaan lama terutamanya perlembagaan yang diletakkan oleh Hassan al-Banna   pada tahun 1948. Beberapa rombakan dan penyusunan semula organisasi dilakukan. [8]

 

(e)Menjalin hubungan dengan gerakan Islam di Turki. Pada tahun 1977, al-Ikhwan Syria di bawah pimpinan ،Adnan Sa،d al-Din  mengadakan lawatan ke  Ankara, Turki. Lawatan  tersebut bertujuan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin  Hizb Salamah. Dalam pertemuan tersebut kedua-dua pihak berdiskusi mengenai kerjasama antara dua  gerakan Islam.[9]

 

(f)Melakukan dialog antara anggota al-Ikhwan Syria yang berada di dalam dan luar negara bertujuan mengelakkan perselisihan dan menyatukan pendapat pendukung al-Ikhwan.[10]

 

3.3.4.3 Konflik al-Ikhwan – Asad(1976-1982)

 

Konflik al-Ikhwan dan rejim Asad bermula pada tahun 1976  apabila golongan muda bangkit melakukan penentangan bersenjata diluar arahan pemimpin al-Ikhwan. Penentangan bersenjata bermula  dengan pembunuhan Muhammad Ghurrah, Mudir al-Mukhabarat al-،Askariyyah.[11] Konfrontasi terhadap kerajaan berlaku akibat rasa tidak puas hati terhadap rejim. Berdasarkan analisis penulis terdapat dua faktor utama yang mendorong mereka melakukan penentangan terhadap rejim Asad iaitu penyelewengan pentadbiran dan kenyataan yang menyentuh kesucian Islam

 

Berdasarkan risalah yang diterbitkan oleh  al-Ikhwan al-Muslimun Syria, penentangan dilakukan kerana pentadbiran rejim Asad yang tidak telus terutama dalam aspek pendidikan, ekonomi dan politik. Kelemahan pentadbiran beliau dapat dilihat seperti berikut:

 

(i) Aspek  pendidikan

           

Rejim Asad telah mengamalkan  polisi pendidikan yang membangkitkan kemarahan al-Ikhwan iaitu memasukkan prinsip kekufuran[12] dan atiesme dalam sukatan pelajaran, memindahkan guru-guru yang berkelayakan dalam  bidang syariah, sastera dan sains ke jabatan-jabatan pemakanan, buruh, penempatan dan majlis perbandaran. Begitu juga mereka mengusir tenaga pengajar yang pro Islam di  universiti-universiti di Damsyik, al-Ladhikiyyah dan Halab melalui al-Marsum 1249 dan 1250 bertarikh 20 Sepetember 1979  serta al-Marsum 1256 bertarikh 27 September 1979.[13]

 

Rejim Asad juga merancang  untuk menutup al-Ma،ahid al-Syari،ah, mengubah kurikulum pendidikan Islam, memasukkan kajian yang mengagungkan gerakan yang sesat seperti al-Qaramitah[14] dengan slogan al-Harakah al-Isytirakiyyah dalam sukatan pelajaran dan mewajibkan Nizam al-Talai، wa al-Syabibah yang  merosakkan akidah serta akhlak remaja  melalui mu،askarat (perkhemahan) yang tidak menjaga batasan agama dan akhlak.[15]

 

(ii) Aspek Ekonomi

 

Penyelewengan  Asad dalam aspek ekonomi  ialah penyalahgunaan  sumber negara dan pengamalan budaya kronisme. Rifat al-Asad, adik kepada  Asad  dan keluarganya telah menyeleweng perbendaharaan negara dengan mengagihkannya  kepada kaum keluarganya  serta menyimpan di bank-bank luar negara. Beliau juga membina istana di Damsyik, al-Ladhikiyyah, dibandar  Qardahah dan  tempat-tempat lain.

 

Selain itu rejim Asad menyerahkan syarikat dan yayasan kepada mereka yang tidak layak. Implikasinya semua syarikat tersebut bankrap.Rejim Asad juga mengeluarkan  matawang secara berlebihan mengakibatkan kejatuhan nilai matawang. Gejala rasuah juga berleluasa dalam  pemberian projek-projek kerajaan..[16]

 

(c) Aspek politik dan pemerintahan :

 

Dalam aspek pemerintahan pula  Asad mengamalkan polisi menyekat kebebasan berfikir dan berpolitik. Sebarang bentuk pertubuhan politik adalah dilarang sama sekali. Dominasi parti Ba،th dalam pemerintahan serta penguasaan puak ،Alawi  dan keluarga Asad dalam parti al-Ba،th dan Majlis al-Sya،b ketara sekali.[17]Selain itu rejim Asad turut mengongkong masyarakat  dengan undang-undang darurat sejak 1963. Bermula  8 Mac 1963, warganegara Syria dibelenggu dengan perintah berkurung sehingga ke saat penulisan ini. [18]

