Zaman Rampasan Kuasa(1949-1954)
Sepanjang tempoh 1949-1954, Syria berdepan dengan kegawatan politik khususnya selepas peristiwa penguasaan Yahudi di Palestin. Setiap pihak menuding jari menyalahkan antara satu sama lain berhubung peristiwa yang berlaku di Palestin. Pada masa yang sama, pemerintah dituduh dengan pentadbiran yang lemah kerana mengamalkan rasuah dan penyelewengan. Situasi di atas telah memberi peluang kepada Amerika untuk campur tangan dalam pergolakan politik Syria.[1]
3.3.1.1 Rampasan Kuasa Husni al-Za،im(30 Mac 1949)
Pada 30 Mac 1949, penggulingan kuasa yang pertama berlaku dalam sejarah Syria moden. Husni al-Za،im yang merupakan Qa،id al-Jaysy al-Suri (Ketua tentera Syria) telah menangkap presiden Syria, Syukri al-Qutili dan Perdana Menteri Khalid al-،Azam. Beliau mengumumkan dirinya sebagai perdana Menteri dan kemudiannya sebagai presiden Syria yang baru. Kedudukan beliau sebagai presiden mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Mesir dan Arab Saudi.[2]
Menurut Dr.Umar F.Abd-Allah, rampasan kuasa ini mendapat sokongan CIA, Kedutaan Amerika di Damsyik. Miles Copeland seorang diplomat di Kedutaan Amerika pada tahun 1949 menulis:
“Tindakan politik di bawah Major Stephen telah dilakukan secara sistematik dengan kerjasama Za،im, pegawai tentera Syria. Beliau telah memberi idea kepada Za،im tentang rampasan kuasa. Beliau telah menasihatinya tentang cara rampasan dan menunjukkan kepadanya asas gerakan sulit.”[3]
Dalam berdepan dengan senario politik yang baru, al-Ikhwan al-Muslimun yang mengepalai gerakan Islam sejak 1947, bercita-cita membentuk sebuah kerajaan baru. Pada 9 April 1949, mereka telah menulis mudhakkarah(kenyataan) yang menjelaskan situasi negara dan mengemukakan penyelesaian kepada kegawatan yang sedang dihadapi. Namun usaha al-Ikhwan al-Muslimun tidak berhasil kerana polisi pemerintah yang menekan gerakan Islam. Husni al-Za،im telah melakukan tindakan berikut bagi menyekat perkembangan pertubuhan politik di Syria:
i)Menyekat kebebasan akhbar tempatan dengan melakukan pemeriksaan yang ketat dan menarik balik beberapa permit akhbar tempatan .
ii)Menukarkan Majallah al-Ahkam al-،Adliyyah yang merupakan perundangan Islam kepada perundangan Perancis.
(iii)Mengharamkan penubuhan parti politik.
Kenyataan akhbar al-Yawm al-Misriyyah, mengeluarkan arahan presiden Husni al-Za،im kepada Mudir al-Amn al-،Am supaya menggunakan uslub yang keras untuk berdepan dengan golongan komunis. Kemudiannya beliau akan bertindak ke atas al-Ikhwan kerana beliau tidak mampu menghapuskan dua pengaruh besar dalam satu masa.[4] Sepanjang tempoh ini, al-Ikhwan tidak dapat menaruh harapan kerana kelumpuhan sistem demokrasi. Pada Mei 1949, pengeluaran majalah al-Manar terbitan al-Ikhwan al-Muslimun dihentikan.[5]
3.3.1.2 Rampasan Kuasa Sami al-Hinnawi(Ogos 1949)
Lima bulan selepas rampasan kuasa yang pertama, iaitu pada Ogos 1949, rampasan kuasa kedua dilakukan oleh Sami al-Hinnawi[6] Ra’is Arkan al-Jaysy al-Suri. Penggulingan kuasa yang bertujuan menyokong penyatuan Syria dengan Iraq dan mendapat sokongan British.[7] Rampasan kuasa ini mengakibatkan Husni al-Za،im dan perdana menterinya Muhsin al-Birazi dibunuh.[8]
Ketika berhadapan dengan senario politik yang baru, pucuk pimpinan gerakan Islam mengubah strategi pergerakan. Gerakan Islam terutamanya al-Ikhwan al-Muslimun bergerak sebagai sebuah badan agama dan kebudayaan. al-Ikhwan al-Muslimun bekerjasama dengan pertubuhan lain menjalankan aktiviti politik melalui al-Jabhah al-Islamiyyah al-Isytirakiyyah. Pemimpin gerakan Islam telah menyertai pilihanraya November 1949 di atas nama gerakan ini.[9] Topik yang menjadi manifesto utama mereka ialah perancangan penyatuan negara Arab dan penentangan pengaruh barat ke atas negara Arab seperti sistem monarki di Iraq dan Jordan. Antara isu hangat yang timbul dalam pilihanraya tersebut ialah kepentingan menjalinkan hubungan antara orang Islam dan kristian yang diketengahkan oleh Mustafa al-Siba،i. Isu tersebut timbul kerana terdapat dua calon Kristian yang mewakili al-Jabhah al-Islamiyyah-al-Isytirakiyyah.[10]
3.3.1.3 Rampasan Kuasa Adib al-Syiskali I (19 Disember 1949)
Hanya beberapa minggu sahaja setelah selesainya pilihanraya 1949, Kolonel Adib al-Syiskali[11] yang pro Amerika melakukan penggulingan kuasa yang ketiga iaitu pada 19 Disember 1949.[12] Tindakan tersebut bertujuan menentang perancangan penyatuan Syria-Iraq.[13] Untuk menangani situasi politik yang baru, al-Ikhwan al-Muslimun menggunakan pendekatan politik yang berbeza. Mereka menyokong pemerintahan Khalid al-،Azam yang dilantik oleh Kolonel Adib al-Syiskali. Namun begitu, usaha tersebut tidak menguntungkan gerakan Islam kerana kerajaan Khalid al-،Azam hanyalah boneka kepada diktator. Pihak sebenar yang menentukan politik negara ialah tentera.
