NOTA 27 Ramadan : Kemanisan beribadah

NOTA 27 RAMADAN “ KEMANISAN  BERIBADAH”

SAUDARAKU YANG DIKASIHI KERANA ALLAH

Sekarang kita berada pada hari-hari terakhir dari bulan Ramadan 1436 H, sekarang kita berada penghujung bulan Ramadan yang disebut sebagai bulan ibadah, bulan mendapat keampunan, bulan kebebasan dari apa neraka, bulan turunnya rahmat, bulan di tutup pintu neraka, bulan di buka pintu syurga dan syaitan dibelenggu. Ramadan yang penuh dengan program tarbiah dan kerohanian akan berakhir beberapa ketika lagi, Ramadan yang penuh dengan aktiviti ibadah dan amalan menghampirkan diri kepada Allah (s.w.t) dengan makan sahur yang penuh keberkatan, solat lima waktu berjemaah, tadarus al-Quran, mendengar tazkirah dan ceramah agama, solat sunat terawih, berbuka puasa, memberi orang makan berbuka puasa, qiamullail, istighfar, zikir munajat dan solat tahajjud dan amalan-amalan ini ditambah lagi pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan yang dijanjikan oleh Allah swt dengan lailatul Qadar. Persoalannya adakah Ramadan yang kita lalui hampir sebulan meninggalkan kesan yang mendalam bagi mereka yang benar-benar mengambil peluang keemasan memperbaiki diri serta  taqarrub iaitu menghampirkan diri kepada Allah SWT.

SAUDARAKU YANG DIKASIHI KERANA ALLAH

Di saat kita berada pada detik-detik akhir dari bulan Ramadan ini,  tibalah masanya untuk kita bermuhasabah dan bertanya apakah  ibadat puasa yang telah kita lakukan , adakah ia benar-benar puasa yang diterima oleh Allah S.W.T. atau sebaliknya? Adakah kita termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat dan pengampunan Allah? Adakah kita termasuk dalam golongan yang selamat dari api neraka setelah menjalani sebulan puasa. Sejauh mana taqwa yang telah kita tingkatkan setelah kita berpuasa  sebulan Ramadan . Firman Allah Taala:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah al-Baqarah ayat 183)

SAUDARAKU YANG DIKASIHI KERANA ALLAH

Adakah ibadat puasa yang telah kita lalui menyebabkan kita merasai kemanisan beribadat? Adakah ibadat solat yang kita tunaikan sama ada yang sunat atau fardu, solat terawih, solat tahajjud dan lain-lain, adakah kita merasai kelazatannya? Adakah bentuk-bentuk ibadah yang kita lakukan, sedekah dan infaq yang kita berikan, zakat yang kita keluarkan, bantuan dan sumbangan yang kita berikan sepanjang ramadan. Adakah kita merasai nikmat dan khusyuk dari segala bentuk ibadah yang telah kita lakukan sepanjang ramadan? Inilah ibadat yang sepatutnya kita lakukan bukannya kita beribadat kerana mengikut kebiasaan. Orang berpuasa kita berpuasa…orang mengadakan majlis khatam al-Qur’an, maka kita pun membaca al-Qur’an, orang pergi solat terawih maka kita pun ke masjid untuk berterawih tetapi semua ibadat ini kosong dari kekhusyukan, kosong dari kemanisan dan keseronokan beribadat. Inilah roh kepada setiap ibadat yang kita lakukan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi (s.a.w):

أنْ تَعْبُدَ الله كَأَنَّك تَراهُ فَإن لَم تَكنْ تَراهُ فَإنَّه يَراكَ

“ Kamu menyembah Allah (s.w.t) seolah-olah kamu melihatnya, dan tentunya kamu tidak dapat melihat Allah Allah (s.w.t)  tetap melihat kamu.” HR Muslim