 

Manakala kenyataan-kenyataan yang menyentuh kesucian Islam  yang membangkitkan kemarahan masyarakat khususnya al-Ikhwan ialah:

(a)Pada tahun 1974, Majalah Jil al-Thawrah yang merupakan lidah rasmi kepada Syabibah al-Thawrah Asadiyyah bil.85 meletakkan gambar perempuan bogel yang berbaring di atas kubah masjid (kemungkinan Qubbah al-Sakhrah) dan pada kemaluannya tertulis lafz al-Jalalah.

 

(b)Pada tahun 1978, pemerintah menimbulkan kontroversi apabila mereka melukis pada duit syiling Syria obor dan api yang tertulis lafz al-Jalalah dan di belakangnya tertulis perkataan ،Ali.

 

(c)Pada Jun 1980, lebih 100 buah masjid diceroboh pada waktu malam. Tentera telah mengoyak dan memijak Al-Quran dan buku-buku agama. Mereka juga mengebom beberapa buah masjid di Damsyik, Halab, Hims dan Hamah.

 

(d)Pada Oktober 1981, wanita-wanita dipaksa membuka tudung di jalan-jalan di Damsyik oleh  Mazallayat Saraya al-Difa،.

 

(e)Pada 16 Februari 1980, Majalah al-Fursan bil.127 yang merupakan lidah rasmi  Saraya al-Difa، yang dipimpin oleh  Rifa،t al-Asad menyebut :

(( أُرِيْدُ مِنْ حُكَّامِ الْعَرَبِ أَنْ يَفْهَمُوا مِن سُورِياَ كُلَّ شَيْء.. وَلِيَجْعَلُوا مِن الرَّفِيْقِ الأَسَدِ قِبْلَةً سِيَاسِيَّة يَعْبُدُونَهَا بَدَلاً مِنَ الرُّكُوعِ أَمَامَ أَوْثَانِ الإِسْلاَمِ ))  .

“Saya mahu pemimpin Arab memahami semua perkara tentang Syria….mereka perlu jadikan al-Rafiq Asad kiblat politik yang disembah  sebagai ganti rukuk dihadapan berhala Islam.”[19]

 

Tindakan-tindakan ini telah menyebabkan al-Ikhwan dan masyarakat awam  bangkit melakukan konfrontasi terhadap pemerintah. Di antara tahun 1976 hingga 1979, beberapa individu daripada  kalangan ،Alawi yang merupakan penyokong kuat rejim Asad terkorban seperti Kolonel ‘Ali Haydar dibunuh pada Oktober 1976, Brigedier ‘Abd al-Hamid Ruzzuq, Komando Pasukan Peluru Berpandu dibunuh pada Jun 1977, Kolonel ،Ahmad Khalil dibunuh pada Ogos 1978,،Adil Mini  dibunuh pada April 1979, Dr.Muhammad Syahdah, pakar neurologi yang merupakan doktor peribadi Asad dibunuh pada Ogos 1979 dan ramai lagi.

 

Penindasan yang dilakukan oleh rejim Asad juga menyebabkan pertubuhan-pertubuhan profesional memberi sokongan kepada al-Ikhwan dan berkonfrontasi dengan pemerintah.           Pada 22 Jun 1978, Niqabat Muhamin Dimasyq mengeluarkan resolusi qarar raqam 1 memprotes pemerintah. Mereka menuntut supaya rejim Asad mengembalikan demokrasi, kebebasan serta mematuhi undang-undang antarabangsa hak asasi manusia. Resolusi tersebut dipersetujui oleh al-Mu’tamar al-،Am li al-Muhamin(Muktamar Kesatuan Peguam) pada 29 Jun 1978.  Resolusi yang sama  diterbitkan beberapa kali sepanjang tahun 1978 dan 1979. Susulan daripada itu, al-Ikhwan telah mengeluarkan satu proklamasi memuji dan mengucapkan terima kasih kepada Niqabat al-Muhamin di atas kelantangan  mendedahkan penindasan kerajaan serta sikap berani mereka mengisytiharkan kerjasama dengan al-Ikhwan dalam membenteras kezaliman.[20]

 

Pada Mac 1980 satu demontrasi secara besar-besaran berlaku. Bermula pada 1 Mac  mogok berlaku di Halab, Hamah, Idlib, Hims, al-Ladhikiyyah, Tartus dan akhirnya sampai ke Damsyik. Mogok umum tersebut berterusan selama dua minggu di beberapa tempat.[21] Pihak pemerintah cuba meredakan keadaan tetapi gagal. Beberapa tahanan dibebaskan, namun begitu pada waktu yang sama Asad mengarahkan pegawai keselamatan melakukan  penangkapan dan pembunuhan yang dirahsiakan.