Pada tahun 1951, al-Ikhwan al-Muslimun sekali lagi mengubah strategi politiknya. Mereka menolak kerjasama dengan kumpulan Khalid al-،Azam yang kedua. Pada masa yang sama mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kumpulan I’tilaf al-Watani yang merupakan kumpulan yang terbesar dalam parlimen. Apabila tuntutan al-Ikhwan ditolak, mereka berkecuali dalam penentuan kerajaan yang baru. [14]
Pada musim panas tahun 1951, apabila golongan pekerja membuat rusuhan di Halab, Hims dan Damsyik, al- Ikhwan al-Muslimun turut campur tangan dalam tuntutan golongan pekerja. Wakil parlimen al-Jabhah al-Islamiyyah al-Isytirakiyyah telah memberi sokongan kepada Akram al-Hurani dan perwakilan Hizb al-Ba،th al-،Arabi di dalam mewartakan Qanun Tahdid al-Mulkiyyah al-Zira،iyyah(Kanun Pemilikan Tanah Pertanian). Selain itu al-Ikhwan al-Muslimun turut menyokong gerakan petani menentang al-Iqta،iyyin(tuan-tuan tanah) pada musim panas 1951. Suasana politik di Syria menjadi semakin tidak stabil apabila polis dan tentera menyerang demontrasi awam yang diadakan di Hims dan Hamah. Pertembungan sengit berlaku di antara pucuk pimpinan politik tempatan dengan pemimpin tentera.[15]
3.3.1.4 Rampasan Kuasa Adib al-Syiskali II (2 Disember 1951)
Keadaan politik yang bergolak di Syria telah membuka ruang kepada Kolonel Adib al-Syiskali untuk melakukan rampasan kuasa kali kedua pada 2 Disember 1951. Pada 4 Januari 1952, pihak tentera telah mengeluarkan satu kenyataan mengharamkan pertubuhan politik dan pertubuhan militia. Tidak lama selepas itu, iaitu pada 16 Januari 1952, satu kenyataan menghalang kegiatan al- Ikhwan al-Muslimun dikeluarkan. Organisasi gerakan terpaksa dibubarkan dan semua markaz serta cawangan al-Ikhwan al-Muslimun di arahkan supaya ditutup.
Sepanjang tahun 1952-1954 ramai pendukung gerakan Islam yang dipenjara atau diusir keluar seperti yang dinyatakan dalam risalah yang ditujukan kepada penduduk Syria selepas kejatuhan diktator tentera pada 1954.[16]
[1] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.117.
[2] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.267.
[3] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.49-50.
[4] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.116-117.
[5] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal. 118.
[6] Beliau ialah Muhammad Sami Hilmi al-Hinnawi. Beliau dilahirkan di Halab pada tahun 1898. Beliau mendapat pendidikan di Madrasah Dar al-Mu،allimin, Damsyik(1916), Madrasah al- ،Askariyyah di Istanbul dan al-Madrasah al-Harbiyyah, Damsyik (1918-1919). Beliau pernah terlibat dalam Perang Dunia I dan Perang Islam-Yahudi(1948). Adib al-Syiskali yang telah melakukan rampasan kuasa telah memenjarakan beliau. Setelah dibebaskan beliau berhijrah ke Beirut. Di sini beliau dibunuh oleh Muhammad bin Ahmad bin Harsy pada 30 Oktober 1950. Jenazah beliau dikebumikan di Damsyik. Sila lihat: al-Zirakli(1984), op.cit., j.6, hal.135.
[7] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.51.
[8] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.268.
[9] Dr.Umar F. Abd-Allah(1983), op. cit. hal.115.
[10] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.118.
[11] Beliau ialah Adib bin Hasan al-Syiskali. Beliau dilahirkan di Hamah dan mendapat pendidikan di Madrasah al-Zira،iyyah, Sulamiyah. Pada tahun 1945, beliau menyertai peperangan membebaskan Syria daripada penjajahan Perancis. Pada peringkat awal beliau bersama Husni al-Za،im tetapi beliau kemudiannya disingkirkan pada tahun 1949 kerana perselisihan pendapat. Pada zaman pemerintahan al-Hinnawi beliau dilantik sebagai ketua tentera. Selepas melakukan rampasan kuasa(tahun 1949 dan tahun 1951), beliau meninggalkan Syria pada tahun 1953 dan menetap di beberapa negara seperti Arab Saudi(1954-1957), Perancis(1957-1960) dan akhirnya di Brazil. Beliau meninggal dunia di Brazil kerana dibunuh. Sila lihat: al-Zirakli(1984), op.cit., j.1, hal.285-286.
[12] Dr.Umar F.Abd-Allah(1983), op.cit., hal.51, al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.118.
[13] Zahiyyah Qaddurah(1985), op.cit., hal.268.
[14] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.118.
[15] Ibid.
[16] al-Habib al-Janhani(1989), op.cit., hal.118-119.