Kelazatan ini yang inilah yang dialami oleh Rasulullah (s.a.w). Sabda Rasulullah (s.a.w): وَجُعِلَت قُرَّةُ عِينِي فِي الصَّلاةِ  maksudnya dijadikan penyejuk mataku dalam ibadat solat. Merasai kelazatan beribadah yang melahirkan kekuatan dalaman. Rasulullah (s.a.w), para sahabat dan generasi awal menjadikan ibadat khusus solat, puasa, zakat, tahajjud sebagai kekuatan dalaman untuk menegakkan agama Allah (s.w.t), bukan sahaja untuk menentang hawa nafsu tetapi untuk menentang musuh-musuh Islam dalam peperangan.  Inilah kekuatan yang perlu kita cari dari ibadat yang dilakukan

Marilah kita merenung Sabda Rasul (s.a.w)yang diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) berkata Nabi (s.a.w):

 رب صائم حظه من صيامه الجوع والعطش ، ورب قائم حظه من قيامه السهر ” .

Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban.Hadith ini menunjukkan ada orang yang Solat tetapi  hanya mendapat bilangan rakaat dan penat dan orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga. Ini kerana solat dan puasa mereka tidak mampu merubah seseorang kepada manusia yang mencegah dirinya dari kemungkaran dan mencapai tahap ketaqwaan yang sebenarnya.

Saudaraku  yang dikasihi Allah,

Marilah kita mencari kelazatan beribadah ini sebagaimana yang dikecapi oleh Rasulullah (s.a.w), para sahabat dan generasi dahulu. Kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Rasulullah (s.a.w) untuk bertahajjud dengan membaca al-Qur’an hampir enam juzuk, bermula dengan surah al-Baqarah diikuti dengan surah Ali Imran dan al-Nisa’ dalam satu rakaat, kelazatan inilah yang memberi kekuatan untuk seorang sahabat Nabi menghabiskan bacaan surah al-Kahfi sekalipun tubuhnya telah mengalirkan darah kerana dipanah oleh musuh semasa menunaikan solat, kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Saidina Uthman bin Affan untuk membaca keseluruhan al-Qur’an dalam satu rakaat solat witir di sisi Ka’bah, kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Imam Syafie untuk khatam al-Qur’an sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan dan kelazatan inilah yang memberi kekuatan kepada Imam Ahmad bin Hanbal untuk solat Isyak dan Subuh dengan satu wuduk selama 30 tahun! ! Kelazatan beribadat jugalah mendorong Saidina Abu Bakar bersedekah keseluruhan hartanya untuk disumbangkan dalam peperangan Tabuk! Kelazatan beribadat jugalah mendorong Saidina Umar (r.a) menyumbangkan separuh dari hartanya dalam perang Tabuk! Kelazatan dalam beribadah juga mendorong Saidina Uthman bin ‘Affan dan Saidina Abdul Rahman menyumbangkan kuda dan emas dan perak yang dianggarkan nilainya pada waktu ini jutaan ringgit!  Kelazatan inilah yang menjadi harapan mereka sehingga saat mereka bertemu dengan Allah s.w.t untuk terus beribadat..Diriwayatkan dari al-Hakam bahawa Abdul Rahman bin al-Aswad apabila berada dalam keadaan nazak menangis. Lalu ditanya: Mengapa menangis? Beliau  menjawab: Sedih kerana tidak dapat lagi untuk solat dan puasa dan dia masih membaca al-Qur’an sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kelazatan inilah yang mendorong al-Hasan bin ‘Ali pergi mengerjakan haji sebanyak 25 kali dengan BERJALAN KAKI.   Berkata Ibnu ‘Abbas: “Tidak ada yang ku kesali pada masa mudaku kecuali aku tidak mengerjakan haji dengan berjalan kaki.  Al-Hasan bin ‘Ali telah mengerjakan haji sebanyak 25 kali dengan berjalan kaki Dan banyak lagi yang telah dinyatakan dalam catatan-catatan sebelum ini!

Tinggalkan komen