 

Sebagai reaksi terhadap  rejim Asad, para ulama, pelajar universiti, al-Ikhwan dan pertubuhan-pertubuhan profesional melakukan mogok umum pada 31 Mac 1980. Pada tarikh tersebut mereka berdemontrasi dan menghentikan aktiviti rasmi.  Penduduk Syria bersatu menentang Rejim Asad di semua bandar Syria kecuali Damsyik. Sekolah-sekolah, universiti-universti, pejabat-pejabat swasta ditutup sebagai tanda protes.[22]

 

Selepas menghadapi tekanan hebat daripada pelbagai pihak, Hafiz Asad  cuba meraih sokongan masyarakat awam. Sejak musim bunga tahun 1980, Asad memberi ucapan  yang penuh dengan sandiwara  sempena ulang tahun ke-17 pemerintahannya. Berikut ucapannya  seperti yang disebut di dalam buletin al-Tisyrin  bertarikh 1 Julai 1980:

“Ya, saya percaya pada tuhan dan berpegang dengan Islam. Dahulu, kini dan akan datang saya tetap sebagai seorang muslim. Syria bangga menjadi kubu dalam mempertahankan Islam, tetapi musuh Islam yang membuat kekacauan dalam agama akan dihapuskan.”

 

Hafiz Asad mengulang-ulang ucapannya ini pada 10, 11, 17, 22, 23 dan 24 Mac 1980 sehingga awal April dihadapan golongan pekerja, petani, kontraktor, pemuda, wanita, guru, penulis, pelajar dan atlit. Beliau mengajak mereka melakukan revolusi bersenjata  terhadap golongan yang menentangnya kerana mempengaruhi puluhan ribu pemuda dan wanita untuk menyokong mereka.

 

Sikap Hafiz Asad  ini menambahkan lagi  kemarahan awam. Pada 26 Jun 1980, Asad sendiri berdepan dengan cubaan untuk dibunuh. Insiden tersebut berlaku ketika Hafiz Asad menanti ketibaan delegasi Afrika di pintu masuk Qasr al-Diyafah. Pengawal peribadi Asad iaitu Khalid al-Husayn terkorban dalam insiden tersebut.[23]

 

Penentangan yang hebat ini menyebabkan Asad mengisytiharkan Akta 49. Akta yang diwartakan pada 7 Julai 1980 menyatakan bahawa setiap mereka yang menganggotai al-Ikhwan  akan dijatuhkan hukuman mati.[24] Melalui akta ini, Hafiz Asad bermaharajalela melakukan penindasan terhadap rakyat.  Rejim Asad telah menangkap beribu-ribu tahanan politik tanpa bicara. Sebahagian tahanan politik ini masih dalam tahanan sehingga ke saat penulisan kajian ini. Menurut laporan hak asasi manusia seramai 12,000 orang tahanan politik masih dipenjara manakala 15,000 orang hilang tanpa diketahui nasib mereka.[25] Semasa dalam tahanan, banduan  disiksa dengan pelbagai  bentuk penyiksaan yang tidak berperi kemanusiaan.

 

 

Beberapa siri pembunuhan secara beramai-ramai dilakukan seperti Majzarah Sijn Tadmur yang mengakibatkan kematian 700 jiwa dan kebanyakan mereka adalah daripada kalangan anggota al-Ikhwan. Majzarah Jisr al-Syughur pada 9 Mac 1980[26], Majzarah Sarmada pada 25 Julai 1980[27], Majzarah Hayy Hananu, Halab pada 11Ogos 1980[28] dan Majzarah Sahah al-،Abbasiyyin, Damsyik pada 18 Ogos 1980.[29]


[1]Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.64, Zahiyyah Qaddurah(1985),  op.cit., hal.370.

 

[2] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.15. Sekularisme ialah fahaman falsafah yang memisahkan urusan-urusan keduniaan dari urusan-urusan agama. Ia meninggalkan peranan agama dan tuhan dari segala urusan kehidupan manusia. Sila lihat: Sulaiman Noordin(1997),  Sejarah Pemikiran 1 Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi  dan Order Baru Dunia, Bangi : Pusat Pengajian Umum, UKM, hal.100.

 

[3] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.112-113.

 

[4] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.111, R. Hrair Dekmajian(1989), op.cit., hal.167,Nikalaos Van Dam(1996), The Struggle for Power in Syria, Politics and Society under Asad and Ba،th Party, New York: I.B Tauris Publishers, London, hal.111.

 

[5] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.22.

 

[6] Ibid.

 

[7] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.27-28.

 

[8] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal. 23-24.

 

[9] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.28.

 

[10] ،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.29-30.

 

[11] Sa،id Hawwa(1988d), op.cit., hal.134, ،Adnan Sa،d al-Din (1998), op.cit. , hal.22.

 

[12] Mumarasat al-Nizam fi Muwajahah wa Ba،d al-Rudud al-Sya،biyyah(t.t, T.T.P) : Mansyurat Maktab al-I،lam li Jama،ah al-Ikhwan al-Muslimin fi Suriyah, hal.5.

 

[13] ،Adnan Sa،d al-Din (1998), op.cit., hal.62.

 

[14] al-Qaramitah ialah mazhab syiah yang berpecah dari mazhab al-Isma،iliyyah atas sebab politik dan beberapa perselisihan dari sudut kepercayaan. Mereka berpegang dengan aqidah al-hulul wa al-ittihad dengan mengatakan bahawa roh Allah bersatu dengan imam-imam mereka.                   al-Qaramitah muncul pada pertengahan kedua kurun ke-3 H di kawasan Yaman, Utara Iraq dan Bahrain dan berkembang di kawasan padang pasir. Mereka membuat penentangan terhadap kerajaan Abbasiyah. Sila lihat : (1)Mahmud Syakir(1979), al-Qaramitah, Beirut: al-Maktab al-Islami, (2)Zaqzuq et al.(2001), op.cit., hal.1128-1130.

 

[15]،Adnan Sa،d al-Din(1998), op.cit., hal.65. Mumarasat al-Nizam fi Muwajahah wa Ba،d al-Rudud al-Sya،biyyah (t.t),  op.cit.,  hal.5.

 

[16] Mumarasat al-Nizam fi Muwajahah wa Ba،d al-Rudud al-Sya،biyyah (t.t, T.T.P) : Mansyurat Maktab al-I،lam li Jama،ah al-Ikhwan al-Muslimin fi Suriyah, hal. 5-6.

 

[17] Mumarasat al-Nizam fi Muwajahah wa Ba،d al-Rudud al-Sya،biyyah (t.t, T.T.P) : Mansyurat Maktab al-I،lam li Jama،ah al-Ikhwan al-Muslimin fi Suriyah, hal.8-9.

 

[18]Syrian Human Rights Committee: al-Qawanin al-Qam،iyyah fi Suriyah, http://www.shrc.org/arabic/ law2.htm.27 Ogos 2003.

[19] “Jarimah al-Qarn fi Dhikra Ma’sah Hamah al-Sadisah،Asyrah”, Risalah al-Fida’,bil.3, Februari 1998, hal.33-35.

 

[20] Dr.Umar F. Abd-Allah(1982),  op.cit., hal.112.

 

[21] Dr.Umar F. Abd-Allah(1982),  op.cit., hal.112, Mumarasat al-Nizam fi Muwajahah wa Ba،d al-Rudud al-Sya،biyyah (t.t), T.T.P : Mansyurat Maktab al-I،lam li Jama،ah al-Ikhwan al-Muslimin fi Suriyah, hal.13.

 

[22] Dr. Umar F. Abd -Allah(1982),  op.cit., hal.112-113.

 

[23] Patrick Seale(1988), op.cit.,  hal.328-329.

 

[24] Dr.Umar F.Abd-Allah(1982), op.cit., hal.84,R.Hrair Dekmejian(1989),  op.cit., hal.169,  ،Adnan Sa،d al-Din (1998), op.cit., hal.53.

 

[25] Syrian Human Rights Committee :  35 ،Ama min Ghiyab al-Hurriyyat al-Insaniyyah wa al-Asasiyyah, http:// http://www.shrc.org/arabic/index.htm/ communications/report1998/archive1998.htm, 27 Ogos 2003.

 

[26] Sila lihat: Majzarah Tadmur al-Kubra ،Ala Lisan Munafidhiha dalam Muhammad Salim Hammad(t.t), Tadmur Syahid wa Masyhud, Kaherah: al-Zahra’ li A،lam al-،Arabi, hal.213-229.

 

[27] Hamah Ma’sah al-،Asr(t.t), T.T.P: Maktab al-I،lam Jama،ah al-Ikhwan al-Muslimin, hal.22, Majzarah Hamah, al-Qissah al-Haqiqiyyah bi al-Asma’ wa al-Waqai،  wa al-Arqam wa al-Suwwar li Akbar Majzarah fi al-،Asr al-Hadith(t.t), T.T.P.: Mansyurat al-Tahaluf al-Watani li Tahrir Suriyyah, hal.160.

 

[28] Ibid.

 

[29] Ibid.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s